- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 Februari 2016). Marcus Aurelius: Life of the Famous Roman
Emperor and Philosopher. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/marcus-aurelius-life-famous-roman-emperor-and-philosopher-005353
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/marcus-aurelius-life-famous-roman-emperor-and-philosopher-005353
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Marcus Aurelius
Antoninus, atau lebih dikenali sebagai Marcus Aurelius ialah maharaja Rom yang
ke-16. Beliau memerintah pada tahun 161 Masihi hingga kemangkatannya pada tahun
180 Masihi. Marcus Aurelius dikenang sebagai maharaja terakhir daripada Lima
Maharaja Baik (empat yang lain ialah Nerva, Trajan, Hadrian dan Antoninus
Pius).
Selain dikenali sebagai
maharaja Rom, Marcus Aurelius juga masyhur sebagai salah seorang ahli falsafah
Stoic terkemuka lantaran pengetahuan inteleknya yang mendalam.
KEHIDUPAN MARCUS
AURELIUS
Marcus Aurelius
dilahirkan dalam sebuah keluarga bangsawan Rom pada tahun 121M. Bapa saudaranya
ialah Titus Aurelius Antoninus (pengganti Hadrian, yang memakai gelar Antoninus
Pius) yang diambil oleh Hadrian sebagai anak angkat selepas calon pengganti
pilihannya meninggal dunia secara tiba-tiba.
Hadrian juga mengatur
supaya Marcus Aurelius kelak diambil oleh Antoninus. Susulan daripada
pengasuhan ini, Marcus Aurelius yang sebelumnya dikenali sebagai Marcus Annius
Verus ditukarkan nama kepada Marcus Aurelius Antoninus.
![]() |
| Patung marmar Hadrian di Palazzo dei Conservatori |
Hadrian mangkat pada
tahun 138 Masihi dan digantikan oleh Antoninus, yang memerintah sehingga
kemangkatannya pada tahun 161M. Semasa tempoh awal pemerintahan Marcus, beliau
memerintah empayar bersama seorang maharaja-bersama bernama Lucius Verus yang
merupakan ‘saudara-tiri’nya. Bapa Lucius ialah Lucius Aurelius, calon pengganti
pertama Hadrian.
Lucius menjadi
‘saudara-tiri’ Marcus apabila beliau diasuh oleh Antoninus Pius. Pada tahun
169M, Lucius Verus mangkat justeru Marcus berkuasa sebagai pemerintah tunggal
empayar. Pada tahun 177M, Marcus sekali lagi mengambil seorang
maharaja-bersama. Kali ini, individu tersebut ialah puteranya sendiri, iaitu
Commodus. Marcus mangkat tiga tahun kemudian, yakni pada tahun 180 Masihi.
![]() |
| Potret Lucius Aelius (101-138M) |
MARCUS DALAM KARYA ‘THE
CAESARS’ DAN TEKS-TEKS LAIN
Marcus Aurelius
dipandang oleh sebahagian pihak sebagai maharaja terbaik yang pernah dimiliki
Rom. Dalam sebuah karya berjudul The Caesars yang dihasilkan oleh
Maharaja Rom kurun ke-4, Julian the Apostate (Julian Si Murtad), Marcus
dikisahkan menghadiri sebuah jamuan (yang turut dihadiri oleh para dewa dan
maharaja-maharaja Rom lain yang telah mangkat) yang diadakan oleh Romulus
bersempena festival Cronia.
Marcus digambarkan
dengan pandangan yang positif oleh Julian. Misalnya, Silenus, seorang teman dan
pendidik Dionysus mencemuh setiap maharaja sebaik sahaja mereka tiba di jamuan
berkenaan. Namun tatkala Marcus tiba, beliau sama sekali tidak melontarkan
kata-kata yang buruk kepadanya:
“Seterusnya hadir
sepasang saudara, Verus (Marcus Aurelius) dan Lucius. Muka Silenus berubah
merah dengan amat ketara lantaran beliau tidak dapat mencemuh atau mengejek
mereka, terutama terhadap Verus.”
Kemudian, sebuah
pertandingan diadakan di jamuan berkenaan bagi menentukan siapakah maharaja
terbaik. Sepertimana yang dijangka, Marcus tampil juara.
