HANNIBAL BARCA DAN KISAH PASUKANNYA MERENTASI BANJARAN ALPS

Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (23 Oktober 2014). Hannibal of Carthage: Military Commander and Greatest Enemy of Rome. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/hannibal-carthage-military-commander-and-greatest-enemy-rome-002245

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sepanjang lipatan sejarah, terdapat ramai ketua tentera hebat yang kepemimpinannya berjaya menulis skrip yang tersendiri dalam tamadun manusia. Antaranya termasuklah Hannibal Barca. Hannibal merupakan panglima Carthage yang berperanan memerangi Rom semasa Perang Punic Kedua. Namanya disinonimkan dengan kegerunan pihak musuh, dan sehingga ke hari ini beliau dianggap sebagai salah seorang komander perang terhebat.

Hannibal dilahirkan di Carthage (kini Tunisia) pada tahun 247 Sebelum Masihi, sebagai anak kepada pemimpin Carthage yang bernama Hamilcar Barca. Hannibal mempunyai dua orang saudara lelaki, iaitu Hasdrubal dan Mago serta beberapa orang saudara perempuan. Ketika masih kanak-kanak, Hannibal pernah meminta ayahnya agar membawanya bersama ke dalam kempen ketenteraan merentas laut.

Hamilcar membawa Hannibal ke Sepanyol, dan di sana, Hannibal mengangkat sumpah agar sama sekali tidak berbaik-baik dengan Rom. Beberapa tahun kemudian, Hamilcar terkorban dalam sebuah pertempuran. Lantas, salah seorang ipar Hannibal diangkat sebagai ketua dan Hannibal sendiri bertugas sebagai seorang pegawai. 

Kemudian, ipar Hannibal ini dibunuh dan Hannibal dilantik menjadi ketua komander menerusi kesepakatan tentera dan lantikan pihak pentadbiran Carthage. Perlantikan ini berlaku ketika Hannibal berusia sekitar 26 tahun dan sudah berkahwin dengan seorang puteri Iberia yang bernama Imilce.

Patung marmar Hannibal. Capua, Itali


Salah satu pencapaian Hannibal yang paling gemilang adalah kejayaannya merentasi Banjaran Alps ketika dalam perjalanan menuju ke Itali demi bergabung dengan sekutu-sekutu anti-Rom di rantau berkenaan. Walaupun ilmuwan berdebat tentang laluan tepat yang dilalui oleh Hannibal ketika merentasi Alpas, masing-masing senada dalam menyatakan bahawa perjalanan tersebut sangat mencabar.

Pada musim bunga tahun 218SM, Hannibal membawa lebih 100 000 orang tentera dan kira-kira 40 ekor gajah bagi merentasi Banjaran Alps. Beliau menyedari bahawa perjalanan tersebut sukar, justeru beliau terlebih dahulu menghantar beberapa orang peninjau untuk melihat kawasan sekeliling dan memberikan laporan.

Pasukan ini terpaksa mengharungi cuaca yang mencengkam di Alps, di samping serangan-serangan gerila yang dilakukan oleh suku-suku asli di sana. Mereka menggolekkan batu-batu berat demi menghalang perjalanan pasukan Hannibal. Lantaran itu, Hannibal terpaksa mencari jalan lain bagi melalui kawasan yang dikawal oleh Allobroges, suatu suku Galia (Gallic). Beliau menghantar beberapa orang perisik, yang mendapati Allobroges hanya berkawal pada waktu siang dan meninggalkan kedudukan masing-masing pada waktu malam.

Lantas, Hannibal pun mengatur rancangan untuk memperdaya Allobroges bahawa kononnya pasukan tenteranya tidak akan melakukan serangan pada waktu malam. Untuk tujuan itu, tentera-tentera Hannibal mendirikan kem dan menyalakan banyak unggun api, seolah-olah mereka mahu bermalam terus di situ. Sebaik sahaja Allobroges meninggalkan kedudukan mereka di penghujung malam, pasukan tentera Hannibal pun melakukan gempuran dan menumpaskan segala tentangan yang diberikan.

Laluan serangan Hannibal


Ketika pasukannya hampir selesai mendaki Banjaran Alps, Hannibal meletakkan tentera-tenteranya di suatu kawasan, kira-kira 100 kaki di atas pasukan tentera yang sedang melakukan kemaraan, dengan harapan dapat menyerang mana-mana suku tempatan yang menghampiri. Namun apabila serangan benar-benar terjadi, Hannibal kehilangan ramai tenteranya yang terjatuh dari cenuram. Pun begitu, mereka berjaya juga menyelesaikan pendakian tersebut.

Sepanjang lebih lima bulan perjalanan, ribuan tentera dan haiwan terkorban baik di tangan suku-suku tempatan yang menyerang, mahupun cuaca yang mencengkam ataupun cenuram. Mereka berehat di sebuah lembah selama dua hari, sebelum melanjutkan perjalanan menuruni gunung. Moral tentera Hannibal berada di tahap yang rendah ketika itu, lantaran masing-masing menyedari cabaran yang terbentang di hadapan.

Hannibal Merentasi Alps, perincian dari sebuah fresco sekitar 1510, Palazzo del Campidoglio (Muzium Capitoline)


Semasa menuruni gunung dan tiba di suatu laluan, pasukannya dihalangi oleh tanah runtuh. Hannibal mengarahkan agar mereka membuat lencongan, namun mendapati laluan yang diambil itu mustahil untuk dilalui. Justeru, mereka pun berpatah balik ke laluan yang dihalangi tanah runtuh itu. Hannibal kemudian mengarahkan agar tenteranya saling berganding bahu demi membersihkan laluan tersebut. 

Setelah sehari berusaha, haiwan-haiwan yang dibawa berjaya melepasi laluan tersebut dan Hannibal mengarahkan agar tenteranya membawa haiwan-haiwan tersebut turun ke sebuah padang ragut. Namun, gajah-gajah perang yang dibawa hanya dapat melepasi laluan itu setelah lebih tiga hari tentera-tentera Hannibal membersihkan laluan tersebut.

Hannibal dan tenteranya merentasi Banjaran Alps, Phaidon Verlag. 1932


Sebaik tiba di Itali, pasukan tentera Hannibal segera bergabung dengan pakatan anti-Rom yang berada di bahagian utara Itali bagi memulakan serangan ke atas wilayah Rom. Walaupun beliau berjaya menggempur dan mengalahkan wilayah-wilayah kecil di Itali selama beberapa tahun dan meraih banyak kemenangan, Hannibal pada akhirnya ditewaskan oleh taktik perang atrisi dan gerila yang dilakukan oleh Quintus Fabius Maximus. 

Maximus menyedari bahawa beliau boleh menewaskan Hannibal dengan melakukan serangan-serangan berskala kecil yang secara bertahap tetapi pasti menyusutkan bilangan tentera Hannibal sekaligus memaksanya berundur.

Peristiwa Hannibal merentasi Banjaran Alps pada hari ini dikenang sebagai salah satu pencapaian yang paling diraikan dalam sejarah peperangan. Ia juga dianggap sebagai salah satu pencapaian terhebat Hannibal. Walaupun ramai tentera dan haiwan terkorban, perjalanan tersebut membuktikan kepemimpinan Hannibal yang cemerlang dan tekadnya demi mengalahkan Rom.

Peristiwa merentasi Banjaran Alps ini adalah salah satu contoh kegemilangan Hannibal, yang sehingga kini dikenang sebagai antara komander perang terulung sepanjang zaman.


SUMBER

Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Kisah Hannibal Dan Tentera Bergajahnya Merentasi Banjaran Alps