- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (16 Januari 2019). Eric Bloodaxe: Murderous Viking King of Norway
and Northumbria. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/eric-bloodaxe-0011327
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/eric-bloodaxe-0011327
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Erik ialah seorang
lelaki tampan yang gagah, kuat dan sangat menonjol kelelakiannya – seorang
pahlawan perang yang bertuah; namun buruk sikapnya, tidak peramah dan pendiam.
– Saga Harald Hairhair
Eric Haraldsson, atau
nama timangannya, Eric Bloodaxe, merupakan seorang pemerintah Norway yang hidup
pada kurun ke-10 Masihi. Beliau dipercayai memerintah sebagai Raja Norway, dan
kemudian menjadi Raja Northumbria.
Walaupun kedua-dua pemerintahan ini dianggap
sebagai satu dan sama, wujud keraguan berkenaan hal ini lantaran ketika nama
Eric disebutkan di dalam sumber-sumber Norse dan Anglo-Saxon, kebanyakan
kandungan keduanya saling tidak sepadan antara satu sama lain. Tambahan lagi,
sumber-sumber Norse hadir dalam bentuk saga (hikayat) yang memaksudkan bahawa
legenda dan sejarah saling dicampur-adukkan.
PUTERA KEPADA FAIRHAIR
ATAU BLUETOOTH?
Eric Bloodaxe
dipercayai sebagai salah seorang dari sekalian ramai putera Harald Fairhair si
Raja Norway. Terdapat satu teori lain yang dikemukakan pada kurun ke-19 yang
menyatakan Eric sebagai putera kepada Harald yang lain, iaitu Harald Bluetooth
si raja Denmark. Namun, tidak banyak bukti yang dapat menyokong dakwaan ini.
Menurut saga-saga yang
ada, Eric merupakan putera kesayanan Harald. Pada usia 12 tahun, Eric diberikan
lima buah kapal-panjang oleh ayahandanya sekaligus memulakan kariernya sebagai
seorang Viking. Pertama sekali, Eric berlayar ke timur, di mana beliau
menyerang wilayah pantai Denmark, Friesland dan Saxland selama tiga tahun.
Beliau kemudiannya berlayar ke barat, dan menyerang Scotland dan kawasan
sekitar Laut Ireland selama empat tahun. Fagrskinna menyatakan bahawa
Eric meraih nama timangan ‘Bloodaxe’ menerusi serangan-serangan yang
dilakukannya sebagai seorang Viking.
![]() |
| Harald Fairhair menerima penyerahan kerajaan daripada ayahandanya, sebuah ilustrasi dari ‘Flateyjarbok’ pada kurun ke-14 |
KELUARGA ERIC BLOODAXE
Saga-saga Norse juga
menyebutkan bahawa Eric berkahwin dengan Gunnhild, yang secara umum digambarkan
sebagai seorang ahli sihir yang jahat. Berlaku perbezaan pendapat berkenaan
identiti orang tua Gunnhild. Misalnya dalam Historio Norwegiae, iaitu
saga Norse paling awal, dinyatakan bahawa Gunnhild adalah puteri kepada Raja
Denmark, iaitu Gorm the Old sekaligus menjadikannya sebagai saudara perempuan
Harald Bluetooth.
Sejarahwan Iceland kurun ke-12 yang bernama Snorri Sturluson
pula mencatatkan bahawa ayah Gunnhild ialah Ossur Tote dari Haalogaland yang
terletak di Norway Utara. Walau apapun keadaannya, yang jelas Gunnhidl
memberikan pengaruh yang besar buat suaminya.
![]() |
| Gunnhild memujuk Eric Bloodaxe agar membunuh ahli sihir Finland. Sebuah ilustrasi tahun 1890an oleh Christian Krong |
Dalam saga-saga Norse,
dicatatkan bahawa Harald Fairhair bertanggungjawab menyatukan Norway. Namun,
sejarahwan moden berpendapat bahawa kerajaan yang diperintah oleh Harald pada
hakikatnya jauh lebih kecil dan mungkin hanya terhad di kawasan barat dan barat
daya sahaja. Apapun, terdapat juga kemungkinan bahawa pengaruhnya menjangkau ke
kawasan-kawasan Norway yang lain menerusi persekutuan yang dijalinkan dengan
pemerintah-pemerintah di Norway.
Walau bagaimanapun, sebahagian pendapat
menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai wilayah yang cukup untuk dibahagikan
kepada para puteranya, yang disebutkan oleh saga berjumlah seramai 20 orang.
Beberapa sumber yang lain menyatakan hal yang sebaliknya, di mana Harald dapat
membahagikan kerajaannya secara sama rata kepada para puteranya dan menjadikan
setiap seorang daripada mereka sebagai raja. Kemudian, Eric dilantik sebagai
raja tertinggi yang berkuasa ke atas adik-beradiknya.