Jasa-jasa Marcus
Aurelius turut direkodkan dalam sumber-sumber sejarah. Misalnya di dalam Historia
Augusta dinyatakan bahawa:
“Apabila beliau
(Marcus) telah kehabisan perbendaharaan bagi peperangan ini (perang
Marcomannic) dan tiada ruang untuk mengenakan sebarang cukai tambahan ke atas
wilayah-wilayah kekuasaannya, beliau mengadakan jualan awam semasa Perjumpaan
Pendewaan Trajan dan menjual barangan perabot istana.”
Marcus juga dilihat
secara positif oleh sejarahwan Cassius Dio, yang antara lain menulis:
“… (Marcus) menjadi
maharaja (yang berkuasa) sendiri selama 19 tahun 11 hari, namun dari awal
hingga akhir (pemerintahannya) beliau kekal sama dan tidak berubah sedikit pun.
Beliau sememangnya seorang lelaki yang baik dan bebas dari sebarang sifat
kepura-puraan.”
KARYA ‘THE
MEDITATIONS’ OLEH MARCUS AURELIUS
Selain daripada
sumber-sumber bertulis yang memerihalkan tentang Marcus Aurelius, pemikirannya
sendiri dapat diselidiki menerusi salah sebuah karyanya yang dikenali sebagai The
Meditations. Karya ini berbentuk nota peribadi dan diandaikan dikarang
ketika Marcus sedang berada dalam kempen ketenteraan di Eropah tengah.
Menerusi karya inilah
Marcus meraih reputasi sebagai seorang ahli falsafah. Falsafah Stoic yang
diperihalkan oleh Marcus ini dapat dilihat pada frasa-frasa berikut:
“Jadilah seperti
tanjung yang sentiasa dipukul ombak,ia tetap teguh dan menjinakkan amukan laut
di sekelilingnya.”
“Timun itu pahit –
maka buanglah ia – Terdapat mawar-mawar liar di jalanan – maka berpalinglah
daripada mereka – Hal ini sudah memadai. Janganlah dilanjutkan dengan mempersoalkan
mengapa hal-hal sebegitu diciptakan di dunia?”
“Namun, tuah itu
bermaksud seseorang itu telah menyerahkan dirinya kepada takdir yang baik; dan
takdir yang baik ialah pembawaan jiwa yang baik, emosi yang baik dan
tindak-tanduk yang baik.”
![]() |
| Lucius Verus, maharaja-bersama Marcus dari tahun 161 hingga kemangkatan Verus pada 169 |
Walaupun Marcus
Aurelius dianggap sebagai salah seorang maharaja Rom yang terbaik, dipercayai
bahawa era pemerintahannya ini ditandai dengan ancaman demi ancaman yang diterima
oleh empayar dari pihak-pihak luar, terutama dari Parthia dan suku-suku Jerman.
Namun, maharaja dan para panglimanya berjaya menundukkan hampir kesemua ancaman
ini.
Apapun, kesilapan
terbesar Marcus adalah pelantikan puteranya, Commodus, sebagai maharaja-bersama
pada tahun 177M. Commodus menjadi pemerintah tunggal Empayar Rom sejurus
selepas ayahandanya mangkat pada tahun 180M. Commodus sering dianggap sebagai
seorang pemerintah yang buruk sifat dan sikapnya. Selain itu, pemerintahannya
pula dilihat sebagai penamat zaman keemasan Rom lantaran Commodus gagal
mengikuti jejak langkah ayahandanya.
SUMBER
- Anon. Historia Augusta. The Life of Marcus Aurelius. [Magie, D. (trans). 1921. Historia Augusta: The Life of Marcus Aurelius].
- Cassius, Dio. Roman History. [Cary, E. (trans). 1914-1927. Cassius Dio’s Roman History].
- Cavendish, R. 2011. Marcus Aurelius becomes Emperor of Rome.
- Julian. The Caesars. [Wright, W.C. (trans). 1913. Julian’s The Caesars].
- Marcus Aurelius. The Meditations. [Long, G. (trans). 1957. Marcus Aurelius’ The Meditations].
- Sellars, J. 2016. Marcus Aurelius (121-180 CE).
- Biography. 2016. Marcus Aurelius.
- Get link
- X
- Other Apps



