MAHABHARATA – EPIK PERGELUTAN KUASA INDIA PURBA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 Jun 2018). The Mahabharata: Unforgettable Lessons in An Indian Epic of Family Fighting. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/mahabharata-indian-epic-family-fighting-0010153

Penterjemah: Amir Zayyanid


Mahabharata (bahasa Sanskrit yang boleh diertikan sebagai ‘Epik Agung Dinasti Bharata’) merupakan salah satu dari dua buah epik puisi Sanskrit terulung India purba. Sebuah lagi epik lain ialah Ramayana. Secara kasar, Mahabharata berkisar tentang Perang Kurukshetra (juga dikenali sebagai Perang Mahabharata), iaitu sebuah konflik perebutan takhta Hastinapura antara dua kumpulan kerabat – yakni putera-putera Pandava dan putera-putera Kaurava. Puisi epik ini dianggap signifikan dan sering disebutkan sebagai salah sebuah karya kesusasteraan teragung manusia.


ASAL-USUL MAHABHARATA

Secara umum diperkirakan bahawa Mahabharata mencapai bentuknya seperti kini pada sekitar kurun ke-4 Sebelum Masihi. Ada juga yang berpendapat bahawa penulisan epik ini jauh lebih awal, mungkin sekitar pertengahan milenium pertama Sebelum Masihi. pada waktu itu, epik ini wujud dalam bentuk hikayat-hikayat masyhur para dewa, raja-raja dan tukang ramal yang besar kemungkinan disampaikan secara lisah oleh para pendeta, pertapa dan penyanyi kembara.

Apapun, bentuk Mahabharata seperti kini mengandungi 100 000 rangkap dan kira-kira 1.8 juta patah perkataan secara keseluruhan, sekaligus menjadikannya sebagai puisi paling panjang di dunia. Dalam erti kata lain, panjang Mahabharata adalah 10 kali ganda gabungan Illiad dan Odyssey karangan Homer. Walaupun epik ini dipercayai tidak dikarang oleh seorang individu tunggal, sumber tradisi meyakini bahawa pengarang puisi Mahabharata ialah pendeta Vyasa sambil Ganesha pula bertanggungjawab sebagai jurutulis.

Vyasa dan Ganesha mengarang Mahabharata


KISAH-KISAH AWAL DALAM EPIK INDIA INI

Mahabharata dimulakan dengan Dhritarashtra yang menjadi buta. Beliau merupakan putera sulung Vichitravirya (pemerintah Hastinapura) dan bapa kepada putera-putera Kaurava. Berikutan kecacatannya itu, Dhritarashtira tidak boleh mewarisi takhta bapanya, justeru adiknya yang bernama Pandu (bapa kepada putera-putera Pandava) dilantik sebagai pemerintah baru Hastinapura sejuerus kemangkatan Vichitravirya.

Berikutan sumpahan yang dikenakan ke atasnya oleh pendeta Kindama, Pandu bakal meninggal dunia andai beliau melakukan hubungan kelamin. Lantaran itu, beliau tidak boleh mempunyai anak tanpa membahayakan dirinya sendiri. Setelah disumpah oleh Kindama, Pandu membawa diri ke hutan dan abangnya yang buta itu diangkat menjadi raja yang baru.

Dhritarashtra si buta menyerang patung Bhima di utara India, 1616-1617


Isteri pertama Pandu, iaitu Kunti, memohon kepada para dewa agar dewa-dewa itu menghamilinya supaya beliau dapat memberikan zuriat kepada Pandu. Permohonannya ini diterima dan beliau pun mengandungkan tiga orang pertama – Yudhishtira (berbapakan Dharma), Bhima (berbapakan Vayu) dan Arjuna (berbapakan Indra).

Isteri kedua Pandu, iaitu Madri juga melahirkan zuriat dengan cara ini. Dua orang puteranya ialah si kembar Nakla dan Sahadeva (berbapakan Ashvin). Di samping itu, Dhritarashtra dan isterinya, Gandhari, mempunyai seramai 100 orang putera yang secara kolektif disebut sebagai putera-putera Kaurava, di samping seorang puteri.

