- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Manya Rathore. (29 April 2020). Ibadat Khana. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Ibadat_Khana/
https://ancient.eu/Ibadat_Khana/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Rumah Ibadah atau
Ibadat Khana ditubuhkan oleh Maharaja Akbar dari Mughal (1541-1605 Masihi) bagi
tujuan mengadakan debat-debat dan perbincangan agama dalam kalangan ahli
teologi dan cendekia pelbagai agama berbeza. Abu al-Fath Jalal-ud-din Muhammad
Akbar, atau masyhur dikenali sebagai Akbar Agung, merupakan maharaja Mughal
ketiga (memerintah 1556-1605 Masihi), yang bertanggungjawab memperluaskan
empayar dan memayungi sub-benua India.
Penghikayat-penghikayat kontemporer
menggambarkan bahawa selepas mencapai kemenangan muktamad dan perluasan
pengaruh dengan jaya, beliau melibatkan diri dalam usaha intelektual dan
berinteraksi dengan para ulama’ dan pelajar kepada seorang wali Sufi yang
bernama Khwaja Muinuddin Chishti.
PEMBINAAN
Akbar sepertinya meraih
inspirasi daripada pemerintah Bengal, Sultan Kirani, yang lazim meluangkan
waktu malamnya bersama 150 orang ahli agama bagi mendengarkan syarahan mereka.
Beliau juga menerima kunjungan Mirza Suleiman dari Badakshan, seorang ahli Sufi
yang mempunyai nyala rasa yang tinggi dalam perbincangan teologi. Justeru,
Akbar bertekad mahu membina sebuah dewan perbincangan yang boleh memuatkan
ramai ahli teologi Muslim.
Pembinaan Ibadat Khana dimulakan pada awal tahun
1575 Masihi di Fatehpur Sikri (Kota Kemenangan), ibu kota Empayar Mughal pada
waktu itu. Kompleks bangunan ini disiapkan pada tahun 1576 Masihi, dan
perbincangan diadakan pada setiap malam Jumaat (hari Khamis, waktu malamnya)
yang kadangkala berlangsung sepanjang malam. Abu al-Fazl, penghikayat rasmi
Empayar Mughal mencatatkan:
“Terdapat sebuah
pengisytiharan umum dikeluarkan bahawa pada malam tersebut, kesemua aliran dan
sekte manusia – yang mencari kebenaran spiritual dan fizikal, dan mereka dari
kalangan orang awam yang mencari kesedaran dan mempunyai pertanyaan tentang
setiap sekte – boleh berhimpun di perkarangan bangunan suci dan mengedepankan
pengalaman rohani mereka, serta keilmuan mereka yang pelbagai dan berkontradik
di kamar penzahiran ini. (Abu al-Fazl, 158).
Perbincangan-perbincangan
ini tergendala selama setahun, namun kemudiannya, ia diteruskan pada tahun 1578
Masihi. Dipercayai bahawa semenjak itu, ahli-ahli teologi dan intelek dari
pelbagai agama dan sekte seperti Hinduisme, Islam, Kristian, Buddhisme,
Jainisme, Zoroastrianisme, dan ateis dijemput untuk berdiskusi di Ibadat Khana.
Perbincangan-perbincangan ini seterusnya mendorong Akbar untuk meyakini bahawa
tiada kebenaran yang mutlak sekaligus memuncakkan kepada penciptaan agama
barunya, iaitu Din-i-Ilahi (Agama Ketuhanan).
PENYUSUNAN IBADAT KHANA
Gambaran umum tentang
struktur Ibadat Khana ini boleh dibina berdasarkan rujukan-rujukan yang
terdapat di dalam Muntakhabut Tawarikh (hikayat kontemporer karangan
Badaoni). Di tengah-tengah dewan ini terdapat sebuah platform berbentuk oktagon
yang merupakan tempat duduk maharaja. Empat orang menterinya, iaitu Abdur
Rahim, Birbal, Faizi dan Abu al-Fazl, masing-masing mempunyai tempat duduk yang
tersendiri di keempat-empat sudut.
