- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Theodoros Karasavvas. (18 Januari 2017). Kumbhalgarh: The Great Wall You Have
Never Heard Of (and it is NOT in China). Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/kumbhalgarh-great-wall-you-have-never-heard-and-it-not-china-007389
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/kumbhalgarh-great-wall-you-have-never-heard-and-it-not-china-007389
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tembok yang
mengelilingi kubu purba Kumbhalgarh merupakan salah sebuah rahsia terbesar di
India, dan mungkin di seluruh dunia. Tembok yang kurang dikenali ini
membentengi sebuah kubu besar yang mengandungi lebih 300 buah kuil purba.
Tembok ini dipercayai dibina hampir 500 tahun yang lalu, bersama-sama dengan
Kubu Kumbhalgarh itu sendiri. Namun, seorang ahli arkeologi yang telah pun
bersara berpendapat bahawa di sana, wujud sebuah lagi tembok besar yang usianya
jauh lebih tua.
SEJARAHWAN MEMANGGILNYA
SEBAGAI ‘TEMBOK BESAR’ INDIA
Ramai dalam kalangan
kita mengenali Tembok Besar China. Namun, kurang yang mengetahui perihal tembok
besar yang berdiri megah di India. Kubu Kumbhalgarh adalah kubu kedua paling
signifikan di Rajasthan, setelah Chittorgarh. Kubu ini berukuran 36 km (22.5
batu) panjang.
Tembok yang
mengelilinginya pula, yang dikenali sebagai ‘Tembok Besar India’, dianggarkan
berukuran 80 km (50 batu) panjang. Dalam erti kata lain, hal ini menjadikannya
sebagai benteng terpanjang di India dan tembok kedua paling panjang di dunia
setelah Tembok Besar China.
![]() |
| Kubu dan benteng Kumbhalgarh |
Pada tahun 2013, dalam
sesi ke-37 Persidangan Warisan Dunia yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja, Kubu
Kumbhalgarh bersama lima buah perkubuan lain di Rajasthan diumumkan sebagai
Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah nama kolektifnya, ‘Kubu-Kubu Perbukitan di
Rajasthan’. Namun, tapak bersejarah ini masih kurang dikenali secara meluas,
walaupun binaannya besar dan keseniannya indah belaka.
Di bahagiannya yang
paling lebar, tembok ini berketebalan 15 meter (49.2 kaki) dan pembinaannya
melibatkan ribuan bongkat batu dan diperindah dengan perhiasan megah di
bahagian atasnya. Keadaan ini membuatkan tembok tersebut tidak hanya sebuah
benteng pertahanan yang efektif, tetapi juga destinasi pelancongan yang
berpotensi.
SEJARAH DAN MISTERI
TEMBOK KUMBHALGARH
Kerja-kerja pembinaan
Kumbhalgarh dimulakan pada tahun 1443, hampir 15 tahun sebelum Columbus
berlayar merentasi Lautan Atlantik lalu membawa kepada penemuan sebuah lagi
tembok yang lebih besar, iaitu di China. Berlokasi di Rajasthan, wilayah barat
India, pembinaan Kumbhalgarh dimulakan oleh Maharana tempatan, bernama Rana
Kumbha.
![]() |
| Benteng Kubu Kumbhalgarh |
Kerja-kerja pembinaan
ini mengambil masa selama satu abad, dan kemudiannya ia diperbesarkan lagi pada
kurun ke-19. Selain dikelilingi oleh tembok besar, Kubu Kumbhalgarh dibina
tinggi di sebuah bukit bagi menambahkan lagi ciri keampuhannya. Secara
keseluruhan, tembok ini mempunyai tujuh buah gerbang. Dipercayai bahawa pada
era pemerintahan Maharana, tembok ini mempunyai begitu banyak lampu sehingga
membolehkan para petani tempatan bekerja sepanjang siang dan malam.
Lebih daripada itu,
tembok ini juga melindungi lebih 360 buah kuil yang dianggap signifikan oleh
penduduk Kumbhalgarh.
![]() |
| Kuil Jain di Kubu Kumbhalgarh |
Pada hari ini, Narayan
Vyas, individu yang melakukan beberapa tinjauan terhadap tembok di antara
Bhopal dan Jabaltur setelah bersara dari Jabatan Peninjau Arkeologi India sedekad
yang lalu meyakini bahawa relik-relik kuil dan tembok ini berkemungkinan lebih
tua berbanding anggapan umum, iaitu berusia dari sekitar kurun ke-10 hingga
kurun ke-11 Masihi. Kurun di mana suku-suku pahlawan memerintah wilayah utama
India.
![]() |
| Dua ekor ular yang saling melingkari di penghujung tembok, berhampiran Gorakhpur, India |
Beliau memaklumkan
kepada Hindustan Times, “Tembok ini mungkin merupakan penanda sempadan
Kerajaan Parmar,” merujuk kepada Rajput yang menguasai wilayah barat-tengah
India pada kurun ke-9 hingga kurun ke-13 Masihi. Beliau berpendapat bahawa
tembok ini mungkin digunakan untuk menandakan sempadan antara wilayah mereka
dengan wilayah Kalachuri. “Mereka sering berperang, dan tembok ini mungkin
merupakan satu usaha Kerajaan Parmar untuk menghindarkannya.”
Vyas juga mengakui
bahawa kenyataannya ini hanyalah sebuah andaian dan kajian lanjut perlu
dijalankan bagi membuktikan sama ada teorinya itu tepat dan selari dengan
sejarah. “Apa yang kita perlukan adalah bukti untuk mengesahkan andaian kita –
iaitu (apa yang telah) kita jumpai ini adalah tinggalan sebuah kerajaan yang
berusia 1000 tahun.”
PERSOALAN DAN
PERDEBATAN
Rahman Ali, seorang
sejarahwan yang pernah menulis sebuah buku berkenaan tapak-tapak Kerajaan
Parmar dan pernah juga mengunjunginya pada tahun 1975, mengakui bahawa beliau
tidak meneliti dengan lebih dekat. Namun, beliau cenderung menyatakan bahawa
tembok tersebut bukan tinggalan kerajaan berkenaan. Beliau berkata:
“Terdapat satu
kecenderungan untuk mengaitkan segala sesuatu yang lama (tua) dari daerah ini
kepada Kerajaan Parmar. Namun, dinasti tersebut sudah pun runtuh pada kurun
ke-12 dan mereka tidak ada membina sebarang tembok besar. Benteng batu ini
mungkin usianya jauh lebih muda (berbanding usia Kerajaan Parmar), dan mungkin
binaan British pada kurun ke-17; namun, kawasan ini bukanlah kawasan yang
penting bagi Raj (British). Justeru, mengapa mereka perlu membina sebuah tembok
panjang lalu meninggalkannya?”
![]() |
| Memantau tembok besar |
Walaupun tembok ini
masih terus diselubungi misteri dan asal-usul serta kefungsiannya hangat
diperdebatkan dalam kalangan sejarahwan, pastinya penduduk tempatan menumpang
rasa bangga dengan kemegahan binaan dan sejarah mereka ini. Mereka juga berasa
optimis terhadap potensi yang dimiliki tapak ini untuk dijadikan sebagai
destinasi pelancongan.
- Get link
- X
- Other Apps





