- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Disember 2018). Ivan the Terrible: How Did He Become the First
Tsar of Russia? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/first-tsar-russia-0011132
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/first-tsar-russia-0011132
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tsar Russia merupakan
gelaran yang digunakan oleh para pemerintah Kekaisaran Russia, sebuah kuasa
politik yang wujud pada tahun 1547 hingga 1721 Masihi. Kekaisaran Russia
terlebih dahulu didahului oleh Duci Agung Moscow, dan disusuli oleh Empayar
Russia. Tsar pertama Russia ialah Ivan IV (atau lebih dikenali dalam bahasa
Inggeris sebagai Ivan the Terrible, derivasi dari Ivan Grozny dalam bahasa
Russia). Beliau merupakan Putera Agung Moscow terakhir dan pengasas Kekaisaran
Russia.
SIAPAKAH TSAR?
Gelaran ‘tsar’ (juga
dieja sebagai ‘czar’ atau ‘tzar’) tidaklah digunakan secara eksklusif oleh para
pemerintah Russia. Akan tetapi, ia turut digunakan oleh monarki-monarki Slavia,
seperti pemerintah Empayar Bulgaria. Gelaran ini diambil daripada perkataan
Latin, iaitu ‘Caesar’. Perkataan tersebut merupakan gelaran diraja yang terus
digunakan oleh Byzantine selepas perpecahan Empayar Rom.
Di Russia pada era
pertengahan, gelaran tersebut diubah menjadi ‘tsar’ dan mengandungi konotasi
keagamaan padanya. Walaupun gelaran ini digunakan untuk merujuk pemerintah
tertinggi, ia juga secara spesifik merujuk kepada pemimpin sekular dalam dunia
Kristian-Ortodoks, yakni sama seperti maharaja Byzantine.
![]() |
| Resepsi Tsar Russia di Moscow Kremlin |
DUCI AGUNG MOSCOW
Duci Agung Moscow (atau
Prinsipaliti Agung Moscow) merupakan kuasa politik yang kewujudannya mendahului
Kekaisaran Russia. Moscow ditubuhkan sebagai sebuah bandar perdagangan kecil
sekitar kurun ke-12 dan dimusnahkan semasa serangan Monggol ke atas Rus pada
kurun berikutnya. Pada tahun 1263, Moscow yang masih merupakan sebuah bandar
yang tidak signifikan diserahkan kepada Daniel I, iaitu putera bongsu Alexander
Nevsky sesudah kemangkatannya.
Daniel dan keturunannya berusaha menyatukan
wilayah-wilayah Russia. Penyatuan ini diselesaikan pada era Ivan III
Vasilyevich (juga dikenali sebagai Ivan Agung). Menjelang kemangkatan Ivan pada
tahun 1505, jawatan Putera Agung Moscow juga memegang peranan sebagai
pemerintah tertinggi Russia.
![]() |
| Ivan III Vasilyevich |
Ivan III digantikan
oleh puteranya, Vasili III yang secara relatifnya tiada sebarang peristiwa
menonjol yang berlaku di zaman pemerintahannya. Namun, signifikasi nama Vasili
terletak pada statusnya sebagai ayahanda kepada Ivan IV, yang menggantikannya
sebagai Putera Agung Moscow ketika berusia tiga tahun pada 1533.
Ivan IV ini
kelak ditabalkan sebagai Putera Agung Moscow yang terakhir, merangkap Tsar
Russia yang pertama. Walaupun Ivan IV merupakan pengasas Kekaisaran Russia
sekaligus pemerintah Russia pertama yang dimahkotakan secara rasmi sebagai Tsar
Russia, konsep gelaran tersebut sendiri boleh dijejak akarnya semasa
pemerintahan Ivan III.
Tatkala Ivan III
menyelesaikan kempen penyatuan Russia, pemerintahan Byzantine berakhir apabila
Konstantinopel tumbang ke tangan Turki Uthmaniyah pada tahun 1453 Masihi.
Uthmaniyah kemudiannya menyerang wilayah Balkan, sekaligus menjadikan Putera
Agung Moscow sebagai satu-satunya monarki Ortodoks yang masih wujud di dunia.
Lantaran itu, terdapat seruan-seruan yang meminta agar Moscow diperakui sebagai
pengganti Konstantinopel sekaligus menjadi ‘Rom yang ketiga’. Tambahan pula,
pada tahun 1472, Ivan III mengahwini anak saudara maharaja Byzantine yang
terakhir, iaitu Zoe Palaiologina (kelak dikenali sebagai Sophia). Beliau
kemudiannya membawa tradisi-tradisi istana Byzantine bersamanya ketika berpindah
ke Moscow.
TSAR RUSSIA PERTAMA
Secara efektifnya, Ivan
III merupakan Tsar Russia walau tanpa gelaran yang diberikan kepadanya. Hanya
pada tahun 1547, barulah gelaran tersebut disandang secara rasmi oleh cucunya,
iaitu Ivan IV. Pada tanggal 16 Januari 1547, Ivan IV dimahkotakan sebagai Tsar
Russia yang pertama di Katedral Dormition, Moscow. Ivan IV disifatkan sebagai
seorang yang kompleks, dan hal ini terbukti menerusi cara pemerintahannya.
Sebagai contoh, walaupun beliau seorang penganut Kristian yang taat dan banyak
melakukan kebajikan kepada pihak biara, beliau tidak ragu-ragu untuk membunuh
paderi. Semasa era pemerintahannya, beliau cuba memperkuatkan kedudukannya
dengan mengehadkan pengaruh yang dipegang oleh golongan bangsawan menerusi
jalan reformasi. Namun kemudian, Ivan IV memilih untuk menggunakan kaedah yang
lebih ganas dalam membendung pengaruh golongan bangsawan.
![]() |
| Tsar Ivan the Terrible dan paderi Sylvester, 24 Jun 1547 |
Ivan IV juga sering
mengalami ketidakstabilan mental, terutama pada tahun-tahun terakhir
pemerintahannya. Dalam salah sebuah kejadian yang berlaku pada tahun 1581,
putera mahkotanya, Ivan Ivanovich dibunuh oleh beliau. Akibatnya, selepas
kemangkatan Ivan IV pada tahun 1584, kedudukannya digantikan oleh putera lain,
iaitu Feodor I.
Feodor tidak pernah dijangka akan memegang takhta, justeru
beliau tidak dipersiapkan dengan tugas tersebut. Malah, Feodor sebenarnya lebih
berminat dalam urusan agama berbanding politik. Walaupun Feodor mewarisi
kedudukan ayahandanya sebagai Tsar Russia, kuasa sebenar terletak di tangan
seorang boyar yang berpengaruh, iaitu Boris Godunov.
Feodor mangkat pada
tahun 1598 tanpa meninggalkan pewaris, justeru dinastinya, iaitu Dinasti
Rurikid pun berakhir dan digantikan oleh Godunov. Kekaisaran Russia masih terus
wujud, sehinggalah penubuhan Empayar Russia oleh Peter Agung pada tahun 1721.
![]() |
| Potret Tsar Peter I oleh Godfrey Kneller (1698) |
SUMBER
- New World Encyclopedia. 2018. Ivan IV of Russia.
- Strauss, B. 2018. The 10 Most Important Russian Czars and Empresses.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2012. Grand Principality of Moscow.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2016. Tsar.
- Biography. 2018. Ivan the Terrible.
- Yegorov, O. 2016. 7 facts about Ivan the Terrible, the first Russian tsar.
- Get link
- X
- Other Apps




