- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 Disember 2018). The Monumental Fall of Babylon: What Really
Shattered the Empire? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/fall-babylon-0011090
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/fall-babylon-0011090
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kejatuhan Babylon
merupakan sebuah peristiwa bersejarah yang berlaku pada tahun 539 Sebelum
Masihi. Peristiwa ini menyaksikan penaklukan Babylon oleh Empayar Achaemenid
yang dipimpin oleh Cyrus Agus, sekaligus menandakan pengakhiran Empayar
Neo-Babylon. Peristiwa kejatuhan Babylon ada direkodkan di dalam sejumlah sumber
purba, termasuklah Silinder Cyrues, karya sejarahwan Yunani yang bernama
Herodotus, serta sejumlah kitab dalam Perjanjian Lama.
![]() |
| Menara Babel oleh Pieter Bruegel the Elder |
PERTUMBUHAN PESAT
SEBELUM KEHANCURAN BABYLON
Kota Babylon terletak
di Iraq moden dan sejarahnya boleh dijejak kembali pada milenium ke-3 Sebelum
Masihi, ketikamana ia masih merupakan sebuah kota pelabuhan kecil di Sungai
Furat. Pada aktu itu, Babylon berada di bawah naungan Empayar Akkadia. Merentas
masa, bandar ini berkembang pesat dan membesar menjadi salah sebuah kota yang
paling penting di Mesopotamia purba.
Pada kurun ke-18SM,
Babylon menjadi kuasa besar di rantau tersebut ketika ia berada di bawah
pemerintahan raja dari bangsa Amori, Hammurabi. Namun, Empayar Babylon Pertama
tidak dapat bertahan lama dan tumbang di tangan penguasaan bangsa-bangsa asing
seperti bangsa Het (Hittite), bangsa Kass (Kassite) dan bangsa
Assyria.
![]() |
| Panorama runtuhan Babylon, Hillah, Iraq |
KEHANCURAN EMPAYAR
NEO-ASSYRIA
Berikutan kemangkatan
Ashurbanipal sekitar tahun 627SM, perang saudara meletus sekaligus
mengakibatkan Empayar Neo-Assyria melemah. Ramai yang mengambil kesempatan ini
untuk melakukan pemberontakan. Antaranya ialah penguasa Kaldan (Chaldean)
yang bernama Nabopolassar. Beliau membentuk pakatan dengan bangsa Medes, Parsi,
Scythia dan Kimmeri (Cimmeria). Pakatan ini berjaya menghapuskan Empayar
Neo-Assyria secara muktamad.
KELAHIRAN EMPAYAR
NEO-BABYLONIA
Setelah merdeka dari
pemerintahan bangsa Assyria, Nabopolassar pun menubuhkan Empayar Neo-Babylon
dengan kota Babylon dijadikan sebagai ibu kota. Empayar ini mencapai zaman
kemuncaknya pada era pemerintahan Nebuchadnezzar II, yang menggantikan
Nabopolassar sekitar tahun 605 Sebelum Maishi. Pada era pemerintahan beliau
yang berpanjangan sehingga tahun 562SM, Empayar Neo-Babylon menguasai wilayah
Babylonia, Assyria, sebahagian Asia Kecil, Phoenicia, Israel dan bahagian utara
Tanah Arab.
![]() |
| Lukisan Rene-Antoine Houasse tahun 1676 – Nebuchadnezzar mengarahkan pembinaan Taman Tergantung Babylon untuk Amyitis |
NABONIDUS SEBAGAI PUNCA
KEJATUHAN BABYLON?
Raja-raja yang
menggantikan Nebuchadnezzar II tidak memiliki keupayaan yang setanding dengan
beliau. Kesemuanya memerintah dalam tempoh waktu yang sangat singkat. Sepanjang
dekad yang menyusuli kemangkatan Nebuchadnezzar II, Empayar Neo-Babylon
diperintah oleh empat orang raja yang silih berganti, dengan Nabonidus sebagai
yang terakhir. Nabonidus memerintah dari tahun 556SM sehinggalah pada tahun
kejatuhan Babylon, iaitu 539SM.
