- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (8 Mac 2019). Songhai Empire. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Songhai_Empire/
https://www.ancient.eu/Songhai_Empire/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empayar Songhai (aka
Songhay, sekitar 1460-1591 Masihi) menggantikan Empayar Mali (1240-1645 Masihi)
sebagai empayar paling penting di Afrika Barat (meliputi wilayah selatan
Mauritania dan Mali moden). Berasal-usul dari sebuah kerajaan kecil yang
terletak di sepanjang lengkungan timur Sungai Niger pada 1000 Masihi, Songhai
kemudiannya mula melebarkan wilayahnya secara drastik pada era pemerintahan
Raja Sunni Ali (1464-1492 Masihi).
Dengan ibu kotanya terletak dan Gao dan
keupayaannya menguasai perdagangan trans-Sahara menerusi pusat-pusat
perdagangan utama seperti Timbuktu dan Djenne, Empayar Songhai mengalami
kepesatan sepanjang kurun ke-16 Masihi sebelum kemudiannya ia dilemahkan oleh
peperangan saudara dan seterusnya diserang lalu diserap ke dalam Empayar
Maghribi sekitar tahun 1591 Masihi.
KEMUNDURAN EMPAYAR MALI
Empayar Mali, yang
terletak di sepanjang lingkaran savannah antara gurun Sahara di utara dan
hutan-hutan di selatan Afrika Barat (sering disebut sebagai wilayah Sudah),
mengalami perkembangan pesat lantaran penguasaannya ke atas perdagangan
tempatan dan antarabangsa terutama dalam perdagangan emas dan garam, sejak
pertengahan kurun ke-13 Masihi.
Namun, empayar ini mula mengalami kemunduran
pada 1460-an Masihi berikutan beberapa faktor seperti perang saudara, pembukaan
laluan-laluan perdagangan oleh pesaing di kawasan lain, dan serangan oleh suku
nomad Tuareg dari selatan Sahara dan seterusnya, serangan oleh suku Mossi yang
pada waktu itu menguasai wilayah selatan Sungai Niger.
Apapun, situasi paling
buruk hadir apabila Empayar Songhai, sebuah kerajaan purba, mengalami
kebangkitan kuasa yang jauh lebih pesat berbanding sebelumnya. Empayar Mali
terpaksa bergantung pada kekayaan yan tertumpu di wilayah baratnya, sehinggalah
ketibaan pasukan tentera Maghribi pada kurun ke-17 Masihi.
RAJA SUNNI ALI
Sejarah Kerajaan
Songhai boleh dijejak kembali setidak-tidaknya pada kurun ke-9 Masihi, yakni
sezaman dengan Empayar Ghana (kurun ke-6 hingga kurun ke-13 Masihi) yang
terletak lebih jauh ke timur. Kerajaan ini dikuasai dan dinamakan bersempena
Songhay (atau Sonhrai), sebuah kumpulan masyarakat penutur bahasa Nilo-Sahara.
Walaupun dikuasai oleh Empayar Mali, masyarakat Songhai kemudiannya membuktikan
bahawa mereka berupaya menggugat kuasa Mali terutama apabila mereka menguasai
pengangkutan sungai di Niger. Raja-raja Songhai sering melakukan serangan ke
atas pusat-pusat Urban Mali sejak kurun ke-15 Masihi dan kemuncaknya, meraih
kemerdekaan lantaran raja-raja Mali kehilangan cengkaman ke atas beberapa buah
kerajaan kecil yang dinaunginya.
Sekitar tahun 1468
Masihi, Raja Sunni Ali (atau Sonni Ali Ber) mengubah taktik tradisional Songhai
yang sebelum ini sekadar melakukan serangan-serangan kecil epada kempen
perluasan wilayah yang bersifat kekal dan lebih efektif. Dengan berbekalkan
sebuah pasukan tentera yang dilengkapi unit kavalri dan satu-satunya armada
laut di Afrika Utara yang diletakkan di Sungai Niger, Sunni Ali berupaya
menakluk jantung Empayar Mali.
Keadaan ini sebagaimana yang dinyatakan oleh
hikayat Timbuktu, yag berjudul Tarikh al-Sudan (sekitar 1656 Masihi):
“[Beliau memerintah]
selama 28 tahun, melancarkan sebanyak 32 buah peperangan yang dimenangi setiap
satunya, sentiasa menakluki dan tidak pernah ditakluki.” (Dipetik daripada de
Villiers, 102)
![]() |
| Empayar Songhai |
Raja Songhai ini
menampilkan imejnya sebagai seorang ahli magis dari kepercayaan animism
tempatan bagi tujuan menimbulkan rasa gerun dalam kalangan musuh-musuhnya.
