ZAPOTEC DARI MONTE ALBAN – TAMADUN PERTAMA DI MEXICO PURBA?

Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (30 Jun 2019). The Zapotecs of Monte Alban – The First Civilization in Western Mexico? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/monte-alban-0012219

Penterjemah: Amir Zayyanid


Di tengah-tengah lembah Oaxaca, Mexico terletak runtuhan batu yang berpusat di sekeliling sebuah bukit buatan. Kini, ia merupakan sebuah destinasi pelancongan masyhur dan tapak arkeologi signifikan. Walaupun kepentingannya dari sudut budaya cukup tinggi, signifikasinya dari segi politik agak kecil. Namun pada suatu masa dahulu, tapak arkeologi Monte Alban pernah menjadi pusat sebuah kuasa politik yang memerintah Oaxaca.


SEJARAH AWAL MONTE ALBAN

Sejarahwan masih belum mengetahui apakah nama Monte Alban sebagaimana yang dipanggil oleh penduduk asalnya. Kebanyakan individu moden, baik ilmuwan mahupun orang awam, hanya memanggil kota purba ini sebagai Monte Alban. Tapak Monte Alban diyakini telah dihuni sejak kurun ke-8 Sebelum Masihi lagi. Kompleks yang membentuk Monte Alban ini pula mempunyai sejarah sejak 400-500SM.

Negeri Oaxaca, Mexico dianggap penting kerana menjadi salah sebuah tapak terbangunnya tamadun terawal di Mexico. Oaxaca juga merupakan tempat di mana struktur-struktur keagamaan dan benteng-benteng pertahanan terawal di Mexico didirikan, sekitar 1300SM. Kebudayaan urban pertama yang berkembang di Oaxaca adalah kebudayaan Zapotec. Ia muncul dalam rekod arkeologi sekitar tahun 1500SM.


ZAPOTEC DARI MONTE ALBAN

Zapotec merupakan masyarakat pertama di rantau itu yang membina monumen daripada batu-bata bakar (850)SM) dan mencipta sistem tulisan (sekitar 500SM). Mereka juga memiliki pengetahuan khusus tentang astronomi dan kejuruteraan sivil, berdasarkan pada keupayaan mereka membina kota Monte Alban.

Runtuhan Balai Cerap di Monte Alban


Bermula dari tahun 1500SM hingga 500SM, petempatan San Jose Mogote diyakini sebagai pusat urban pertama di rantau itu. Sesudah tahun 500SM, San Jose Mogote mengalami kemerosotan dan digantikan oleh Monte Alban yang berkembang pesat.
Monte Alban memulakan sejarahnya sebagai sebuah tapak ritual yang dibina di sebuah bukit yang sengaja ditinggikan, bertujuan untuk membina sebuah plaza. 

Merentas kurun, plaza ini menjadi pusat petempatan, pentadbiran dan kompleks keagamaan bagi bangsawan tempatan. Daripada sebuah pusat keagamaan yang memiliki sejumlah kampung, Monte Alban menjadi sebuah pusat politik yang utama. Faktor utama yang menyumbang kepada perubahan ini adalah dasar perluasan wilayah yang diamalkannya.

Sekitar tahun 400SM, status Monte Alban adalah antara bandar dan kampung. Menjelang kurun pertama Masihi, ia mencapai piawai sebuah kota urban. Pada zaman kemuncaknya, Monte Alban mempunyai populasi seramai 30 000 orang dan merupakan pusat rangkaian pentadbiran yang luas dan mentadbir sejumlah besar kampung dan petempatan berhampiran.


KOMPLEKS MONTE ALBAN

Monte Alban terdiri daripada sebuah bukit dan plaza yang bertingkat. Di sekitar plaza itu pula terdapat bangunan rendah tetapi panjang, serta balairung dan anak-anak tangga. Kompleks ini secara keseluruhannya mempunyai terusan, piramid, gundukan tanah, dan teres, selain beberapa ciri lain lagi.

Kota ini mungkin dibina berdasarkan prinsip topografi suci yang berbeza dengan pelan kota-kota lain di kawasan berhampiran, seperti Oaxaca de Juarez yang dibina berdasarkan sistem grid oleh Sepanyol pada tahun 1529.

Pelan tapak Monte Alban


Antara lain, kompleks Monte Alban ini turut mempunyai kuil, gelanggang bola, makam dan relif. Salah sebuah struktur yang masyhur di Monte Alban adalah Bangunan J yang dibina secara berperingkat, dari tahun 1M hingga tahun 700M. Bangunan J merupakan sebuah struktr yang dipercayai oleh sebilangan ilmuwan sebagai balap cerap yang digunakan bagi tujuan keagamaan. Bangunan ini berbentuk seperti pentagon, dengan terdapat aci yang melintang di sepanjangnya. Terdapat juga anak tangga luar yang dibina sedikit senget daripada pintu.

