- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (11 Disember 2018). The Great Wall of China Construction Project
that Spanned Generations, Centuries and Dynasties. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/great-wall-china-0011155
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/great-wall-china-0011155
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tembok Besar China
(juga dikenali sebagai ‘Wanli Changcheng’ atau ‘Tembok 10 000 Li’)
merupakan salah sebuah struktur yang paling ikonik dalam tamadun China. Selain
bergelar tembok yang paling panjang di dunia, ia juga meraih kedudukan sebagai
salah sebuah projek pembinaan yang paling besar pernah dijalankan.
Berbeza dengan anggapan
umum, Tembok Besar China bukanlah sebuah tembok tunggal. Sebaliknya, ia
terbentuk daripada beberapa buah tembok yang digabungkan menjadi satu rangkaian
pertahanan. Pembinaannya pula berlangsung secara bertahap selama ratusan atau
malah ribuan tahun.
Di samping itu,
bahagian tembok yang paling lazim dikunjungi dan dijadikan sebagai latar
pengambilan gambar – yakni bahagian yang berhampiran Beijing – bukanlah
mewakili ciri binaan seluruh tembok ini. Hal ini kerana terdapat pelbagai gaya
binaan sesuai dengan kedudukan tembok berkenaan.
TEMBOK DIBINA DI ZAMAN
DINASTI ZHOU BAGI MELINDUNGI SERANGAN DARI NEGARA JIRAN
Pada zaman Dinasti Zhou
Timur (dari kurun ke-8 hingga kurun ke-3 Sebelum Masihi), China terbahagi
kepada beberapa buah negara. Lantaran negara-negara ini saling berperang secara
berterusan, maka tembok pertahanan dibina bagi melindungi sempadan
masing-masing. Tembok ini dibina oleh negara Yan, Zhao dan Qin, tiga buah
negara yang terletak paling utara. Kelak, tembok-tembok inilah yang membentuk
Tembok Besar China di peringkat awalnya.
DINASTI QIN –
TEMBOK-TEMBOK BESAR DIHUBUNGKAN DAN DILEBARKAN
Pada tahun 221SM,
penyatuan China berjaya dilaksanakan oleh Qin Shi Huang, pengasas Dinasti Qin.
Selain musuh dari dalam, Maharaja Pertama China ini juga menyedari kewujudan
ancaman dari luar terutama sekali puak Xiongnu yang boleh menyerang pada
bila-bila masa sahaja.
Justeru, maharaja
memerintahkan tembok-tembok negara Yan, Zhao dan Qin dihubungkan dan
dipanjangkan. Pembinaan Tembok Besar di zaman Qin Shi Huang dimulakan pada
tahun 214SM dan mengambil masa selama sedekad, dengan melibatkan ratusan ribu
orang tentera dan pekerja kerahan. Selepas kejatuhan Dinasti Qin, Tembok Besar
ini ditinggalkan dan mengalami kerosakan.
![]() |
| Peta Tembok Besar China di zaman Dinasti Qin |
DINASTI HAN
MEMBAIK-PULIH TEMBOK BESAR DAN MENGGALAKKAN PERDAGANGAN DI LALUAN SUTERA
Pada zaman Dinasti Han,
khususnya era pemerintahan Han Wudi, Tembok Besar China dibaiki. Projek
pembaikpulihan ini dijalankan demi melindungi China dari gempuran Xiongnu.
Tembok Besar pada zaman ini juga dihubungkan dengan Laluan Sutera. Han Wudi
melebarkan tembok berkenaan ke wilayah barah, justeru memberikan faktor
keselamatan kepada para pedagang yang melalui laluan purba ini. Selain itu,
tembok ini juga membolehkan Dinasti Han mengawal aliran perdagangan antara
China dan Barat.
![]() |
| Peta Tembok Besar China di zaman Dinasti Han |
Tembok Besar mengalami
nasib yang pasang surut pada tempoh di antara ketumbangan Dinasti Han (220M) dan
penubuhan Dinasti Ming (1368M). Beberapa buah dinasti, seperti Tang dan Yuan,
tidak melihat adanya keperluan untuk mempunyai tembok pertahanan yang besar
justeru tidak melakukan sebarang penambahan signifikan pada Tembok Besar.