Beliau juga secara efektif menggabungkan elemen kelemah-lembutan (misalnya,
pahlawan-pahlawan yang dikalahkan dijemput menyertai pasukan tenteranya) dan
elemen kekerasan (beliau masyhur dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas suku
Fulbe yang menentang).
Lantaran itu, Raja Sunni Ali meraih gelaran, “Sunni Yang
Tidak Berbelas Kasih”. Lebih berkesan daripada kesemua strategi ini, Sunni Ali
lazim menyerang musuh dengan kekuatan yang begitu ampuh dan kepantasan yang
bagaikan kilat. Wilayah-wilayah yang ditaklukinya tumbang umpama kepingan
domino dan wilayah-wilayah tersebut dibahagikan untuk diperintah oleh gabenor
lantikan raja.
Ufti dikutip daripada para pembesar tempatan, tahanan turut
diambil dan perkahwinan politik diatur. Namun, Sunni Ali setidak-tidaknya
terkenal dengan jasanya membina sejumlah daik (benteng air) yang berupaya meningkatkan
sistem perairan dan pertanian di kebanyakan kawasan.
PERDAGANGAN
Menjelang tahun 1469
Masihi, Songhai menguasai ‘pelabuhan’ perdagangan penting Timbuktu yang
terletak di sekitar Sungai Niger. Pada tahun 1471 Masihi, wilayah-wilayah Mossi
di lengkungan selatan Sungai Niger diserang, dan menjelang tahun 1473 Masihi,
pusat perdagangan utama di rantau itu, iaitu Djenne yang juga terletak di
Niger, ditakluk.
Namun malang buat Sunni Ali, kesemua wilayah yang baru
ditaklukinya ini langsung tidak memberikan akses ke lapangan-lapangan emas yang
terdapat di pesisiran selatan Afrika Barat yang telah mengkayakan para
pemerintah Ghana dan Mali. Hal ini disebabkan oleh sebuah armada Portugis yang
ditaja oleh seorang pedagang Lisbon yang bernama Fenao Gomes telah berlayar di
sekitar pantai Atlantik di Afrika pada tahun 1471 dan menubuhkan pengaruh
perdagangannya yang tersendiri berhampiran lapangan-lapangan emas tersebut
(yang terletak di Ghana moden).
Pembukaan jalan laut ke
Mediterranean juga membawa maksud kafilah-kafilah unta trans-Sahara kini
berhadapan dengan saingan serius bagi membawa barang dagangan ke Afrika Utara
dan Eropah. Namun, Portugis tidak begitu berjaya dalam usaha perdagangannya itu
justeru mereka berharap agar dapat mengeksploitasi sumber-sumber alam di
Afrika.
Semestinya, Songhai berupaya memonopoli perdagangan kafilah Sahara yang
membawa garam batu dan barangan mewah seperti kain mahal, barangan kaca, gula
dan kuda ke wilayah Sudan dan ditukar dengan barangan seperti emas, gading,
rempah ratus, kacang kola, kulit binatang dan hamba sahaya.
Timbuktu, dengan
populasi yang mencecah sekitar 100 000 orang pada pertengahan kurun ke-15
Masihi, terus meraih kepesatan sebagai sebuah ‘pelabuhan’ perdagangan di
samping sebagai pusat pendidikan sehingga kurun ke-16 dan kurun ke-17 Masihi,
di mana kota tersebut pada waktu itu mempunyai banyak masjid dan menempatkan
150-180 buah sekolah al-Quran.
Pusat-pusat perdagangan
secara khusus menjadi pusat-pusat urban yang sofistikated, dengan perumahan
dibina daripada batu dan kebanyakannya pula mempunyai dataran awam yang besar
bagi tujuan pembukaan pasar-pasar lazim dan sekurang-kurangnya sebuah masjid.
Di sekitar pusat ini pula terdapat penduduk suburban yang hidup di rumah atau
khemah terapung di atas lumpur dan rumput bulu-bulu.
Sementara itu,
komuniti-komuniti pendalaman terus bergantung sepenuhnya pada pertanian. Namun,
kewujudan pasar-pasar di luar bandar menandakan bahawa kebiasaannya
komuniti-komuniti ini juga mempunyai lebihan bekalan makanan. Sudah tentu,
kebuluran merupakan suatu perkara yang jarang berlaku pada separuh pertama
pemerintahan Empayar Songhai, dan catatan sejarah langsung tidak ada merekodkan
sebarang pemberontakan sepanjang tempoh tersebut.
PENTADBIRAN
Pentadbiran Songhai
lebih bersifat berpusat berbanding Empayar Ghana dan Mali. Pemerintah empayar
merupakan monarki penuh. Walaupun pemerintah mempunyai seramai 700 orang
sida-sida di istananya yang terletak di Gao, kedudukan takhta raja-raja Songhai
tidak pernah terjamin. Daripada sembilan orang pemerintah dalam sejarah Empayar
Songhai, enam daripadanya sama ada digulingkan semasa pemberontakan atau
dibunuh dengan tragis yang lazimnya di tangan saudara atau bapa saudara si
pemerintah.
