- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 Jun 2019). Enki: The Epic Mesopotamian Water God Who Saved
Humanity. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/powerful-enki-epic-sumerian-babylonian-and-akkadian-deity-008141
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/powerful-enki-epic-sumerian-babylonian-and-akkadian-deity-008141
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam sistem
kepercayaan masyarakat Sumeria, Enki (juga dikenali sebagai Ea oleh masyarakat
Akkadia dan Babylon) dianggap sebagai salah satu dewa yang paling penting. Pada
asalnya, Enki dipuja sebagai dewa air segar dan berperanan sebagai dewa
pelindung kota Eridu (kota yang dianggap oleh masyarakat Mesopotamia purba
sebagai kota pertama yang dibangunkan di dunia).
Namun seiring peredaran
masa, pengaruh Enki berkembang dan dewa ini dianggap berkuasa ke atas banyak
aspek kehidupan lain, termasuklah helah muslihat, keajaiban, penciptaan,
kesuburan dan kebijaksanaan. Teks-teks Neo-Sumeria yang berjudul Enmerkar
dan The Lord of Aratta memuji Enki dalam versi baharu ini:
“Enki, pemilik kekayaan
yang melimpah-ruah dan kehakiman muktamad, raja bijaksana dan mengetahui segala
isi Alam, ketua para dewa, dewa yang terpilih bagi menguasai kebijaksanaan,
pelindung Eriduk, berupaya mengubah tutur kata pada mulut-mulut mereka,
sebagaimana kehendaknya, dan makanya tutur kata manusia itu adalah benar hendaknya.”
MITOS SUMERIA, AKKADIA
DAN BABYLONIA BERKENAAN KELUARGA ENKI
Menurut masyarakat
Sumeria (dan Akkadia), Enki ialah putera Anu, si dewa langit. Sementara itu di
dalam sebuah teks Babylon yang berjudul Enuma Elish, Enki dirujuk
sebagai putera Apsu, si dewa lautan segar azali.
Enki juga dianggap
sebagai putera Nammu, si dewi ibu azali yang melahirkan langit dan bumi. Isteri
Enki ialah Ninhursag, dan anak-anak mereka termasuklah Asarluhi, Enbilul dan
Marduk.
![]() |
| Dewa Laut. Enki sama ada putera kepada dewa langit atau dewa lautan azali |
Kebanyakan maklumat
yang kita miliki tentang Enki pada hari ini datang daripada karya-karya
Mesopotamia yang masih selamat. Terdapat sejumlah kisah yang Enki memainkan
peranan penting di dalamnya. Salah sebuah kisah yang paling masyhur ialah Enuma
Elish, iaitu kisah penciptaan masyarakat Babylon.
Dalam hikayat ini, Enki
disifatkan sebagai anak kepada Apsu dan Tiamat, personafikasi lautan air segar
dan lautan air masin. Enki dan adik-beradiknya membuat banyak kebisingan, sekaligus
menaikkan kemurkaan Apsu lantaran ia menganggu tidurnya. Apsu memutuskan untuk
menghapuskan kesemua anaknya. Pun begitu, rancangan ini didedahkan oleh Tiamat
kepada Enki.
Sebagai susulan, Enki
menyerang Apsu terlebih dahulu. Beliau menidurkan bapanya, dan kemudian
membunuhnya. Walaupun penceritaan dalam kisah ini masih mempunyai kelanjutan,
Enki tidak lagi menjadi watak utama di dalamnya, lantaran beliau dibayangi oleh
puteranya, Marduk.
![]() |
| Ukiran yang mungkin menggambarkan Enki dan Ziusudra |
ENKI MEMBANTU MANUSIA
Enki juga memainkan
peranan yang besar dalam sebuah lagi mitos masyarakat Akkadia/Babylon, iaitu
mitos Atrahasis, yakni mitos Banjir Besar versi Mesopotamia. Dalam mitos
ini, Enki bertanggungjawab menciptakan manusia, yang mana manusia ini kemudiannya
menyembah para dewa.
Ras manusia ini
berkembang-biak dengan cepat. Justeru, Enlik si ketua dewa berasa jelek dengan
kebisingan yang mereka lakukan. Beliau lantas mengambil keputusan untuk
mengurangkan jumlah manusia dengan menghantarkan bala bencana bagi membunuh
mereka. Namun setiap kali bencana berlaku, manusia memanjatkan doa kepada Enki.
