IRAM – ‘ATLANTIS PADANG PASIR’

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Julai 2014). Iram of the Pillars, the Lost ‘Atlantis of the Sands’. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/iram-pillars-lost-atlantis-sands-001839

Penterjemah: Amir Zayyanid


Kesusasteraan tamadun-tamadun silam sering menyebutkan tentang kota-kota yang kini telah pun hilang, antara yang paling masyhur adalah Kota Atlantis. Dalam skala yang lebih kecil, Tanah Arab turut mempunyai sebuah kisah tentang tamadun hilang yang tersendiri, digelari ‘Atlantis Padang Pasir’ – melibatkan sebuah kota, kaum, atau wilayah yang tercatat di dalam Al-Qur’an dengan sebutan Iram Bertiang-Tiang Tinggi.

Dalam al-Qur’an, Iram diperincikan sebagai sebuah kota yang dihiasi dengan bangunan-bangunan tinggi. Ia didiami oleh sekumpulan masyarakat yang dikenali sebagai kaum Ad. Mereka berpaling daripada Allah dan menjalani kehidupan yang penuh maksiat. Nabi Hud kemudiannya diutuskan kepada mereka untuk mengajak mereka kembali kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya.

Penduduk Iram mengambil sikap bermusuhan dengan baginda dan enggan mendengar ajaran Nabi Hud. Sebagai akibat, kaum Ad pun dihukum dan ribut pasir membadai kota mereka selama tujuh hari tujuh malam. Akhirnya, kota Iram lesap di bawah padang pasir, bagaikan tidak pernah wujud.

Daripada suatu sisi, kisah tentang penduduk Iram ini mengandungi pengajaran agar mentaati perintah Allah dan utusan-Nya, serta tidak bersikap sombong. Pada sisi lain, kisah kota yang hilang ini menggamit perhatian ramai pihak yang cuba memetakan lokasinya.

Lakaran kota Iram


Pada awal 1990an, sepasukan arkeologi yang diketuai oleh Nicholas Clapp, seorang ahli arkeologi dan pembuat filem, mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menemukan kota Ubar yang hilang. Kota Ubar ini didakwa sebagai kota Iram.
Penemuan ini berjaya diperoleh menerusi penggunaan satelit pengesan jarak-jauh NASA, radar yang menembusi bumi, data program Landsat dan imej-imej yang diambil daripada Space Shuttle Challenger, serta data SPOT.

Kesemua sumber ini membolehkan pasukan arkeologis itu mengenal pasti laluan perdagangan lama dan titik-titik di mana mereka saling bertemu. Antara titik temui yang dijumpai adalah lubang air yang msyhur di Shisr, terletak di wilayah Dhofar, Oman. Semasa kerja-kerja ekskavasi dijalankan di tapak berkenaan, sebuah kubu bersaiz besar dan berbentuk oktagon berserta sejumlah tembok dan menara tinggi ditemui. Namun malangnya, sebahagian besar kubu ini telah musnah ketika ia tenggelam ke dalam lubang.

Sebahagian besar kota Ubar musnah semasa runtuh ke dalam lubang


Persoalannya, adakah kota Ubar ini adalah kota Iram yang disebutkan di dalam al-Qur’an? Mungkin benar. Walau bagaimanapun, terdapat pendapat lain yang menafsirkan bahawa kota Ubar adalah ‘Omanum Emporium’ seperti yang ditandakan pada peta Tanah Arab yang dihasilkan oleh Claudius Ptolemy sekitar kurun ke-2 Masihi.

Apapun, laluan-laluan perdagangan lama mengisyaratkan bahawa beberapa jenis barangan, terutama sekali setanggi, diperdagangkan di kota Ubar. Di zaman purba, Tanah Arab masyhur dengan penghasilan setanggi. Kegunaannya cukup penting dalam upacara-upacara keagamaan. Justeru, tidak hairan jika bandar dan kota boleh tumbuh dan berkembang pesat di sepanjang laluan kafilah.

Walaupun kedudukan kota Iram belum dapat dipastikan, atau adakah kota Ubar dan kota Iram merupakan kota yang sama, terdapat kemungkinan bahawa salah satunya saling mempengaruhi. Di mana para pengembara dan pedagang yang melintasi runtuhan kota Ubar tertanya-tanya tentang takdir yang menimpa kota berkenaan. Merentas masa, kisah tentang kaum Ad yang mengingkari Allah dan dihukum atas kekafirannya dikisah lagi dan lagi dengan mengaitkan kota Iram dan kota Ubar.

Sebagai susulan, kisah ini menjadi sebuah cerita yang lazim bagi masyarakat Tanah Arab. Walau apapun, kemungkinan bahawa kota Ubar bukanlah kota Iram yang diceritakan di dalam al-Qur’an sama sekali tidak dapat dikesampingkan, dan kota Iram yang sebenar, walau di mana pun ia berada dan tersembunyi di sebalik padang pasir, menanti masa untuk ditemukan oleh manusia.

[Penterjemahan dilakukan dengan sedikit penyesuaian konteks selaras kepercayaan umat Islam, tanpa pengubahan ketara pada struktur ayat asal]


SUMBER


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Iram – Atlantis Padang Pasir Kaum Nabi Hud A.S