- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (5 Mac 2019). Ghana Empire. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Ghana_Empire/
https://ancient.eu/Ghana_Empire/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empayar Ghana mengecapi
kepesatan di Afrika Barat setidak-tidaknya pada kurun ke-6 hingga kurun ke-13
Masihi. Empayar ini terletak di wilayah savannah Sudan barat (selatan
Maruitania dan Mali moden) dan diapit oleh gurun Sahara di sempadan utara dan
hutan tebal di selatan. Empayar ini juga sama sekali tidak terkait secara
geografi dengan negara Ghana moden.
Aktiviti perdagangannya
dipermudahkan dengan sumber besi, tembaga, emas dan gading yang banyak di
samping akses yang mudah ke Sungai Niger, Sungai Senegal dan anak-anak sungainya.
Raja-raja Ghana yang mendiami ibu kota yang terletak di Koumbi Saleh menikmati
kekayaan yang berlimpah-ruah, sambil menimbunkan jongkong-jongkong emas yang
hanya boleh dimiliki oleh mereka sahaja.
Secara bertahap tetapi
pasti, reputasi Ghana tersebar ke Afrika Utara dan Eropah, di mana empayar
berkenaan disifatkan sebagai sebuah tanah emas. Empayar Ghana mula runtuh pada
kurun ke-12 Masihi akibat kemarau, perang saudara, dan pembukaan jalan-jalan
perdagangan di kawasan lain, serta kebangkitan Kerajaan Sosso (sekitar
1180-1235 Masihi) dan seterusnya Empayar Mali (1240-1645 Masihi).
AFRIKA BARAT &
WILAYAH SUDAN
Wilayah Sudan di Afrika
Barat (tidak sama dengan negara Sudan moden), tempat di mana berdirinya Empayar
Ghana, telah pun dihuni sejak zaman Neolitik lagi sebagaimana yang terbukti
menerusi penemuan tumuli (gundukan tanah), megalit dan runtuhan kampung-kampung
pada Zaman Besi.
Sungai Niger lazim
menggenangi bahagian tanah berumput kering dan savannah ini sekaligus
menyuburkannya bagi tujuan pertanian yang dimulakan setidak-tidaknya pada 3500
tahun yang lalu. Aktiviti ini turut dibantu oleh curahan hujan tahunan yang
mencukupi di wilayah berkenaan.
Bijirin seperti beras
Afrika dan sekoi tumbuh dengan sihat. Begitu juga dengan biji legum, hasil tuber
dan akar, tumbuhan minyak dan fiber, dan buah-buahan. Perikanan dan penternakan
lembu dan kambing juga merupakan antara aktiviti lain yang signifikan di
kawasan ini.
Simpanan tembaga
tempatan dieksploitasi dan digunakan bagi tujuan perdagangan. Hasil-hasil logam
di wilayah iu pula boleh dijejak kembali usianya pada kurun ke-6 Masihi
sebagaimana yang dibuktikan menerusi penemuan-penemuan arkeologi.
Selain itu, turut
ditemui sejumlah besar tembikar yang sebahagiannya diperdagangkan di seluruh
rantau itu, sepertimana yang diisyaratkan oleh analisa kimia yang dilakukan
terhadap tembikar berkenaan. Sumber-sumber emas juga dilombong dan kemudian
dijual di sepanjang laluan air di rantau itu. Namun, bukti konkrit yang dapat
mengesahkan hal ini masih kurang.
Sememangnya, pengetahuan
sejarah wilayah Sudan dan Empayar Ghana sebelum kurun ke-11 masih kabur
lantaran kekurangan sumber-sumber bertulis dan penemuan arkeologi. Namun, hasil
arkeologi bertambah secara drastik menjelang kurun ke-21 Masihi dan usia serta
jangkauan perdagangan di Afrika Barat secara khusus, terbukti lebih luas dan
tua berbanding yang dijangka sebelum ini.
PENUBUHAN
Tahun tepat penubuhan
Empayar Ghana, atau Kerajaan Ghana masih belum diketahui. Berkemungkinan ia
ditubuhkan seawal kurun ke-6 Masihi. Namun, bukti politik tertentu didapati
tidak wujud melainkan pada masa-masa terkemudian. Zaman kemuncak empayar ini
pula diperkirakan berlangsung pada kurun ke-9 hingga kurun ke-11 Masihi. Nama
Ghana besar kemungkinan diambil daripada gelaran tempatan yang membawa maksud
‘raja’.
