- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Februari 2015). The Life and Adventures of Marco Polo. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/life-and-adventures-marco-polo-002635
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/life-and-adventures-marco-polo-002635
Penterjemah:
Amir Zayyanid
“Di Xanadu, bersemayam
Kublai Khan…”
Begitulah bermulanya
salah satu dari tiga puisi ulung Samuel Taylor Coleridge, berjudul ‘Kubla
Khan’. Menurut beliau, puisi ini dikarang dalam masa satu malam sejurus beliau
mengalami satu mimpi selepas membaca karya yang mengandungi pemerincian tentang
Xanadu.
Xanadu pada asalnya
merupakan ibu kota Dinasti Yuan semasa Kublai Khan menakluk China. Selepas
beliau memindahkan ibu kotanya ke Dadu, kini Beijing, Xanadu menjadi kota
singgahan pada musim panas. Walaupun Coleridge hanya berpeluang melihat Xanadu
di dalam mimpi, terdapat seorang pengembara Barat yang sempat menziarahi kota
itu di zaman kemuncaknya. Pengembara yang dimaksudkan ini ialah Marco Polo,
pengembara dari Venetia.
![]() |
| Marco Polo berpakaian Tatar |
Sejarah Marco Polo
bermula di Venice pada tahun 1271, ketika beliau berusia 17 tahun. Dua tahun
sebelum itu, bapanya yang bernama Niccolo dan pakciknya, Maffeo, baru sahaja
pulang dari ekspedisi perdagangan di Timur. Memandangkan kedua beradik itu
merantau selama beberapa bulan sebelum Marco Polo dilahirkan dan hanya pulang
pada tahun 1269, maka Marco Polo dapat bertemu dengan bapa dan pakciknya buat
kali pertama pada tahun tersebut. Kemudian, Marco Polo menyertai mereka dalam
perjalanan ke Asia pada tahun 1271.
![]() |
| Mozek yang menggambarkan Marco Polo di Villa Hanbury, Ventimiglia, Itali |
Selain berdagang,
perjalanan kedua keluarga Polo ke Asia ini bertujuan untuk membawa beberapa
pucuk surat dan hadiah berharga yang dikirimkan oleh Pope Gregory X untuk
diberikan kepada Kublai Khan. Sebelum Niccolo dan Maffeo pulang ke Venice, Khan
Agung sempat menyatakan minatnya terhadap agama Kristian. Justeru, beliau
meminta agar kedua beradik itu singgah ke Rom bagi mewakilinya. Kublai Khan
turut meminta agar Pope menghantar pulang kedua beradik itu ke China, dengan
membawa bersama air suci serta 100 orang paderi berpendidikan.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Shizu, atau Kublai Khan |
Pope tidak dapat
memenuhi permintaan Kublai Khan itu. Namun, beliau mengirim beberapa pucuk
surat dan hadiah. Lantaran tidak mahu menghampakan Khan Agung, Niccolo dan
Maffeo turut membawa bersama dua orang mubaligh friar. Namun setelah
merasai sendiri kesukaran mengembara, kedua-dua mubaligh itu berpatah balik dan
tidak melanjutkan perjalanan.
Dari Venice, keluarga
Polo ini mengembara ke selatan melalui Laut Mediterranean dan menuju ke Tanah
Suci (Israel dan Palestin) yang pada masa itu dikawal sebahagiannya oleh
tentera-tentera salib. Dari kota pelabuhan Acre, mereka berjalan ke utara
menuju Trebizond dan kemudian turun ke selatan dan tiba di Baghdad sebelum
menghala semula ke arah utara. Di Terbil, mereka menukar haluan ke selatan dan
akhirnya sampai di kota pelabuhan Ormuz di Selat Hormuz.
Walaupun pada awalnya
keluarga Polo berhasrat untuk mengambil jalan laut bagi menuju ke China, mereka
tidak berjaya menemukan kapal yang sesuai untuk dinaiki. Lantaran itu, mereka
pun berjalan ke utara dan menggunakan jalan darat. Tatkala tiba di gurun
Taklamakan, mereka mengambil laluan ke selatan dan merentasi beberapa buah
tempat seperti Yarkand dan Khotan. Cabaran terakhir yang perlu dihadapi mereka
sebelum tiba di China adalah Gurun Gobi yang terbentang luas.
