- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Miller. (15 September 2018). Strength, Unity, and Pride: Cherokee Indians
Triumphed Over Adversity. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/cherokee-indians-0010704
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/cherokee-indians-0010704
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sejarah suku asli
Cherokee cukup menyedihkan. Namun di penghujungnya, mereka berupaya meneruskan
hidup walau setelah kalah perang, diserang wabak, dan diusir dari kampung
halaman. Dipercayai suku asli Chrerokee di Amerika Utara jauh lebih ramai
berbanding suku-suku asli yang lain.
Suku asli Cherokee pada
asalnya menghuni kawasan yang berkeluasan kira-kira 140 000 batu persegi (363
000 km persegi) meliputi Georgia, Alabama, Tennessee, Carolina Utara dan
Selatan, Virginia, Virginia Barat dan Kentucky.
Sejak peristiwa Jejak
Bertangisan (Trail of Tears), di
mana Lima Suku Bertamadun diusir ke Oklahoma, wilayah yang didiami oleh suku
asli Cherokee hanya di Carolina Utara dan Oklahoma sahaja. Dalam erti kata
lain, kebanyakan mereka hidup di luar tanah air sendiri.
![]() |
| Salinan peta Catawba berkenaan suku-suku di Charleston (kiri) dan Virginia (kanan) selepas kurun wabak dan perhambaan, oleh Inggeris sekitar tahun 1724 |
POPULASI MASYARAKAT
CHEROKEE
Ramai masyarakat asli
Amerika mendakwa bahawa mereka berketurunan Cherokee, berbanding suku-suku asli
lain. Di Wilayah Oklahoma sahaja, terdapat seramai 320 000 orang suku asli
Cherokee. Secara keseluruhan, terdapat anggaran yang menyatakan bahawa populasi
mereka mencecah 350 000 orang. Cherokee merupakan tiga suku yang diperakui oleh
pentadbiran persekutuan, di mana dua daripadanya tinggal di Oklahoma dan satu
lagi di Carolina Utara.
BUDAYA CHEROKEE YANG
MAJU
Cherokee dikenali
sebagai salah satu masyarakat asli yang paling maju menjelang zaman ketibaan
orang Eropah di Dunia Baru. Laman sesawang Cherokee.org menulis:
“Semenjak berlakunya
interaksi pertama antara suku asli Cherokee dan peneroka Eropah pada kurn
ke-16, suku asli Cherokee secara konsisten dikenali sebagai salah satu
masyarakat asli Amerika Utara yang paling maju dari segi sosial dan budaya.
Kebudayaan Cherokee mengalami kepesatan ratusan tahun sebelum Eropah tiba di
tenggara Amerika Syarikat moden. Pembangunan sosial dan budaya Cherokee terus
berlangsung sebelum menerima pengaruh kebudayaan dari para peneroka Eropah.
Cherokee membentuk sebuah pentadbiran dan kelompok masyarakat yang setanding
dengan kebudayaan yang paling bertamadun di zaman itu.”
![]() |
| Ilustrasi pembesar perang Cherokee. Suku asli Cherokee mempunyai pembesar perang dan sivil |
Cherokee mengamalkan
gaya hidup berburu, mengumpul hasil hutan dan juga bertani. Kehidupan mereka
terjejas teruk akibat kedatangan Sepanyol dan British, masing-masing pada kurun
ke-16 dan kurun ke-17 Masihi.
SEJARAH CHEROKEE SEJAK
1000 TAHUN LALU
Sejarah Cherokee yang
bermula dari tahun 1000M telah pun dijejaki oleh ahli-ahli arkeologi di wilayah
barat Carolina Utara. Kebudayaan ini dikenali sebagai budaya prasejarah
Cherokee fasa Pisgah. Laman sesawang rasmi Amonsoquath Band of the Cherokee
people mempunyai satu seksyen yang memerihalkan tentang fasa prasejarah
itu.