Bangunan J, Monte Alban, Oaxaca, Mexico


Di kawasan luar struktur ini terdapat ukiran relif rendah, termasuklah sebuah glif bertiang silang. Sebahagian pakar meyakini bahawa ia memiliki kaitan dengan kegunaan astronomi. Struktur ini diperkirakan 45% lebih condong berbanding bangunan-bangunan lain. Kecondongan bangunan ini dipercayai diselarikan dengan kedudukan bintang Capella. Satu titik bucu bangunan ini menuding ke arah bintang tersebut pada tanggal 2 Mei, ketika matahari berada di puncak (90 darjah dari kaki langit).

Plaza di atas bukit dipercayai sebagai pusat pentadbiran dan keagamaan. Ia turut menempatkan rumah-rumah kediaman golongan elit. Rumah-rumah yang lebih terperinci seni binanya turut dilengkapi dengan perkarangan tertutup dan lazimnya si mati dikebumikan di situ. Kuil-kuil di sana dihiasi dengan relif stucco dan hieroglif. Kebanyakan penduduk Monte Alban mendiami teres bukit yang dibina khusus untuk orang awam.

Menerusi hasil penyelidikan arkeologi, ilmuwan membahagikan fasa evolusi Monte Alban kepada lima fasa. Pada fasa I-III, Monte Alban mengalami pemajuan dan menjadi kota penting. Tiga fasa pertama ini mewakili zaman kemuncak Monte Alban.
Dua fasa terakhir pula ditandai dengan kemunduran dan Monte Alban ditinggalkan secara bertahap. Tiga fasa awal ini mencirikan kebudayaan Zapotec, manakala dua fasa terakhir menyaksikan dominasi Zapotec merudum dan digantikan oleh Mixtec serta kebudayaan-kebudayaan lain. Pada fasa tersebut, lebih banyak bangunan pertahanan dibina dan kota dikelilingi oleh benteng.

Peta menunjukkan kawasan bersejarah Mixtec. Tapak-tapak arkeologi pra-sejarah ditandai bentuk segi tiga. Tapak-tapak zaman Klasik ditandai titik bulat, dan tapak-tapak pasca-Klasik ditandai bentuk petak


BUDAYA DI MONTE ALBAN

Monte Alban apda asalnya dihuni oleh masyarakat Zapotech purba. Sekurang-kurangnya terdapat 16 kumpulan masyarakat berbeza di Oaxaca, yang masing-masing memberikan sumbangan yang penting terhadap lanskap kebudayaan negara Mexico moden. Zapotec adalah salah satu masyarakat awal yang membina tamadun sempurna. Mereka juga menjadi kumpulan etnik yang dominan di rantau itu, bermula dari kurun pertama Masihi sehingga kurun ke-9 Masihi.

Komuniti Zapotec secara tipikalnya mempunyai sebuah kuil, sebuah sekolah, struktur-struktur pentadbiran dan rumah-rumah kediaman. Masyarakat Zapotec kebanyakannya adalah golongan petani. Dialek-dialek bahasa Zapotec masih lagi dipertuturkan sehingga ke hari ini. Bahasa Zapotec merupakan bahasa yang bergantung pada nada, justeru maksud sesebuah perkataan boleh berubah sesuai dengan intonasi yang dilontarkan.

Sistem tulisan mereka pula bersifat logosyllabic. Hal ini bermaksud, setiap huruf dalam sesebuah perkataan diwakili oleh satu simbol atau abjad. Sistem tulisan Zapotec di Monte Alban dipercayai menjadi perintis yang kelak melahirkan sistem tulisan yang digunakan oleh tamadun Maya, Mixtec dan Aztec. Masyarakat Zapotec di Monte Alban juga menggunakan sistem perangkaan yang mempunyai titik dan garis, yang kelak turut digunakan oleh tamadun Maya. Banyak inskripsi tinggalan Zapotec yang ditemui di Monte Alban memerihalkan tentang peristiwa-peristiwa besar yang berlaku sepanjang sejarah tamadun mereka.


MONTE ALBAN DAN MIXTEC

Selepas berakhir kurun ke-9 Masihi, Monte Alban diambil-alih oleh tamadun Mixtec. Mixtec merupakan sebuah kebudayaan yang dicirikan sebagai masyarakat yang mahir menghasilkan barangan logam dan batu permata.

