TABLET TANAH LIAT MENDEDAHKAN ILMUWAN BABYLON TELAH MENGGUNAKAN KAEDAH KALKULUS UNTUK MENGHITUNG KEDUDUKAN JUPITER 1500 TAHUN MENDAHULUI EROPAH

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (28 Januari 2016). Clay Tablet Reveals Ancient Babylonians Used Calculus to Track Jupiter 1500 Years before Europeans. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-science-space/clay-tablet-reveals-ancient-babylonians-used-calculus-track-jupiter-1500-years-020720

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sebuah analisa baru yang dijalankan ke atas tablet-tablet tanah liat purba telah mendedahkan bahawa ahli-ahli astronomi Babylon menggunakan kaedah-kaedah geometri yang maju untuk menghitung kedudukan planet Musytari – suatu kaedah yang sebelum ini diperkirakan hanya berlaku di Eropah pada kurun ke-14 Masihi.

Dalam sebuah laporan yang disiarkan pada hari ini (2016) dalam jurnal Science, didedahkan bahawa tablet-tablet purba berkenaan mengandungi pengetahuan rahsia masyarakat Babylon, yang sejarahnya boleh dijejak kembali dari tahun 350SM hingga 50SM. 

Rahsia-rahsia ini tersimpan dalam koleksi kuneiform di Muzium British, London tanpa disedari selama berdekad-dekad. Keadaan ini terus berlanjutan sehinggalah seorang ahli astro-arkeologis, Mathie Ossendrijver dari Universiti Humboldt di Berlin menjalankan penganalisaan semula ke atas tablet-tablet dari gambar. Menerusi penganalisaan ini, barulah kepentingan dan signifikasi teks-teks tersebut disedari.


PENGETAHUAN ASTRONOMI MASYARAKAT BABYLON

Sejarah astronomi dalam kalangan masyarakat Babylon berasal dari bangsa Sumeria, yang merekodkan pemerhatian mereka seawal 3500-3200SM. Fenomena astronomi dianggap sebagai suatu perkara yang penting bagi masyarakat Sumeria, yang mengaitkan setiap planet dengan dewa-dewi mereka. Dewa-dewi ini pula masing-masing memegang peranan yang tersendiri dalam kepercayaan mereka. Musytari misalnya, dikaitkan dengan dewa utama mereka, iaitu Marduk, si dewa pelindung kota Babylon.

Pengetahuan astronomi bangsa Sumeria memberikan pengaruh yang penting terhadap pengetahuan astronomi bangsa Babylon, yang menghasilkan katalog bintang mereka yang pertama sekitar tahun 1200SM.

Menjelang kurun ke-8SM, ahli-ahli astronomi Babylon berjaya mengembangkan sebuah pendekatan empirikal baharu dalam meramal pergerakan jasad-jasad samawi – suatu pendekatan yang kelak digunakan dan dikembangkan dengan lebih lanjut oleh bangsa Yunani.

Fenomena astronomi penting bagi masyarakat Babylon. Kudurry (stele) Raja Melishipak I (1186-1172SM); raja membawa puterinya menghadap dewi Nannya. Bulan sabit mewakili dewa Sin, matahari mewakili Shamash dan bintang mewakili dewi Ishtar


PENGIRAAN ASTRONOMI DI BABYLON

Penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan ke atas tablet-tablet yang direkodkan oleh mereka berupaya menghadirkan kesimpulan bahawa ahli-ahli astronomi Babylon menggunakan kaedah aritmetik dalam melakukan perkiraan dan anggaran. Namun, salah satu tablet dalam koleksi yang baru dianalisa ini ada menyebutkan tentang bentuk trapezoid (rajah segi empat dengan semua sisi tidak selari) ketika membicarakan tentang planet Musytari.

Ossendrijver mendapati bahawa lukisan trapezoid digunakan untuk menganggarkan kedudukan Musytari dalam zodiak. Pengiraan ini meliputi tempoh selama 60 hari, bermula dari hari di mana Musytari muncul buat kali pertama di langit malam, sejurus sebelum waktu subuh.

“Dengan mengira kawasan di dalam lukisan trapezoid berkenaan, ahli-ahli astronomi Babylon berupaya menemukan kedudukan planet Musytari di langit – memanfaatkan perkaitan yang sama di antara halaju dan anjakan kedudukan sebagaimana yang diajar dalam kelas-kelas pengenalan kalkulus,” lapor New Scientist.

Pendedahan ini menyimpulkan bahawa kaedah yang sebelum ini dianggap terbangun pada kurun ke-14 Masihi di Oxfod, Cambridge ternyata sudah pun dipraktiskan oleh ilmuwan Babylon.

Sejarahwan Alexander Jones dari Universiti New York memaklumkan kepada ScienceMag bahawa tidak seperti geometri rumit yang dipraktiskan oleh Yunani purba pada beberapa kurun kemudian, inskripsi-inskripsi Babylon mencerminkan ‘sebuah konsep yang lebih abstrak dan mendalam tentang objek geometri, di mana satu dimensi mewakili masa. Konsep sedemikian berkenaan pergerakan jasad samawi belum pernah ditemui di mana-mana (tamadun) kecuali pada kurun ke-14 di dalam teks-teks Eropah. Penemuan ini… mengesahkan kecemerlangan ilmuwan Mesopotamia yang membangunkan astronomi secara matematik.”

Ilmuwan Babylon menggunakan kaedah geometrik untuk menganggar kedudukan Jupiter di zodiak


Pada tahun 1974, seorang sejarahwan yang bernama A.Aabeo menulis di dalam artikelnya yang berjudul ‘Scientific Astronomy in Antiquity’ bahawa ahli-ahli astronomi Babylon, “(melakukan) cubaan pertama dan sangat berjala dalam memberikan perincian matematik yang teliti tentang fenomena astronomi” dan bahawa “kesemua kepelbagaian yang ada dalam bidang astronomi saintifik di zaman berikutnya, iaitu Hellenistik, India, Islam dan Barat bersandarkan pada pengetahuan Babylon.”

Kajian dan penganalisaan terkini ini sememangnya mendokong kesimpulan yang dibuat oleh Aaboe tia dekad yang lalu, sekaligus mendedahkan bahawa ilmuwan astronomi Babylon memberikan sumbangan yang cukup signifikan terhadap perkembangan sains.