Laman ini menyatakan
bahawa kampung-kampung Pisgah berkeluasan kira-kira 1 hingga 5 ekar (0.4 hingga
2 hektar), dengan rumah bersaiz petak atau segi empat tepat dibina daripada
kayu yang disusun-kemas di sekitar plazar terbuka. Kampung ini dilindungi oleh benteng
kayu. Ahli-ahli arkeologi berjaya menemukan lubang-lubang pos yang dipercayai
dari benteng kayu runcing. Hal ini mengisyaratkan bahawa saiz kampung itu
membesar seiring peredaran masa.
KEHIDUPAN BERTANI,
BERBURU DAN MENGUMPULKAN HASIL HUTAN SUKU ASLI CHEROKEE
Pemakanan masyarakat
asli Cherokee meliputi jagung, kacang dan labu yang ditanam di lembah-lembah
sungai, di mana tanahnya subur untuk bercucuk tanam. Jagung, kacang dan labu
dikenali sebagai ‘Tiga Beradik’ oleh sebilangan masyarakat asli Amerika. Jalar
dari kacang lazim tumbuh di tangkai jagung, dan daun labu yang rendah pula
melitupi tanah di sekitar jagung sekaligus menghindari semak dari tumbuh di
situ.
![]() |
| Suku asli Cherokee bersiap-sedia untuk Tarian Jagung Hijau |
Ahli-ahli arkeologi
turut menjalankan penyelidikan ke atas sisa tumbuhan di situ dan berjaya
menemukan bahawa masyarakat asli Cherokee dari fasa Pisgah juga memakan kacang
tanah, bijirin, sayuran hijau dan buah-buahan. Selain itu, ahli-ahli arkeologi
juga menyelidiki tulang-tulang haiwan daripada timbunan sampah dan mendapati
bahawa mereka mengamalkan corak kelangsungan hidup yang umum. Walaupun tanaman
belaan dianggap penting, makanan daripada tumbuhan liar dan haiwan buruan juga
dijadikan diet mereka dalam skala yang tidak begitu ketara.
TINGGALAN YANG
MENGISYARATKAN TAPAK RITUAL
Di sebuah tapak yang
dikenali sebagai ‘Taman Anak Sungai’, saintis menemui bukti tambahan berkenaan
ciri sosial, politik dan budaya Pisgah. Terdapat dua buah kampung saling
berhampiran di sana dan kedua-duanya mempunyai gundukan tanah yang
berkemungkinan merupakan platform di mana bangunan upacara atau pentadbiran
didirikan.
Daripada tiga buah
gundukan, dua daripadanya dibina oleh suatu masyarakat yang usianya jauh lebih
purba berbanding Pisgah. Ahli-ahli arkeologi meyakini bahawa pembinaan gundukan
ketiga dimulakan pada fasa Pisgah, namun pada asalnya ia sedikit rendah.
Gundukan ini merupakan sebuah struktur tanah yang dipanggil sebagai rumah
tanah. Laman sesawang Amonsoquath menyatakan:
“Pada masa-masa terkemudian,
rumah tanah kedua dibina bersebelahan dengan rumah tanah pertama. Kemudian,
keduanya dilitupi tanah dan diatapi tanah liat.Tidak semua tapak Pisgah
mengandungi gundukan. Justeru, kewujudan gundukan tanah di Taman Anak Sungai
mengisyaratkan bahawa ia merupakan sebuah bandar utama di mana aktiviti
kebudayaan, sosial dan politik diadakan.”
![]() |
| Pemandangan sebuah Gundukan Creek di Montgomery County, Carolina Utara |
ALATAN DAN PERSENJATAAN
SUKU ASLI CHEROKEE
Alatan dan artifak lain
dari Pisgak diperbuat daripada kayu, cengkerang, tulang, tanah liat dan batu.
Hasil-hasil seramik mereka meliputi jar dan mangkuk, paip, alatan perkebunan
kecl, dan manik. Mereka turut menghasilkan mata panah berbentuk segi tiga,
gerudi, dan pengikis batu kuarza dan cherza. Antara lain yang dihasilkan adalah
kapak dan pahat daripada batu granit dan batu gneis.
Suku asli Cherokee fasa
Pisgah turut menghasilkan paip, gorget (seperti kalung), tukul batu, dan alatan
batu lain. Mereka melombong dan memotong batu mica untuk dibuat
perhiasan. Mereka juga menghasilkan manik dan gorget daripada tulang haiwan dan
cengkerang. Cengkerang-cengkerang ini lazimnya disusun kemas sehingga membentuk
gorget bulat, dan kebanyakannya digores atau diukir bentuk ular.
