- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (18 April 2017). Did a Welsh Prince Reach the New World Before
Columbus? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/did-welsh-prince-reach-new-world-columbus-007920
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/did-welsh-prince-reach-new-world-columbus-007920
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Gelaran Christopher
Columbus (1451-1506M) sebagai orang Eropah pertama yang menemukan benua Amerika
sudah pun disangkal. Ramai sejarahwan pada hari ini sependapat dalam memberikan
gelaran tersebut kepada sekumpulan Viking yang diketuai oleh Leif Erikson, yang
menemui Dunia Baru sekitar tahun 1000M.
Namun, terdapat seorang
lagi orang Eropah lain yang didakwa pernah tiba di Dunia Baru sebelum tahun
1492, iaitu Putera Wales yang bernama Madoc (Madog). Beliau dipercayai berlayar
bersama sebuah armada ke Dunia Baru pada tahun 1170 dan 1171. Lebih daripada
itu, terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa beberapa suku asli Amerika
merupakan keturunan daripada ahli-ahli ekspedisi ini.
Walaupun tiada bukti
konklusif berkenaan dakwaan ini, ia tetap menghadirkan suatu kemungkinan yang
menarik.
![]() |
‘Pengembaraan Pertama’ Christopher Columbus mengucapkan selamat tinggal kepada Ratu Sepanyol semasa berangkat ke Dunia Baru, 3 Ogos 1492 |
KISAH PUTERA MADOC
Kisah tentang Madoc
berasal-usul dari sebuah puisi kurun ke-15. Menurut puisi tersebut, Madoc
merupakan putera kepada raja Wales yang bernama Owain of Gwynedd. Owain
mempunyai 13 orang anak gahara dan beberapa orang anak bukan-gahara. Madoc
termasuk dalam kalangan anak bukan-gahara. Beliau dilahirkan sekitar tahun
1145M.
Pada tahun 1170 Masihi,
tahun di mana Owain mangkat, berlaku pertelagahan dalam kalangan
putera-puteranya berkenaan hak pewarisan takhta. Hal ini mendorong kepada
tercetusnya perang saudara. Madoc merupakan seorang insan yang cintakan
keamanan dan tidak menggemari perbalahan.
Justeru, beliau dan
saudaranya, Riryd beredar dengan menaiki dua buah kapal lalu membawa diri ke
barat dan tiba di Amerika Utara moden, dengan kapal-kapal mereka berlabuh di
Teluk Mobile, Alabama.
Mereka kembali ke Wales
pada tahun 1171 untuk menceritakan kepada masyarakat tempatan tentang
pengembaraan mereka. Mereka turut mengumpul rekrut untuk menubuhkan sebuah
kerajaan baru di sana. Lantaran itu, seratus orang lelaki, wanita dan
kanak-kanak ikut berlayar bersama Putera Madoc.
![]() |
Lukisan imaginatif Madog ab Owain Gwynedd di atas kapalnya |
KEHADIRAN ORANG WALES
DI BENUA AMERIKA?
Dalam kitab pertahunan
atau sejarah negara kurun ke-12, langsung tiada sebutan tentang Putera Madoc.
Begitu juga dengan sebutan tentang keberadaannya di Teluk Mobile. Namun,
legenda ini kekal sebagai sebuah kisah yang masyhur sehingga Zaman
Penjelajahan.
Kisah ini bahkan
digunakan oleh John Dee, seorang ejen yang berkhidmat untuk Ratu Elizabeth,
ketika berhujah mengatakan bahawa orang Inggeris mempunyai hak pemilikan ke
atas wilayah-wilayah di Dunia Baru jauh melebihi Perancis dan Sepanyol.
John Dee malah mendakwa
bahawa Raja Arthur dan Brutus of Troy, iaitu raja pertama dalam legenda
orang-orang British, pernah mendirikan koloni British di Dunia Baru sekaligus
mengukuhkan lagi tuntutan Inggeris ke atas benua Amerika.