![]() |
| Mengangkut Garam di Sungai Niger, oleh Taguelmoust |
Kalaupun seseorang raja
itu berpeluang memerintah cukup lama, terdapat majlis diraja yang terdiri dari
kebanyakan pegawai senior. Antara lain termasuklah menteri kewanan (kalisa
farma), laksamana (hi koya) armada Songhai yang turut berperanan
menyelia gabenor-gabenor wilayah, ketua tentera (balama), dan menteri
pertanian (fari mondzo).
Selain itu, terdapat juga menteri-menteri yang
bertanggungjawab ke atas hutan, pemberian gaji, pembelian oleh kerajaan,
hal-ehwal hartanah, dan dasar luar negara. Terdapat juga pegawai
setiausaha-canselor yang bertugas menguruskan kertas-kertas kerja rasmi.
Pada
peringkat tempatan, terdapat pelbagai macam pegawai yang mempunyai tugas-tugas
khusus seperti penggubalan dasar atau menyemak penggunaan ukuran rasmi di
pusat-pusat perdagangan, serta ketua persatuan artisan atau kumpulan kabilah.
Selain itu, terdapat satu pegawai kerajaan yang tidak dapat dihindari oleh
sesiapapun termasuklah orang kaya, iaitu pegawai pengutip cukai yang bertugas
mengumpulkan sumber untuk digunakan oleh raja bagi membayar gaji tentera, kos
penyelenggaraan istana, dan pemberian bekalan kepada orang-orang miskin.
RAJA MOHAMMAD I
Raja Mohammad I
(memerintah 1494-1528 Masihi), bekas komander tentera Songhai yang merampas
takhta daripada putera Sunni Ali, iaitu Sonni Baro, merupakan pemerintah
pertama yang menggunakan gelaran bersifat dinasti, iaitu Askia atau Askia (yang
membawa maksud ‘pemerintah’ atau ‘pemerintah perampas’).
Beliau juga merupakan
pemerintah yang membentuk pasukan tentera profesonal pertama dan
bertanggungjawab melaksanakan perluasan wilayah paling signifikan buat Empayar
Songhai sekaligus meraihkannya kedudukan sebagai pemerintah Songhai yang kedua
terhebat menyusuli Sunni Ali.
Kehilangan kuasa ke
atas perdagangan emas di Afrika Barat di tangan Portugis berkemungkinan menjadi
salah satu faktor yang mendorong Raja Mohammad untuk meluaskan pengaruh Empayar
Songhai ke selatan. Menurut catatan sejarahwan Leo Africanus (mati sekitar
1554), tiga buah kota utama Hausaland yang terletak di antara Sungai Niger dan
Tasik Chad diserang; iaitu kota Gobir, Katsina dan Zaria. Kota keempat yang
terbesar di wilayah itu, iaitu Kano, dituntut membayar ufti kepada raja
Songhai.
Ibu kota Songhai, iaitu
Gao pada waktu itu mempunyai penduduk seramai 100 000 orang dan wilayah
kekuasaan Empayar Songhai terbentang dari Sungai Senegal di barat hingga ke
bahagian tengah Mali moden di timur. Selain itu, wilayahnya turut merangkumi
lombong-lombong garam berharga di Tagahaza di sempadan utara. Empayar Songhai
menguasai hampir seluruh Sungai Niger yang menjadi laluan utama perdagangan
Afrika Barat, hinggakan masyarakat Songhai pada waktu itu menjadi kumpulan
minoriti kecil yang sebuah empayar yang menyaksikan kehadiran masyarakat majmuk
seperti suku Mande, Fulbe, Mossi dan Tuareg.
![]() |
| Makam Askia Mohammad I, Gao, oleh Taguelmoust |
ISLAM & ANIMISME
Agama Islam yang telah
lama bertapak di empayar-empayar lain di wilayah Sudan, seperti Ghana dan Mali,
mengalami keadaan yang sebaliknya di Empayar Songhai, setidak-tidaknya pada
masa-masa awalnya. Raja Sunni Ali merupakan seorang anti-Muslim yang tegas.
Namun, Raja Mohammad I (sebagaimana yang dapat dilihat menerusi namanya)
merupakan seorang penganut baru agama Islam dan beliau bahkan pernah menunaikan
haji ke Mekah. Di sana, beliau menerima gelaran terhormat sebagai Khalifah
Sudan.
