- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Joshua J. Mark. (4 Mei 2018). Asia Minor. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Asia_Minor/
https://ancient.eu/Asia_Minor/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Asia Kecil di zaman
purba merupakan sebuah wilayah geografi yang terletak di bahagian barat daya
Asia, yang kebanyakannya terdiri daripada Turki moden. Sebutan pertama
berkenaan rantau ini boleh ditemukan pada tablet-tablet Dinasti Akkadia
(2334-2083 Sebelum Masihi), di mana ia dikenali sebagai ‘Tanah Hatti’ dan
dihuni oleh bangsa Het (Hittite). Bangsa Het pula memanggil rantau
tersebut sebagai ‘Assuwa’ (atau, lebih awal, Aswiya), di mana sebenarnya ia
hanya meliputi kawasan sekitar delta sungai Cayster.
Namun pada masa yang
terkemudian, istilah tersebut digunakan bagi merujuk seluruh rantau itu. Assuwa
dari Zaman Gangsa ini dianggap sebagai asal-usul bagi nama ‘Asia’, sebagaimana
yang diperincikan oleh bangsa Rom tentang rantau tersebut. Masyarakat Yunani
pula memanggilnya sebagai ‘Anatolia’ (secara harfiah bermaksud ‘tempat terbit
matahari’, di wilayah-wilayah timur Greece).
NAMA &
DAERAH-DAERAH
Nama ‘Asia Kecil’ (Asia
Minor, daripada bahasa Yunani iaitu, ‘Mikra Asia’ – Asia Kecil) kali
pertama digunakan oleh seorang sejarahwan Kristian, iaitu Orosius (sekitar
375-418 Masihi) dalam karyanya, Seven Books of History Against the Pagans
pada tahun 400 Masihi bagi membezakan antara tanah besar Asia dan rantau yang
telah pun di-Kristian-kan oleh Paul Si Hawari (merangkumi tapak-tapak yang
dikenali dari Surat Paul dalam Bible sebagai Ephesus dan Galicia).
Empayar Byzantine dari kurun ke-9 Masihi pula memanggil rantau tersebut sebagai
‘Thema Timur’, yang secara ringkas membawa maksud ‘Pecahan Pentadbiran Sebelah
Timur’, dan para kelasi di zaman terkemudian memanggilnya sebagai ‘Levant’ yang
bermaksud ‘bangkit’ atau ‘membangkit’. Hal ini merujuk kepada bagaimana daratan
di situ menaik tinggi di ufuk laut.
Dalam dunia purba, Asia
Kecil merupakan tempat lahirnya kerajaan dan kota-kota:
- Thrace
- Bithynia
- Paphlagonia
- Aeloia
- Phyrgia
- Galicia
- Pontus
- Armenia
- Urartu
- Assyria
- Cilicia
- Pamphylia
- Lycia
- Pisidia
- Lycaonia
- Caria
- Mysia
- Ionia
- Lydia
- Troy
TAPAK-TAPAK &
INDIVIDU-INDIVIDU MASYHUR
Pencapaian dan kemajuan
yang dicapai oleh masyarakat di Asia Kecil agak meluas dan merangkumi senarai
panjang individu, tempat dan peristiwa yang paling masyhur dalam sejarah purba.
Menurut sejarahwan Philo dari Byzantium (menulis pada 225 Sebelum Masihi) dan
penulis-penulis di zaman terkemudian, Asia Kecil merupakan tempat berdirinya
dua dari Tujuh Keajaiban Dunia: iaitu Kuil Artemis di Ephesus (di daerah Ionia)
dan Makam Mauslos di Halicarnassus (juga dikenali sebagai Permakaman
Halicarnassus, di Carnia).
Di kota Miletus yang terletak di Iona, ahli falsafah
barat pertama, iaitu Thales dan para pengikutnya, Anaximander dan Anaximenes,
mencari Sebab Pertama kejadian, yakni hal yang melahirkan segala sesuatu, serta
memulakan pencarian dan kaedah saintifik. Herodotus yang digelari ‘Bapa
Sejarah’ dilahirkan di Halicarnassus.
Ahli falsafah merangkap ahli matematik
ulung, Pythagoras dilahirkan di Pulau Samos sementara Heraclitus, seorang lagi
tokoh penting dalam falsafah Yunani, dilahirkan di Ephesus tempat beliau hidup
dan menulis. Cilicia, yang merangkumi kota Tarsus tempat Paul Si Hawari dilahirkan,
merupakan sebuah rantau yang masyhur dengan penghasilan khemah – dan hal ini
adalah pekerjaan Paul sendiri.
![]() |
| Syiling Perang Lydia |
MITOLOGI & SEJARAH
Lydia merupakan
kerajaan yang diperintah oleh Croesus, raja ulung yang menafikan Empayar Achaemenid-Parsi
pimpinan Cyrus Agung. Beliau didakwa sebagai lelaki yang paling bahagia di
dunia sebelum kekalahan dan penangkapannya di tangan tentera Parsi. Dalam
mitologi Yunani, Lydia juga merupakan tempat di mana Titan yang bernama Asia
menetap dan lebih awal daripada itu, tempat di mana dewi ibunda Potnia Aswiya
(Puan Assuwa) dipuja (yang menjadi Artemis dan kuilnya didedikasikan di ibu
kota Lydia, Ephesus).
