- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Amir
Zayyanid – 16 April 2020 (9:12) – Bicara Buku [Teratak Dzihn]
Judul: Aqal Dalam Islam
– Satu Tinjauan Epistemologi
Penulis: Mohd Zaidi bin Ismail
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tebal: 120 halaman
Harga: RM25
Penulis: Mohd Zaidi bin Ismail
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tebal: 120 halaman
Harga: RM25
Membaca judulnya sahaja
sudah cukup untuk menggamit minat bagi membacanya. Dewasa ini, lebih-lebih lagi
dalam dunia yang sebegini canggih teknologinya, hampir siapa pun jua pasti
pernah berhadapan dengan dikotomi antara agama dan sains, atau wahyu dan akal,
atau iman dan fikiran.
Situasi yang membahagi
atau memisahkan antara ahli fikir dan ahli iman, seolah-olah menggunakan akal
fikiran dalam beragama itu suatu fataliti dan beragama dalam hal-hal yang
sofistikated itu suatu kejumudan.
Adakah wajar keduanya
ini saling dipertentangkan sedemikian rupa? Persoalan inilah yang menggamit
kita untuk mengetahui bagaimanakah kedudukan aqal dalam Islam. Sejauhmana
kefungsian aqal dalam memahami dan seterusnya menghidupi Islam.
Sebelum itu, terlebih
dahulu bangkit kepada kita persoalan seputar apakah sebenarnya yang dimaksudkan
dengan aqal ini? Apakah sama erti aqal dengan fikiran sebagaimana yang
cenderung kita fahami?
Apakah ketika diberikan
oleh Allah aqal kepada manusia ini, ia semata-mata bermaksud manusia itu
dikurniakan upaya untuk berfikir? Apakah dengan berfikir itu sudah memaknai
maqsud dan kefungsian aqal?
Jika diberikan sedikit
penumpuan, sudah tentu pengertiannya tidak sama terutama kerana akar katanya
pun berbeza. Justeru, permaknaan aqal dan aqal-fikiran itu sendiri perlu kita
telusuri terlebih dahulu sebelum menyelami dikotomi itu tadi.
Di bahagian pendahuluan
buku ini ada dinukilkan kata-kata Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas
berkenaan aqal:
“Akal itu ibarat
penglihatan menerusi dua mata yang tilikannya telah diseimbangkan sehingga
menjadi satu pandangan. Mata yang satu melihat yang zahir dan yang satu lagi
melihat yang batin; dan keseimbangan pandangan mengenainyalah yang harus
dituntut, kerana jikalau tiada demikian maka pandangan yang terlihat nanti
seperti pandangan yang buta sebelah, atau yang juling-keliru.”
Sama ada buta pada yang
zahir mahupun buta pada yang batin.
Dalam bahagian yang
lebih lanjut, disebutkan bahawa aqal, yang boleh dimengertikan sebagai ‘saluran
daripada dalam diri yang bukannya alat sebaliknya merupakan diri yang menanggap
itu sendiri’ (diri ruhani yang wujud dalam diri jasmani), sebenarnya ia antara
lain adalah mata hati.
Atau yang sering kita
sebut sebagai pandangan basirah. Mata yang menilik pada hal yang batin, yang
gunanya antara lain banyak untuk bermuhasabah diri, menadah rezeki faham, dan
menerbitkan yakin.
Kemudian, dinukilkan
pada bahagian yang lebih lanjut tentang penerangan ilmuwan terdahulu, seperti
al-Ghazzali dan al-Isfahani yang mengatakan bahawa aqal itu turut membawa makna
‘ilmu’, dengan permaknaan yang melangkaui maklumat. Kualiti ilmu inilah yang
malah menentukan sikap, perangai dan perlakuan seseorang.
Dalam kearifan lokal,
terlebih lagi jika mendengarkan kata orang-orang tua, sering disebutkan ilmu
itu sebagai lembaga. Hinggakan Hamka sendiri menamakan beberapa buah bukunya
sebagai Lembaga Budi dan Lembaga Hikmat.