Mohammad mengenakan undang-undang Islam ke atas rakyatnya. Beliau turut
melantik qadi-qadi (hakim Islam) sebagai ketua hakim di Timbuktu, Djenne dan
bandar-bandar lain, di samping mendapatkan khidmat Mohammad al-Maghili dari
Afrika Utara sebagai penasihat diraja. Sumbangan-sumbangannya kelak membentuk
asas-asas penting dalam gerakan reformasi Islam yang meliputi kawasan itu pada
kurun ke-18. Sudah tentu, wujud sebuah kelas elit yang dipenuhi oleh golongan
Islamik.
Selain pedagang-pedagang yang kaya-raya, terdapat juga kelas ilmuwan
agama yang karya-karyanya tidak hanya menyelidiki hal-ehwal agama, akan tetapi
turut menyentuh pelbagai subjek lain meliputi sains hingga ke sejarah.
Raja Mohammad bahkan
cuba menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi empayar. Namun seperti
empayar-empayar lain di Sudan, Islam secara utamanya hanya terhad kepada
golongan elit dan urban manakala komuniti-komuniti di pendalaman dan sebahagian
besar rakyat jelata kekal dengan kepercayaan animisme mereka. Dalam kepercayaan
animisme ini, mereka meyakini bahawa semangat-semangat menguasai objek-objek
tertentu, terutama sekali fenomena ajaib, pokok-pokok, gua dan ciri-ciri alam
yang menonjol.
Dua semangat paling utama dalam kepercayaan animisme tempatan
ini ialah Harake dan Dongo, yang masing-masing dikaitkan dengan Sungai Niger
dan ribut petir. Keadaan ini tidaklah begitu menghairankan lantaran kepentingan
sungai kepada perdagangan dan hujan untuk savannah di Afrika Barat diketahui
umum. Semangat-semangat ini dan semangat-semangat lain (terutama milik
nenek-moyang) perlu sentiasa ditenteramkan, justeru mereka perlu memberikan
sembah korban berupa makanan dan minuman disamping mengadakan persembahan
tarian bertopeng dan upacara-upacara tertentu.
Walaupun animisme sebegini lebih
kepada sebuah sistem kepercayaan berbanding agama rasmi, terdapat juga pendeta
dan tierkei atau ahli-ahli sihir yang bertanggungjawab meminimumkan
gangguan semangat-semangat jahat dalam urusan penduduk kampung.
KEMUNDURAN
Bermula pada suku
terakhir kurun ke-16 Masihi, Empayar Songhai mula mengecil terutama di bahagian
barat. Faktor terbesar yang menyumbang kepada keadaan ini adalah pemimpin demi
pemimpin yang berkuasa tidak cekap dan perang saudara yang bertujuan berebutkan
hak pewarisan takhta mula membarah sejak kemangkatan Raja Mohammad pada tahun
1528 Masihi. Satu contoh pergelutan paling utama melibatkan Mohammad IV
(memerintah dari tahun 1586 Masihi) dan saudara-saudaranya di mana empayar
secara efektif terbahagi kepada dua.
Kemudian, pukulan maut berlangsung secara
pantas. Pemimpin Maghribi yang bernama Ahmad al-Mansur al-Dhahabi (mangkat pada
tahun 1603 Masihi) atau lebih dikenali sebagai ‘Penakluk Emas’ menghantar
sepasukan kecil tentera yang berjumlah kira-kira 4000 orang dengan dilengkapi
senjata musket untuk menyerang Empayar Songhai pada tahun 1590-1591 Masihi.
Pasukan tentera Songhai terdiri daripada 30 000 orang infantri dan 10 000 orang
kavalri, namun senjata mereka hanya lembing dan busur panah.
Sebagai susulan
daripada ketidakseimbangan teknologi ini, pasukan Maghribi berupaya memenangi
peperangan walaupun sejumlah serangan balas kecil-kecilan berlanjutan sepanjang
tahun-tahun berikutnya. Perbendaharaan Songhai lantas dirampas dan empayar
tersebut, termasuklah Timbuktu, diserap ke dalam Empayar Maghribi. Empayar
Songhai, yang dianggap sebagai empayar terbesar di Afrika Barat, runtuh dari
dalam dan kemudian sirna darip lembaran sejarah. Empayar ini adalah empayar
hebat terakhir yang mendominasi Afrika Barat sejak kurun ke-6 Masihi.
SUMBER
- Curtin, P. African History. Pearson. 1995.
- Fage, J.D. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 2. Cambridge University Press. 2001.
- Hrbek, I. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. III. Abdridged Edition. University of California Press. 1992.
- Ki-Zerbo, J. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV. Abridged Edition. University of California Press. 1998.
- McEvedy, C. The Penguin Atlas of African History. Penguin Books. 1996.
- Oliver, R. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 3. Cambridge University Press, 2001.
- Oliver, R.A. Cambridge Encyclopedia of Africa. Cambridge University Press. 1981.
- de Villiers, M. Timbuktu. Walker Books. 2007.
- Get link
- X
- Other Apps



