- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (26 Jun 2013). Battle of Leuctra. Ancient History
Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Battle_of_Leuctra/
https://www.ancient.eu/Battle_of_Leuctra/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pertempuran Leuctra
yang berlaku pada tahun 371SM memberikan kemenangan muktamad buat Thebes ke
atas Sparta sekaligus mengesahkan Thebes sebagai negara-kota paling dominan di
Greece. Kemenangan diraih menerusi percaturan taktikal yang mengagumkan lagi berani
oleh panglima Thebes yang bernama Epaminondas. Taktikal-taktikal perangnya ini
berjaya memukul pasukan hoplite Sparta dan menamatkan mitos kekebalan
tentera Sparta yang mereka nikmati selama berkurun-kurun.
Di samping kesan
susulannya, perincian tepat tentang pertempuran yang berlangsung di dataran
Leuctra yang terletak berhampiran Thebes ini turut diperdebatkan dalam kalangan
sejarahwan meskipun sumber terawal tentang pertempuran ini datang daripada
Xenophon, yang berupaya mendatangkan saksi-saki bagi catatannya berkenaan
pertempuran tersebut di dalam karyanya, Hellenika.
KONTEKS SEJARAH
Pada awal kurun ke-4
Sebelum Masihi, poleis atau negara-negara kota Yunani mencapai tempoh
aman yang tidaklah secara menyeluruh setelah mereka menghadapi konflik yang
timbul tenggelam selama sekurun. Namun sebaik sahaja Sparta menyeru agar
Konfederasi Boeotia yang diketuai oleh Thebes dibubarkan, peperangan sekali
lagi dilihat bakal tercetus.
Thebes menolak tuntutan
Sparta dan reaksi sebegini tidaklah mengejutkan dan malah dijangka oleh Sparta
sendiri yang sudah pun menggerakkan terlebih dahulu pasukan tenteranya yang
mengambil kedudukan di semapdan barat Boeotia sebelum sempat Thebes memberikan
maklum balas.
PASUKAN-PASUKAN TENTERA YANG DIHIMPUNKAN
Sparta dan
sekutu-sekutunya dipimpin oleh Raja Cleombrotus. Pasukan tentera ini terdiri
daripada empat divisi (morai) yang berjumlah seramai 2048 orang tentera.
Daripada jumlah tersebut, 700 orang daripadanya adalah rakyat Sparta dari kelas
hoplite. Selain itu, terdapat juga tambahan tentera seramai 9000 orang
yang dibekalkan oleh sekutu-sekutu Sparta. Daripada keseluruhan 11 000 orang
tentera ini, seramai 1000 orang adalah tentera berkuda.
Sebagai maklumat
tambahan, setelah lebih sedekad berperang, semangat sekutu-sekutu Sparta besar
kemungkinan sudah pun luntur bagi menghadapi konflik yang lebih lanjut.
![]() |
| Tentera hoplite Yunani, oleh Johnny Shumate |
Di barisan tentera
Thebes pula terdapat kira-kira 7000 orang tentera hoplite, di mana 300
orang daripadanya merupakan anggota elit Sacred Band (Pasukan Keramat),
yakni sebuah unit yang terdiri dari pasangan homoseks yang saling bersumpah
setia untuk melindungi antara satu sama lain sehingga ke titisan darah
terakhir. Di Leuctra, unit ini dipimpin oleh Pelopadis.
Pasukan tentera Thebes
ini turut mempunyai 600 orang kavalri yang dianggap sebagai antara yang terbaik
di Greece pada waktu itu. Selain itu, terdapat juga sekumpulan kecil tentera
infantri ringan (hamippoi) yang dilengkapi lembing lontar dan disokong
oleh unit kavalri.
Seluruh pasukan ini
diketuai oleh seorang panglima yang bernama Epaminondas. Sebagai seorang
penuntut teori Pythagoras, komander ini kelak berjaya membuktikan dirinya
sebagai seorang komander yang paling inovatif dan berjaya yang pernah dimiliki
oleh Thebes, dan salah seorang panglima terbaik di Greece.