Dinasti-dinasti lain
seperti Dinasti Sui dan Dinasti Liao pula memerlukan benteng pertahanan
tambahan, dan makanya mereka membina beberapa buah tembok dan perkubuan yang
baru. Namun secara keseluruhannya, kebanyakan bahagian tembok asal yang dibina
semasa Dinasti Qin dan Dinasti Han tidak diselenggara dengan baik. Merentas
masa, tembok-tembok yang dibina daripada batu hancur ini terhakis dek cuaca dan
hanya sebahagian sahaja bertahan sehingga ke hari ini.
![]() |
| Tembok Besar Mutianyu, China. Gambar menunjukkan permukaan atas tembok di bahagian yang belum dibaikpulih |
TEMBOK BESAR DALAM
KEADAAN TERBAIKNYA DI ZAMAN DINASTI MING
Pada zaman pemerintahan
Dinasti Ming, projek pembinaan tembok berskala besar sejak Dinasti Han
dilaksanakan. Para pemerintah Dinasti Mng menyelenggara, memperteguh dan
memperbesarkan tembok-tembk sedia ada secara berterusan. Tembok Besar yang
dikenali dunia pada hari ini boleh dianggap berasal-usul dari pembinaan pada
era ini.
Tembok yang melindungi
ibu kota, Beijing, antara bahagian yang paling terkenal. Bermula dari Gerbang
Juyong (terletak di barat laut Beijing), tembok besar Ming ini terbahagi kepada
haluan – sebuah tembok luaran di utara dan sebuah tembok dalaman di selatan.
Sejumlah laluan dan gerbang diletakkan di sepanjang kedua-dua tembok ini.
Tiga
buah Gerbang Luar dikenali sebagai Gerbang Yanmen, Ningwu dan Piantou, manakala
tiga buah Gerbang Dalam pula adalah Gerbang Juyong, Daoma dan Zijing.
Gerbang-gerbang ini amat signifikan bagi tujuan perlindungan ibu kota justeru
ianya dikawal dengan ketat.
![]() |
| Tembok Besar di zaman Dinasti Ming |
Maharaja-maharaja
memberikan perhatian yang cukup besar kepada Tembok Besar China lantaran
khuatir kalau puak-puak gasar dari utara menyerang China. Walaupun Tembok Besar
China berada dalam keadaannya yang paling ampuh di zaman Dinasti Ming, ia tetap
gagal melindungi mereka dari serangan Manchu, yang menubuhkan Dinasti Qing.
Kempen ketenteraan Manchu telah pun dimulakan sejak awal kurun ke-17, namun
hanya pada tahun 1644 barulah mereka berjaya melepasi Tembok Besar. Pada tahun
tersebut, komander Ming yang mempertahankan Gerbang Shanhai, Wu Sangui,
mengadakan rundingan dengan pihak Manchu dan bertindak membuka pintu gerbang
sekaligus membenarkan Manchu menawan ibu kota.
![]() |
| Gerbang Shanhai di mana Tembok Besar China bertemu dengan Laut Bohai |
TEMBOK BESAR SEKALI
LAGI ROSAK DI TANGAN DINASTI QING
Tidak seperti dinasti
pendahulunya, Dinasti Qing tidak merasakan adanya keperluan untuk membina atau
menyelenggara Tembok Besar. Hanya di zaman moden, iaitu sekitar 1950an, barulah
kerajaan China menjalankan usaha penyelenggaraan dan pembinaan semula tembok
ini. Namun pada waktu itu, Tembok Besar China bukan lagi befungsi sebagai
benteng pertahanan. Sebaliknya, ia menjadi salah sebuah simbol kebangsaan
China, di samping destinasi pelancongan yang terkenal. Pada tahun 1987, Tembok
Besar China diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
![]() |
| Bahagian-bahagian utama Tembok Besar China yang masih berdiri pada hari ini |
SUMBER
- Hoyt, A. 2008. How the Great Wall of China Works.
- Kelly. 2018. The Great Wall of China – All Things You Want to Know.
- Man, J. 2018. 10 facts about the Great Wall of China.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Great Wall of China.
- Travel China Guide. 2018. Great Wall of China.
- UNESCO. 2018. The Great Wall.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Pembinaan Tembok-Tembok Besar China Dalam Sejarah’
- Get link
- X
- Other Apps






