- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (13 Oktober 2016). Gojoseon. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Gojoseon/
https://www.ancient.eu/Gojoseon/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Gojoseon (Gochoson atau
Choson Lama) merupakan sebuah kerajaan purba yang memerintah bahagian utara
Korea pada separuh kedua milenium pertama Sebelum Masihi. Gojoseon mempunyai
kebudayaan yang paling maju di Semenanjung Korea pada masa itu dan ia menjadi
penanda aras yang signifikan dalam pembentukan negara-negara yang lebih
berpusat pada masa-masa terkemudian.
PENUBUHAN
Menurut mitologi Korea,
sebagaimana yang direkodkan dalam Samguk yusa (‘Memorabilia Tiga
Kerajaan’) yang dikarang pada kurun ke-13 Masihi, Gojoseon ditubuhkan pada tahun
2333 Sebelum Masihi oleh Dangun Wanggeom (Tangun), anak kepada dewa Hwanung dan
seekor beruang betina yang ditukar menjadi wanita. Mitos ini berkemungkinan
menyimbolkan ketibaan budaya Zaman Gangsa di Korea.
Dangun dilahirkan pada hari
ketiga bulan kesepuluh, justeru pada hari ini tanggal 3 Oktober diraikan
sebagai Hari Penubuhan Negara di Korea Selatan. Nama Choson dalam bahasa Korea
diambil daripada perkataan Chaoxian dalam bahasa China, yang mana ia merupakan
kombinasi dua buah perkataan, iaitu chao (‘fajar’) dan xian
(‘tenang’ atau ‘segar’). Oleh kerana itu, Korea turut dipanggil sebagai ‘Negeri
Siang Yang Tenang’.
Menurut sebilangan
sejarahwan, negara ini dibentuk daripada persekutuan bandar-bandar kubu kecil
yang terletak di sekitar lembangan sungai Daedong (Taedong) dan Liao, sekitar
kurun ke-7 Sebelum Masihi atau kurun ke-4 Sebelum Masihi bagi tarikh yang lebih
meyakinkan. Sempadan utara Gojoseon ialah Sungai Liao manakala jiran selatannya
yang paling dekat ialah negara Jin (Chin).
Sebutan awal tentang Gojoseon boleh
ditemui di dalam sebuah karya tahun 100 Sebelum Masihi, iaitu Catatan-Catatan
Sejarahwan Ulung karangan seorang sejarahwan China, Sima Qian. Qian
menyebutkan bahawa Gojoseon wujud pada tahun 190 Sebelum Masihi.
Walau
bagaimanapun, satu-satunya tarikh yang sama sekali tidak dipertikaikan sebagai
tarikh kewujudan negara Choson/Gojoseon ialah 109 Sebelum Masihi, dan sehingga
kini sejarahwan masih terus memperdebatkan sama ada Gojoseon ini boleh
dikategorikan sebagai sebuah negara ataupun tidak, bilakah ia wujud secara
tepat, di manakah ibu kotanya, dan apakah wilayah-wilayah naungannya. Sejak
sekian lama, ibu kota Gojoseon diyakini terletak berhampiran Pyongyang. Namun,
terdapat juga bukti yang mengatakan bahawa ia terletak jauh di utara, iaitu di
Manchuria.
HUBUNGAN DENGAN CHINA
Hubungan antara Korea
dan China boleh dijejak kembali pada mitologi mereka di mana pendeta Gija
(Jizi) dan 5000 orang pengikutnya meninggalkan China dan menetap di kerajaan
Dangun. Tatkala Dangun mahu bermeditasi di puncak gunung, Giji dilantik sebagai
raja Gojoseon pada tahun 1122 Sebelum Masihi. Mitos ini berkemungkinan
menggambarkan ketibaan kebudayaan Zaman Besi di Korea.
Menurut catatan
sejarah, para pemerintah Gojoseon sememangnya menggunakan gelaran wang (raja)
sebagaimana di China sekaligus mencerminkan pengaruh awal yang hadir menerusi
jirannya, iaitu Yan-China. Interaksi antara Korea dan China ini berkemungkinan
berlaku baik sebagai rakan perdagangan mahupun Gojoseon bertindak selaku orang
tengah antara China dan negara-negara yang terletak jauh ke selatan di Korea.
Satu lagi indikasi yang membuktikan berlakunya hubungan perdagangan antara dua
buah entiti politik ini adalah penemuan syiling pisau bulan sabit China (mingdaoqian)
di beberapa buah tapak di Korea.
