- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
B. B. Wagner. (23 Januari 2020). What Makes Spartan Women So Different From
Other Ancients? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/spartan-women-0013188
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/spartan-women-0013188
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di Sparta, (hak)
individu tidak penting. Segalanya diperuntukkan demi kepentingan negara. Mereka
tidak membina tembok kerana mengalu-alukan sebarang serangan atau cabaran.
Mereka tidak menyalakan api di waktu malam supaya dapat bergelap. Mereka
bertutur kata dengan kurang dan sangat lurus sehingga mereka mencirikan kata
adjektif ‘Iaconic’ (ringkas) yang nama itu diambil dari Wilayah Laconia,
Sparta.
Walaupun ramai
mengenang penduduk Sparta sebagai pahlawan gagah yang berdedikasi kepada
negara, mereka juga menggamit perhatian pada layanan mereka terhadap kaum
wanita yang dilihat sama rata, terutama dalam soal pendidikan dan perbincangan
intelektual. Bagi kaum lelaki yang terkorban di medan perang dan kaum wanita
Sparta yang meninggal dunia semasa bersalin, mereka dihormati dan nama mereka
dikenang dengan dipahat pada batu berhampiran kota.
Persoalannya, bagaimana
boleh sebuah masyarakat yang mengamalkan konsep totalitarian (sistem
berpemerintahan satu parti politik sahaja) seperti Sparta yang banyak mengekang
dari aspek individu, bersifat begitu progresif dalam mengurniakan kebebasan dan
pendidikan kepada kaum wanita mereka?
BERPENDIDIKAN DAN
CERDAS FIKIRAN
Kebanyakan maklumat
tentang kaum wanita Sparta boleh ditemui menerusi catatan ilmuwan dan pemuisi
purba dari Zaman Archaic (kurun ke-8SM) hingga ke zaman klasik (kurun ke-5
hingga kurun ke-4SM). Kaum wanita di Yunani purba mengharungi kehidupan yang
sukar dan penuh dengan penghambaan. Akan tetapi, kaum wanita di Sparta
terkecuali.
Tidak seperti kaum wanita di Athens yang tidak mempunyai banyak hak
dan didominasi sepenuhnya oleh suami mereka, kaum wanita di Sparta dilindungi
oleh negara. Ketikamana wanita-wanita Yunani lain terikat dengan keluarga, kaum
wanita Sparta disuruh bersenam dan kekal secergas mungkin. Satu lagi bentuk
kebebasan lain yang diberikan kepada kaum wanita Sparta adalah pendidikan.
![]() |
| Gambaran wanita-wanita Sparta yang bebas bermain di luar sambil memegang alat muzik, mengisyaratkan minatnya dalam bidang muzik dan seni – suatu keadaan yang berbeza di wilayah Yunani yang lain |
Menurut Sarah J.
Pomeroy, “Kaum perempuan dibahagikan kepada kategori kanak-kanak perempuan,
remaja perempuan, gadis sunti, dan wanita yang sudah berkahwin. Gaya rambut
tertentu membezakan antara gadis sunti dan wanita yang sudah berkahwin. Mereka
yang baru berkahwin ditetapkan supaya berambut pendek.”
Sebahagian wanita
Sparta pandai menenun kain. Walau bagaimanapun, penghasilan dalam industri
tekstil di Sparta kebiasaannya diserahkan kepada golongan helot (hamba),
sekaligus membolehkan kaum lelaki dan wanita Sparta bebas dalam memenuhi
komitmen terhadap negara. Bagi kaum lelaki, mereka dituntut untuk berkhidmat
dalam bidang ketenteraan sementara kaum wanita Sparta pula diminta supaya
mengekalkan kecergasan fizikal dan melahirkan anak yang sihat.
Seperti yang disebutkan
sebelum ini, aspek individu hanyalah aspek kedua selepas kepentingan Sparta,
yang lebih utama. Namun, daripada kekurangan hak individu inilah datangnya
kebebasan kaum wanita Sparta yang hampir setanding dengan kaum lelaki di
negara-kota Yunani lain.
Peranan wanita-wanita
Sparta adalah kekal sihat, cergas dan bersedia untuk melahirkan anak-anak yang
aktif. Antara aspek penting bagi memastikan kesihatan anak mereka adalah dengan
menggalakkan kaum wanita Sparta terlibat dalam perbincangan mental dan
intelektual, meliputi bidang politik, perundangan, pembacaan, penulisan dan
mitologi. Kaum wanita dikehendaki menunjukkan kehebatan inteleknya kepada
mana-mana lelaki yang mencabarnya.
