- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Mac 2016). The Ruthless Chinese Emperor Qin Shi Huang: How He
Unified and Tyrannized His Subjects. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ruthless-chinese-emperor-qin-shi-huang-how-he-unified-and-tyrannized-his-020762
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ruthless-chinese-emperor-qin-shi-huang-how-he-unified-and-tyrannized-his-020762
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Qin Shi Huang diperakui
sebagai salah seorang maharaja terhebat China. Namun, tidak dapat dinafikan
bahawa beliau juga seorang pemerintah yang sangat kejam. Apapun, sifat itulah
yang membolehkannya menyatukan China sekaligus menamatkan zaman Negara-Negara
Berperang.
Walaupun Qin Shi Huang
banyak menabur sumbangan dan meninggalkan legasi-legasi yang berpanjangan dalam
sejarah China, namanya tidak dikenang sebagai seorang pemerintah budiman yang
prihatin akan kebajikan rakyatnya. Sebaliknya, beliau lebih lazim dipandang
sebagai seorang pemerintah tirani.
KEHIDUPAN AWAL QIN SHI
HUANG
Qin Shi Huang
dilahirkan pada tahun 259SM dan merupakan putera kepada raja negara Qin.
Menurut catatan purba (karya Sima Qian yang berjudul Shiji), Qin Shi
Huang sebenarnya bukanlah putera raja Qin, Zhuangxing. Sima Qian mendakwa
bahawa pada penghujung Dnasti Zhou Timur (yang bersamaan dengan penghujung
zaman Negara-Negara Berperang), Yiren si Putera Qin (kelak memakai gelar Zhuangxiang)
berkawan dengan seorang pedagang kaya yang bernama Lu Buwei.
Lu Buwei mengatur
supaya Yiren bertemu dengan isterinya, Zhao Ji. Yiren kemudian jatuh cinta
dengan Zhao Ji dan mengambilnya sebagai gundik. Tanpa pengetahuannya, Zhao Ji
sebenarnya sudah pun mengandungkan anak Lu Buwei.
![]() |
| Qin Shi Huang, Maharaja China |
Ketika Zhao Ji
melahirkan putera pada tahun 259SM, bayi itu diperkirakan sebagai putera kepada
Yiren dan diberi nama Ying Zheng. Ying Zheng membesar di istana Qin dan menjadi
raja Qin pada usia 13 tahun selepas kemangkatan ayahandanya.
Memandangkan beliau
masih kecil, maka hal-ehwal negara diuruskan oleh pemangku raja, iaitu Lu Buwei
selama beberapa tahun. Namun, Lu Buwei risau kalau-kalau Ying Zheng dapat tahu
tentang identiti bapa sebenarnya dan tentang hubungannya dengan Zhao Ji.
Justeru, Lu Buwei menjauhkan diri daripada Zhao Ji dan mendapatkan seorang lagi
pegawai di istana, iaitu Lao Ai untuk menemaninya.
Lao Ai menyamar sebagai
sida-sida istana dan sering menemui Zhao Ji tanpa membangkitkan sebarang
syak-wasangka. Mereka kemudiannya menjalinkan hubungan sulit sehingga Zhao Ji
melahirkan dua orang putera tanpa identiti sebenarnya diketahui sesiapa,
kecuali Lu Buwei.
BERMULANYA PEMERINTAHAN
YING ZHENG
Sebaik sahaja Ying Zheng
meningkat dewasa, Lu Buwei berpandangan bahawa beliau berpeluang untuk
mengekalkan kuasa andai salah seorang puteranya itu diangkat sebagai raja Qin.
Beliau juga tidak lagi khuatir jika identitinya sebagai bapa sebenar Ying Zheng
terdedah. Justeru pada tahun 238SM, sebuah rampasan kuasa dilakukan oleh Lao Ai
semasa Ying Zheng keluar. Lao Ai menggunakan meterai cincin Zhao Ji bagi
menghasut tentera untuk melakukan pemberontakan.
Namun, pasukan
pemberontak ini berjaya ditewaskan oleh pasukan tentera diraja. Lao Ai dan
keluarganya dihukum bunuh. Zhao Ji dikurng dalam rumah tahanan dan Lu Buwei
pula membunuh diri dengan meminum racun. Dengan menundukkan cubaan merampas
kuasa ini, Ying Zheng berjaya meneguhkan kedudukannya sebagai raja Qin
sekaligus membolehkannya untuk menumpukan perhatian pada urusan luar.