Kematian Harald
meranapkan apa sahaja perancangan yang dilakukannya untuk para puteranya. Eric
bertindak membunuh adik-beradiknya dalam usaha menjadi pemerintah tunggal
Norway. Berbeza dengan Fagrskinna, saga Agrip menyebutkan bahawa
Eric meraih nama timangan ‘Bloodaxe’ menerusi tindakannya membunuh lima orang
saudaranya.
Tidak diketahui secara jelas berapa ramaikah saudara/saudara tiri
yang dibunuh oleh Eric, atau berapa banyak adk-beradik yang dimilikinya.
Apapun, salah seorang saudara tirinya yang diketahui terselamat ialah Haakon,
yang dibesarkan di England, di istana Raja Athelstan.
Haakon inilah yang
kemudiannya berjaya menundukkan Eric. Sejarahwan berpendapat bahawa
pemerintahan Eric berlangsung kejam dan beliau tidak disenangi oleh banyak
pihak, hinggakan golongan bangsawan Norway bersepakat mahu menggantikannya
dengan Haakon. Atas sebab yang tidak diketahui, Eric langsung tidak menentang
keputusan ini dan membawa diri ke England. Di sana, beliau disambut dengan
tangan terbuka oleh Raja Athelstan. Bahkan, beliau dijadikan sebagai raja-kecil
Northumbria di bawah autoriti Athelstan.
![]() |
| Aethelstan memberikan sebuah buku kepada St. Cuthbert |
ERIC BLOODAXE DI
NORTHUMBRIA
Walau bagaimanapun,
sumber-sumber Anglo-Saxon mempertikaikan versi ini dan menyatakan bahawa Eric
ditabalkan sendiri sebagai raja oleh masyarakat Northumbria pada tahun 947/948
Masihi, beberapa tahun selepas kemangkatan Athelstan. Dengan mengangkat Eric
sebagai raja, masyarakat Northumbria bukan hanya mengenepikan putera Athelstan
yang bernama Eadred, malah mereka meraih harapan untuk mendapatkan kemerdekaan
dari Anglo-Saxon di selatan, yang telah menguasai mereka sejak tahun 927
Masihi.
Eadred bertindak balas
dengan melakukan serangan ke atas Northumbria dan menjarahnya. Dalam perjalanan
pulang ke selatan, barisan belakang pasukan Eadred diserang oleh Eric di
Castleford dan banyak nyawa yang gugur dalam peristiwa itu. Naik berang dengan
keadaan ini, Eadred si raja Inggeris itu pun mengugut mahu menghancurkan
Northumbria andai mereka enggan tunduk kepada pemerintahannya. Justeru,
penduduk Northumbria memutuskan untuk memihak Eadred dan mengusir Eric.
![]() |
| Matawang perak Eric Bloodaxe |
Selepas Eric diusir,
penduduk Northumbria menerima seorang raja baru dari Viking-Ireland yang
bernama Olaf Sihtricsson. Lima tahun kemudian, Eric kembali ke Northumbria dan
berjaya menggulingkan Olaf sekaligus menjadi raja Northumbria buat kali kedua.
Pemerintahannya yang lalu berlangsung hanya selama setahun, dan kali ini,
beliau berpeluang untuk memegang kuasa selama dua tahun. Tidak lama kemudian,
beliau kembali tidak disenangi oleh penduduk Northumbria dan sekali lagi
diusir.
KEMATIAN ERIC BLOODAXE
Catatan tentang
kematian Eric disediakan oleh seorang penghikayat Anglo-Saxon yang bernama Roer
of Wendover. Menurut sumber daripada beliau, Eric dikhianati oleh seorang
lelaki yang bernama Osulf dan dibunuh oleh Maccus di sebuah tempat bernama
Stainmore. Seorang lagi penghikayat yang bernama Symeon of Durham melaporkan
bahawa Maccus ini adalah anak kepada Olaf (sama ada Olaf Sihtricsson atau Olaf
Guthrithson, seorang lagi bekas pemerintah Northumbria).
Menurut leenda
tempatan, Pancang Batu Rey (Rey Cross) di Stainmore menandakan tempat
pengebumian Eric. Namun pada tahun 1989, sebuah ekskavasi yang dijalankan di
tapak berkenaan tidak menjumpai sebarang tulang manusia. Hal ini sekaligus
membawa kepada penjelasan lain berkenaan Pancang Batu Rey, iaitu ianya
merupakan batu penanda sempadan titik tengah antara Istana Penrith dan Istana
Barnard. Justeru, terdapat kemungkinan bahawa persemadian Eric terletak di
kawasan lain di Stainmore.
![]() |
| Tunggul Pancang Batu Rey, mungkin dari kurun ke-10 |
SUMBER
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Erik I.
- Vea, M.S. 2019. Eric Bloodaxe.
- Williams, G. 2011. Eric Bloodaxe.
- English Monarchs. 2018. Eric Bloodaxe, King of Northumbria.
- York-pm. 2019. Eric Bloodaxe.
- York Museums Trust. 2019. Eric Bloodaxe.
- Get link
- X
- Other Apps