Mereka turut
mengeluarkan anting-anting, manik dan mangkuk upacara yang diperbuat daripada
cengkerang. Selain itu, cenkerang juga digunakan dalam persemadian. Pada zaman
prasejarah, pakaian masyarakat asli Cherokee diperbuat daripada kulit haiwan.
![]() |
| Gorget bersalib oleh Dan Townsend |
INTERAKSI DENGAN
ORANG-ORANG EROPAH – SEBUAH ERA BARU
Pada awal kurun ke-16,
Cherokee berinteraksi dengan para peneroka Sepanyol sekaligus memulakan era
baru. Amonsoquath Band menulis:
“Menyusuli fasa Pisgah
adalah fasa Qualla (1500-1850 Masihi). Fasa Qualla dikenal pasti sebagai suatu
tempoh sejarah Cherokee yang memiliki kesamaan dari segi ciri artifak, seni
bina rumah, struktur kampung serta corak penyemadian dengan fasa Pisgah.
Justeru, Pisgah dianggap sebagai leluhur langsung suku asli Cherokee. Namun,
terdapat juga beberapa masyarakat lain (dari timur Tennesse dan utara Georgia)
yang menyumbangkan pengaruh terhadap sejarah dan kebudayaan Cherokee.”
Cherokee kemudiannya
mula menyerap seni bina dan ciri pakaian Eropah. Bahkan, mereka turut memiliki
hamba sahaya pada suatu tempoh masa. Mereka mengamalkan kahwin kacuk dengan
para pedagang British dan menggunakan senjata api. Suku asli Cherokee meraih
banyak manfaat dari segi perdagangan kulit rusa kerana menerima permintaan yang
tinggi daripada British, yang mahu menggunakannya untuk menghasilkan pakaian
dan kasut.
Senarai barang dagangan
yang dihasilkan oleh suku Cherokee disiarkan di laman sesawang Cherokee
Nation.
![]() |
| Selepas Perang Inggeris-Cherokee, hubungan renggang berlanjutan. Pada tahun 1765, Henry Timberlake membawa tiga orang Cherokee ke London untuk membaiki dan memperkukuh hubungan |
Untuk menyebutkan
beberapa contoh, masyarakat asli Cherokee boleh membeli selaras senapang dengan
bayaran 30 kulit rusa, dan 50 butir peluru dengan pertukaran satu kulit rusa.
Sebatang kapak kecil atau cangkul boleh didapatkan dengan harga dua kulit rusa,
dan cangkul lebar pula bernilai empat kulit rusa. Selaras pistol dibeli dengan
nilai 20 kulit rusa, manakala sebilah pedang cutlass berharga lapan kulit
rusa.
PEMBABITAN DALAM
KONFLIK SECARA BERTERUSAN
Menjelang awal 1700an,
Kerajaan British di Carolina Selatan mengelaskan lima kumpulan suku asli
Cherokee. Satu kumpulan di Tennessee timur, satu kumpulan di Georgia utara, dan
tiga kumpulan lagi di Carolina Utara. Amonqoquath Band menulis:
“Kurun ke-18 Masihi
menyaksikan suku asli Cherokee secara berterusan terbabit dalam konflik dengan
masyarakat asli di sekeliling dan barisan hadapan kerajaan, pertama dengan
Kolonial British dan seterusnya Perancis, dan akhirnya dengan Amerika Syarikat.
Era ini dianggap sebagai tempoh peralihan persekutuan yang dibentuk secara
bersilih ganti demi melindungi tanah dan hubungan perdagangan mereka.”
Suku asli Cherokee
sering menjalinkan hubungan dengan Perancis, yang tampak kurang berminat
terhadap tanah berbanding perdagangan mereka. Namun, Cherokee sering berpakat
dengan Inggeris dalam menentang seteru-seteru tradisi mereka seperti Tuscarora
dan Creek pada awal 1700an.
