- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (21 Februari 2016). The Forgotten Story of Spanish Conquerors
in North America. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/forgotten-story-spanish-conquerors-north-america-005391
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/forgotten-story-spanish-conquerors-north-america-005391
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sejarah rasmi
menyebutkan bahawa para pengkoloni Sepanyol di benua Amerika bertumpi di
wilayah Mexico moden, hingga ke hujung Amerika Selatan. Selama berkurun-kurun,
timbul persoalan mengapa pihak Sepanyol tidak cuba menakluk di wilayah yang
jauh lebih ke utara. Artifak-artifak dari kurun ke-16, kurun ke-17 dan kurun
ke-18 memberikan penjelasan baru berkenaan topik dan persoalan ini.
Dapat dibuktikan bahawa
Sepanyol pernah berebutkan wilayah-wilayah di Amerika Syarikat moden. Pada
kurun ke-16, mereka telah menerokai bahagian selatan negara itu. Sebagai
contoh, di Florida, kubu St. Augustine didirikan oleh Sepanyol pada tahun 1565.
Kesan dan pengaruh dari
Katolikisme-Rom yang dianuti Sepanyol turut terbukti di wilayah tersebut. Pihak
Sepanyol juga meninggalkan pengaruh terhadap ekonomi di situ, di samping
menyerang masyarakat-masyarakat asli Amerika.
Terdapat tiga orang
penakluk setakat diketahui oleh sejarah, yang menerokai bahagian selatan
Amerika Syarikat. Mereka ialah Juan Ponce de Leon, Hernando de Soto dan
Francisco Vazquez de Coronado.
Sebahagian sejarahwan
seolah-olah tidak dapat menerima bahawa Sepanyol, sebuah kuasa penakluk dan
penjarah terkemuka, berhenti dari meneroka benua itu hanya disebabkan oleh
dominasi British. Justeru bangkit persoalan, adakah mereka pernah meneroka
Amerika Utara?
BANGKAI KAPAL-KAPAL
GELIUNG SEPANYOL
Misteri terbesar dalam
persoalan ini adalah dua buah bangkai kapal geliung Sepanyol yang ditemui di
Pantai Oregon, yang terletak berhampiran mulut Sungai Columbia. Tiada sebarang
laporan rasmi daripada sumber Sepanyol berkenaan kehilangan kapal atau
kegagalan ekspedisi perlayaran di kawasan ini.
Turut dipercayai bahawa
terdapat beberapa buah geliung lain yang terdampar di sini, namun lokasinya
belum dikenal pasti. Beberapa buah kapal lain turut dispekulasikan (kononnya)
pernah hilang di sini dan di kawasan yang lebih hampir dengan Alaska, namun
tiada yang dapat ditemui.
Kapal pertama
dipercayai hilang pada tahun 1694 dan kapal kedua pula pada 1735. Menurut sejarah,
geliung-geliung Sepanyol buat pertama kalinya berlayar di Laut Utara adalah
pada tahun 1542. Beberapa dokumen turut menunjukkan bahawa sekitar masa itu,
mereka mengembara ke Pulau Cortes, yang mana nama itu sendiri membuktikan
wujudnya pengaruh Sepanyol. Mereka juga meneroka British Columbia dan pada
permulaan kurun baru, tiba di Alaska.
![]() |
| Wilayah-wilayah Alaska dan British Columbia yang diterokai oleh Sepanyol |
Bangkai kapal tahun
1694 meraih kemasyhuran yang tersendiri lantaran kargonya antara lain
mengandungi dua bongkah lilin lebah yang besar. Lilin-lilin (wax) ini
dipercayai diangkut untuk diproses dan ditukar menjadi lilin (candle)
yang bakal digunakan di salah sebuah gereja di Sepanyol. Namun, tiada siapa
tahu gereja yang mana satu. Bongkah-bongkah lilin ini ditemui di pasir pantai
berhampiran tempat di mana bangkai kapal itu berada.
Geliung-geliung yang
ditemui ini berada dalam keadaan yang terpelihara. Kapal yang tenggelam pada
tahun 1725 agak dikenali lantaran salah seorang anak kapal yang terselamat
mempunyai seorang anak yang kemudiannya menulis cerita yang mengisahkan tentang
bapanya.
Dalam tulisan tersebut,
beliau menceritakan bahawa beliau adalah anak kepada seorang pelaut Sepanyol
yang berlayar berhampiran Sungai Columbia dengan menaiki sebuah geliung yang
karam. Bapanya sempat hidup bersama masyarakat asli Amerika selama beberapa
tempoh dan kemudian mengembara ke sungai berhampiran untuk mencari orang-orang
Eropah lain.
Sejarah lisan tempatan
turut menceritakan bahawa kebanyakan tentera Sepanyol yang terselamat daripada
musibah karam itu terbunuh dalam sebuah pertempuran yang berlaku di pantai.
PERTEMPURAN LEGENDA
Di British Columbia,
sebuah legenda yang berkaitan dengan kawasan selatan Lembah Okanagan masih
diceritakan sehingga kini. Legenda ini memerihalkan tentang pertempuran antara
askar-askar Sepanyol dan masyarakat asli yang berlaku di Lembah Similkameen.