Pada kurun ke-18 dan
kurun ke-19 Masihi, orang Eropah meyakini bahawa kebanyakan suku asli Amerika
merupakan keturunan koloni-koloni Wales dari generasi Putera Madoc. Sebahagian
peneroka dan pengembara Eropah turut mempercayai bahawa tamadun Maya dan Inca mempunyai
kaitan dengan Putera Wales itu. Begitu juga dengan tamadun-tamadun misteri yang
membina gundukan-gundukan tanah di bahagian timur Amerika Syarikat.
Selain itu, ketika para
pendatang Mormon tiba di Utah, mereka mempercayai bahawa suku-suku Hopi dan
Zuni adalah berketurunan dari Wales hinggakan mereka menghantar beberapa orang
yang fasih berbahasa Wales ke perkampungan suku-suku tersebut untuk mengenal
pasti kalau-kalau ada penutur bahasa Wales di situ.
Suku asli yang paling
lazim dianggap sebagai keturunan dari orang-orang Wales ialah suku Mandan. Suku
Mandan merupakan suku asli yang menghuni kawasan di sepanjang Sungai Missouri.
Pada hari ini, keturunan mereka kebanyakannya tinggal di Dakota Utara dan
Dakota Selatan.
![]() |
Shakoka, Gadis Jelita Mandan, oleh George Catlin 1832 |
Ramai orang Eropah yang
menemui suku Mandan, antaranya seperti George Catlin, mempercayai bahawa mereka
itu berasal-usul dari Eropah. Hal ini disebabkan oleh warna kulit mereka yang
cerah dan rambut mereka yang berubah menjadi kelabu apabila berusia. Keadaan
ini tidak berlaku bagi suku-suku asli lain yang menetap di kawasan berhampiran.
Kebanyakan pendatang
Eropah turut mendakwa bahasa bahasa yang dipertuturkan oleh suku Mandan mirip
dengan bahasa Wales. Lebih daripada itu, tidak seperti suku-suku asli Amerika
lain di kawasan sekitar, suku Mandan mempunyai seni bina yang maju sebagaimana
yang dapat dilihat menerusi kubu batu serta bandar dan kampung (petempatan)
kekal yang memiliki sistem jalan yang terancang rapi.
![]() |
Perahu-perahu kerbau suku Mandan, oleh Karl Bodmer. Sebilangan pihak berpendapat perahu kerbau suku Mandan ini mirip dengan kapal coracle Wales |
Selain itu, terdapat
juga legenda-legenda berkenaan orang asli Putih (White Indians) yang
mempunyai rambut perang dan mata berwarna biru yang diusir oleh suku-suku asli
lain (yang tidak berkulit putih) dalam sebuah pertempuran yang berlaku
berhampiran Sungai Ohio. Kisah ini diserap ke dalam legenda Madoc lantaran para
penghuni di sekitar kawasan itu mendakwa bahawa orang asli Putih ini
berketurunan Wales.
![]() |
Ketua Perang Mandan bersama Isteri Kesayangannya (Catlin 1861-69) |
LEBIH DARI SEKADAR
LEGENDA?
Adakah terdapat
sebarang bukti arkeologi atau sejarah bagi membuktikan dakwaan ini? Terdapat
gundukan-gundukan tanah di Devil’s Backbone yang dikaitkan dengan generasi para
pendatang Wales. Terdapat juga kubur besar berhampiran tempat di mana
pertempuran antara warga asli Putih dan suku-suku asli lain berlaku. Pihak yang
mempercayai legenda ini menegaskan bahawa kubur tersebut merupakan tapak
pengebumian mereka yang terkorban dalam pertempuran tersebut.
Selain itu, terdapat
sebuah kisah tentang satu penemuan di Jeffersonville, Indiana berkenaan
sejumlah tulang manusia yang ditanam dalam keadaan berbaju pelindung loyang (brass).
Kebanyakan dakwaan ini tidak dapat disahkan lantaran bukti tersebut sudah tidak
wujud dan tidak dapat dianalisa.
Kubur besar yang disebutkan
oleh para pendatang pada zaman dahulu telah diratakan oleh sungai (jika dakwaan
tentangnya benar) dan baju pelindung loyang itu juga telah pun hilang. Selain
itu, ramai ahli linguistik temporari yang tidak yakin dengan kenyataan bahawa
bahasa Mandan sama dengan bahasa Wales, melainkan sejumlah kecil perkataan.
