- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Anna Liesowska. (16 Ogos 2017). Discovered: The Great Wall of Siberia Dating to
1st millennium BC. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/discovered-great-wall-siberia-dating-1st-millennium-bc-008613
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/discovered-great-wall-siberia-dating-1st-millennium-bc-008613
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Terdapat sebuah benteng
gergasi yang melindungi Pergunungan Altai dari serangan gasar di utara, ujar
ketua pasukan arkeologi Profesor Andrey Borodovsky. Kompleks tembok yang kini
hampir terselindung sepenuhnya dari mata kasar ini dipercayai dibina pada era
di mana Tembok Besar China dan Tembok Hadrian didirikan.
Di sebalik
lapisan-lapisan rumput yang tebal, saintis menemukan batu-batuan besar binaan
manusia. Enam baris tembok selari ini berfungsi untuk mengehadkan laluan
keluar-masuk ke Gunung Altai dari arah utara melalui lembah di Sungai Katun.
Ukuran lebar tembok ini kira-kira 10 meter sementara tingginya pula mencecah 8
meter.
![]() |
| Lokasi Tembok Altai |
Sejarahwan masih belum
mengetahui siapakah yang bertanggungjawab membina benteng gergasi ini.
“Di bahagian timur
tembok ini terdapat sebuah gerbang yang luas. Gerbang ini dihimpit pada lereng
gunung oleh sebuah lagi tembok, yang membentuk laluan timur-barat lembah
Katun.”
Secara keseluruhan,
terdapat sembilan buah tembok yang bersambungan di lereng gunung berkenaan. Profesor
Andrey Borodovsky berkata, “Tembok-tembok ini jelas sekali dibuat untuk
menyekat pergerakan manusia dan melorongkan mereka ke laluan yang dikehendaki
oleh pembinanya.”
![]() |
| Tembok Besar Siberia |
Dengan demikian, akses
dari steppe ke kawasan gunung yang merupakan kediaman bagi sejumlah tamadun
purba, seperti kaum Pazyryk, dapat dikawal.
Sebahagian tembok ini
telah musnah akibat pembinaan jalan raya Chuya pada zaman tzar, di mana kawasan
tersebut menjalani modenisasi di bawah pemerintahan Stalin. Bahagian barat
benteng ini turut musnah apabila kampung moden Souzga dilebarkan.
“Bukan mudah untuk
dapatkan gambar tembok ini dalam keadaan yang boleh dilihat,” kata Andrey
Borodovsky. “Gambar-gambar satelit juga tidak banyak membantu.”
![]() |
| Menjalankan penyelidikan di lokasi tertentu tembok berkenaan |
Apapun, Prof Borodovsky
bertegas melaksanakan analisa geofizikal di mana imbasan yang dibuat
menunjukkan bahawa struktur yang ada di situ adalah binaan manusia. Beliau
mengumumkan perancangan untuk melaksanakan penyelidikan lanjut pada tahun
hadapan (2018) di tapak berkenaan, tapak yang bernilai dan signifikan buat
sejarah (walaupun keluasannya tidaklah besar, dengan ukuran panjang sekitar 1km
setakat yang telah dikenal pasti).
![]() |
| Kedudukan beberapa buah tembok yang kekal bersebelahan dengan Jalan M52 |
Setakat ini, bukti
arkeologi berupa rangka manusia di kawasan sekitar tembok berkenaan merujuk
kepada rangka milik manusia di zaman pertengahan. Namun, penyelidik dari
Institusi Arkeologi dan Etnografi di Novosibirsk mempercayai bahawa bukti yang
dapat mengesahkan usia pembinaan tembok itu yang jauh lebih awal akan ditemui
kelak.
“Analisa geofizik sudah
jelas mengesahkan bahawa tembok Souzga dibina oleh manusia,” kata ketua
penyelidik kepada The Siberian Times.
![]() |
| Data dari analisa geofizik |
“Bukan mudah untuk
menentukan usia pembinaan struktur sebegini, atau masa tepat di mana ia dibina.
Namun, saya percaya tembok ini dibina sekitar milenium pertama Sebelum Masihi –
permulaan era baru. Iaitu Zaman Besi atau mungkin Zaman Gangsa. Namun, saya
lebih cenderung mengatakan ianya Zaman Besi. Saya mendasarkan kenyataan ini
pada hakikat bahawa ia merupakan zaman di mana banyak pembinaan dilakukan di
seluruh dunia, misalnya Tembok Hadrian. Masalah yang kami hadapi sekarang
adalah satu-satunya penemuan arkeologi yang dapat kami peroleh di kawasan
sekitar tembok setakat ini berusia tidak lebih dari zaman pertengahan.
“Namun, saya percaya
bahawa pada Zaman Pertengahan, tiada komuniti yang cukup besar di kawasan ini
yang mampu membina tembok seampuh ini. Lagipun, tidak wujud sebarang keperluan
untuk membangunkan benteng pertahanan seperti ini kerana pada Zaman
Pertengahan, bermacam-macam komuniti kecil berselerakan di merata tempat.”
![]() |
| Tembok Hadrian |
Andrey Borodovsky
berkata, “Kesemua tembok pertahanan yang mengagumkan di Eurasia dibina pada
permulaan milenium pertama Sebelum Masihi sehingga awal separuh pertama
milenium pertama Masihi. Era ini dikenali sebagai Zaman Gangsa Lewat dan Zaman
Besi Awal, antara lain melibatkan era suku kaum Hun yang berada di ambang
Perpindahan Besar. Pembinaan benteng sebegini berkemungkinan disebabkan
beberapa faktor.
Pertama sekali,
kehadiran sumber manusia yang banyak pada era ini, berikutan perkembangan
ekonomi penghasilan. Kedua, konflik ketenteraan yang semakin memburuk dan
peningkatan signifikan pada skalanya. Ketiga, pembentukan negara besar dan
entiti-entiti proto negara, yang mempunyai sempadan ekonomi, budaya dan politik
dan kesemua sempadan ini adalah untuk… memisahkan dunia mereka dari orang
asing.”
![]() |
| Tembok Besar China |
“Kita kenal benar
Tembok Besar China yang dibina selama beberapa kurun, di mana batu asasnya
dimulakan pada kurun ke-3SM. Begitu juga dengan Tembok Hadrian di Britain yang
dibangunkan pada zaman kemunduran Empayar Rom.
Tidak tinggal juga antara
yang kita kenang adalah struktur pertahanan ampuh seperti Tembok Ular yang
terbentang di Ukraine, bermula dari bandar Zmiiv di timur hingga ke Podolia di
barat, di mana pembinaannya dimulakan pada Zaman Gangsa Lewat.”
- Get link
- X
- Other Apps