Nabonidus memerintah
selama 17 tahun dan namanya dikenang sebagai pemerintah yang membaikpulih seni
bina dan tradisi purba di rantau itu, sekaligus meraihkannya gelaran ‘raja
arkeologis’ dalam kalangan sejarahwan moden. Walau bagaimanapun, beliau tidak
begitu digemari oleh rakyatnya, terutama para pendeta Marduk. Hal ini kerana
beliau cenderung mengenepikan kultus Marduk si dewa pelindung Babylon dan lebih
mengutamakan dewa bulan, Sin.
![]() |
| Relif Nabonidus yang menunjukkannya sedang memuja dewa, matahari dan Zuhrah) |
BILAKAH BABYLON
TUMBANG?
Pada sekitar waktu yang
sama, Parsi di timur berkembang secara pesat di bawah pemerintahan Cyrus Agung.
Pada tahun 549 Sebelum Masihi, Medes ditewaskan oleh Parsi yang kemudiannya
melanjutkan penaklukan di wilayah sekeliling Babylon. Akhirnya pada tahun 539
Sebelum Masihi, kota Babylon sendiri ditakluk oleh Parsi.
Kejatuhan Babylon ini
menandakan berakhirnya Empayar Neo-Babylon. Peristiwa bersejarah ini direkodkan
oleh sejumlah sejarahwan purba. Pun begitu, lantaran naratifnya yang tidak
konsisten antara satu sama lain, maka sukar untuk menceritakan semula peristiwa
sebenar yang berlaku.
Penulis-penulis Yunani
seperti Herodotus dan Xenophon melaporkan bahawa Babylon tumbang setelah ia
dikepung. Namun, Silinder Cyrus dan Hikayat Nabonidus (sebahagian daripada
Hikayat Babylon) pula mendakwa bahawa Babylon ditakluk oleh Parsi tanpa
peperangan. Selain itu, Silinder Cyrus turut memerincikan raja Parsi itu
sebagai individu yang dipilih oleh Marduk untuk menguasai Babylon.
![]() |
| Di dalam Bible, Cyrus Agung dikatakan membebaskan kaum Yahudi dari penjara Babylon |
RAMALAN TENTANG
KEJATUHAN BABYLON
Kejatuhan Babylon juga
dipandang signifikan dalam sejarah Biblikal kerana ia disebutkan dalam sejumlah
kitab Perjanjian Lama. Dalam Kitab Isaiah, diperihalkan sebuah kisah yang sama
seperti Silinder Cyrus. Dalam kisah ini, tuhan bangsa Israel dan bukannya
Marduk yang memilih Cyrus. Selepas kejatuhan Babylon, kaum Yahudi yang diusir
dari tanah air mereka semasa ditakluk oleh Nebuchadnezzar II dibenarkan untuk
pulang ke kampung halaman masing-masing.
Dalam kitab lain, iaitu
Kitab Daniel, kejatuhan Babylon sudah pun diramalkan sejak zaman Nebuchadnezzar
II lagi. Menurut kitab ini, si raja mengalami sebuah mimpi di mana beliau
melihat sebuah patung berkepala emas, berdada dan bertangan perak, perut dan
pehanya daripada gangsa, berkaki besi dan telapak kakinya pula daripada besi
yang bercampur dengan tanah liat.
Patung ini dihancurkan oleh batu, yang
kemudiannya berubah menjadi sebuah gunung yang memenuhi bumi. Mimpi ini
ditafsirkan oleh Nabi Daniel yang mengatakan bahawa patung tersebut mewakili
empat buah kerajaan yang bersambungan – yang pertama adalah Empayar
Neo-Babylon, dan kesemua kerajaan ini akan dihancurkan oleh Kerajaan Tuhan.
![]() |
| Tulisan pada dinding, Nabi Daniel dan raja Belshazzar, kisah kejatuhan Babylon |
SUMBER
- Fenollos, J. L.M. 2017. Beautiful Babylon: Jewel of the Ancient World.
- Frye, R.N. 2018. Cyrus the Great.
- Lendering, J. 2018. Cyrus the Great.
- Walvoord, J.F. 2018. 5. The Rise and Fall of Babylon.
- History.com. 2018. Babylon.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Apa Yang Menjatuhkan Tamadun Babylon?’
- Get link
- X
- Other Apps