Tindakan mengaitkan
gundukan-gundukan tanah yang terdapat di wilayah timur laut Amerika Syarikat,
seperti di Devil’s Backbone, dengan suku atau tamadun berkulit putih yang
misteri merupakan suatu perkara yang sangat lazim pada kurun ke-19 walau dalam
lingkungan ahli arkeologi dan antropologi professional.
Sebagai contoh, Kitab
Mormon mendakwa bahawa anggota-anggota dari sepuluh suku Israel yang hilang itu
membawa diri ke benua Amerika dan membina tamadun di sana. Para pendatang
Mormon di zaman awal, termasuklah sejumlah orang Mormon di zaman moden,
mengaitkan gundukan dan kota-kota yang dibina oleh tamadun Maya dan Inca dengan
orang-orang Israel.
Teori-teori awal
sebegini boleh difahami sebagai suatu cubaan untuk merasionalkan pandangan
orang-orang Barat terhadap suku-suku asli Amerika pada zaman itu (mereka
dianggap sebagai tidak bertamadun) dengan realiti kewujudan tamadun-tamadun di
Amerika purba yang memiliki teknologi maju yang setanding dengan tamadun di
Eropah.
Ilmuwan Eropah ketika
itu tidak memiliki banyak sumber pengetahuan tentang arkeologi suku asli
Amerika dan sejarah serta kebudayaan mereka. Justeru, mereka beranggapan
mustahil untuk suku-suku asli Amerika ini membina kota-kota dan
bangunan-bangunan mapan sebegitu lantaran kemunduran teknologi mereka.
Semenjak itu, ahli-ahli
arkeologi dan antropologi Eropah mula mendalami kebudayaan tamadun-tamadun
Amerika baik di zaman silam mahupun di zaman moden. Seterusnya, mereka mula
mengakui bahawa suku-suku asli Amerika bertanggungjawab membina
bangunan-bangunan signifikan sejak sebelum ketibaan Christopher Columbus lagi.
![]() |
Pemandangan Kampung Mandan (Catlin, 1832) |
BUKTI LINGUISTIK
Kebanyakan suku Mandan
meninggal dunia akibat diserang penyakit cacar pada tahun 1837. Namun, ada yang
terselamat sehingga budaya mereka dapat dikenali dunia. Hal ini membolehkan
para penyelidik yang berminat terhadap mereka melakukan penyelidikan, terutama
berkaitan hubungan antara suku Mandan dan Wales.
Setakat ini, tidak
banyak bukti bagi mengesahkan perkara tersebut. Misalnya dalam penyelidikan
tentang kaitan antara legenda Madoc dan mitologi suku Mandan, seperti mitos Lone
Man (lelaki sepi), tidak ditemui kemiripan antara keduanya. Lone Man disifatkan
sebagai separa-dewa yang terlibat dalam penciptaan dunia dan bertanggungjawab
mencipta daratan rata, sambil Pencipta Utama dalam mitologi Mandan menumpu pada
daratan tinggi. Satu-satunya perkara di dalam mitos Lone Man yang boleh
dikaitkan dengan legenda Madoc adalah Lone Man dikisahkan pernah
berjalan di atas lautan purba.
![]() |
Gambaran Putera Madoc |
Sehingga kini,
kebenaran di sebalik legenda Putera Madoc masih lagi diragui. Sememangnya tidak
dapat dinafikan kemungkinan wujud sekumpulan warga Wales yang tiba di benua
Amerika sebelum Columbus. Namun kalaupun ianya benar, terdapat banyak perkara
yang dikaitkan secara silap dengan mereka sekaligus menjejaskan kredibiliti
legenda Madoc.
SUMBER
- “The discovery of America… by a Welsh Prince?” Ben Johnson (n.d.). Historic UK.
- “Lone Man”. Mythology Dictionary.
- “Did a Welshman discover America?” Rhys Meirion. BBC.
- Indiana Legend Says Welsh Settlers Arrived in the 12th Century. Jodi Perras (1989). Los Angeles Times.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ada Puak Orang Asli Amerika Keturunan Mat Saleh?’
- Get link
- X
- Other Apps