- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (7
Oktober 2016). Balhae. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Balhae/
https://www.ancient.eu/Balhae/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kerajaan Balhae (Parhae)
di Manchuria (698-926 Masihi) merupakan sebuah kuasa serantau yang berinteraksi
dengan kerajaan-kerajaan jiran, iaitu Kerajaan Silla Bersatu di Korea dan
Dinasti Tang di China. Dinasti Tan merupakan sebuah kerajaan yang sangat
berpengaruh terutama dari segi kebudayaan, manakala Jepun pula dianggap sebagai
sekutu Balhae yang sangat setia.
Balhae mendakwa kerajaannya sebagai pewaris
sah kerajaan Goguryeo (Koguryo) yang wujud jauh lebih awal di bahagian utara
Kora. Balhae menikmati kepesatan selama dua kurun berkat tanah pertaniannya
yang subur dan hubungan perdagangannya yang berjaya. Kerajaan ini tumbang pada
awal kurun ke-10 Masihi apabila ia diserang dan ditakluk oleh suku Khitan dari
Monggolia.
PENUBUHAN DAN PERLUASAN
Kerajaan ini ditubuhkan
pada tahun 698 Masihi oleh Dae Joyeong (Tae Choyong), seorang panglima yang
berasal dari suku separa-nomad Malgal di Manchuria timur. Populasi Balhae pada
asalnya terdiri daripada pelarian-pelarian Goguryeo (37 SM – 668 M), yang telah
ditakluk oleh kerajaan Silla. Antara lain yang turut membentuk populasi Balhae
ialah anggota suku Malgal serta kumpulan-kumpulan lain seperti Wuji, Khitan dan
Turk Timur. Dae Joyong menabalkan dirinya sebagai raja dan menggunakan gelaran
Raja Go. Beliau memerintah sehingga tahun 719 Masihi.
Pada tahun 706 Masihi,
kerajaan ini dinamakan sebagai Balhae bersempena laut di sekeliling semenanjung
Liaodong dan Shanding. Pelbagai kota dijadikan sebagai ibu kota sepanjang
separuh pertama kurun ke-8 Masihi, sehinggalah Ibu Kota Agung (Shangjing/Sanggyong)
ditubuhkan berhampiran Sungai Hurha pada tahun 755 Masihi. Shangjing mempunyai
benteng-benteng yang ampuh dan istana-istana yang memiliki sistem pemanas bawah
tanah ondol dan jubin-jubin atap yang berukir indah.
Di samping itu,
terdapat empat buah ibu kota sampingan, 15 buah bandar kecil (pu) dan satu
peringkat yang lebih rendah yang terdiri daripada kampung-kampung yang
diperintah oleh pembesar tempatan. Pembesar ini mentadbir di bawah seliaan
pemerintahan pusat, yang mana sistem begini mengambil pengaruh daripada Dinasti
Tang. Lima buah rangkaian jalan raya juga dibina bagi membantu menyatukan
kerajaan.
Sungai Yunghung dan
Daedong (Taedong) membentuk sempadan antara Balhae dengan jiran selatan, iaitu
Kerajaan Silla Bersatu di Korea. Zaman kekuasaan dua buah kerajaan ini
kadangkala disebut sebagai Perpecahan Utara-Selatan (Nambuk sidae) atau
Era Dua Negara. Namun, lantaran kebanyakan wilayah Balhae meliputi kawasan di
luar Korea (iaitu Manchuria dan Siberia) dan majoriti populasinya pula terdiri
daripada pelbagai kumpulan etnik yang mana hanya golongan elit sahaja yang
dipercayai berketurunan Goguryeo, maka ramai sejarahwan tidak menganggap Balhae
sebagai sebuah kerajaan Korea.
Balhae diapit oleh dua
buah kuasa yang sangat berpengaruh, iaitu Kerajaan Silla Bersatu dan China.
Namun, keadaan ini sama sekali tidak menghalang Balhae untuk memperluaskan
pengaruhnya. Sebagai misalan, pewaris Dae Joyeong, iaitu Mu (memerintah 719-737
Masihi) berjaya merampas dataran Hamhung dan kawasan pesisiran Hamgyeong daripada
Silla. Hal ini sekaligus menggesa Silla untuk membina sejumlah kubu bagi
mempertahankan sempadan utaranya.
Pada tahun 732 Masihi, Balhae menyerang
sebuah pelabuhan China, iaitu Dengzhou melalui laut sebagai tindakan-susulun ke
atas pendirian Dinasti Yang yang menyokong suku Malgal di Sungai Amur yang
banyak mendatangkan masalah kepada Balhae. Pada tahun 733 Masihi, sebagaimana
yang pernah dilakukannya pada separuh kurun yang lalu, Kerajaan Silla membentuk
sebuah pakatan ketenteraan dengan Dinasti Tang bagi menghapuskan seteru bersama
mereka. Namun, pergunungan di wilayah utara ternyata terlalu sukar untuk
ditempuhi oleh pasukan tentera gabungan Silla-Tang dan Silla kehilangan separuh
tenteranya dalam kempen tersebut.
SENI & BUDAYA
Kerajaan Balhae mencapai
kemuncak kegemilangannya semasa diperintah oleh Dae Insu (atau Raja Seong,
memerintah 818-830 Masihi), iaitu era di mana Balhae meluaskan wilayah
kekuasaannya hingga ke Sungai Amur. Kerajaan ini banyak meraih manfaat daripada
tanah pertanian yang subur di dataran Manchuria, sekaligus merupaya menampung
populasinya yang berjumlah sekitar 500 000 orang. Padi sukar ditanam semasa
cuaca sejuk, justeru kebanyakan tuaian Balhae terdiri daripada biji barli,
sekoi dan kekacang.