![]() |
| Laluan-laluan perdagangan trans-Sahara |
Majoriti rakyat Empayar
Ghana terdiri daripada suku Soninke (atau Sarakole), yang menuturkan bahasa
Mande (atau Mandingo). Mereka ini menghuni kawasan savannah yang terletak di
antara Sungai Niger (di tenggara) dan Sungai Senegal (di barat daya).
Sungai-sungai ini dan
gurun Sahara di utara membentuk segi tiga semula jadi yang kemudiannya menjadi
tapak berdirinya Empayar Ghana (kini meliputi sebahagian wilayah selatan
Mauritania dan Mali). Wilayah ini didominasi oleh suku Soninke yang lazim
dipanggil sebagai Wagadu dalam tradisi lisan masyarakat asli, atau Wangara,
sebagaimana yang digunakan oleh ahli-ahli geografi Muslim bagi merujuk wilayah
tengah Niger.
KOUMBI SALEH
Besar kemungkinan ibu
kota bagi Empayar Ghana ialah Koumbi Saleh (memandangkan tiada calon lain yang
lebih munasabah). Koumbi Saleh yang juga dikenali sebagai Ghana terletak
kira-kira 322 km (200 batu) arah utara dari Bamako, Mali moden.
Ibu kota ini sebenarnya
lebih besar berbanding yang dijangka oleh sejarahwan – sumber Arab pada zaman
pertengahan menganggarkan populasinya seramai 40 000 – 50 000 orang dilihat dan
angka ini dilihat munasabah terutama jika dilihat juga pada hasil penggalian
yang dilakukan kebelakangan ini. Hasil ekskavasi mendapati keluasan kota
tersebut mencecah 110 ekar (45 hektar) dan terdapat sejumlah petempatan kecil
di sekelilingnya.
Hasil-hasil arkeologi
juga menjumpai runtuhan sejumlah masjid, dataran awam yang besar dan
bahagian-bahagian tembok serta monumen gerbang. Rumah-rumah di kota ini secara
tipikalnya mempunyai satu tingkat dan diperbuat daripada bata lumpur yang
dijemur, tanah lumat dan kayu ataupun batu.
Kesemua bahan ini
digunakan di rantau tersebut semenjak zaman prasejarah sehinggalah ke hari ini.
Seorang pengembara Arab bernama Al-Bakri yang mengunjungi kota itu pada tahun
1076 Masihi memerincikan bahawa ibu kota Empayar Ghana dikelilingi oleh tembok
dan ladang-ladang sayur yang dilengkapi dengan sistem perairan. Beliau turut
melanjutkan kenyataannya:
“Si raja mempunyai
sebuah istana dan sejumlah kediaman berkubah yang semua ini dikelilingi oleh
tembok seperti tembok kota… Di sekitar kota raja terdapat bangunan-bangunan
berkubah dan gugusan pokok serta belukar yang menjadi tempat kediaman para
pendeta, yakni individu yang berperanan dalam hal-hal keagamaan dalam
masyarakat ini. Di dalamnya, terdapat patung-patung sembahan mereka dan makam
raja-raja mereka. (dipetik daripada Fage, 668)
RAJA & PENTADBIRAN
Sebagai sebuah gabungan
kampung-kampung yang diperintah oleh seorang raja, empayar ini berupaya
berkembang dengan pesat berkat kewujudan pasukan tentera terlatih yang
mempunyai unit kavalri, di samping akses ke bahan-bahan mentah seperti bijih
besi untuk menghasilkan senjata serta simpanan emas untuk membayar gaji para
tentera.
Tukang-tukang besi dan
penempa logam meraih kedudukan yang tinggi di wilayah Sudan. Selain itu, dengan
memiliki unta-unta yang antara kegunaannya adalah sebagai pengangkut manusia
dan barang dagangan, masyarakat Soninke berupaya meraih keulungan berbanding
seteru-seteru mereka.
Berbekalkan
kelebihan-kelebihan ini, Empayar Ghana berjaya menguasai wilayah-wilayah lain
dan banyak ufti dapat dikutip daripada para pembesar yang ditakluki, sekaligus
membolehkan mereka memonopoli perdagangan tempatan dan seterusnya perdagangan serantau.