![]() |
| Laluan pengembaraan Marco Polo |
Di China, ketibaan
mereka disambut baik oleh Kublai Khan. Memandangkan Marco Polo merupakan seorang
yang meminati budaya China dan cekap berbahasa, kehadirannya disenangi oleh
Khan Agung. Lantas, beliau dilantik sebagai perutusan khas Yuan sekaligus
membolehkannya mengembara ke pelbagai wilayah di Asia, seperti Tibet, Burma dan
India. Marco Polo juga dilantik sebagai pengutip cukai di Yanzhou, dan pegawai
dalam Majlis Sulit.
![]() |
| Kublai Khan memberi bantuan kewangan kepada keluarga Polo, dan menerima hadiah daripada Venetia |
Sepanjang 17 tahun
keluarga Polo menetap di China, mereka mengumpulkan harta kekayaan yang cukup
banyak. Lantaran Kublai Khan mencecah usia lewat 70an, keluarga Polo semakin
khuatir kalau tidak berpeluang untuk beredar dari China dan pulang ke tanah air
dengan membawa bersama harta mereka. Justeru dengan berat hati, Khan Agung membenarkan
mereka pulang. Namun, tidak tanpa disertakan dengan satu tugasan terakhir,
iaitu mengiringi puteri Monggol, Kokachin ke Parsi. Di sana, Kokachin diaturkan
supaya berkahwin dengan seorang putera.
Perjalanan laut ini
mengambil masa selama 2 tahun, di mana seramai 600 orang anak kapal dan
penumpang terkorban. Ketika tiba di Ormuz, hanya 18 orang sahaja yang
terselamat. Putera Parsi yang dijanjikan kepada Kokachin juga telah pun
meninggal dunia. Justeru, keluarga Polo terpaksa menetap di Parsi sehingga
Kokachin menemui calon yang sesuai untuk dikahwini. Akhirnya, mereka kembali ke
Venice pada tahun 1295.
![]() |
| Kafilah Marco Polo berjalan menuju ke India |
Sebagai maklumat
tambahan, kisah pengembaraan Marco Polo hanya direkodkan semasa beliau berada
dalam penjara. Tiga tahun selepas pulang ke Venice, Marco Polo mengetuai sebuah
kapal geliung dalam memerangi kapal-kapal Genoa, salah satu seteru Venice.
Dalam sebuah pertempuran, beliau ditangkap dan ditahan. Ketika berada dalam
penjara, beliau bertemu dengan Rustichello da Pisa, seorang penulis berbakat
yang mencatatkan kisah-kisah pengembaraan yang diceritakan oleh Marco Polo.
Ketika mereka
dibebaskan pada tahun 1299, buku tersebut sudah pun siap dan nama Marco Polo
langsung menjadi sebutan. Empayar Khan, empayar terbesar yang pernah disaksikan
dunia, merupakan suatu misteri bagi mereka yang hidup di dalam sempadan Empayar
Suci Rom. Marco Polo merupakan orang Barat pertama yang berpengalaman
menyaksikan secara mendalam budaya dan adat mereka. Justeru apabila beliau
menerbitkan catatan terperinci tentang pengembaraannya itu di dalam buku ‘II
Millione’, dunia Barat terpesona dengan pengalaman yang dikongsikannya.
Pengembaraan Marco Polo
ini memberikan kefahaman geografi yang lebih meluas kepada dunia Eropah, dan menggamit
lebih ramai pengembara dan peneroka lain untuk keluar merantau. Sehingga ke
hari ini, ramai yang masih cuba mengikuti jejak langkahnya dan menghidupkan
kembali sejarah hidup pengembara Venetia kurun ke-13 ini. Pada tanggal 9
Januari 1324, Marco Polo diserang penyakit dan meninggal dunia dengan
meninggalkan legasi yang berpanjangan.
SUMBER
- Andrews, E. 2013. 11 Things You May Not Know About Marco Polo.
- O’Donnell, F. & Belliveau, D. 2002. Marco Polo’s Guide to Afghanistan.
- Szalay, J. 2013. Marco Polo: Facts, Biography & Travels.
- Aljazeera. 2015. Marco Polo, A Very Modern Journey.
- Poetry Foundation. 2014. Kubla Khan, by Samuel Taylor Coleridge.
- Silk-Road. 2000. Marco Polo and His Travels.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Cebisan Kisah Hidup Dan Pengembaraan Marco Polo’
- Get link
- X
- Other Apps