Phyrgia pula adalah tempat kelahiran Rhea, si Dewi Ibunda
Yunani sementara Kota Troy pula dimasyhurkan oleh Homer di dalam dua buah karya
kurun ke-8 Sebelum Masihi beliau, iaitu Iliad dan Odyssey. Rantau
Asia Kecil dianggap sebagai tanah kelahiran matawang syiling sekaligus rantau
pertama yang menggunakan matawang syiling dalam urusan perdagangan; namun,
kerajaan pertama yang berbuat demikian masih diperdebatkan sehingga kini.
Pada tempoh antara 1250
dan 1200 Sebelum Masihi, Orang-Orang Laut menyerang dari selatan dan menceroboh
Greece, lalu mengganggu Mesir dan akhirnya mengusir bangsa Het dari rantau
Assuwa. Namun, Orang-Orang Laut ini tidak menghuni tempat itu secara kekal lantaran
mereka kemudian berpindah ke selatan, di Kan’an.
Pengkoloni-pengkoloni Yunani,
terutama dari Athens dan sekitar Attica, kemudiannya menetap di pantai Asia
Kecil, merangkumi Mediterranean hinggalah Laut Hitam. Koloni-koloni di Ionia
inilah yang disokong dan didanai oleh Athens dan Eretria, sekaligus mendorong
kepada penentangan mereka terhadap kekuasaan Parsi yang mengawal kawasan
tersebut. Hal ini sekaligus mengundang kemurkaan raja Parsi, Darius I dan
membawa kepada serangan pertama ke atas Greece pada tahun 490 Sebelum Masihi di
mana ia berjaya dipatahkan dalam Pertempuran Marathon.
![]() |
| Perpustakaan Celsus, Ephesus |
Pada tahun 334-333
Sebelum Masihi, Alexander Agung menewaskan Parsi dan menakluki Asia Kecil. Di
Gordium yang merupakan ibu kota Phyrgia, beliau dikatakan bertindak memotong
Simpulan Gordian, di mana ramalan menafsirkan hal ini sebagai petanda Alexander
bakal menjadi raja Asia. Selepas kemangkatan beliau, wilayah kekuasaannya di
utara dan barat ditadbir oleh panglimanya yang bernama Antigonus I manakala
Seleucus I Nicator mentadbir wilayah selatan dan timur serta terlibat secara
aktif dalam Perang Diodachi (perang para pengganti Alexander).
Rantau tersebut kekal
dalam keadaan yang tidak stabil sepanjang pemerintahan para gabenor Hellenistik
sehinggalah ketibaan Rom pada tahun 133 Masihi (Raja Attalus III dari Pergamon
menyerahkan kotanya kepada Republik Rom dalam wasiatnya justeru menjemput
kehadiran Rom di rantau itu). Selepas tahun 133 Masihi, Rom secara stabil
menakluk atau menyerap kota-kota Asia Kecil sehingga ia sepenuhnya menjadi
wilayah Rom.
Di bawah pemerintahan
Rom, tanah ini memperoleh kestabilan; jalan raya dibina dan infrastruktur
kebanyakan kota ditambah baik. Komuniti-komuniti pantai pula meraih kepesatan
dan Ephesus secara khusus menikmati kemewahan besar sehinggalah berlaku
kebangkitan Kristian, di mana kemajuan ‘dunia’ di rantau tersebut ditinggalkan
berikutan Kedatangan Kedua Christ.
Empayar Byzantine menguasai wilayah itu
sesudah ketumbangan Empayar Rom pada tahun 476 Masihi, dan setelah berlakunya
kebangkitan Islam, Kristian-Byzantine berebutkan kekuasaan ke atas rantau itu
dengan Kekhalifahan Islam sehinggalah ketibaan Seljuq-Turk pada tahun 1068
Masihi. Kekuasaan Turki di rantau itu terus berleluasa sehingga tahun 1299
Masihi, iaitu apabila Asia Kecil menjadi sebahagian daripada Empayar Uthmaniyah
dan, sesudah kejatuhannya, menjadi sebahagian daripada Turki.
BIBLIOGRAFI
- Durant, W. Our Oriental Heritage. Simon & Schuster, 1954.
- Durant, W. The Life of Greece. Simon & Schuster, 2011.
- Freeman, K.B. Companion to the Pre-Socratic Philosophers. Harvard University Press, 1966.
- Hamilton, E. The Greek Way. W.W. Norton & Company, 1993.
- Herodotus. Herodotus. University of Chicago Press, 1988.
- Jordan, P. Seven Wonders of the Ancient World. Longman, 2002.
- Worthington, I. Alexander the Great. Longman, 2004.
- Get link
- X
- Other Apps


