TEMBOK BESAR GORGAN – ULAR MERAH IRAN YANG MENYAKSIKAN KEBANGKITAN DAN KEJATUHAN TAMADUN

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Jun 2018). The Great Wall of Gorgan: Red Snake of Iran Saw Empires Rise and Civilizations Crumble. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/great-wall-gorgan-0010150

Penterjemah: Amir Zayyanid


Tembok Besar Gorgan, juga dikenali sebagai ‘Ular Merah’ merupakan sebuah sistem pertahanan yang terletak di wilayah utara Iran. Tembok pertahanan ini dibina pada zaman Empayar Sassanid dan dipercayai dikawal oleh tentera-tentera empayar berkenaan sehingga sekurang-kurangnya separuh pertama kurun ke-7 Masihi. 

Tembok Besar Gorgan merupakan sebuah binaan yang mengagumkan lantaran panjang dan kemajuan teknikalnya yang luar biasa. Ia merupakan sebuah struktur pertahanan yang efektif dalam mempertahankan sempadan utara Empayar Sassanid dari musuh-musuh yang cuba menceroboh masuk.


PEMBINAAN TEMBOK BESAR GORGAN

Sebelum kehadiran pentarikhan secara saintifik, bermacam-macam pentarikhan dibuat bagi menjejak tahun pembinaan Tembok Besar Gorgan. Misalnya, sebahagian sejarahwan berpendapat bahawa tembok ini dibina pada zaman Alexander Agung yakni kurun ke-4 Sebelum Masihi. Ada pula yang meyakini bahawa tembok berkenaan dibangunkan pada zaman pemerintahan Raja Khosrow I dari Sassanid yakni kurun ke-6 Masihi. 

Walau bagaimanapun, kebanyakan sejarahwan berpendapat bahawa tembok ini didirikan pada suatu tempoh antara kurun ke-2 hingga kurun pertama Sebelum Masihi, iaitu ketika kawasan itu merupakan sebahagian daripada jajahan takluk Empayar Parthia.

Baru-baru ini, pentarikhan secara saintifik mendapati bahawa tembok ini dibina pada kurun ke-5 atau ke-6 Masihi. Penulis-penulis di zaman purba, seperti Procopius dari Byzantine ada merekodkan tentang peperangan yang dihadapi oleh Empayar Sassanid menentang musuh-musuh mereka di utara pada sekitar waktu ini. Justeru, agak munasabah untuk Empayar Sassanid mendirikan Tembok Gorgan pada masa ini.


UKURAN TEMBOK BESAR GORGAN

Tembok Besar Gorgan berukuran hampir 200 km (124 batu) panjang, bermula dari pantai Laut Kaspia di sempadan barat, dan berakhir di Pergunungan Pishkamar di sempadan timur. Sebagai perbandingan, Tembok Hadrian di England utara berukuran 117 km (72.7 batu) panjang, manakala Tembok Antonine yang lebih jauh di utara pula sepanjang 63 km (39.15 batu). Dalam erti kata lain, Tembok Besar Gorgan jauh lebih panjang berbanding dua buah tembok Rom bahkan jika kedua-duanya digabungkan.

Sememangnya, sebagai sebuah tembok pertahanan, kepanjangan tembok Sassanid ini hanya diatasi oleh Tembok Besar China. Boleh dikatakan bahawa pembinaan Tembok Besar China mempunyai kepelbagaian dari segi saiz, kualiti, bahan binaan, kerana ia disesuaikan dengan permukaan tanah. Sebaliknya, Tembok Besar Gorgan menunjukkan konsistensi dalam pembinaan secara keseluruhan.

Sebahagian Tembok Besar Gorgan


Selain ukuran panjang, Tembok Besar Gorgan juga didapati 10 meter (32.81 kaki) lebar dan 3 meter (9.84 kaki) tinggi di kebanyakan bahagiannya. Tambahan lagi, keseragaman ini juga dapat dilihat menerusi saiz dan bentuk bongkah batu yang digunakan. Hal ini mempunyai fungsi yang praktikal, kerana ia membolehkan jurubina Sassanid untuk membina tembok ini dengan lebih cepat dan mudah, dan pada masa yang sama mengekalkan kualitinya. Hal ini sangat penting lantaran musuh-musuh Empayar Sassanid di utara boleh menyerang mereka pada bila-bila masa sahaja.

Sisa tinggalan relau-relau di sepanjang tembok ini turut menjadi satu lagi bukti keefisienan jurubina Sassanid dari segi logistik, memandangkan batu-bata dihasilkan di situ dan ia boleh digunakan secara langsung untuk tujuan pembinaan. Selain itu, rangkaian terusan juga digali di sepanjang tembok bagi tujuan membekalkan air kepada relau-relau berkenaan. Disebabkan oleh warna merah pada batu-bata ini, maka Tembok Besar Gorgan turut dikenali sebagai ‘Ular Merah’.

Tapak ekskavasi Qareh Deeb


MENGHINDARKAN PENCEROBOHAN MUSUH

Tembok Besar Gorgan memainkan kefungsian yang cemerlang buat Empayar Sassanid, memandangkan ia berupaya melindungi sempadan utara mereka, pertama sekali daripada serangan suku Hephthali (Hephthalite) atau turut dikenali sebagai Hun Putih, dan kemudian daripada serangan suku Turk. Mereka merupakan ancaman bagi Empayar Sassanid, kerana sering melancarkan serangan rentas sempadan.

Selain tembok-tembok besar yang ianya sendiri merupakan penghalang yang ampuh dari pihak penceroboh (yang kebanyakannya terdiri daripada pasukan berkuda), Tembok Besar Gorgan juga dilengkapi dengan 38 buah kubu di mana setiap satunya disertakan dengan barak (markas). Selain itu, kira-kira 30 000 orang tentera dianggarkan boleh diletakkan bagi mengawal di sepanjang tembok berkenaan.

Ilustrasi Shahnameh tentang panglima Sassanid bernama Sukhra memerangi Hephthali (484)


Berdasarkan ujian pentarikhan karbon, didapati bahawa Tembok Besar Gorgan terus digunakan sehingga setidak-tidaknya kurun ke-7 Masihi. Walaupun tiada kepastian sama ada tembok itu ditinggalkan sesudah itu ataupun tidak, kita sememangnya jelas mengetahui tentang Perang Byzantine-Sassanid yang berlaku pada tahun 602 sehingga 628 Masihi, dan kemudian serangan bangsa Arab ke atas Parsi yang bermula pada tahun 633 Masihi. Justeru, agak munasabah untuk mengandaikan bahawa tentera-tentera yang berkawal di sepanjang sempadan utara ini dikerah untuk memerangi Byzantine ataupun bangsa Arab.

Namun, bukti yang didapati daripada penyelidikan-penyelidikan yang lebih terkini mengisyaratkan bahawa tembok ini terus digunakan sebagai benteng pertahanan sepanjang satu atau dua kurun berikutnya. Walau apapun keadaannya, Tembok Besar Gorgan pada akhirnya menjadi puing-puing sejarah dan dimamah padang pasir.


SUMBER