- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (17 April 2020). Kingdom of Sukhothai and the Birth of Thailand.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sukhothai-kingdom-0013580
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sukhothai-kingdom-0013580
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kerajaan Sukhothai
merupakan sebuah kerajaan awal yang terletak di Thailand moden. Kerajaan ini
ditubuhkan pada kurun ke-13. Sebelum Kerajaan Sukhothai terbentuk, kebanyakan
wilayah Thailand moden ini berada di bawah pemerintahan Empayar Khmer.
Memandangkan kerajaan
Khmer ini berpangkalan di Kemboja moden, maka mereka boleh dianggap sebagai
sebuah kuasa asing. Sementara itu, Kerajaan Sukhothai ini pula ditubuhkan oleh
seorang pemerintah tempatan Tai.
Justeru, kerajaan ini
dianggap secara umum oleh masyarakat Tai (salah satu kumpulan etnik utama Tai)
sebagai titik permulaan sejarah bangsa dan negara mereka. Kerajaan Sukhothai
berakhir pada hujung kurun ke-15, apabila ia tumbang di tangan sebuah lagi
kuasa Tai, iaitu Kerajaan Ayutthaya.
SITUASI SEBELUM TERTUBUHNYA
KERAJAAN SUKHOTHAI
Pada tahun 802 Masihi,
seorang pemerintah yang bernama Jayavarman II mengisytiharkan dirinya sebagai chakravartin
(diterjemah sebagai raja alam) di Phnom Kulen, banjaran gunung yang
terletak di barat laut Kemboja. Pengisytiharan ini secara umum dianggap sebagai
permulaan Empayar Khmer, yang juga dikenali sebagai Empayar Angkor.
Pada kurun-kurun
berikutnya, bangsa Khmer mendominasi kebanyakan daratan Asia Tenggara. Pada
kemuncak kuasanya, yakni antara kurun ke-11 dan kurun ke-13 Masihi, kuasa
Empayar Khmer ini melangkaui sempadan Kemboja. Ia memerintah atau menaungi
Laos, Thailand dan Vietnam moden. Selain itu, pengimejan satelit mendapati
bahawa Angkor, iaitu ibu kota Khmer pada masa itu, merupakan sebuah pusat urban
pra-industri terbesar di dunia sekaligus membuktikan lagi kekayaan dan
kekuasaan yang dimiliki oleh empayar berkenaan.
![]() |
| Peta Asia Tenggara pada tahun 900, Empayar Khmer berwarna merah |
Pemerintah agung
terakhir Empayar Khmer ialah Jayavarman VII, yang memerintah dari tahun 1181
hingga 1206 Masihi. Antara pencapaian Jayavarman ini termasuklah kempen
ketenteraan yang berjaya ke atas Cham (yang kerajaannya, Champa, terletak di
sempadan timur Empayar Khmer), penyatuan semula empayar dan pelancaran sejumlah
projek pembinaan penting. Para pemerintah yang menggantikan Jayavarman tidak
mewarisi kecekapan beliau, lantas empayar pun mula mengalami kemunduran secara
bertahap.
Misalnya menjelang
tahun 1220 Masihi, bangsa Khmer telah meninggalkan sejumlah wilayah yang
sebelum ini dirampas oleh Jayavarman dari bangsa Cham. Walaupun Empayar Khmer
masih merupakan sebuah kuasa yang digeruni, bangsa Tai yang merupakan jirannya di
barat pada masa yang sama mengalami perkembangan kuasa.
Pada tahun 1431,
Kerajaan Ayutthaya melancarkan serangan ke atas Empayar Khmer dan berjaya
menakluk ibu kotanya, Angkor. Kejatuhan Angkor ini dianggap sebagai pengakhiran
dominasi bangsa Khmer di Asia Tenggara.
Walaupun begitu,
kebangkitan bangsa Tai pada hakikatnya berlaku jauh lebih awal daripada itu. Kerajaan
Tai pertama yang bangkit menentang Khmer ialah Kerajaan Sukhothai. Menurut
tradisi, kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 1238 oleh seorang pembesar Tai
tempatan yang bernama Pho Khun Bang Klang Hao (bermaksud ‘Raja Yang Memerintah
Langit’).