BABAK-BABAK PENDAHULUAN
Sebilangan komander
Thebes pada mulanya mencadangkan supaya pasukan tentera mereka berlindung di
sebalik tembok Thebes dan menantikan pengepungan daripada pihak musuh
berbanding berhadapan dengan tentera-tentera Sparta di medan terbuka.
Namun, Epaminondas
berjaya mempengaruhi mereka supaya bertindak sebaliknya.
Berbekalkan propaganda
dan peniupan semangat untuk berperang, Epaminondas mengajak mereka merenungi
kisah dua orang anak dara tempatan yang dirogol oleh dua orang Sparta di
Leuctra. Kedua-dua gadis sunti ini kemudiannya membunuh diri kerana rasa malu,
lantas sebuah monumen didirikan bagi memperingati mereka.
Epaminondas memastikan
supaya penghormatan yang selayaknya diberikan kepada monumen peringatan ini
sebelum berangkat ke medan perang. Beliau turut terkenal dengan satu gerak
tubuh yang simbolik dan ikonik, di mana Epaminondas lazim mengayun-ayunkan
seekor ular sambil menyatakan bahawa dengan memukul kepala ular ini – yakni
tentera Sparta – maka seluruh tubuh ular itu akan mati – yakni dominasi Sparta
ke atas Greece.
Aksi pertama
pertempuran berlaku apabila tentera-tentera Sparta menyerang warga awam Thebes
(pengangkut barang, pedagang, dsbg) yang sedang berundur ke Thebes. Namun di
dalam serangan ini, Hieron si ketua Sparta, terbunuh dan warga awam Thebes
tersebut terpaksa bergabung semula dengan pasukan utama.
PERTEMPURAN
Cleombrotus menyusun
pasukan tenteranya dalam formasi phalanx tradisional, di mana 12 unit hoplite
yang lengkap bersenjata diapit oleh dua sayap. Cleombrotus sendiri
dikelilingi oleh unit hippeis elitnya (300 orang pengawal peribadi) dan
mengambil kedudukan di sisi kiri sayap kanan.
Epaminondas
mempersembahkan susunan yang lebih inovatif dan beliau meletakkan unit kavalri
dan infantri ringannya di hadapan dalam formasi phalanx yang tersendiri.
Tidak menggunakan susunan lazim yang berfungsi memperkuatkan sayap kanan,
Epaminondas sebaliknya membentuk sayap kirinya supaya lebih ampuh – 50 barisan
tentera – dan mengarahkan agar barisan-barisannya lebih rapat berbanding
barisan-barisan Sparta. Pasukan Keramat juga diletakkan di sayap kiri sambil
sekutu-sekutu Boeotia diletakkan di sayap kanan, kira-kira 8 – 12 barisan.
![]() |
| Pertempuran Leuctra, 371SM, oleh Jabatan Sejarah, Akademi Tentera US |
Cleombrotus bertindak
balas terhadap susunan tersebut dengan menyusun semula barisannya, menggerakkan
unit kavalri ke hadapan dan melebarkan barisannya demi mengepung sayap kiri
Epaminondas.
Maneuver-maneuver
pertempuran yang relatif rumit ini kemudiannya mendedahkan sisi kiri
Cleombrotus, dan memandangkan pasukan kavalri Sparta tidak berupaya menandingi
unit Thebes yang pantas memukul mereka, maka pasukan berkuda Sparta terpaksa
kembali ke barisannya dan melalui jurang yang terbuka di sisi kiri Cleombrotus. Pasukan Thebes
menyusuli mereka memasuki jurang tersebut dan menimpakan huru-hara ke atas
formasi Sparta.
Sementara itu,
Epaminondas menyerang pada suatu sudut di kiri hinggakan sebagai kesan,
Cleombrotus dipukul jauh dari barisannya. Serangan Epaminondas ini juga
berlangsung dalam keadaan sayap kanannya sendiri sengaja dilewatkan sedikit
sekaligus membentuk formasi echelon (formasi selari di mana satu hujung
lebih terkehadapan berbanding satu hujung lain) semasa menyerang hippeis Sparta.