![]() |
| Kafilah unta trans-Sahara, oleh Holger Reineccius |
Raja Ghana merupakan
monarki mutlak dan pemimpin keagamaan dalam empayar. Mereka turut memiliki sisi
mistik lantaran peanannya sebagai pemimpin kepercayaan animisme dalam kalangan
rakyatnya. Sembah korban dan upacara meminum arak bagi pihak dewa-dewi
dilakukan atas nama raja. Peraturan-peraturan etika yang ketat berkenaan
menghormati kehadiran raja juga digariskan.
Apabila si raja
mangkat, makamnya diletakkan di sebuah gugusan pokok suci yang tidak boleh
dimasuki oleh sesiapa pun. Pengembara Al-Bakri menyifatkan raja Ghana
sebagaimana berikut:
“Raja menghiasi dirinya
seperti seorang wanita, memakai rantai leher dan gelang, dan apabila menghadap
rakyat jelata, beliau akan mengenakan topi tinggi yang dihiasi emas dan melilit
serban dengan kapas yang berkualiti…
Di belakang raja
berdiri sepuluh orang kesatria yang masing-masing dilengkapi perisai dan pedang
yang bertatahkan emas. Di kanannya pula terdapat putera-putera kepada raja-raja
bawahannya yang masing-masing berpakaian indah dan rambut mereka disadur dengan
emas. (dipetik daripada Krieger, 322)
Raja banyak bergantung
pada bantuan para penasihat. Bermula dari kurun ke-11 Masihi, raja-raja Ghana
bahkan mengupah para pedagang Muslim untuk bertindak selaku penterjemah dan
pegawai yang membantu hal-ehwal ekonomi empayar dan menyemak barang dagangan
yang keluar masuk.
PERDAGANGAN DI AFRIKA
BARAT
Empayar Ghana
mendominasi perdagangan di bahagian tengah Afrika Barat, tepatnya di bahagian
atas lembah Sungai Niger sejak kurun ke-6 atau kurun ke-7 Masihi. Dominasi
perdagangan serantau ini amat lumayan buat raja-raja Ghana.
Mereka menghantar
barang dagangan seperti emas, gading, kulit, bulu burung unta, dan hamba sahaya
kepada para pedagang Muslim (khususnya Berber-Sanhaja) yang mengirimkan
kafilah-kafilah unta yang membawa garam dari Afrika Utara.
Barang dagangan ini
sering dikenakan cukai sebanyak dua kali; sekali semasa mereka memasuki wilayah
empayar dan sekali lagi semasa mereka keluar meninggalkan empayar.
Selain pendapatan
daripada perdagangan ini, Empayar Ghana juga mempunyai sumber-sumber alamnya
yang tersendiri, terutama sekali bijih besi dan emas yang tersimpan di dalam
lapangan-lapangan yang ada di Bambuk.
Sumber-sumber ini
kebiasaannya digunakan oleh golongan elit untuk ditukarkan dengan barangan
mewah seperti tekstil, manik, tembaga dan kuda yang kesemuanya ini dibawa oleh
para pedagang Arab yang datang dari utara.
Selain emas, barang
lain yang digunakan sebagai matawang di Ghana ialah dawai tembaga. Raja-raja
Ghana mengharamkan pemilikan jongkong-jongkong emas, justeru para pedagang
hanya boleh memiliki habuk-habuk emas sahaja.
Dasar ini selain
bertujuan untuk menonjolkan kedudukan raja, ia juga memastikan harganya tidak
jatuh lantaran diedarkan dengan kuantiti yang banyak pada satu-satu masa.
![]() |
| Empayar Ghana, oleh Luxo |
PENGARUH MUSLIM
Islam tersebar di
seluruh rantau itu berkat usaha para pedagang Muslim, terutama ketika mereka
berinteraksi dengan para pedagang tempatan dan golongan elit yang tinggal di
kawasan urban. Para pemerintah tempatan mungkin menyedari bahawa mengamalkan
agama Islam, atau setidak-tidaknya bertolak-ansur dengannya bakal memberikan manfaat
kepada perdagangan mereka.
Apapun bagi Empayar
Ghana, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa raja-raja mereka memeluk
Islam. Akan tetapi, ibu kota Koumbi Saleh diketahui terbahagi kepada dua buah
bandar yang berbeza pada pertengahan kurun ke-11 Masihi.