Lantas, Enki memaklumkan kepada mereka apa yang harus dilakukan bagi terus
selamat.
Pada akhirnya, Enlil
memutuskan untuk menghapuskan seluruh manusia sekaligus menerusi banjir besar.
Enki tidak berupaya menghalang rancangan Enlil ini, justeru beliau turun ke
bumi dan menyelamatkan seorang lelaki budiman yang bernama Atrahasis. Lelaki
ini diperintahkan supaya membina bahtera dan dengan demikian, beliau berjaya
terselamat dari kemurkaan Enlil.
Namun, manusia-manusia
yang lain habis dihapuskan. Enlil kemudian mencadangkan agar manusia diciptakan
semula. Walau bagaimanapun, ciptaan baru ini bersifat kurang subur, jangka
hayatnya pendek, dan lebih lemah berbanding manusia dahulu.
![]() |
| Penghasilan semula sebuah mohor yang menggambarkan dewa Sumeria, Enlil dan isterinya, dewi Ninlil |
ENKI SEBAGAI DEWA YANG
LICIK BERMAIN HELAH, NAMUN TURUT DIHELAH
Dalam beberapa buah
mitos, Enki dianggap sebagai bapa kepada dewi Inanna, satu lagi dewa utama
dalam pantheon Sumeria. Misalnya dalam sebuah mitos masyhur, Mitos Penurunan
Inanna (The Descent of Inanna), suatu rancangan diragka oleh Enki untuk
menyelamatkan puterinya itu dari Alam Kematian, setelah beliau dibunuh oleh Ereshkigal,
saudara perempuannya. Enki menghantar syaitan-syaitan untuk memperdayakan
Ereshikgal sehingga menyerahkan mayat Inanna kepada mereka, yang kemudian mayat
ini dihidupkan semula.
Dalam sebuah mitos yang
berjudul Inanna dan Enki, dua dewa ini bertanding meminum arak. Dalam
pertandingan ini, Enki yang mabuk teruk bertindak menyerahkan kesemua Mes,
yakni hadiah ketamadunan kepada Inanna. Pada keesokan pagi, apabila Enki
menyedari apa yang sudah beliau lakukan, beliau segera mengutus para
pengikutnya agar mengambil semula Mes daripada Inanna.
Namun, Inanna sudah pun
pulang dengan selamat ke kotanya, Uruk. Menyedari bahawa dirinya sudah
diperdaya, Enki tidak mempunyai pilihan lain kecuali berdamai dengan Inanna dan
kota Uruk.
![]() |
| Relif ‘Ratu Malam’. Figura yang digambarkan ini mungkin adalah penjelmaan dewi Ishtar (Inanna bagi Sumeria), dewi cinta dan perang bagi masyarakat Mesopotamia |
Menerusi mitos-mitos
yang dikongsikan di atas, Enki boleh dianggap sebagai dewa yang bijak dan
prihatin terhadap manusia. Malahan, kekuatannya juga boleh diandaikan terletak
pada kelicikan dan kemahirannya memperdayakan orang lain. Apapun, sebagaimana
yang dibuktikan di dalam mitos yang terakhir, seorang yang licik menipu juga
kadangkala diperdayakan oleh orang lain.
![]() |
| Imej Enki dari mohor silinder Adda |
SUMBER
- Anon., Atrahasis. [Dalley, S. (trans). 2008. Atrahasis, in Myths from Mesopotamia, Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others. Oxford: Oxford University Press.]
- Anon., The Epic of Creation. [Dalley, S. (trans). 2008. The Epic of Creation, in Myths from Mesopotamia, Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others. Oxford: Oxford University Press.]
- Anon., Inanna and Enki. [The Electronic Text Corpus of Sumerian Literature, Faculty of Oriental Studies, University of Oxford (trans). 2002. Inanna and Enki.]
- Anon., Inanna’s Descent to the Nether World. [The Electronic Text Corpus of Sumerian Literature, Faculty of Oriental Studies, University of Oxford (trans). 2002. Inanna’s Descent to the Nether World.]
- Horry, R. 2016. Enki/Ea (god).
- Spar, I. 2009. Epic of Creation (Mesopotamia).
- Get link
- X
- Other Apps





