- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (29 Oktober 2015). The Ancient Kingdom of Champa: An Enduring Power
that Lasted over 1500 years in Southern Vietnam. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-kingdom-champa-enduring-power-lasted-over-1500-years-southern-vietnam-020598
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-kingdom-champa-enduring-power-lasted-over-1500-years-southern-vietnam-020598
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kerajaan Champa
terletak di daratan besar Asia Tenggara dan menempati kawasan selatan Vietnam
moden. Seperti sejumlah tamadun awal Asia Tenggara, Kerajaan Champa tidak
begitu dikenali di dunia Barat. Apapun, berkat kepesatan ekonominya, kerajaan
ini berupaya membangun menjadi kuasa serantau yang penting dan memusatkan
pengaruhnya pada perdagangan maritim. Menerusi rangkaian perdagangan inilah
Kerajaan Champa berinteraksi dengan kuasa-kuasa lain, dan menerima pengaruh
daripada kebudayaan mereka.
PO NAGAR DAN LEGENDA
PENUBUHAN CHAMPA
Menurut tradisi Cham,
pengasas Champa ialah dewi yang dikenali sebagai Po Nagar. Legenda menyebutkan
bahawa Po Nagar ditinggalkan di sebuah hutan berhampiran Nha Trang semasa masih
bayi. Beliau ditemui oleh seorang pemotong kayu yang sedang dalam perjalanan
pulang ke rumah.
Pemotong kayu dan isterinya tidak mempunyai anak dan mereka
berdua membesarkan bayi itu seperti anak kandung. Pada suatu hari, Po Nagar
yang kini sudah menjadi seorang gadis, membawa pulang kayu cendana yang
istimewa. Kayu cendana ini dipelihara oleh beliau dengan baik dan beliau tidak
membenarkan sesiapa pun menyentuhnya.
Kemudian, tiba hari di
mana beliau memaklumkan kepada kedua orang tua angkatnya bahawa beliau
diperintahkan untuk pergi ke istana Maharaja China, di mana di sana kononnya
beliau akan berkahwin dengan seorang putera mahkota. Walaupun pada mulanya
orang tua angkat Po Nagar tidak mengizinkan beliau keluar menempuh perjalanan
yang jauh itu, akhirnya mereka berdua akur dan memberi restu.
![]() |
| Po Nagar Cham di mulut Sungai Chai, Nha Trang, Vietnam |
Po Nagar membawa diri
ke pesisir pantai, mencampakkan kayu cendananya ke laut dan hilang serta-merta.
Kayu cendana ini dihanyutkan ke utara oleh laut, dan tiba di pantai China. Di
sana, ia ditemui oleh seorang nelayan. Menyedari bahawa kayu cendana itu
merupakan suatu barangan yang sangat berharga, nelayan itu pun segera
membawanya ke istana dan memberikannya kepada Putera Mahkota.
Putera membalutkan kayu
cendana itu dengan kain sutera, lalu menyimpannya di tempat yang hampir
dengannya di istana. Pada malam itu, kain tersebut bergerak-gerak dan tatkala
diperiksa oleh si putera, Po Nagar pun muncul. Putera Mahkota China dan Po
Nagar kemudiannya berkahwin dan menikmati hari-hari sebagai pasangan pengantin.
KEHIDUPAN PO NAGAR SELEPAS
BERKAHWIN
Walau bagaimanapun pada
suatu hari, Po Nagar mengadu kepada suaminya bahawa beliau mahu menziarahi
orang tua angkatnya, lantaran beliau pernah berjanji untuk pulang sebelum pergi
meninggalkan mereka. Namun, si putera tidak berkenan memenuhi permintaan itu
kerana beliau enggan berpisah dengan Po Nagar walau untuk sehari. Lantaran
tiada apa lagi yang mampu dilakukan oleh Po Nagar bagi mengubah fikiran
suaminya, beliau pun pergi ke pantai, lalu mencampakkan kayu cendananya ke laut
dan hilang serta-merta.
Putera naik berang
dengan keadaan ini dan segera memperlengkapkan sebuah armada untuk berlayar ke
selatan bagi mencari Po Nagar. Kehadiran armada ini mengundang kemurkaan
Maharaja Jed, Ngoc Hoang yang lantas menukarkan kapal yang dinaiki oleh putera
menjadi batu sebaik sahaja ia memasuki pelabuhan Nha Trang. Po Nagar terus
kekal berada di Vietnam dan berbuat kebajikan sepanjang baki hayatnya. Selepas
beliau meninggal dunia, namanya dihormati oleh masyarakat Cham dan Vietnam yang
menganggapnya sebagai dewi pelindung mereka.
![]() |
| Kuil-kuil Po Nagar yang terletak di sebuah bukit di selatan Vietnam |
SEJARAH PENUBUHAN KERAJAAN
CHAMPA DAN HUBUNGANNYA DENGAN CHINA
Sebagai perbandingan,
sumber sejarah berkenaan asal-usul Kerajaan Champa boleh ditemukan dalam
sumber-sumber China. Sebutan pertama mengenai Champa dipercayai dilakukan pada
tahun 192 Masihi. Pada waktu itu, Kerajaan Champa dikenali sebagai Lin-Yi.