Kaum wanita Sparta juga
berlatih dan menyertai lumba lari bersama kaum lelaki. Walaupun mereka tidak
pernah dibenarkan untuk menyertai agoge, iaitu sekolah ketenteraan
Sparta yang wajib disertai oleh kesemua kanak-kanak lelaki menjelang usia 7
tahun, kaum wanita tetap diberikan pendidikan rasmi yang dinaungi negara.
Menurut anggota-anggota
aliran Pythagoras yang disenaraikan oleh Lamblichos, “Kaum wanita Sparta sangat
berpendidikan”. Namun, terdapat perbezaan pendapat tentang persoalan sama ada
pendidikan hanya diberikan kepada kaum wanita elit Sparta atau kepada seluruh kelas.
Apapun, jelas sekali kaum wanita Sparta mampu membaca sekaligus membolehkannya
berbual dengan kaum lelaki.
Kaum wanita Sparta juga
terkenal lantaran berupaya mengancam kaum lelaki Athens dengan ketajaman akal
dan pendapat mereka yang lantang berkenaan perundangan negara yang tidak
sealiran dengan Sparta.
![]() |
| Keberanian kaum wanita Sparta (Jean-Jacques-Francois le Barbier) |
Kaum ibu mereka
kebiasaannya mendidik anak-anak perempuan mereka di rumah. Kaum lelaki dan
wanita akan diuji semasa pesta lumba lari dan mana-mana upacara bagi
menggalakkan persaingan dalam kalangan anak-anak muda. Namun, kebebasan
pendidikan yang diberikan kepada kaum wanita Sparta sehingga membolehkan mereka
membaca dan menulis ternyata dicabar dengan lantas, sehingga memaksanya
dihentikan sebelum kemudiannya disambung semula.
WANITA-WANITA SPARTA
CERGAS DAN BEBAS
Menjadi suatu kelaziman
bagi kaum wanita Yunani purba untuk memakai korset, atau penampung dada yang
berfungsi sama seperti bra di zaman moden. Mereka juga memakai pengikat
pinggang demi menonjolkan ciri kewanitaan di samping menahan gaun yang dipakai.
Kebanyakan kaum wanita Yunani purba memakai pakaian yang diperbuat daripada
kain yang dihasilkan secara terperinci. Dianggap sebagai suatu taboo bagi
mana-mana kaum wanita Yunani untuk bertelanjang atau mendedahkan badan mereka.
Walau bagaimanapun,
penampilan wanita-wanita Sparta berbeza berbanding di kota-kota lain. Menurut
Hans Licht, penulis the Sexual Life of Ancient Greece, gambaran
wanita-wanita Sparta pada pasu-pasu purba menunjukkan bahawa mereka berpakaian
hampir telanjang, kalau bukan kerana Chiton pendek (kain singkat) yang
dipakai.
Pun begitu, hampir seluruh kaki mereka terdedah. Keadaan ini sangat
berbeza dengan kaum wanita Athens hinggakan “… wanita-wanita Sparta dicemuh.
Mereka dipanggil sebagai pendedah-peha…” Latihan fizikal yang lazim dijalani
dianggap sebagai faktor pemakaian sebegini.
![]() |
| Patung wanita yang memakai chiton pendek, menggambarkan penampilan kaum wanita Sparta |
Sama seperti penafsiran
Licht terhadap karya-karya Lycurgus, wanita-wanita Sparta dituntut supaya
berlatih berlari, belajar bergusti, melempar tombak, dengan sebaik mungkin.
Sikap totalitarian yang diamalkan oleh penduduk Sparta cenderung mendorong
mereka untuk berandaian bahawa wanita yang secergas lelaki mampu melahirkan
zuriat yang sihat. Tidak seperti kaum lelaki Sparta, kaum wanita diberikan
lebih banyak makanan dan bekalan bagi memastikan mereka mendapat nutrisi yang
lengkap.
Kaum wanita dan lelaki
Sparta lazim berjalan dengan berpakaian yang hampir telanjang, berupaya untuk
bertarung, dan diberikan kebebasan untuk menari dan bersosial hanya pada
masa-masa keraian. Namun, detik-detik kebebasan yang terhad bagi kaum wanita
lazim dibayangi oleh perundangan draconian yang menindas.
