- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (30 Mac 2016). Charlemagne: One of the Most Important Figures of
Early Medieval Europe. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/charlemagne-one-most-important-figures-early-medieval-europe-005619
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/charlemagne-one-most-important-figures-early-medieval-europe-005619
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Charlemagne (juga
dikenali sebagai Charles Agung, atau Charles I) adalah seorang Raja Franks,
pemerintah pertama Empayar Rom Suci (walaupun istilah ‘Empayar Rom Suci’ ini
hakikatnya hanya dicetak pada mawatang syiling selepas kemangkatan beliau) dan
juga salah seorang tokoh paling penting dalam sejarah Eropah di awal Zaman
Pertengahan.
Sebagai Raja Franks,
beliau berusaha menyatukan kesemua suku Jermanik ke dalam satu kerajaan dan
menyeru rakyatnya agar menganut agama Kristian. Demi mencapai tujuan-tujuan
ini, Charlemagne lebih cenderung menggunakan kaedah penaklukan. Justeru, pada
tempoh awal pemerintahan Charlemagne, sejumlah kempen ketenteraan dijalankan
bagi meluaskan kerajaannya.
![]() |
| Charlemagne menerima penyerahan-kalah Widukind of Paderborn pada tahun 785, lukisan oleh Ary Scheffer (1795-1858) |
Salah satu pencapaian
politik terhebat Charlemagne adalah pemahkotaannya sebagai ‘Maharaja Rom’ pada
hari Krismas tahun 800 Masihi, yang dikelolakan oleh Pope Leo III. Peristiwa ini
dianggap signifikan kerana menghidupkan semula sentimen Maharaja Rom Barat,
suatu kedudukan yang telah pun kosong sejak ketumbangan Empayar Rom Barat.
KEHIDUPAN AWAL
CHARLEMAGNE
Charlemagne dilahirkan
pada tahun 740an. Beliau dilahirkan sama ada di Liege, Belgium moden ataupun
Aachen, Jerman moden. Ayahanda beliau ialah Pepin si Pendek (Pepin the Short),
yang bertakhta sebagai Raja Franks dari Dinasti Carolingian pada tahun 751
Masihi. Ibundanya pula ialah Bertrada of Laon. Tidak banyak maklumat yang diketahui
perihal zaman kanak-kanak dan latar belakang pendidikan Charlemagne.
Menurut Life of
Charlemagne yang ditulis oleh Einhard, beliau “dikurniakan hati yang
bersedia dan lidah yang fasih dalam bertutur kata, dan mampu meluahkan segala
perkara yang mahu diekspresikannya dengan sangat jelas.” Selain itu,
Charlemagne juga berbakat dalam mempelajari pelbagai bahasa dan berupaya
bertutur dalam Bahasa Latin “sefasih bahasa ibundanya”.
Beliau turut “memahami
bahasa Yunani jauh lebih baik berbanding menuturkannya.” Namun, sejarahwan
tidak dapat mengenal pasti secara jelas apakah bahasa-bahasa ini dipelajari
oleh Charlemagne semasa beliau kecil ataupun sesudah dewasa.
![]() |
| Charlemagne menerima manuskrip daripada pengajarnya, Monk Alcuin, oleh Jules Laure |
KEMPEN-KEMPEN
KETENTERAAN
Berikutan kemangkatan
Pepin pada tahun 768 Masihi, kerajaan dibahagikan antara Charlemagne dan
adiknya, Carloman. Selepas Carloman mangkat pada tahun 771 Masihi, Charlemagne
menjadi pemerintah tunggal Kerajaan Franks. Lantas, beliau pun memulakan kempen
ketenteraan bagi meluaskan kerajaannya ke seluruh arah.
![]() |
| Lukisan kurun ke-15 yang menggambarkan Charlemagne |
Sebahagian kempen ini
melibatkan peperangan menentang Saxon, yang berlangsung pada tahun 772 Masihi
hingga ke penghujung kurun tersebut. Begitu juga dengan kempen penaklukan
Kerajaan Lombard pada tahun 774 Masihi. Dalam bidang ketenteraan dan di medan
perang, Charlemagne dikenali sebagai seorang pemimpin yang kejam.
Misalnya, perang
menentang Saxon yang menganuti kepercayaan pagan dicirikan oleh penumpahan
darah yang dahsyat. Orang-orang Saxon yang ditakluk ini diberikan pilihan sama
ada memeluk agama Kristian atau dibunuh. Dalam peristiwa Pembunuhan
Beramai-Ramai Verden yang berlaku pada tahun 782 Masihi, dianggarkan seramai
4500 orang Saxon dibunuh oleh tentera-tentera Charlemagne.
![]() |
| Tapak Sachsenhain bagi memperingati pembunuhan beramai-ramai di Verden an der Aller, Jerman |
MAHARAJA ROM
Pada tahun 800 Masihi,
Pope Leo berdepan dengan sebuah pemberontakan dan beliau diserang di jalanan
kota Rome. Justeru, beliau terpaksa mendapatkan bantuan daripada Charlemane.
