GERBANG ISHTAR DAN DEWA-DEWI BABYLON

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (20 Julai 2014). The Ishtar Gate and the Deities of Babylon. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ishtar-gate-and-deities-babylon-001868

Penterjemah: Amir Zayyanid


Gerbang Ishtar adalah gerbang utama ke kota agung Babylon. Ia dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II (605-562SM) sebagai sebahagian impiannya untuk membina salah sebuah kota yang paling megah dan berkuasa di dunia purba. Penemuan gerbang purba ini pada tahun 1902 dilakukan oleh ahli arkeologi Jerman yang bernama Robert Koldewey, dan pembinaan semulanya dijalankan pada tahun 1930 sekaligus memberikan gambaran nyata tentang kemegahan seni binanya.

Walau bagaimanapun, penemuan Gerbang Ishtar tidak hanya mendedahkan pencapaian seni bina Babylon, akan tetapi ia turut mencerahkan lagi kefahaman tentang kepercayaa dan budaya masyarakat Babylon.

Gerbang Ishtar dinamakan sedemikian sebagai dedikasi kepada dewi Ishtar, si dewi kesuburan, cinta, perang, dan syahwat bagi masyarakat Akkadia, Assyria, dan Babylon, Ishtar dikenali dengan nama Inanna dalam kalangan masyarakat Sumeria. Dalam pantheon Babylon, Ishtar adalah personafikasi planet Zuhrah. Kultus Ishtar adalah kultus yang paling penting dalam tamadun Babylon, dengan penglibatan kuil pelacuran (walaupun status sebenarnya masih diperdebatkan).

Menurut seorang ahli kaji Assyria purba yang bernama Samuel Noah Kramer, raja-raja di wilayah Sumer, sekitar Timur Dekat, meraih keabsahan dengan mengambil bahagian dalam ritual berunsur seksual di kuil dewi Ishtar pada setiap tahun, pada hari ke-10 selepas Tahun Baru dalam sebuah keraian yang dinamakan sebagai Akitu.

Relif Ratu Malam di zaman Babylon Lama, sering dianggap sebagai Ishtar


Menyusuli Gerbang Ishtar adalah Laluan Perarakan, merujuk kepada sebuah laluan yang diapit oleh relif patung singa, auroch (kerbau purba), dan naga, yang didedikasikan oleh Nebuchadnezzar II kepada dewa-dewi Babylon menerusi perwakilan haiwan. Singa dikaitkan dengan Ishtar – sebagai dewi perang dan pelindung masyarakatnya. 

Ishtar yang bersayap turut digambarkan sedang memegang sebusur panah dan menunggang pedati yang ditarik oleh tujuh ekor singa. Beliau kadangkala digambarkan berdiri di belakang seekor singa, atau ditemani oleh dua ekor singa.

Relif patung singa di sepanjang Laluan Perarakan


Auroch pula adalah sejenis lembu liar yang telah pupus, dan pernah mendiami Eropah, Asia, dan Afrika Utara. Auroch adalah nenek-moyang kepada lembu-lembu jinak. Auroch dikaitkan dengan Adad, si dewa cuaca dalam pantheon Babylon. Adad mempunyai dua aspek yang saling berbeza, iaitu si pemberi dan si pemusnah kehidupan. 

Hujan yang diturunkannya mengakibatkan daratan menumbuhkan bijirin dan makanan-makanan lain, untuk makhluk yang disukainya. Ribut dan taufan yang dihantarnya pula membuktikan kemarahannya terhadap makhluk-makhluk yang dimusuhinya. Adad lazim digambarkan sedang mengayunkan petir dan berdiri di atas atau di sisi auroch.

Relif patung auroch di sepanjang Laluan Perarakan


Akhir sekali, naga (sirrush) merupakan perwakilan simbolik bagi Marduk, si ketua dewa Babylon. Karakter asal Marduk agak kabur. Namun kemudiannya, beliau dikaitkan dengan air, tumbuhan, pengadilan, dan magis. Menurut mitologi purba, Marduk berjaya menewaskan Tiamat, suatu raksasa merangkap dewi lautan purba yang merupakan pasangan Abzu (Apsu; dewa air segar) dan bertanggungjawab melahirkan dewa-dewi muda.