Kaum lelaki
perlu hidup secara terpisah dengan kaum wanita, di mana mereka dituntut supaya
menjalani kehidupan di barak (markas tentera) sehingga selesai tempoh
perkhidmatan selama 30 tahun. Lelaki mahupun wanita hanya berpeluang bertemu
secara rahsia untuk bersenggama dan menikmati masa-masa sebagai suami isteri,
atau tidak mereka akan dicemuh dan dihukum dengan teruk.
PERKAHWINAN DAN
KELAHIRAN DI SPARTA
Sepanjang perjalanan
sejarah, perkahwinan lazimnya bersifat kontrak dan penduduk Sparta tidak
terkecuali. Namun, penduduk Sparta mempunyai beberapa aspek yang unik dalam
budaya mereka. Usia purata kaum wanita Sparta yang dibolehkan untuk berkahwin
adalah 18 tahun, yang kadangkala dikahwinkan dengan lelaki berusia 30 tahun.
Walaupun jurang umurnya agak ketara, ia sedikit berbeza berbanding keadaan di
Athens. Di kota itu, usia purata kaum wanita yang berkahwin adalah 14 tahun,
dan dikahwinkan dengan lelaki yang berusia 30an. Pomeroy juga ada mencatatkan
bahawa mana-mana lelaki Sparta yang tidak berkahwin setelah menginjak usia 30an
akan dicemuh sebagai sampah masyarakat.
Berikutan kaum lelaki
Sparta dikehendaki menyelesaikan komitmen selama 30 tahun untuk negara,
perkahwinan lazimnya berlangsung singkat dan pasangan yang baru berkahwin perlu
hidup secara terpisah, kecuali pada waktu-waktu tertentu di mana mereka
dibenarkan untuk bersama. Sarah J. Pomeroy, penulis buku yang berjudul Ancient
Greece menyebutkan bahawa dalam karya Plutarch, dicatatkan bahawa ‘Kaum lelaki
Sparta lazimnya berasa berat hati untuk berkahwin melainkan Sparta memberikan
insentif perkahwinan dan kelahiran.”
Salah satu faktor bagi
keadaan ini adalah peraturan Sparta sendiri yang menuntut setiap lelaki
dipencilkan ke dalam kumpulan yang sama jantina semenjak usia 7 tahun
sehinggalah selesai khidmat ketenteraan yang ditetapkan. Hal ini membuatkan
ramai lelaki Sparta yang baru berkahwin berasa canggung untuk berinteraksi
dengan pasangan yang berbeza jantina.
Adat perkahwinan di
Sparta bersifat pemilihan secara rawak, di mana seorang lelaki dan seorang
wanita akan ditinggalkan sendirian di dalam sebuah bilik gelap. Perkahwinan
yang bersifat percubaan itu akan dirahsiakan, dan jika persenggamaan di antara
mereka berdua tidak berjaya melahikan zuriat, maka pasangan itu dipisahkan dan
diatur dengan pasangan lain. Jika perkahwinannya berjaya, menjadi adat
kebiasaan untuk si wanita itu memendekkan rambutnya, dan berpakaian tunik
lelaki Sparta.
Setelah beberapa tempoh, kebiasaannya si suami akan curi-curi
keluar dari barak dan melakukan hubungan intim dengan isterinya yang baru
dikahwini, dan beliau akan pulang ke barak sebelum disedari oleh sesiapa.
Seandainya mereka berdua tertangkap, si suami akan dikenakan hukuman kerana
meninggalkan barak.
Tambahan lagi, menurut
Hans Licht, penulis Sexual Practices of Greece, beliau mengulas karya
Plutarch dengan menyatakan bahawa, “… Pertemuan sedemikian tidak hanya
bertujuan untuk melatih mereka supaya bertindak secara tepat, berdisiplin dan
bersederhana, tetapi juga untuk menggalakkan kelahiran dan menggamit mereka
untuk berhubungan dengan lebih segar, lesu akibat terlampau kerap merasakan
nikmat.”
Walaupun keadaan ini
kelihatan agak aneh menurut piawai di zaman moden dan para pemerintah Athens di
waktu itu sendiri, kaedah ini agak efisien dalam mengekalkan populasi dan
mengehadkan kebergantungan emosi kepada ahli keluarga. Sparta merupakan sebuah
negara-kota pahlawan yang membenci sebarang sifat lemah. Mereka sentiasa
berusaha untuk menghapuskan kesemua potensi kelemahan baik dari aspek peribadi
mahupun sosial. Hal ini termasuklah perkahwinan dan perhubungan intim.