Menurut Einhard,
“Orang-orang Rom
menimpakan kecederaan yang parah ke atas Pontiff Leo, mencungkil matanya dan
memotong lidahnya, hingga beliau terpaksa mendapatkan bantuan Raja.”
Charlemagne lantas
bergegas ke Rome, mengembalikan keamanan dalam Gereja dan sebagai ganjaran di
atas jasanya itu, beliau dimahkotakan sebagai ‘Maharaja Rome’ oleh paus pada
hari Krismas tahun sama.
![]() |
| Paus Leo III menabalkan Charlemagne sebagai Maharaja pada Hari Krismas |
Walaupun Charlemagne
disifatkan sebagai pemimpin tentera yang kejam, beliau dicirikan sebagai
seorang yang berbeza karakternya ketika berada di luar medan perang.
Charlemagne adalah seorang pentadbir yang sangat cekap, diplomat yang mahir,
dan lelaki yang bertamadun.
Pemahkotaannya sebagai
‘Maharaja Rom’, sebagai contoh, tidaklah begitu diterima oleh pihak Byzantine.
Namun menerusi permainan diplomasi, Charlemagne berupaya memperbaiki
hubungannya dengan mereka. Dalam catatan Einhard disebutkan,
“Beliau sangat sabar
terhadap sikap iri hati yang ditunjukkan oleh maharaja-maharaja Rom berikutan
gelaran yang diberikan kepadanya itu, dan dengan usaha-usaha yang berbentuk
perutusan delegasi dan penghantaran surat yang kerap, yang di dalam surat itu
beliau memanggil mereka sebagai saudara, beliau berjaya membuatkan kekerasan
hati mereka itu tunduk pada kebaikan hatinya; satu kualiti yang tidak
dinafikan, membuatkan beliau mengungguli mereka.”
![]() |
| Maharaja Charlemagne. (1837) oleh Louis-Felix Amiel |
KEBANGKITAN CAROLINGIAN
Di bawah pemerintahan
Charlemagne ini jugalah berlakunya peristiwa yang dikenali sebagai ‘Kebangkitan
Carolingian’. Einhard mencatatkan bahawa Charlemagne meminati pembelajaran.
Walaupun beliau cuba menceburi pelbagai bidang keilmuan, usahanya tidak begitu
membuahkan hasil lantaran beliau memulakan usahanya itu pada usia yang tua,
“Beliau sangat
bersemangat dalam mengumpulkan hasil-hasil seni bebas, memandang tinggi mereka
yang mengajarkan ilmu tersebut, dan memberikan kemuliaan yang besar kepada
mereka. Beliau mempelajari tatabahasa daripada diaken (decaon) Peter of Pisa,
yang pada masa itu sudah pun lanjut usia. Diaken lain, iaitu Albin of Britain
yang turut dikenali sebagai Alcuin, lelaki warga Saxon merangkap ilmuwan agung
pada zaman itu, merupakan guru beliau dalam bidang keilmuan yang lain.
Raja meluangkan banyak
masa dan usaha bersamanya dalam mempelajari retorik, dialektik dan astronomi;
beliau belajar mengenali, mengira dan menyelidiki pergerakan jasad-jasad samawi
dengan penuh minat. Beliau juga cuba belajar menulis, dan lazim menyimpan
tablet dan helaian kosong di bawah bantalnya, supaya pada masa-masa senggang,
beliau dapat membiasakan tangannya menulif; namun, lantaran beliau tidak
memulakan usaha ilmu ini pada usia yang sesuai, iaitu hanya pada lewat usia,
beliau tidak berpeluang menuai hasilnya.”
![]() |
| Alcuin merupakan salah seorang ilmuwan terkemuka dalam Kebangkitan Carolingian |
Apapun, menerusi
naungan Charlemagne terhadap keilmuan inilah makanya ilmuwan-ilmuwan di Eropah
Barat dapat merasai kebangkitan budaya dan intelektual.
KEMANGKATAN CHARLEMAGNE
Charlemagne mangkat
pada tahun 814 Masihi, dan empayarnya diserahkan kepada satu-satunya putera
beliau yang masih hidup, iaitu Louis the Pious, justeru empayar Charlemagne
kekal tidak terpecah. Namun berikutan kemangkatan Louis the Pious, Empayar Rom
Suci terbahagi kepada tiga sekaligus menandakan permulaan sebuah perjalanan
sejarah yang panjang, yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perancis dan Jerman.
![]() |
| Charlemagne dan puteranya, Louis the Pious |
SUMBER
- Halsall, P. 1996. Medieval Sourcebook: Einhard: Life of Charlemagne.
- Keen, M. 1968. The Pelican History of Medieval Europe. London: Penguin Books.
- Snell, M. 2016. Charlemagne.
- The BBC. 2014. Charlemagne (c. 747 – c. 814).
- Whipps, H. 2008. How Charlemagne Changed the World.
- History. 2016. Charlemagne.
- History World Net. 2016. History of Charlemagne.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Charlemagne: Pemerintah Pertama Empayar Rom Suci’
- Get link
- X
- Other Apps