Malangnya, tidak banyak artifak mahupun karya sastera yang
terselamat dari zaman kegemilangan ini. Pun begitu, kita dapat mengetahui
bahawa kesenian Balhae mengecapi kegemilangannya, terutama sekali seni puisi,
yang mana sebahagian daripada hasil-hasil puisi ini masih terselamat lantaran
ia dibawa oleh diplomat-diplomat Balhae ke Jepun. Balhae turut menghasilkan
porselin ungu yang cukup mengagumkan.
Lukisam-lukisan makam Balhae pula
membuktikan pengaruh Tang yang jauh lebih besar berbanding pengaruh Korea,
walaupun makam-makam itu sendiri – yakni kubah-kubah tanah yang dibina di atas
sebuah kamar batu – berasal-usul dari Goguryeo. Demikian merupakan antara
kegemilangan dan pencapaian Balhae dalam bidang kesenian yang disifatkan oleh
China sebagai ‘Negara Timur Di Tepi Laut Yang Maju’.
![]() |
| Kerajaan Silla Bersatu & Kerajaan Balhae |
HUBUNGAN-HUBUNGAN LUAR
NEGARA
Walaupun menghadapi
sejumlah peperangan, hubungan-hubungan perdagangan dengan jiran-jiran dekat
Balhae, dan dengan Jepun, dijalankan dengan cukup baik. Perdagangan Balhae
dengan negara-negara di selatan cukup rancak hinggakan terdapat satu laluan
perdagangan yang di dalamnya terbentang 39 buah stesen dari Balhae ke Silla.
Perutusan demi perutusan diplomatik juga dihantar oleh Silla pada tahun 792
Masihi dan 812 Masihi.
Hubungan-hubungan kebudayaan dengan China juga
berlangsung hebat, lantaran China sering berinteraksi dengan Korea. Dicatatkan
bahawa Balhae mengeksport barangan logam dan kuda manakala China menghantar
buku dan barangan perindustrian sebagai pertukaran. Pentadbiran, perundangan,
pendidikan, kesusasteraan dan kesenian Balhae banyak dipengaruhi oleh China.
Justeru, Balhae menghantar pelajar-pelajar ke China baik untuk melanjutkan
pelajaran mahupun untuk memasuki peperiksaan sivil Dinasti Tang. Ajaran
Buddhisme turut diamalkan, sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan-kerajaan
Korea terdahulu. Begitu juga dengan prinsip-prinsip Konfusian yang diterapkan
ke dalam sistem pentadbiran.
Walau bagaimanapun,
Jepun tetap terkehadapan sebagai sekutu Balhae yang paling setia di mana Jepun
menghantar sebanyak 13 buah perutusan diplomatik ke Balhae dan Balhae membalas
dengan 35 buah perutusan sepanjang dekad-dekad yang berlalu. Perdagangan dua
hala turut mengalami kepesatan, dengan Jepun mengeksport barangan tekstil
manakala Balhae pula menghantar pakaian bulu, sutera dan rami.
Kedua-dua
kerajaan ini pernah merancang untuk menyerang Silla secara bersama. Serangan
pertama yang dilancarkan pada tahun 733 Masihi melibatkan sebuah armada gergasi
dari Jepun. Namun, serangan ini tidak meraih sebarang hasil. Perancangan tahun
762 pula tidak sempat diterjemahkan ke dalam medan perang.
KEJATUHAN
Pada tahun 926 Masihi,
Balhae menemui pengakhirannya secara mendadak apabila kerajaan tersebut
ditakluk oleh suku Khitan dari Monggolia. Balhae sempat meminta bantuan
daripada Jepun pada tahun 929 Masihi, namun bantuan yang diharapkan tidak hadir
sama sekali.
Kejatuhan secara mengejut ini dinisbatkan oleh ramai sejarahwan
sebagai berpunca daripada perpecahan dalaman antara golongan elit berketurunan
Korea dan masyarakat awam beretnik persukuan; tempoh keamanan yang panjang yang
mengakibatkan kelesuan pentadbiran dan ketenteraan; atau letusan gunung berapi
Baekdu yang meranapkan ibu kota.
Sesudah berlakunya
kejatuhan ini, ramai populasi Balhae yang berketurunan Korea membawa diri ke
Silla. Namun, Kerajaan Silla Bersatu itu sendiri diambil-alih oleh sebuah kuasa
yang kelak dikenali sebagai Dinasti Goryeo (Koryo). Sebagaimana yang dilakukan
oleh Balhae semasa penubuhannya, Dinasti Goryeo turut mendakwa bahawa mereka
adalah pewaris sebenar Kerajaan Goguryeo yang wujud pada era Tiga Kerajaan
(kurun pertama Sebelum Masihi – kurun ke-7 Masihi) dan terus-menerus melakukan
penaklukan ke atas seluruh Semenanjung Korea, termasuklah bahagian selatan
wilayah-wilayah lama Balhae.
SUMBER
- Buckley Ebrey, P. Pre-Modern East Asia. Cengage Learning. 2013
- Jinwung Kim. A History of Korea “Land of the Morning Calm” to States in Conflict. Indiana University Press. 2012.
- Kyung Hwang. A History of Korea. Palgrave Macmillan. 2010.
- Lee, K. A New History of Korea. Harvard University Asia Center. 1984.
- Pratt, K. Korea. Routledge. 1999.
- Smith, MJ. A History of Korea. Rowman & Littlefield. 2012.
Artikel ini turut disiarkan secara rasmi di portal Ancient History Encyclopedia di bawah tajuk 'Balhae'
- Get link
- X
- Other Apps