Pelan seni bina Ibadat Khana tidak
diperincikan secara teliti oleh mana-mana penghikayat kontemporer. Namun,
Nizamuddin Ahmad menyatakan bahawa ia mempunyai empat sayap dan penglibatan
awal dalam diskusi yang dilangsungkan dihadkan hanya kepada sekumpulan kecil
hadirin.
Bagi merungkai perbalahan berkenaan tempat duduk yang mencerminkan
keutamaan seseorang, maharaja sendiri menetapkan peletakannya: di sisi timur
adalah tempat para amir (bangsawan berkedudukan tinggi), para Sayyid (keturunan
baginda Nabi Muhammad) menempati sayap barat; ulama’ (ilmuwan dalam
perundangan Islam) di sebelah selatan dan para Shaikh (cendekia dari
aliran tasawuf Muslim) pula di sebelah utara.
BENTUK PERBINCANGAN
& KESANNYA
Akbar didedahkan kepada
falsafah Yunani oleh Shaikh Mubarak dan anak-anaknya, iaitu Abu al-Fazl dan
Faizi pada awal 1570an dan dipengaruhi secara mendalam oleh Sufisme. Susulan
daripada peningkatan minat Akbar terhadap falsafah dan persoalannya tentang
ajaran agama inilah makanya proses penyemakan-semula aspek-aspek teologi dan
hukum-hakam Islam dimulakan di Ibadat Khana.
Ia bermula sebagai sebuah
perhimpunan Sunni (aliran utama Islam), yang kemudiannya menjadi perhimpunan
pan-Muslim dan seterusnya dibuka kepada agama-agama lain. Antara tema
perbincangan di Ibadat Khanah merangkumi sifat Tuhan dalam Katolik dan Islam,
vegetarianisme atau layanan terhadap haiwan dalam ajaran Buddhisme dan
Jainisme, monogami, falsafah-falsafah Hindu purba hinggalah kepada penyembahan
api dalam ajaran Zoroastrianisme.
Pada tahun 1579 Masihi,
maharaja buat pertama kalinya menjemput mubaligh Jesuit ke istana Mughal. Ketua
mubaligh ini adalah seorang warga Itali yang bernama Father Rudolf Aquaviva,
anak kepada Duke of Atri dan anak saudara kepada Father General kelima bagi
Society. Beliau mempunyai dua orang teman, iaitu Father Antonio de Monserrate,
seorang warga Catalan yang mencatatkan aktiviti-aktiviti para mubaligh di
istana Mughal, dan Francisco Henriques, seorang warga Parsi dari Ormuz yang
mahir dalam menterjemah. Mubaligh-mubaligh Jesuit ini menghadiahkan Bible
Polyglot yang ditaja oleh Philip II dari Sepanyol kepada maharaja Akbar.
Akbar
kemudiannya memerintahkan agar pelukis-pelukis istana menghasilkan potret Isa
dan Mariam serta membenarkan para mubaligh ini menyebarkan agamanya di kota.