Kehadiran ular-naga ini menggamit persoalan yang sering diperdebatkan dalam kalangan penyelidik. Menurut mereka, haiwan mitos itu tidak sesuai diletakkan sebaris dengan patung-patung lain yang menggambarkan haiwan-haiwan nyata (singa dan auroch). Makhluk ini, atau sering dipanggil sebagai sirrush atau mushussu (ular megah) diperincikan sebagai makhluk yang bertubuh lampai dan dilitupi sisik, ekornya yang panjang turut bersisik, dan berkepala ular dan berlidah panjang dan bercabang.

Robert Koldewey yang menemukan Gerbang Ishtar berpendapat bahawa sirrush adalah gambaran bagi suatu jenis haiwan yang sebenar. Menurutnya, gambaran sirrush dalam hasil seni Babylon konsisten merentas kurun, sedangkan lazimnya gambaran tentang makhluk-makhluk mitos berubah-ubah. Pada tahun 1918, beliau mengemukakan bahawa Iguanodon (sejenis dinosaur dengan kaki yang seperti burung) adalah calon yang paling hampir dengan ciri-ciri sirrush.

Ular-Naga, simbol Marduk si dewa pelindung Babylon. Relif dari Gerbang Ishtar


Relif patung singa, auroch dan naga yang mewakili dewa-dewi Babylon ini seolah-olah memberikan mesej kepada sesiapa sahaja yang memasuki gerbang megah ini, iaitu Babylon dilindungi oleh dewa-dewi ini dan sesiapa pun jua tidak seharusnya cuba-cuba menggugatnya.

Setiap kali musim bunga berlalu, satu pesta perarakan besar-besaran diadakan dengan melibatkan raja, ahli-ahli istana, pendeta, dan patung dewa-dewi yang berjalan melalui Gerbang Ishtar dan seterusnya Laluan Perarakan sebelum menuju ke kuil Akitu untuk meraikan pesta Tahun Baru.

“Perarakan patung dewa-dewi yang memesonakan, dengan pakaian terbaik dikenakan, sambil menaiki pedati yang bertatahkan permata, dimulakan di Kasikilla, gerbang utama Esagila (sebuah kuil Marduk) lalu bergerak ke utara di sepanjang laluan perarakan Marduk, melalui Gerbang Ishtar,” tulis Julye Bidmead, profesor di Universiti Chapman di dalam bukunya yang berjudul, ‘The Akitu Festival: Religious Continuity and Royal Legitimation in Mesopotamia.’

Perkataan ‘Akitu’ diambil dari bahasa Sumeria yang membawa maksud ‘biji barli’. Pada asalnya, ia menandakan dua buah keraian yang bertujuan menyambut permulaan setiap separuh tahun bagi kalendar Sumeria – mengingatkan tentang penyemaian biji barli pada musim luruh dan penuaian biji barli pada musim bunga. Dalam agama anutan masyarakat Babylon, keraian ini didedikasikan untuk memperingati kemenangan Marduk ke atas Tiamat.

Amalan menyambut pesta Akitu diteruskan sehingga zaman Seleucid (312-63SM) dan Empayar Rom. Maharaja Rom, Elagabalus (memerintah 218-222) yang berasal daripada Syria bahkan memperkenalkan sambutan pesta ini di Itali. Sejumlah keraian musim bunga yang disambut di Timur Dekat pada zaman purba masih wujud sehingga ke hari ini. Misalnya, masyarakat Iran menyambut keraian Noruz (Hari Baru) pada setiap 21 Mac. Selain pesta-pesta ini, antara yang turut disambut oleh masyarakat purba terutama bangsa Assyria adalah pesta Kha-b-Nissan yang diraikan pada tanggal 1 April.


SUMBER