PEMERINTAH PERTAMA
KERAJAAN SUKHOTHAI
Pho Khun Bang Klang Hao
merupakan pembesar Bang Yang, sebuah wilayah kecil di daerah paling barat
Empayar Khmer (kini wilayah utara Thailand). Berikutan pengenaan cukai-cukai
yang tinggi oleh Kerajaan Khmer, Pho Khun Bang Klang Hao pun memutuskan untuk
melancarkan pemberontakan terhadap pemerintah atasannya itu sekaligus
mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau dibantu oleh seorang lagi pembesar Tai,
iaitu Khun Pha Mueang.
Pihak penentang ini
menakluk Sawankhalok dan menewaskan gabenor Sukhothai yang mewakili pemerintah
Khmer. Kerajaan Khmer gagal bertindak balas ke atas penentangan bangsa Tai ini.
Hal ini berkemungkinan kerana mereka sedang menumpukan kekuatan atau tenaga
pada projek-projek pembinaan monumen di ibu kota.
Setelah mengusir suku
Khmer dari tanahnya, Pho Khun Bang Klang Hao menubuhkan Kerajaan Sukhothai dan
mengambil nama baru, iaitu Sri Indraditya yang boleh diterjemahkan daripada
bahasa Sanskrit sebagai, “Raja Matahari dengan Kuasa Indra.”
![]() |
| Tugu Sri Indraditya, pengasas Kerajaan Sukhothai |
Kemasyhuran beliau
dalam kalangan rakyatnya “dicerminkan menerusi gelaran yang diberikan ke
atasnya, iaitu Phra Ruang yang membawa maksud Putera Gemilang”. Gelaran ini
digunakan oleh kesemua raja Sukhothai di zaman terkemudian dan dijadikan
sebagai nama dinasti. Dinasti Phra Ruang ini dianggap sebagai dinasti diraja
pertama Thailand, sekaligus permulaan sejarah bangsa dan negara itu.
Sri Indraditya
memerintah Kerajaan Sukhothai sehingga kemangkatannya pada tahun 1270 Masihi.
Sepanjang 32 tahun pemerintahannya, Kerajaan Sukhothai wujud sebagai sebuah
kuasa tempatan yang kecil. Kerajaan ini kekal dengan kedudukan sedemikian
semasa era pengganti Sri Indraditya, iaitu Ban Mueang si putera kedua raja.
Berbanding ayahandanya,
Ban Mueang memerintah untuk tempoh yang singkat. Beliau memimpin Kerajaan
Sukhothai hanya selama sembilan tahun. Kedudukannya digantikan oleh
Ramkhamhaeng, adiknya. Pada zaman pemerintahan Ramkhamhaeng yang berlangsung
sehingga tahun 1298 inilah Kerajaan Sukhothai muncul sebagai kuasa serantau
yang berpengaruh.
![]() |
| Tugu Raja Ramkhamhaeng, pemerintah ketiga Kerajaan Sukhothai |
PRASASTI RAMKHAMHAENG
DI KERAJAAN SUKHOTHAI
Walaupun pada hari ini
kita mempunyai maklumat berkenaan Ramkhamhaeng, pada hakikatnya beliau
dilupakan hampir sepenuhnya pada kurun-kurun sesudah kemangkatannya. Hanya pada
tahun 1834 barulah kewujudan raja ini diingati kembali. Pada tahun itu, Raja
Mongkut dari Siam (seorang sami Buddha pada masa itu) menemui prasasti
Ramkhamhaeng (juga dikenali sebagai Prasasti Satu Sukhothai) yang dihasilkan pada
tahun 1292.
Semenjak itu,
Ramkhamhaeng dikenang sebagai perwira bangsa di Thailand. Kebanyakan maklumat
yang kita miliki tentang raja ini diambil daripada prasasti tersebut. Pada
hujung 1980an dan 1990an, sebahagian sejarahwan meragui kesahihan prasasti ini.
Hal ini membibitkan suatu kontroversi yang masih belum diselesaikan untuk
tempoh yang panjang.
Prasasti Ramkhamhaeng
berbentuk tiang batu setinggi 3.76 kaki (114.5 cm) dan mempunyai empat sisi.