Mixtec juga menghasilkan manuskrip atau buku dengan menggunakan kulit kertas atau kulit rusa, yang kekal sehingga ke hari ini. Antara yang direkodkan adalah sejarah dan mitologi mereka. Ahli-ahli arkeologi dan sejarahwan memanfaatkan manuskrip ini untuk mengenali Mixtec dengan lebih lanjut. Manuskrip-manuskrip Mixtec turut menceritakan tentang hikayat keperwiraan raja-raja mereka. 

Antara yang paling masyhur adalah Raja Lapan Rusa ‘Cakar Harimau Kumbang’. Manuskrip-manuskrip ini juga memberikan maklumat tentang kehidupan masyarakat Mixtec. Antara lain, kita dapat mengetahui bahawa tamadun Mixtec terbahagi kepada beberapa buah kerajaan merdeka yang saling berebutkan kekuasaan.

Raja Mixtec, Lapan Rusa ‘Cakar Harimau Kumbang’ di kanan, bertemu Empat Harimau Kumbang di kiri


Manuskrip-manuskrip ini turut mencatatkan tentang kerajaan-kerajaan Mixtec yang mendominasi tanah-tanah Zapotec. Fasa-fasa selanjutnya yang dilalui oleh Monte Alban adalah melibatkan tamadun Mixtec. Terdapat sejumlah artifak yang membuktikan kemahiran artisan-artisan Mixtec. Makam 7 yang masyhur dengan perhiasan emas dan perak, tembikar-tembikar berhias, serta ukiran-ukiran binatang merupakan salah satu contoh binaan Mixtec yang mengagumkan di Monte Alban. Mixtec mewakili kebudayaan terakhir yang menghuni Monte Alban sebelum kota itu ditinggalkan.


KEPERCAYAAN DI MONTE ALBAN

Sama seperti petempatan-petempatan masyarakat Zapotec di kawasan lain, masyarakat Zapotec di Monte Alban juga mengamalkan kepercayaan politeisme dan memuja dewa-dewi. Antara dewa yang dipuja adalah Cocijo si dewa hujan dan Coquihani si dewa cahaya. Dewa-dewi kecil dalam kepercayaan Zapotec lazimnya dikaitkan dengan pertanian dan kesuburan. Mitos asal-usul Zapotec mempunyai sejumlah variasi. Sebahagiannya mendakwa bahawa mereka berasal-usul dari pokok atau harimau kumbang. Versi yang lain pula menyatakan bahawa mereka berasal dari gua yang ada di bawah tanah.

Gambaran Cocijo, dewa hujan dari zaman Klasik awal, di Monte Alban


MONTE ALBAN DAN KAITANNYA DENGAN TEOTIHUACAN

Sepanjang milenium di mana Monte Alban wujud sebagai pusat politik yang urban, wujud beberapa pusat lain seperti Teotihuacan.

Teotihuacan dibina di Mexico City moden pada tahun 400SM, sekitar tempoh masa di mana Monte Alban masih merupakan sebuah tapak ritual yang mempunyai sejumlah kampung di sekelilingnya. Menjelang kurun pertama Masihi, Teotihuacan menjadi sebuah tapak kebudayaan dan keagamaan yang signifikan. Ia meraih kemasyhuran berkat piramid-piramid dan kompleks pangsapurinya yang menonjol. 

Kompleks kediamannya tidak begitu berbeza dengan kompleks kediaman yang ada pada hari ini, terutama dari segi kefungsian asas dan struktur sosialnya. Ahli-ahli arkeologi turut menemukan sisa-sisa tinggalan yang menunjukkan bahawa kompleks pangsapuri ini mempunyai dapur tempat makanan disediakan.

Terdapat juga akses terhadap barangan dan perkhidmatan di kawasan tersebut. Selain itu, kompleks ini turut diyakini memiliki sifat diversiti yang mengagumkan.
Kajian-kajian yang dilakukan ke atas tulang-tulang manusia yang mendiami kawasan tersebut menunjukkan bahawa masyarakat dari seluruh Mesoamerika datang dan menetap di Teotihuacan. Kota ini dipercayai mempunyai seramai 125 000 orang penduduk pada zaman kemuncaknya. Kedua-dua fakta ini membuktikan bahawa Teotihuacan merupakan sebuah metropolis multi-etnik di zaman purba.