Pada saat ini,
Pelopidas dan Pasukan Keramat juga melakukan serangan ke atas kedudukan
Cleombrotus dan menimpakan kecederaan parah buat raja Sparta itu sekaligus
menewaskan sayap kanan Sparta secara muktamad.
Secara keseluruhan,
seramai 1000 orang Lacedaemonia terkorban, termasuklah 400 orang hoplite Sparta.
Thebes lantas menjadi polis (negara-kota) yang paling berkuasa di Greece
dan mitos kekebalan tentera Sparta akhirnya ranap setelah menikmati status
tersebut selama 200 tahun.
Strategi-strategi yang
digunakan oleh Epaminondas dalam pertempuran ini bukanlah strategi yang baru.
Namun di masa dahulu, strategi tersebut digunakan tanpa keperluan dan belum ada
yang pernah menggabungkannya sehingga membentuk sebuah formula kemenangan.
Sayap kiri yang disusun
dengan begitu ampuh, penggunaan unit kavalri di hadapan barisan hoplite,
menyerang pada satu sudut tertentu, melaksanakan formasi echelon, dan
menumpukan serangan langsung secara berhadapan dengan kedudukan komander musuh,
kesemuanya ini secara kolektif menghasilkan salah sebuah strategi yang paling
inovatif pernah disaksikan dalam peperangan Yunani. Kekalahan Sparta yang
terkenal gagah ini benar-benar mengejutkan dunia Yunani.
SUSULAN
Kekalahan Sparta ini
membawa kepada pembubaran Liga Peloponnesia, memandangkan kebanyakan sekutunya
menuntut kemerdekaan atau beralih arah membentuk persekutuan dengan Thebes. Helot-helot
dari Messenia pula dibebaskan, sekaligus sebuah polis (negara kota)
baru Messene ditubuhkan. Mantineia yang menderita di bawah penguasaan Sparta
dihidupkan kembali menjadi sebuah polis yang pesat. Sebuah lagi
negara-kota baru, iaitu Megale Polis (Megalopolis) ditubuhkan di Arcadia bagi
mengimbangi Sparta.
![]() |
| Peta Greece di bawah hegemoni Thebes, oleh Megistias |
Susulan daripada
pertempuran ini serta pergolakan penuh status quo di Greece, Athens meminta
supaya diadakan konferens keamanan pada tahun 371 Sebelum Masihi namun ditolak
oleh Thebes, sekaligus melanjutkan perebutan kuasa dalam kalangan pelbagai
negara kota (poleis) Yunani dan hal ini menggegar Greece selama beberapa
kurun berikutnya.
Athens malah
menyebelahi seteru lamanya, iaitu Sparta sementara Thebes dengan sokongan Parsi
pula meneruskan dasar perluasan kuasanya dan sekali lagi, dengan diketuai oleh
Epaminondas, terus menewaskan persekutuan Sparta-Athens dalam pertempuran
Mantineia tahun 362 Sebelum Masihi.
Walau bagaimanapun,
Epaminondas sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan berikutan
peperangan di antara para penggantinya dengan Athens dan Sparta yang
terus-menerus, dominasi singkat Thebes ke atas Greece lantas berakhir dan
kota-kota Yunani kini terhidang untuk ditakluki di mana situasi ini
dimanfaatkan sepenuhnya oleh Philip II dari Macedonia pada tahun 338 Sebelum
Masihi.
BIBLIOGRAFI
- Campbell, B. (ed). The Oxford Handbook of Warfare in the Classical World. Oxford University Press, USA. 2013.
- Hornblower, S. The Oxford Classical Dictionary. Oxford University Press, USA. 2012.
- Kinzl, K.H. (ed). A Companion to the Classical Greek World. Wiley-Blackwell, 2010.
- Plutarch. The Age of Alexander. Penguin Classics, 2012.
- Xenophon. The Landmark Xenophon’s Hellenika. by Robert B. Strassler.
- Get link
- X
- Other Apps