Disebutkan bahawa kuasa baru ini muncul di bahagian utara Vietnam moden
(wilayah Hue untuk lebih tepat), yakni apabila seorang pegawai tempatan berjaya
mengetuai sebuah pemberontakan menentang kuasa China di kawasan itu. Baik dalam
legenda mahupun catatan sejarah, Champa disifatkan mempunyai hubungan dengan
China yang terletak di utaranya.
Interaksi dengan China
ini berlangsung sepanjang sejarah Champa. Berakhirnya Dinasti Han pada tahun
220 Masihi menandakan ketumbangan China selama beberapa kurun, dan pada kurun
ke-6 Masihi, Cham menyerang bahagian utara Vietnam lantaran mereka menganggap
Dinasti Chen Selatan yang memerintah kawasan itu sedang melemah.
Walau bagaimanapun,
kekuatan Cham ini ditewaskan oleh seorang panglima China yang bernama Pham Tu.
Ketika Dinasti Tang berkuasa pada kurun ke-7 Masihi, Kerajaan Champa
menghentikan serangan ke atas jiran utara mereka selama hampir dua kurun.
Selain itu, raja-raja Cham turut menghantar perutusan demi perutusan diplomatik
ke istana China.
PENGARUH INDIA DI
CHAMPA
Empayar lain yang
memainkan peranan signifikan dalam sejarah Champa ialah India. Kuasa yang
terletak di barat ini banyak mempengaruhi kebudayaan masyarakat Cham, terutama
melalui ajaran Hinduism dan Buddhism.
Pengaruh dari India ini
boleh dilihat menerusi hasil seni masyarakat Cham. Misalnya, bermula dari kurun
ke-4 Sebelum Masihi, kebanyakan hasil seni Champa mempunyai imej dewa-dewa
Hindu. Namun, penting untuk dinotakan bahawa imej-imej ini memiliki sentuhan
unik Cham yang membezakannya dari ciri asli India. Sebagai contoh, masyarakat
Cham sering menggambarkan Shiva dengan hidung yang lebar, bibir yang tebal dan
senyuman nipis, yang kesemua ini merupakan cerminan budaya Cham dan bukannya
India.
![]() |
| Pengaruh India: Relif dari Angkor |
Selain hasil seni,
pengaruh India juga boleh dilihat menerusi seni bina Kerajaan Champa. Seni bina
yang paling menonjol dalam konteks ini ialah Candi My Son, sebuah kompleks kuil
Hindu yang terletak di Vietnam Tengah. Kuil-kuil ini dibina selama lebih
sepuluh kurun, bermula pada kurun ke-4 Masihi. Ia didedikasikan kepada pelbagai
dewa Hindu, termasuklah Vishnu, Krishna dan Shiva – dalam bentuk Shiva lingam.
![]() |
| Patung kepala Shiva dari Cham ini dihasilkan pada sekitar 800M |
KETUMBANGAN KERAJAAN
CHAMPA
Kerajaan Champa
berakhir pada awal kurun ke-18. Raja agung Cham yang terakhir ialah Che Nbong
Nga, yang memerintah pada tahun 1360 hingga 1390. Beliau bertanggungjawab
menyerang jiran utaranya, Dai Viet dengan sangat agresif. Hanya selepas
kemangkatan Che Nbong Nga, barulah Cham kembali ke selatan.
Serangan balas Vietnam
bermula pada tahun 1402 dan hanya terhenti apabila Dinasti Ming meluaskan kuasa
sehingga memasuki wilayah mereka. Namun pada tahun 1428, Vietnam berupaya
mengusir kekuatan China dan mengekalkan hubungan yang baik dengan Cham. Tatkala
raja Champa mangkat pada tahun 1441, kerajaan Champa dibelenggu kemelut perang
saudara dan Vietnam mengambil kesempatan untuk menyerang.
Selepas 30 tahun
berlalu, kebanyakan wilayah Cham berjaya dirampas oleh Vietnam. Apapun, wilayah
kecil Cham masih kekal bertahan jauh di selatan dan mengekalkan pengaruhnya
sehingga tahun 1720. Tamatnya kekuasaan wilayah kecil ini memaksudkan
tumbangnya sebuah kerajaan agung yang pernah berdiri selama lebih 1500 tahun.
SUMBER
- Taus-Bolstad, S. 2003. Vietnam in Pictures. Minneapolis: Lerner Publications Company.
- Ancient World LLC. 2005. The Kingdom of Champa.
- Faculty Staff. Richmond. 2015. Kingdom of Champa, Professor Bolt’s Photos of the My Son Ruins, with Excerpts of 1997 Journal.
- Panduranga-Gallery. 2015. This History of Champa and the Golden Arts.
- Parker, V.B. 2014. Vietnam’s Champa Kingdom Marches On.
- UNESCO. 2015. My Son Sanctuary.
- Vietspring. 2015. The Sandalwood Maiden, Adapted by George F. Schultz.
- Get link
- X
- Other Apps