Maharaja juga meluangkan waktu malamnya bagi berbincang tentang agama Kristian
dan memakai pakaian serta topi Portugis sebagai simbol terhadap minatnya untuk
menggabungkan penglibatan para paderi ke dalam istananya. Kecenderungan beliau
terhadap para paderi dan sifat agama-politik mereka itu menimbulkan kritikan
dari penghikayat Badaoni dan ulama-ulama konservatif yang lain di istana
Mughal. Memerincikan kesan kehadiran paderi-paderi Jesuit di istana, Badaoni
menulis:
“Pendeta-pendeta
terpelajar dari Eropah, yang dipanggil sebagai Padre, dan memiliki ketua yang
tidak boleh disangkal, iaitu Papa, yang mampu mengubah ketetapan agama
sekehendaknya pada masa-masa yang dikiranya perlu, dan yang autoritinya perlu
dipatuhi oleh para raja, datang membawa Gospel, dan bukti-bukti lanjut tentang
Triniti. Tuanku percaya dengan teguh terhadap kebenaran agama Kristian, dan
berhajat untuk menyebarkan doktrin Jesus, memerintahkan Putera Murad agar
mempelajari serba-sedikit tentang agama Kristian dan mengarahkan Abu al-Fazl
untuk menterjemahkan Gospel. (Badaoni, 267)
Akbar juga mempunyai minat
terhadap Zoroastrianisme, agama orang Parsi. Kaitan antara keluarganya dengan
Parsi serta kecenderungannya terhadap para pegawai Iran berbanding pegawai
Mogul (Uzbeg dan Chagatai) mungkin menjadi faktor yang mendorong kepada
minatnya terhadap falsafah agama masyarakat Iran. Pada penghujung tahun 1578
Masihi, beliau menjemput Dastur Meherji Rana, ketua agama Zoroastrian dari
Nausari, Gujarat, ke istananya. Dastur mengajarkan Akbar tentang ritual,
upacara dan amalan keagamaan Parsi.
Di bawah undang-undang Parsi, sebuah api
keramat mula dinyalakan di istana di mana api ini tidak seharusnya dipadam.
Pengaruh Zoroastrian pada diri maharaja boleh dilihat menerusi amalan
penyembahan matahari dan api. Beliau bahkan menggunakan nama-nama Parsi bagi
kalendar hari dan bulan serta meraikan pesta-pesta Parsi. Tambahan, beliau juga
pernah menghadap khalayak umum dengan mengenakan tanda aliran Hindu di dahinya.
![]() |
| Pegawai Istana Akbar |
Pada tahun 1582 Masihi,
maharaja menjemput Hirvijaya Suri, seorang ahli falsafah Jain untuk ke
istananya. Ahli falsafah itu memujuk maharaja agar mengharamkan pembunuhan
haiwan pada hari-hari tertentu. Lantaran terpengaruh dengan prinsip-prinsip
ajaran Jainisme, Akbar pun memerintahkan agar penyembelihan pada tempoh
tertentu dihentikan dan beliau secara peribadi cenderung terhadap
vegetarianisme. Suri dikurniakan gelaran ‘guru alam’ atau ‘Jagad guru’.
Sebilangan sejarahwan
berpendapat bahawa pendekatan-pendekatan yang diambil oleh maharaja ini,
termasuklah penghapuskan jizyah (cukai ke atas bukan-Muslim)
berkemungkinan adalah untuk meraih penerimaan dalam kalangan rakyat
bukan-Muslim. Tambahan, perbincangan-perbincangan yang dilakukannya di Ibadat
Khana memberikan banyak kesan pertentangan terhadap ortodoksiti Muslim dalam
istana Mughal.
KESAN DARIPADA
DISKUSI-DISKUSI AGAMA INI
Perbincangan-perbincangan
yang dilakukan di Ibadat Khana ini menimbulkan keyakinan dalam diri Akbar
bahawa segala agama mempunyai elemen kebenaran dan kesemuanya membawa kepada
Hakikat Tertinggi yang sama. Keyakinan ini merupakan fasa penting dalam
pembangunan dasar-dasar keagamaannya, yang memuncak kepada perkembangan konsep sulh-i-kul
(keamanan sejagat). Sebahagian sejarahwan juga berpendapat bahawa Akbar
memanfaatkan perdebatan-perdebatan di Ibadat Khana ini untuk mendedahkan
ketaksuban dan kesempitan pandangan golongan teologi Muslim di istananya.
Hal
ini seterusnya memberikan beliau keabsahan untuk melanggari tatanan otodoks
Islam di istananya. Dalam sebuah titah yang dikeluarkan pada tahun 1579 Masihi,
beliau mengisytiharkan dirinya sebagai Imam-I Adil (pemerintah saksama,
sekaligus memindahkan autoriti keagamaan dari tangan ulama’ ke tangannya
sendiri. Dalam erti kata lain, beliau diisytiharkan sebagai pemberi kata putus
yang muktamad serta menjadi autoriti perundangan yang tertinggi dalam empayar.