![]() |
| Col-lee, Pembesar Kumpulan, 1834 |
Menjelang tahun 1730,
wakil British menemui masyarakat asli Cherokee untuk mengajak mereka membentuk
pakatan. Sir Alexander Curning dan beberapa orang pembesar Cherokee saling
bertemu di bandar Nequassee. Beliau berjaya memujuk mereka supaya tunduk kepada
pemerintahan Inggeris.
Selepas 20 tahun
berlalu, Cherokee mengadakan hubungan perdagangan yang giat dengan British.
Namun, pihak British sering menceroboh kawasan Cherokee dan seterusnya membawa
kepada pertempuran. Hal ini memuncak dengan berlakunya Perang Perancis-Asli
Amerika, yang dianggap sebagai malapetaka buat suku asli Cherokee. Tambah
malang, pada tahun 1769, British menghapuskan kesemua 15 buah petempatan yang
dikenali sebagai Bandar Pertengahan Cherokee.
![]() |
| Gambaran serangan Cherokee ke atas Kubu Loudon di Monroe County, Tennessee, Amerika Syarikat, Ogos 1760 |
Selepas perang tamat,
semakin ramai penjajah yang mencerobih kawasan Cherokee. British berjaya
menghasut Cherokee supaya menyerang Amerika. Lantas, Amerika menghantar pasukan
tentera bagi memerangi Cherokee sebagai tindakan susulan. Amonsoquath
menyatakan:
“Pada tahun 1776,
Jeneral Griffith Rutherford mengetuai sebuah pasukan militia Carolina Utara
dalam serangan ke atas Bandar Pertengahan, Bandar Lembah dan Bandar Luar,
manakala pasukan daripada Carolina Selatan pula menggempur Bandar-Bandar
Rendah. Ikut bertempur, pasukan Virginia menyasarkan Bandar-Bandar Atas Bukit.
Serangan secara
serentak ini berlangsung sepanjang peperangan dan menyaksikan Cherokee kehilangan
semakin banyak tanah, sekaligus melemahkan sempadan politik dan sosial mereka.
Dalam tempoh kurang 60 tahun, kebanyakan suku asli Cherokee dipaksa berpindah
dari tanah air mereka dalam sebuah peristiwa migrasi besar-besaran yang
dikenali sebagai Jejak Bertangisan (Trail of Tears).”
![]() |
| Muzium Cherokee – mural jejak bertangisan |
KEPERCAYAAN SUKU ASLI
CHEROKEE
Suku asli Cherokee
meyakini Semangat Agung, atau Pencipta, yang mentadbir seluruh ciptaan.
Memiliki ciri yang dianggap sama seperti tuhan yang disembah oleh penganut
Kristian, Yahudi dan Muslim, Semangat Agung ini didakwa mengetahui segala
sesuatu dan berkuasa ke atas seluruh alam.
Suku asli Cherokee
pernah hidup di kawasan bandar, namun wabak yang dibawa oleh peneroka Sepanyol,
seterusnya kemelut peperangan dan pencerobohan yang dilakukan oleh para
penjajah, mengakibatkan populasi mereka berkurangan. Kemudian, ramai dari
kalangan mereka dipaksa berpindah ke barat, ke Wilayah Asli India-Amerika yang
dipanggil sebagai Oklahoma, Amerika Syarikat. Suku asli Cherokee kini mendiami
beberapa buah daerah Oklahoma. Pada hari ini, mereka mempunyai pentadbiran,
perundangan sivil dan jenayah, sistem percukaian, polis dan mahkamah yang
tersendiri.
Persatuan Keetowah
Cherokee Asli (United Keetoowah Band of Cherokee Indians) mempunyai
wilayah yang terletak bersebelahan dengan Wilayah Cherokee di Tahlequah
Oklahoma. Kumpulan Cherokee Timur (The Eastern Band of Cherokee)
terletak di Carolina Utara. Dianggarkan terdapat seramai 12 000 orang penutur
bahasa Iroquois Selatan, satu-satunya bahawa yang berbeza secara signifikan
dengan Iroquois Utara.
![]() |
| Kasino moden di Carolina Utara ini adalah sumber pendapatan dan kemegahan Kumpukan Cherokee Timur |
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Suku Asli Amerika Cherokee’
- Get link
- X
- Other Apps










