- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (19 Februari 2016). Mysterious Ancient Wall Extending Over
150km Investigated in Jordan. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/mysterious-ancient-wall-extending-over-150km-investigated-jordan-005380
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/mysterious-ancient-wall-extending-over-150km-investigated-jordan-005380
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Arkeologi Udara dalam
Projek Jordan (The Aerial Archaeology in Jordan Project) telah memetakan
sebuah tembok misteri di Jordan yang berukuran kira-kira 150 kilometer (93
batu) panjang, sekaligus membuatkan ahli-ahli arkeologi tertanya-tanya tentang
bagaimana dan mengapa tembok purba ini dibina.
Live Science melaporkan
bahawa kewujudan tembok tersebut dilaporkan buat pertama kali pada tahun 1948
oleh Sir Alex Kirkbride, seorang ahli diplomat British di Jordan. Beliau
menyedari kewujudan struktur tersebut semasa berada dalam sebuah kapal terbang.
Namun, hanya kini barulah tembok ini berjaya dipetakan secara terperinci
menerusi fotografi udara oleh APAAME, sebuah projek penyelidikan jangka masa
panjang yang dirangka untuk menemukan petempatan bersejarah di Timur Dekat.
MEMETAKAN SEBUAH TEMBOK
PURBA
Walaupun penduduk
tempatan telah lama mengetahui kewujudan tembok tersebut, tiada sebarang cubaan
yang dilakukan sehingga ke hari ini untuk menjalankan penyelidikan dan pemetaan
secara terperinci ke atas struktur purba itu. Ahli-ahli arkeologi bersama
pasukan Aerial Archaeology in Jordan project justeru melaksanakan usaha
pengambilan fotografi dan menghasilkan sebuah peta yang terperinci berkenaan
tembok berkenaan, sekaligus mendedahkan bahawa terdapat bahagian-bahagian di
mana dua buah tembok dibina secara bersebelahan serta bahagian-bahagian lain di
mana tembok ini bercabang ke arah lain.
“Jika kita menambahkan
ukuran tembok yang selari, keseluruhan (panjang tembok) mungkin mencecah
sekitar 150km (93 batu),” tulis David Kennedy, seorang profesor di Universiti
Australia Barat, dan Rebecca Banks, seorang pembantu penyelidik di Universiti
Oxford, dalam sebuah kertas kajian yang diterbitkan baru-baru ini (2016) dalam
jurnal Zeitschrift fur Orient-Archaologie.
![]() |
| Di sebahagian kawasan, tembok ini bercabang ke arah lain |
KHATT SHEBIB – TEMBOK
MISTERI JORDAN
Pemerhatian Sir Alec
Kirkbride terhadap tembok purba ini ada direkodkan dalam jurnal Antiquity:
“Mengembara di udara
tepat di atas daerah Ma’an, saya menyedari kewujudan sebuah tembok batu yang
terbentang panjang, tanpa tujuan yang jelas, di seluruh negara berkenaan,
bermula dari satu titik kira-kira 12 kilometer arah barat dari bandar Ma’an dan
berpenghujung di kawasan berhampiran hujung tubir.”
Kirkbride melaporkan
bahawa penduduk tempatan memanggil tembok tersebut sebagai “Khatt Shebib”
(Tembok Shebib), lantaran kononnya tembok itu dibina oleh seorang putera dari
dinasti Himyar yang bernama Amir Shebib el Tubba’i el-Himyari yang memerintah
Transjordan sebelum kemunculan Islam.
Namun, ada pula yang
berpendapat bahawa tembok tersebut bukan dibina oleh Shebib, sebaliknya ia
hanya digunakan olehnya pada kurun ke-10M sebagai penanda sempadan bagi
memisahkan negara Arab yang bertepian laut di barat dengan tanah yang dipenuhi
bukit-bukau dan gurun gersang di timur.
Tembok ini dipercayai
pada asalnya berukuran satu meter atau semeter setengah (3.28-4.92 kaki) tinggi
dan tidak mempunyai sebarang tapak asas. Binaannya hanya terdiri daripada
batu-batu tongkol yang ditimbunkan. Apapun, saiz tembok yang besar ini
menandakan bahawa pembinaannya bukanlah suatu kerja yang mudah.
“Disebabkan ia dibina
daripada batu-batu tongkol (yang diletakkan) secara rawak, maka tiada jalan
untuk mengetahui secara tepat siapakah yang pertama sekali membina tembok ini,”
lapor Nabataea.net. “Namun sehingga kini, tembok ini berdiri sebagai saksi
kebijaksanaan penduduk wilayah tersebut. Ia juga meraih kedudukan sebagai salah
sebuah struktur yang kurang masyhur namun mengagumkan di Timur Tengah.”
![]() |
| Pandangan jarak dekat tembok Khatt Shebib menunjukkan beberapa buah batu tongkol yang pernah saling ditimbunkan sehingga membentuk tembok setinggi 1 hingga 1.5 meter |
LANSKAP BINAAN PURBA DI
JORDAN
Di sepanjang tembok Khatt
Shebib, ahli-ahli arkeologi turut menemukan lebih 100 buah ‘menara’ yang
berukuran diameter 2-4 meter (6.56-13.12 kaki). Menara-menara ini dipercayai
didirikan sebagai tempat perlindungan ataupun pos peninjau kecil yang dikawal
oleh seorang dua tentera.
![]() |
| Runtuhan salah sebuah menara yang terletak di sepanjang tembok Khatt Shebib |
Namun, tembok dan
menara ini terletak di sebuah lanskap binaan purba yang lebih luas – lanskap
purba yang dianggap sebagai misteri oleh ahli-ahli arkeologi sejak berdekad lamanya.
Selain itu, di padang pasir Jordan juga terdapat geoglif-geoglif gergasi dan
bentukan-bentukan tanah yang berupa cincin, layang-layang dan roda.
Bentukan yang digelari
‘Hasil-Hasil Manusia Purba’ ini meliputi sejumlah ‘roda’ gergasi yang usianya
mencecah hampir 8500 tahun – menjadikannya 6000 tahun lebih tua berbanding
Garisan Nazca yang masyhur di Peru.
Ahli-ahli arkeologi
masih belum mengetahui secara pasti siapakah yang membina bentukan-bentukan
tanah gergasi dan struktur yang ada di Jordan ini, dan apa sebenarnya tujuan
binaan-binaan ini dibangunkan. Diharapkan agar penyelidikan yang lebih lanjut
dapat merungkai misteri ini, walaupun sedikit.
![]() |
| Dua buah ‘roda’ di Gurun Hitam yang dibina/terbina 8500 tahun lalu |
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Misteri Tembok Besar Jordan’
- Get link
- X
- Other Apps