Namun, menurut Badaoni, beliau tidak pernah meninggalkan agama Islam. Menjelang
tahun 1582 Masihi, perbincangan-perbincangan di Ibadat Khana dihentikan.
LOKASI
Ramai ilmuwan dari
pelbagai zaman telah menamakan tujuh hingga lapan buah bangunan berbeza sebagai
Ibadat Khana. Slaah satu bangunan tersebut ialah sebuah struktur empat segi
dengan tiang teratau yang masyhur dikenali sebagai diwan-i-khas.
Ekskavasi-ekskavasi paling masyhur yang dijalankan ke atas struktur ini
dilakukan di bawah kendalian Profesor R.C. Gaur dan ianya membawa kepada
penemuan sejumlah platform, bilik dan dinding yang mempunyai ciri yang sama
dengan struktur yang digambarkan dalam lukisan miniatur Mughal berkenaan Ibadat
Khana yang kini disimpan di Perpustakaan Chester Beatty.
Lukisan miniatur ini
menggambarkan Maharaja Akbar yang sedang duduk di atas sebuah platform tinggi,
sambil mengadakan perhimpunan keagamaan bersama beberapa orang ilmuwan. Dua
orang paderi Jesuit yang berpakaian jubah hitam, dikenali sebagai Rodolfo
Acquaviva dan Francisco Henriques turut dilihat menyertai perhimpunan agama
tersebut.
Penemuan-penemuan terkini oleh sejarahwan Rezavi pula mengemukakan
bahawa struktur bernama Daftarkhana adalah Ibadat Khana, berdasarkan
lokasinya yang hampir dengan Khwabgah (kediaman Akbar), bukti dari
ekskavasi-ekskavasi yang pernah dijalankan sebelum ini serta rujukan-rujukan
dari sejarahwan kontemporari. Walau bagaimanapun, lokasi tepat Ibadat Khana di
Fatehpur Sikri masih lagi diperdebatkan sehingga kini.
BIBLIOGRAFI
- Alden, Dauril. The Making of an Entreprise. Stanford University Press. 1996.
- Badaoni, Abd al-Qadir. Muntakhab ut-Tawarikh. Atlantic Publishers, New Delhi. 1990.
- Chandra, Satish. Medieval India: From Sultanat to Mughals II. Haranand Publications. 2007.
- Eraly, Abraham. Emperors of the Peacock Throne. Penguin Books India. 2001.
- Fazl, Abu’. Akbarmana. The Asiatic Society, Calcutta. 1939.
- Garbe, Richard. “Akbar, Emperor of India. A picture of Life and Customs from the sixteenth century.” The Monist, 19, no. 2, 1909, pp. 161-201.
- Khan, Iqtidar Alam. “Akbar’s Personality Traits and World Outlook – A Critical Appraisal.” Akbar and His India, edited by Habib, Irfan. Oxford University Press. 1997, 79-96.
- Monserrate. Commentary of Father Monserrate SJ. on His Journey to th Court of Akbar. Laurier Books Ltd. AES, 2003.
- Mukhia, Harbans. The Mughals of India. Wiley-Blackwell, 2004.
- Rezavi, Syed Ali Nadeem. “Religious Disputations and Imperial Ideology: The Purpose and Location of Akbar’s Ibadat-Khana.” Studies in History, 24, no. 2, 2008, pp. 195-209.
- Roychoudhury, Makhanlal. The Din-I-Ilahi or Religion of Akbar. University of Calcutta Press, Calcutta, 1941.
- Smith V.A. Akbar The Great Mogul 1542-1605. Clarendon Press, Oxford, 1917.
- Smith, V.A. “Akbar’s “House of Worship”, or “Ibadat-Khanah.” Journal of the Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland, 1917, pp. 715-722.
Amir Zayyanid
Ancient History Encyclopedia
India
Tarikh al-Islami
Teratak Tarjim
Tradisi & Kebudayaan
- Get link
- X
- Other Apps