![]() |
| Gambaran pahlawan Sparta sebelum pertempuran |
KAUM WANITA SPARTA
DIBERIKAN HAK DAN KEBEBASAN MEMILIKI DAN MENGUSAHAKAN TANAH
Hak pemilikan tanah di Sparta
mencetuskan kontroversi dalam sejarah berikutan besarnya hak rakyat Sparta ke
atas tanah-tanah mereka. Ramai ilmuwan seperti Stephan Hodskin yang meneroka
karya Plutarch yang berjudul Lykourgous, dan menyatakan bahawa, “…
Rakyat Sparta mengusahakan satu bahagian dari wilayah mereka dan
membahagikannya menjadi pemilikan baru, dan hidup secara bersama di atas dasar
kesatuan dan kesamarataan sebagai maksud kelangsungan hidup mereka...”
Namun, Hodskin juga
meneroka sisi lain di mana pewarisan tanah menerusi pihak lelaki juga boleh
berlaku. Apapun keadaannya, ketika kaum lelaki keluar ke medan perang dan tiada
waris lelaki, maka kaum wanita Sparta akan menjadi pemegang sebahagian hartanah
tersebut sehingga mereka berkahwin semula atau melahirkan waris lelaki.
Isu-isu berkenaan
pewarisan hartanah ini juga boleh dirujuk dan bahkan ianya dicabar oleh
karya-karya Aristotle pada kurun ke-4 Sebelum Masihi, di mana beliau meletakkan
hak, kekayaan dan pengaruh wanita-wanita Sparta yang luas ke atas negara, pemilikan
tanah dan pentadbiran sebagai faktor kemunduran Yunani.
Memetik kenyataan
Pomeroy ketika mengulas kenyataan Aristotle, “… Kebebasan penduduk Sparta untuk
mewasiatkan tanah mereka dengan sesuka hati, dan pada zamannya sebanyak dua
perlima saiz tanah jatuh ke tangan wanita […]. Malah, berlaku keadaan di mana
anak-anak perempuan di Sparta menerima hantaran sebanyak setengah, berbanding
satu-perenam yang diterima oleh anak-anak perempuan di Athens…”
Sama ada negara
memiliki hak sepenuhnya ke atas tanah-tanahnya ataupun tidak, apa yang lebih
penting adalah kaum wanita Sparta merupakan pemegang harta isi rumah
sebagaimana adat dan budaya Sparta itu sendiri. Kaum lelaki meluangkan hampir
seluruh masanya di agoge dan seterusnya di barak sebelum terjun ke medan
perang. Jika mereka cukup bertuah dan hidup cukup panjang untuk bersara pada
usia 40 tahun, maka mereka akan pulang ke rumah yang dikawal oleh isteri atau
ahli keluarga mereka yang masih hidup.
![]() |
| Gambaran wanita Sparta memberikan perisai kepada salah seorang anaknya sebelum keluar berperang, sambil menjaga anak-anaknya yang lain |
Peranan kaum lelaki
Sparta adalah untuk berkhidmat dalam bidang ketenteraan, manakala peranan kaum
wanitanya pula adalah untuk kekal sihat dan melahirkan zuriat yang ramai. Tanggungjawab
sebegini memberikan kelebihan buat kaum wanita Sparta berbanding kaum
wanita-wanita Yunani yang lain yang kebanyakannya terhad kepada tugas tipikal
seperti penenunan kain atau bergiat dalam industri tekstil.
Kebanyakan kaum wanita
Sparta tidak menjahit pakaian, tetapi berperanan memastikan dan menuruskan
hamba-hamba lelaki (helot) dan wanita mereka untuk menghasilkan tekstil
dank ain-kain untuk kegunaan keluarga atau dijual di pasar.
Mereka juga berperanan
sebagai pentadbir tertinggi rumah mereka. Memandangkan kebanyakan wanita Sparta
yang sudah berkahwin lazimnya sendirian dan terpiash dengan suami mereka yang
berlatih, atau berada di barak atau keluar berperang, maka kaum wanita Sparta
berpeluang mendapatkan pendapatan menerusi pengusahaan tanah milik negara atau
masyarakat awam. Atau secara khusus, mereka bergiat menguruskan tanah dan
memperoleh sejumlah keuntungan daripada hasil pertanian yang dikerjakan oleh
para hamba.