Sebuah bandar didiami
oleh masyarakat Muslim dan mempunyai 12 buah masjid sementara bandar lain yang
berjarak hanya 10 kilometer dan disambungkan dengan bangunan demi bangunan,
merupakan kediaman diraja. Di sana juga terdapat banyak kuil kepercayaan
tradisional dan sebuah masjid untuk kegunaan para pedagang yang datang
menyinggah.
Pembahagian bandar ini
mencerminkan keadaan di mana kepercayaan animisme tempatan wujud bersama ajaran
Islam, yang mana kepercayaan animisme kebanyakannya diamalkan oleh masyarakat
pedalaman.
KEMUNDURAN
Peringkat pertama
kemunduran Empayar Ghana bermula pada pertengahan kurun ke-11 Masihi. Sekitar
tahun 1076 Masihi, ibu kota Empayar Ghana dijarah oleh Al-Murabitun yang datang
dari Afrika Utara (sekitar 1055-1147 Masihi). Serangan ini berkemungkinan dilakukan
sebagai susulan terhadap cubaan para pemerintah Ghana yang mahu menguasai
perdagangan di pusat-pusat komersial di Ghana.
Semenjak itu, Empayar
Ghana mengalami kesukaran untuk bangkit. Para pemerintah mereka mungkin diasak
dengan kuat oleh Al-Murabitun, namun bukti-bukti yang dapat mengesahkan
sebarang penaklukan masih belum cukup konkrit.
Sementara itu,
bandar-bandar seperti Awdaghost (sekitar 1055 Masihi) hilang dari tangan
Empayar Ghana sekaligus membolehkan para pedagang Berber menguasai perdagangan serantau
secara langsung.
Empayar Ghana
benar-benar mengalami keruntuhan pada kurun ke-12 Masihi. Kemunduran ini
berlaku apabila laluan-laluan perdagangan yang lain dibuka jauh di timur
sekaligus menjadi pesaingnya. Begitu juga dengan cuaca kering yang melanda
selama beberapa tempoh, di mana keadaan ini menjejaskan hasil pertanian.
Para pemerintah Ghana
juga sama sekali tidak berupaya meneguhkan kekuasaan semasa empayar dihumban ke
dalam kancah perang saudara yang melibatkan konflik antara Muslim dan penganut
animisme. Sementara iu, ramai ketua pemberontak mengambil kesempatan ini untuk
mengisytiharkan kemerdekaan dari cengkaman Empayar Ghana.
Antara yang paling
utama ialah Tekrur di wilayah Sudan Barat yang langsung sahaja menguasai
wilayah di sekitar Sungai Senegal dan seterusnya menjalinkan pakatan dengan
Al-Murabitun.
Kerajaan Sosso (atau
Susu, sekitar 1180-1235 Masihi) merupakan pengganti Empayar Ghana yang paling
utama, dan keadaan bertambah runcing dengan campur tangan oleh Al-Murabitun
pada pertengahan kurun ke-12 Masihi.
Namun, pemerintahan
Sosso berlangsung singkat lantaran raja mereka, Sumanguru (atau Sumaoro Kante,
memerintah dari 1200 Masihi) ditewaskan oleh Sundiata Keita pada tahun 1235
Masihi. Sundiata turut menakluk ibu kota Ghana pada tahun 1240 Masihi dan
beliau melanjutkan kempennya dengan menubuhkan Empayar Mali (1240-1645 Masihi),
empayar terbesar dan terkaya yang pernah disaksikan di Afrika.
SUMBER
- Anonymous. Chambers Dictionary of World Histoy. Larousse Kingfisher Chambers. 2000.
- Chu, D. and Elliot Skinner. “A Glorious Age in Africa, Ghana, Mali, and Songhay: The Story of Three Great African Empires.” Africa Today, Vol. 60. No. 1 (Fall 2013), pp. 130-134.
- Curtin, P. African History. Pearson. 1995.
- Desmond Clark, J. (ed). The Cambridge History of Africa, Volume 1. Cambridge University Press. 2001.
- Fage, J.D. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 2. Cambridge University Press. 2001.
- Hrbek, I. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. III, Abridged Edition. University of California Press. 1992.
- Ki-Zerbo, J. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV, Abridged Edition. University of California Press. 1998.
- McEvedy, C. The Penguin Atlas of African History. Penguin Books. 1996.
- Mokhtar, G. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. II. Abridged Edition. University of California Press. 1990.
- Oliver, R. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 3. Cambridge University Press. 2001.
- de Villiers, M. Timbuktu. Walker Books. 2007.
- Get link
- X
- Other Apps