Mencerminkan betapa
ilmu dan aqal itu bukanlah alat, sebaliknya diri yang menanggap itu sendiri.
Menanggap sepertimana mata zahir menanggap hal yang zahir. Dan aqal, menanggap
yang zahir dan yang batin.
Sebagaimana kita
memahami perbezaan antara nyawa dan jasad, demikianlah analogi yang dapat kita
fahami antara aqal dan otak, atau aqal dan fikiran. Justeru, dalam bahagian-bahagian
lanjut di dalam buku ini, ada diterangkan tentang perhubungan antara
aqal-naqal, aqal dan aqal-fikiran, dan aqal dan otak.
Kefahaman tentang
perhubungan ini penting bagi menghindarkan kesalahfahaman dalam dikotomi antara
zahir dan batin, atau hal materi dan ghaib. Supaya kita tidak terjerumus ke
dalam faham materialisme yang menganggap bahawa wujud itu adalah segala apa
yang terlihat pada zahir semata (dan mengesampingkan hal yang ghaib, atau
hal-hal yang ghaib ini ditolak dari digolongkan sebagai ilmu).
Fahamn sebegini
terdorong daripada semangat scientism, sebagaimana yang dapat kita lihat pada
hari ini berlakunya dikotomi antara agama dan sains, akal dan wahyu, serta ahli
agama dan ahli fikir. Hinggakan dalam beberapa keadaan, pandangan bersifat
agama yang mengiringkan unsur-unsur kebatinan ditolak oleh semangat scientism,
dan begitu pula sebaliknya.
Antara lain yang turut
disebutkan di dalam buku ini adalah betapa semangat atau pendekatan Islam
terhadap ilmu itu bercirikan tawhid (kesatuan-kesepaduan) dan adil-beradab
(peletakan sesuatu pada tempatnya yang wajar). Kesepaduan antara aqal dan naqal
(wahyu), serta peletakan aqal-naqal pada tempatnya yang wajar dalam agama
Islam.
Disebutkan di dalam
buku ini bahawa dalam epistemologi Islam, digariskan bahawa terdapat tiga
saluran utama insan untuk memperoleh ilmu perihal hakikat-kebenaran di mana dua
daripadanya melibatkan aqal dan naqal (wahyu), iaitu, (1) pancaindera yang
sejahtera, (2) khabar yang benar (termasuk di dalamnya wahyu), dan (3) aqal.
Sebagai seorang Muslim
yang mana kita dituntut untuk memahami dan menghidupi Islam, serta mengungguli
pula hikmah yang hikmah ini antara lain adalah pengetahuan sains, maka perlu ke
atas kita untuk memahami makna aqal dan duduk-peranannya dalam mencapai
kedua-dua matlamat tersebut.
Dan buku Aqal Dalam
Islam: Satu Tinjauan Epistemologi karangan tuan Mohd Zaidi bin Ismail ini
sangat membantu dalam memahamkan kita akannya, dengan hanya menerusi kurang
lebih 100 halaman sahaja.
Kandungannya pun tidaklah
sepenuhnya berat dan niche. Boleh sahaja difahami oleh layman seperti
kita, kecuali pada beberapa bahagian kecil.
Buku ini boleh dipinjam
daripada Perpustakaan Negara Malaysia dan dibaca secara digital. Cuma format
yang disediakan oleh PNM ini agak sukar sedikit untuk dibaca, terutama untuk
membezakan antara bahagian nota kaki dan bahagian isi.
Justeru macam saya
sendiri, rasanya lebih selesa jika berpeluang mendapatkan naskhah fizikalnya
untuk memudahkan lagi pembacaan. Setidaknya, untuk membolehkan pemahaman
terhadap kandungannya dicairkan sesuai dengan kefahaman peringkat layman.
- Get link
- X
- Other Apps