Menurut buku-buku sejarah rasmi, kali pertama penduduk Lembah melihat kehadiran
orang-orang Eropah di situ adalah sekitar tahun 1811M.
Namun, sejarah lisan
tempatan menceritakan bahawa orang-orang berkulit putih yang memakai topi dan
baju pelindung yang pelik datang dengan menunggang sesuatu yang dipanggil
sebagai elk (kuda belum dikenali oleh penghuni Lembah Similkameen pada
waktu itu).
Orang-orang berkulit
putih ini dikatakan mendirikan khemah berhampiran kampung asli, yang kini
dikenali sebagai Keremeos. Sejarah tempatan mentarikhkan peristiwa ini sebelum
pertengahan 1700an. Dikatakan bahawa orang-oran berkulit putih ini membunuh
beberapa orang asli dan sebahagian yang lain dijadikan sebagai hamba.
Pada tahun 1863, sebuah
binaan kayu yang diperkirakan berusia 100 tahun ditemui oleh para peneroka.
Binaan kayu ini diyakini sebagai khemah yang didirikan oleh orang-orang Sepanyol
bagi meneduhi manusia dan kuda-kuda yang dibawa oleh mereka. Pengebumian
anjing-anjing bermulut dan bergigi besar yang merupakan amalan tradisi Sepanyol
untuk mengawal para banduan, turut ditemui di situ.
![]() |
| Wilayah anggur Kanada di Lembah Okanaga, British Columbia |
PEDANG MISTERI
Di Muzium Penticton,
kita dapat menemui beberapa buah artifak yang ditemui di daerah Keremeos,
tetapi mempunyai kaitan dengan Sepanyol. Antaranya adalah pedang Sepanyol, mata
lembing, dan topi pelindung Sepanyol yang kesemua ini berkeadaan terpelihara.
Hasil-hasil analisa ke atas artifak-artifak ini sangat jelas, iaitu kesemua
adalah milik askar-askar Sepanyol.
Dalam legenda tempatan,
dikatakan bahawa pedang tersebut dimiliki oleh ‘Orang Kura-Kura’, iaitu nama
yang digunakan oleh penduduk tempatan bagi merujuk orang-orang Sepanyol yang
meneroka Amerika Utara. Mereka ini turut disifatkan memakai baju pelindung yang
tipikal dengan Sepanyol. Namun, terdapat teori yang menerangkan bahawa pedang
tersebut dibuat di Sri Lanka pada kurun ke-16.
Apapun, teori ini
langsung tidak menolak kemungkinan bahawa pedang itu dimiliki oleh orang
Sepanyol, lantaran pedang jenis ini boleh sahaja dimiliki oleh pelaut Sepanyol
yang berada di Asia. Ekspedisi-ekspedisi Sepanyol ke Asia menerusi Lautan Pasifik
bukanlah suatu perkara yang menghairankan.
![]() |
| Baju pelindung yang dipakai oleh para conquistador Sepanyol |
Senjata-senjata lain,
yang juga berkemungkinan milik Sepanyol, disimpan di Muzium Vernon di Kanada.
Koleksi Muzium Kamloops juga mempunyai mata lembing-separa, sejenis senjata
yang digunakan oleh askar-askar Sepanyol pada pertengahan kurun ke-17 Masihi.
Artifak tersebut
mungkin datang dari kurun ke-16, namun ilmuwan cenderung berpendapat bahawa ia
dihasilkan pada kurun kemudian. Apapun, sukar untuk memastikan sama ada pedang
Sepanyol hanya sekadar dongeng tempatan atau benar-benar menjadi bukti
kehadiran Sepanyol di kawasan tersebut.
PENEROKAAN TANPA
PERSIAPAN RAPI
Menerusi
penemuan-penemuan baru ini, para penyelidik semakin yakin bahawa pihak Sepanyol
tidak berpeluk tubuh membiarkan British mendominasi seluruh Amerika Utara.
Berkemungkinan mereka juga ada melakukan beberapa cubaan untuk meneroka wilayah
itu, namun tanpa persediaan yang rapi.
Peningkatan jumlah
penemuan yang mengesahkan bahawa pihak Sepanyol melakukan cubaan demi cubaan
untuk menguasai sebahagian wilayah Amerika Utara ini masih belum dapat
memberikan jawapan bagi banyak persoalan. Justeru, ia hanya kekal sebagai
sebuah legenda di muzium-muzium tempatan.
Mungkin, bukti terbaik
yang dapat mengesahkan hal ini adalah dengan menemukan tapak pengebumian yang
terletak di Okanagan. Namun, usaha telah dilakukan oleh beberapa buah kumpulan
penyelidik tanpa berhasil menemukannya.
SUMBER
- Davis, Harold E. The Americas in History. 1953.
- Vickers, Daniel. A Companion to Colonial America. 2003.
- Boff, Leonardo. Quinientos anos de evangelizacion. De la conquista spiritual a la liberacion integral. 1992.
- Get link
- X
- Other Apps