Tiga buah kuil utama yang ada di Teotihuacan adalah Piramid Bulan, Piramid Matahari dan Piramid Naga Berbulu. Piramid Matahari merupakan struktur terbesar yang pernah dibina di hemisfera barat pada era Pra-Columbia, dengan ketinggiannya mencecah 207 kaki (63m) dan tapak asasnya pula sepanjang 738 kaki (225m).

Piramid Matahari, Monte Alban


Kuil-kuil ini terletak di sepanjang jalan utama utara-selatan yang kelak dipanggil oleh masyarakat Aztec sebagai Jalan Kematian. Walaupun Teotihuacan sudah lama ditinggalkan ketika Empayar Aztec ditubuhkan, ia masih memainkan peranan yang signifikan dalam kepercayaan Aztec dan lazim dikunjungi oleh para jemaah. Nama yang diberikan oleh masyarakat Aztec kepada kota ini membawa maksud ‘(tempat) di mana para dewa diciptakan’.

Kesamaan ciri seni bina antara Teotihuacan dan Monte Alban mengisyaratkan adanya interaksi di antara dua buah kota ini. Selain itu, kedua-dua kota ini juga tumbang atau merosot pada sekitar masa yang sama, iaitu kurun ke-8 dan kurun ke-9 Masihi. Hal ini menimbulkan spekulasi dalam kalangan ahli arkeologi berkenaan hubungan antara Teotihuacan dan Monte Alban.

Sebilangan daripada mereka mengandaikan bahawa Teotihuacan merupakan kota yang lebih dominan manakala Monte Alban hanya kota naungan Teotihuacan. Keadaan sebaliknya juga tidak dapat diketepikan sama sekali. Malah, terdapat juga kemungkinan bahawa Monte Alban mempengaruhi Teotihuacan. Namun, pendapat yang terakhir ini kurang diterima memandangkan Teotihuacan lebih besar berbanding Monte Alban.

Walaupun kota-kota ini wujud pada masa yang sama dan saling mempengaruhi dari segi seni bina, mereka mungkin bukanlah sebahagian daripada tamadun yang sama. Hal ini dapat dilihat menerusi hakikat bahawa penduduk Monte Alban, iaitu Zapotec memuja dewa-dewi yang tersendiri manakala penduduk Teotihuacan pula menyembah dewa-dewi yang lain. Fokus keagamaan di Teotihuacan menumpu pada Tlaloc si dewa ribut Mexico dan Quetzalcoatl si dewa naga berbulu, dan bukannya pantheon Zapotec.

Justeru walaupun kedua-duanya mempunyai kesamaan dari segi seni bina dan latar masa, terdapat perbezaan nyata dalam aktiviti keagamaan sekaligus membuktikan walaupun mereka adalah tamadun yang berbeza dan mungkin berseteru (tanpa mendominasi antara satu sama lain).


KEJATUHAN MONTE ALBAN

Sejarahwan dan ahli-ahli arkeologi masih belum mengetahui secara jelas faktor kejatuhan Monte Alban. Bukti tidak dapat mengesahkan secara kukuh sama ada kejatuhannya ini disebabkan konflik ataupun sebab-sebab lain. Namun apa yang pasti, Monte Alban mengalami kemerosotan di sekitar tempoh di mana wilayah-wilayah Mesomaerika lain dilanda konflik. 

Berdasarkan kemungkinan bahawa Monte Alban meluaskan wilayah dan meneguhkan kedudukannya menerusi dasar ketenteraan, satu hipotesis dikemukakan bahawa kota ini runtuh akibat pemberontakan. Hipotesis ini melanjutkan dengan mengandaikan bahawa golongan elit Monte Alban bersikap menindas.

Selepas jatuhnya Monte Alban, masyarakat Zapotec mulang hilang pengaruh dan kedudukan mereka digantikan oleh Mixtec yang menjadi kebudayaan dominan di rantau berkenaan. Masyarakat Mixtec sendiri kemudiannya digantikan oleh tamadun Aztec. Menjelang era ketibaan conquistador Sepanyol, Monte Alban sudah pun lama tidak didiami – berkurun lamanya.


LEGASI MONTE ALBAN

Monte Alban mewakili salah sebuah petempatan urban terawal di Mesoamerika. Tidak dapat dinafikan kebarangkalian bahawa Monte Alban memberikan pengaruh yang signifikan terhadap tamadun-tamadun Mesoamerika yang kemudian, seperti Mixtec dan Aztec sekaligus menandakan satu aras ketamadunan yang tersendiri di Mesoamerika. Kebanyakan elemen yang kita kaitkan dengan Mesoamerika pada hari ini pada hakikatnya berasal dari petempatan atas bukit yang terletak di tengah-tengah Oaxaca ini.


SUMBER