Ketika Pandu dan Madri melakukan hubungan intim, Pandu langsung sahaja meninggal dunia lantaran sumpahan yang dikenakan ke atasnya. Madri yang berduka-cita kemudiannya melakukan Sati dan meninggalkan Kunti dan lima orang anak kecil itu menjaga diri mereka sendiri. Putera-putera Pandava dan ibu mereka lantas pulang ke Hastinapura. 

Bersama 100 orang sepupu mereka, putera-putera Pandava ini dididik oleh seorang guru yang bernama Kripa. Kemudian, mereka dididik pula oleh Drona. 
Bibit perseteruan kecil mula berputik antara putera-putera Pandava dan Kaurava, mengakibatkan kumpulan yang pertama ini diusir, bukan sekali, tetapi dua kali.

Perjalanan putera-putera Pandava bersama ibu mereka


PERANG

Setelah diusir buat kali kedua, putera-putea Pandava pun bersiap-siaga bagi memerangi sepupu-sepupu mereka. Perutusan demi perutusan dihantar kepada putera-putera Kaurava untuk menuntut pengembalian Indraprastha, wilayah yang dikurniakan oleh Dhritarashtra. Indraprastha sebelum ini dibangunkan oleh putera-putera Pandava, namun jatuh ke penguasaan Kaurava. Cubaan untuk menyelesaikan kemelut ini secara aman tidak berjaya, walaupun Krishna si avatar kepada Vishnu dan sepupu sebelah ibu Pandava sendiri campur tangan.

Susulan daripada keadaan ini, Perang Kurukshetra pun meletus. Ilmuwan berbeza pandangan tentang tarikh berlakunya peperangan ini. Begitu juga dengan status kesahihan peperangan ini, ia turut hangat diperdebatkan. Apapun menurut Mahabharata, Perang Kurukshetra berlanjutan selama 18 hari di mana kebanyakan karakter dalam epik ini terbunuh. Babak yang dianggap paling masyhur dalam epik ini, iaitu Bhagavat Gita, turut berlaku ketika ini, yakni sejurus sebelum peperangan bermula.

Ilustrasi manuskrip Pertempuran Kurukshetra, antara putera-putera Kaurava dan Pandava, sebagaimana terekod dalam epik Mahabharata


Melihatkan kekasihnya berada di pihak musuh, Arjuna berasa ragu-ragu dan berniat untuk meninggalkan medan perang. Arjuna meminta Krishna, yang berkhidmat sebagai pemandu pedatinya untuk membawa beliau pulang. Lantas, avatar kepada Vishnu itu pun memulakan perbualan falsafah yang menerangkan tentang ketidaksempurnaan dalam hidup, kepentingan memenuhi tanggungjawab dan kekal berada dalam jalan yang benar.

Di kiri, Karna dengan Salya sebagai pemandu pedati menentag Arjuna bersama Krishna di kanan


NYAWA MELAYANG DARI MEDAN TEMPUR

Pada penghujung peperangan, putera-putera Pandava meraih kemenangan walaupun kedua belah pihak menanggung kehilangan yang bukan kecil. Di pihak Pandava, lapan orang putera terselamat manakala hanya empat orang sahaja di pihak Kaurava yang masih hidup. Namun, peperangan ini bukanlah penamat epik tersebut.

Mahabharata dilanjutkan lagi dengan kisah tentang putera-putera Pandava menjadi raja Hastinapura dan Indaprastha, dan bagaimana epik ini dibacakan oleh Vaishampayan, pelajar Vyasa kepada Janmejaya, cicit epada Arjuna dalam sebuah upacara korban ular.

Pengakhiran cerita dalam epik Mahabharata memerihalkan penceritaannya dalam sebuah upacara ‘korban-ular’ oleh raja Janamejaya


SUMBER


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Mahabharata – Epik Pergelutan Kuasa India