![]() |
| Qin Shi Huang, Raja Qin |
Pada waktu itu, China
terbahagi kepada tujuh buah negara utama – iaitu Qin, Han, Wei, Chu, Zhao, Yan
dan Qi. Satu demi satu negara tersebut tumbang ke tangan Qin. Sebahagiannya menyerah
secara rela sambil ada yang melakukan penentangan. Secara bertahap tetapi
pasti, penyatuan ini berjaya diselesaikan pada tahun221SM, hanya sembilan tahun
selepas Qin menakluk negara pertama, iaitu Han.
Sejarahwan berpendapat
bahawa salah satu sebab kejayaan Qin adalah kecenderungan Qin Shi Huang kepada
falsafah Legalisme. Dalam peperangan di zaman China purba, terdapat beberapa
peraturan yang perlu dipatuhi. Namun berdasarkan prinsip-prinsip Legalisme,
peraturan-peraturan tersebut boleh dikesampingkan demi mencapai kemenangan ke
atas musuh.
Pemerintahan Qin Shi
Huang sebagai maharaja juga dapat dijalankan dengan lancar menerusi pengaruh
prinsip-prinsip Legalisme ini. Misalnya, beliau melupuskan sistem feudal yang
sejak sekian lama diamalkan di China dan menggantikannya dengan pentadbiran
autokratik berpusat. Selain itu, undang-undang digubal dan rakyat yang tidak
mematuhinya dikenakan hukuman.
Dicadangkan bahawa
salah satu sebab kejayaan negara Qin ke atas seterunya adalah kecenderungan Qin
Shi Huang kepada falsafah Legalisme. Misalnya, ditudingkan bahawa dalam perang
China purba, terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi. Namun berdasarkan
prinsip-prinsip Legalisme, peraturan-peraturan ini boleh diketepikan demi
mencapai kemenagan ke atas musuh. Sistem tulisan, matawang syiling, serta
ukuran berat dan jarak yang sebelum ini berbeza-beza di setiap negara turut
diseragamkan pada zaman pemerintahan Qin Shi Huang.
Selain itu, Qin Shi
Huang turut memerintahkan pembinaan Tembok Besar China yang masyhur itu. Tembok
ini dipercayai dibina bagi tujuan menandakan sempadan utara empayar dan
melindungi China dari serangan bangsa gasar. Walaupun projek-projek sebegini
bertujuan memberikan kemanfaatan kepada rakyat, sejarah lebih mengenang
kekejaman yang berlaku apabila rakyat, banduan dan tentera dikerah bagi
mengerjakan pembinaan berskala besar tersebut.
![]() |
| Tembok Besar China di Jinshanling |
Sejarahwan turut
mencatatkan bahawa Qin Shi Huang menginginkan kehidupan yang abadi. Beliau
obsess terhadap pencarian air mauhulhayat. Eliksir tersebut hadir dalam bentuk
pil yang mengandungi merkuri. Pil ini dihasilkan oleh ahli-ahli alkimia diraja.
Dipercayai bahawa pil-pil inilah yang mengakibatkan kemangkatan Qin Shi Huang.
Qin Shi Huang mangkat
pada tahun 210 Sebelum Masihi. Dinasti yang beliau tubuhkan runtuh hanya empat
tahun selepas kemangkatannya, disebabkan oleh beberapa faktor yang antaranya
termasuklah penggantinya yang tidak cekap dan ketidakpuasan hati rakyat yang
membawa kepada pemberontakan. Apapun, reformasi-reformasi yang dilakukan oleh
Qin Shi Huang kekal berpanjangan dan pengaruhnya dapat dirasai sehingga ke hari
ini.
SUMBER
- Gracie, C. 2012. Qin Shi Huang: The ruthless emperor who burned books.
- Ministry of Culture. P.R . China. 2003. Qin Shihuang.
- Szczepanski, K. 2014. Qin Shi Huang, First Emperor of China.
- The British Museum. 2016. Explore/Leaders and rulers: Qin Shihuangdi.
- Travel China Guide. 2016. Emperor Qin Shi Huang – First Emperor of China.
- Wu, A. 2015. Qin Shihuang – Owner of the Terracotta Army.
- China History. 2016. The First Emperor of China. Qin Shi Huang.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Qin Shi Huang: Maharaja Yang Menyatukan Seluruh China’
- Get link
- X
- Other Apps