Merentas masa dan
menghampiri Zaman Hellenistik, ramai wanita Sparta berupaya mengumpulkan harta
kekayaan berkat keupayaan mereka menguruskan hartanah. Namun, pemilikan
matawang syiling sebenar dilarang oleh pentadbiran negara kerana khuatir ianya
akan menggalakkan mendorong kepada perseteruan sesama sendiri dan memalingkan perhatian
mereka dari negara kepada individu. Apapun, Sparta membenarkan rakyatnya
memiliki dan memanfaatkan tanah sebagai satu bentuk kekayaan.
![]() |
| Kaum wanita, lelaki, dan kanak-kanak di Sparta dididik bahawa tugas utama mereka adalah untuk negara. Satu kemuliaan terbesar buat kaum wanita Sparta jika anak atau suaminya terkorban demi negaranya |
ZAMAN HELLENISTIK
MENAFIKAN HAK KAUM WANITA
Agak ironik apabila
sebuah negara-kota yang berdedikasi dalam menghapuskan individualiti berupaya
menjadi negara-kota yang mempromosikan kesamarataan dan kebebasan kepada kaum
wanita mereka. Namun, keadaan ini mengalami perubahan pada beberapa tempoh
kemudian.
Walaupun kaum wanita
dipandang tinggi dan bersungguh dalam menguruskan hal rumahtangga serta
mengumpulkan kekayaan dari pengusahaan tanah, pandangan-pandangan terhadap
wanita yang lahir dari semasa ke semasa menjadi semakin sinis, terutama apabila
populasi kaum lelaki mula menyusut.
Penurunan populasi ini berlaku semenjak
kekalahan tragik Sparta di Leuctra pada tahun 371SM, diikuti oleh beberapa buah
pemberontakan yang dicetuskan oleh helot. Berikutan negara yang semakin
melemah akibat peperangan dan pemberontakan berskala besar ini, populasi kaum
lelaki merudum dengan ketara.
Namun, berbanding
menyalahkan peperangan dan polisi atau perundangan Sparta yang menjadi punca
sebenar malapetaka ini, ramai rakyat Sparta menudingkan jari ke arah kaum
wanita.
Sama seperti isu
pemilikan hartanah oleh kaum wanita sebagaimana yang disebutkan sebelum ini,
Aristotle juga mengkritik kaum wanita yang berpendidikan dan memiliki kuasa
atau pengaruh. Aristotle juga menyalahkan kaum wanita Sparta sebagai punca
tunggal kemunduran tamadun Sparta berikutan kebebasan, pendidikan, prestij dan
pengaruh yang dipunyai mereka.
Walaupun penilaiannya
ini kedengaran lantang dan kerang, pendapat Aristotle ini memberikan pengaruh
yang signifikan. Ketika memasuki Zaman Hellenistik, kaum wanita Sparta dilarang
daripada diberikan pendidikan. Beberapa tempoh kemudian, raja-raja Sparta
seperti Cleomenes III berjuang untuk mengembalikan hak pendidikan kepada
wanita. Namun, usahanya itu dikesampingkan sekali lagi sehinggalah memasuki
zaman Rom.
SUMBER
- Barber, Elizabeth Wayland. 1994. Chapter 7: Cloths and Caravans. In Women’s work, the 20 000 years. Women, cloth and society in early times. by Elizabeth Wayland Barber. New York: w.w. Norton and Company.
- Boardman, John. Jasper Griffen, and Oswyn Murray. 1986. The Oxford History of the Classical world. New York: Oxford University Press.
- Hodskin, Stephan. 1986. Land Tenure and Inheritance in Sparta. The Classical Quarterly (Cambridge University Press on behalf of the The Classical Association) 36 (2): 378-406.
- Licht, Hans. 1993. Marriage and the life of women. In Sexual life in Ancient Greece. Edited by Lawrence H. Dawson, translated by J.H. Freese. 18-57. New York: Dorset Press.
- Pomeroy, Sarah B. Stanley M. Burnstein, Walter Donlan, Jennifer Tolbert Roberts. 1999. Ancient Greece. A political, social and cultural history. New York: Oxford University Press.
- Writer 873. 2012. Ancient History Encyclopedia.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kedudukan Wanita Sparta Yang Menandingi Zaman’
- Get link
- X
- Other Apps