Berkemungkinan besar
budaya China ini dibawa masuk ke Korea menerusi pelarian-pelarian yang
melarikan diri daripada konflik yang tercetus pada kurun ke-4 Sebelum Masihi,
iaitu konflik yang disebut sebagai Zaman Negara-Negara Berperang. Bukti
arkeologi paling jelas berkenaan kemasukan pengaruh ini dapat dilihat menerusi
makam-makam lubang di kawasan Sungai Daedong dan kehadiran perangkap-perangkap
kuda di dalamnya.
Makam-makam ini juga memiliki tarikan kerana sebahagiannya
mengandungi lebih 1000 orang hamba yang jasadnya ditanam di dalamnya, bersama
dengan pemilik makam berkenaan. Dengan kehadiran alatan besi yang diperkenalkan
daripada China, hasil pertanian dapat ditingkatkan dan seterusnya menyumbang
kepada kekayaan Gojoseon. Barangan batu berwarna kelabu, yang kaya dengan besi
turut muncul buat kali pertama pada era ini. Begitu juga dengan sistem pemanas
bawah tanah Korea yang masyhur, yang disebut sebagai sistem ondol.
![]() |
| Dangun Wanggeom, oleh Chae Yong-sin |
KEJATUHAN
Kekuatan Gojoseon
digugat oleh serangan-serangan dari negara jiran, Yan, sekitar tahun 300
Sebelum Masihi. Fasa kemunduran yang panjang menyusul hinggakan ketika Gojoseon
tumbang pada kurun ke-2 Sebelum Masihi, kebanyakan wilayahnya dirampas oleh
Wiman Joseon (Wiman Choson). Wiman Choson merupakan negara yang dipimpin oleh
Weiman, seorang pelarian China (walaupun beliau mungkin berasal-usul dari
Korea) yang telah terlebih dahulu melarikan diri dari negara Yan.
Beliau dan
1000 orang pengikutnya ditugaskan oleh raja Jun untuk melindungi sempadan
barat-laut Gojoseon. Namun, Weiman, atau Wiman dalam sebutan Korea, mengambil
kesempatan untuk melakukan rampasan kuasa ke atas sebahagian wilayah Gojoseon
pada tempoh 194 hingga 180 Sebelum Masihi sekaligus menabalkan dirinya sendiri
sebagai raja. Jun dicatatkan melarikan diri ke negara Jin, dan beliau
memerintah di sana sebagai raja.
Wiman turut membawa
masuk elemen-elemen kebudayaan China ke Korea, seperti budaya Konfusianisme dan
Taoisme. Pemerintahan Wiman Joseon tidak bertahan lama dan pada tahun 108
Sebelum Masihi, ia ditakluk oleh Dinasti Han dari China (206 Sebelum Masihi –
220 Masihi) dan ibu kota Wanggum ditawam. Maharaja Han Wu (141-87 Sebelum
Masihi) bertekad mahu meluaskan empayarnya dan menguasai sumber alam yang
terdapat di bahagian utara Korea, terutama sekali besi dan garam.
Untuk tujuan
itu, beliau menghantar sepasukan tentera yang terdiri daripada 50 000 orang
tentera dan armada laut yang berkekuatan 7000 orang. Setelah berhasil
menundukkan kerajaan di selatan ini, Han kemudiannya membahagikan bahagian
utara Korea kepada empat buah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh
pemerintahan pusat Han. Han mengekalkan dominasi ke atas wilayah-wilayah
tersebut selama empat kurun.
Pelarian-pelarian dari Wiman Joseon yang sudah pun
tumbang ini membawa budaya mereka ke selatan dan seterusnya, bangkit semula dan
menewaskan China semasa era Tiga Kerajaan. Nama Joseon/Choson turut muncul
kembali sebagai nama negara yang menguasai Korea pada kurun ke-14 Masihi.
SUMBER
- Buckley Ebrey, P. Pre-Modern East Asia. Wadsworth Publishing. 2013.
- Ho-tae Jeon. Goguryeo. Hollym International Corporation. 2008.
- Jinwung Kim. A History of Korea “Land of the Morning Calm” to States in Conflict. Indiana University Press. 2012.
- Ki-baik Lee. A New History of Korea. Harvard University Asia Center. 1984.
- Kim, C. The Arts of Korea. Thames & Hudson. 1966.
- Kyung Hwang. A History of Korea. Palgrave Macmillan. 2010.
- Portal, J. Korea: Art & Archaeology. Thames & Hudson. 2000.
- Pratt, K. Korea. Routledge. 1999.
- Seth, M.J. A History of Korea. Rowman & Littlefield Publishers. 2010.
Artikel ini turut disiarkan secara rasmi di portal Ancient History Encyclopedia di bawah tajuk 'Gojoseon'
- Get link
- X
- Other Apps

