- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 Julai 2014). The Life and Death of Ramesses II. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-africa/life-and-death-ramesses-ii-001822
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-africa/life-and-death-ramesses-ii-001822
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ramses II dianggap
sebagai salah seorang firaun terhebat dalam tamadun Mesir purba. Beliau juga
dilihat sebagai salah seorang firaun yang paling masyhur. Ramses II, firaun
ketiga bagi Dinasti ke-19, menaiki takhta Mesir ketika usianya di penghujung
remaja, sekitar tahun 1279SM, selepas kemangkatan ayahandanya, Seti I.
Beliau
dikenali sebagai firaun yang memerintah Mesir selama 66 tahun, sempat
menyaksikan kematian beberapa orang anaknya – sejarahwan meyakini bahawa beliau
mempunyai lebih 100 orang anak. Berikutan pemerintahannya yang panjang ini,
Ramses berupaya melancarkan sejumlah kempen ketenteraanbagi memerangi
wilayah-wilayah jiran, di samping membina sejumlah monumen baik untuk para dewa
mahupun untuk dirinya sendiri.
![]() |
| Patung purba Ramses II |
Salah satu kemenangan
besar yang dikecapi oleh Ramses II semasa pemerintahannya adalah kemenangan
dalam Pertempuran Kadesh. Pertempuran demi berebutkan Syria ini melibatkan
tentera Mesir yang dipimpin oleh Ramses dan bangsa Het (Hittite) yang
diketuai oleh Muwatalli. Pertempuran Kadesh berlangsung pada musim bunga tahun
kelima pemerintahan Ramses II. Segalanya berakibat daripada tindakan Amurru
yang berpaling tadah dari Het dan menumpahkan kesetiaan kepada Mesir.
Kerajaan Het cuba mendapatkan
kembali khidmat Amurru, namun Ramses II enggan membenarkan keadaan itu berlaku.
Demi melindungi anak buah barunya itu, Ramses II memberangkatkan pasukan
tenteranya ke utara. Kempen ketenteraan ke atas Kerajaan Het ini turut
bermatlamat untuk mengusir bangsa tersebut, yang telah sekian lama menimpakan
kekacauan terhadap Mesir semenjak era pemerintahan firaun Thutmose III.
![]() |
| Ramses II bersama busur panah |
Menurut catatan-catatan
Mesir, bangsa Het berjaya dikalahkan dan Ramses II meraih kemenangan besar.
Kisah kemenangan ini direkodkan dengan penuh gilang-gemilang pada kuil Abu
Simbel. Pada relif ini, firaun digambarkan sedang menunggang pedati dan
menyerang pasukan tentera Het. Seperti yang dihajatkan, relif ini berjaya
menyebarkan imej kekuasaan Ramses II.
Walau bagaimanapun,
menurut catatan-catatan bangsa Het, kemenangan yang diraih oleh pasukan tentera
Mesir ini tidaklah besar mana. Ia hanya ditokoh-tambah oleh Ramses II sebagai
propaganda demi kepentingannya. Namun apa yang jelas, hubungan kuasa di Timur
Dekat berubah secara signifikan rentetan pertempuran ini. Perjanjian damai
pertama dalam sejarah dimeterai antara Mesir dan Het. Bangsa Het kemudian
diperakui sebagai salah sebuah adikuasa di rantau itu. Perjanjian ini juga
meletakkan batu asas terhadap hubungan dua hala antara Mesir dan Het untuk 70
tahun berikutnya.
![]() |
| Kuil Abu Simbel Ramses II |
Walaupun dianggap
sebagai salah seorang manusia yang paling berkuasa di muka bumi ini di kala hayatnya,
nasib yang berbeza diterima jasadnya sesudah mati. Pada asalnya, jasad atau
mumia Ramses II disemadikan di makam KV7 yang terletak di Lembah Raja-Raja.
Namun, penjarahan yang dilakukan oleh para perompak makam di zaman silam
memaksa para pendeta Mesir untuk memindahkan jasad beliau ke tempat yang lebih
selamat.
Tindakan para pendeta
ini berjaya menyelamatkan mumia Ramses II daripada dijarah, dan kelak, dijumpai
oleh ahli-ahli arkeologi dalam keadaan terpelihara. Pada tahun 1881, mumia
Ramses II, bersama lebih 50 orang pemerintah dan bangsawan ditemui di sebuah
pemakaman diraja rahsia yang terletak di Dier al-Bahri. Mumia Ramses II dapat
dikenal pasti berdasarkan hieroglif pada kain linen yang menutupi mumia
tersebut. Hieroglif ini memerincikan pemindahan yang dilakukan oleh para
pendeta terhadap jasad Ramses II.
Sekitar seratus tahun
sesudah mumianya ditemukan, ahli-ahli arkeologi menyedari bahawa jasad Ramses
II mengalami pereputan secara bertahap. Lantas, mereka mengambil keputusan
untuk menerbangkannya ke Paris untuk dipelihara. Sebagai maklumat tambahan yang
menarik, firaun ini turut diberikan pasport Mesir untuk ke Paris, di mana
maklumat pekerjaannya diisi sebagai ‘Raja (telah mangkat)’. Pada hari ini,
mumia firaun Ramses II bersemadi di Muzium Kaherah, Mesir.
![]() |
| Mumia Ramses II |
SUMBER
- Dollinger, A. 2000. Ramses II: The Battle of Kadesh.
- History.com. 2013. 5 Great Mummy Discoveries.
- Ray, J. 2011. Ramesses the Great.
- Wikipedia. 2014. Battle of Kadesh.
- Wikipedia. 2014. Ramesses II.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ramses II: Firaun Teragung Mesir Purba’
- Get link
- X
- Other Apps