Setiap satunya mempunyai ukuran lebar 1.16 kaki (35.5 cm). Sisi pertama dan
kedua tiang ini masing-masing mempunyai 35 baris tulisan, manakala sisi ketiga
dan keempat pula masing-masing 27 baris.
![]() |
| Prasasti Ramkhamhaeng mengandungi tulisan-tulisan berkenaan Kerajaan Sukhothai |
Prasasti-prasasti ini
dianggap sebagai contoh terawal tulisan Tai. Menurut prasasti itu, tulisan ini
dicipta oleh Ramkhamhaeng sendiri,
“Sebelum ini,
huruf-huruf Tai sebegini tidak wujud. Pada tahun 1283 Masihi, yakni tahun
kambing, Raja Ramkhamhaeng menumpukan seluruh jiwa dan raganya untuk mencipta
huruf-huruf Tai ini. Maka, huruf-huruf Tai ini pun wujud kerana raja
menciptanya.”
Selain maklumat
berkenaan Ramkhamhaeng, prasasti ini juga memberikan beberapa maklumat sejarah
terawal Kerajaan Sukhothai. Misalnya pada permulaan prasasti ini, Ramkhamhaeng
menyatakan bahawa ayahandanya ialah Sri Indraditya, manakala ibundanya pula
ialah seorang wanita yang bernama Nang Suang.
Ramkhamhaeng juga
menyebutkan bahawa beliau mempunyai dua orang saudara lelaki dan dua orang
saudara perempuan. Selain itu, kita turut mengetahui bahawa putera sulung Sri
Indraditya mangkat semasa kecil.
Sudah tentu, matlamat
utama Prasasti Ramkhamhaeng ini adalah untuk mengagung-agungkan raja dan segala
pencapaiannya. Sebagai contoh, prasasti ini menyatakan bahawa Kerajaan
Sukhothai meraih kepesatan pada era pemerintahan Ramkhamhaeng,
“Terdapat ikan di
air dan padi di ladang. Raja kerajaan ini tidak mengenakan cukai ke atas
rakyatnya yang berlalu-lalang di jalanan. Mereka bebas membawa ternakan mereka,
atau menunggang kuda-kuda mereka untuk berdagang. Sesiapa yang mahu
mendagangkan gajah, maka dia lakukannya; sesiapa yang mahu mendagangkan kuda,
maka dia lakukannya; sesiapa yang mahu mendagangkan perak atau emas, maka dia
lakukannya.”
Prasasti ini juga
menceritakan tentang keperibadian raja. Misalnya, raja digambarkan sebagai
seorang putera yang taat,
“Semasa hayat
ayahandaku, aku menumpahkan khidmat kepada ayah dan bonda. Bilamana aku berjaya
menangkap buruan atau ikan, maka aku akan bawakannya kepada ayah. Apabila aku
memetik mana-mana buah yang masam atau manis yang sedap dan baik untuk dimakan,
maka aku akan bawakannya kepada ayah. Apabila aku pergi memburu gajah dan
menangkapnya, baik dengan tali mahupun kurungan, maka aku akan bawakannya
kepada ayah.”
Selain itu, Ramkhamhaeng
turut menggambarkan dirinya sebagai seorang pemerintah yang prihatin terhadap
rakyat jelata sebagaimana yang dicatatkan,
“Terdapat sebuah
loceng yang digantung pada gerbang istana. Jika rakyat jelata di tanah ini
mempunyai bantahan dan mahu berbicara kepada pemerintah dan rajanya, maka mudah
sahaja; beliau akan pergi membunyikan loceng yang digantungkan oleh Raja di
situ. Raja Ramkhamhaeng, si pemerintah kerajaan akan mendengar loceng itu;
seterusnya beliau memanggil lelaki itu masuk dan mengajukan soalan kepadanya,
menyelidiki aduannya dan memutuskan dengan adil untuknya.”
![]() |
| Perincian, yang menunjukkan tulisan Tai yang dicipta oleh raja Sukhothai |
AGAMA DALAM KERAJAAN
SUKHOTHAI
Selain itu, menerusi
prasasti ini juga kita dapat mengetahui bahawa kepercayaan Buddhisme sangat
penting dalam kerajaan. Misalnya,
“Di dalam kota
Sukhothai ini, terdapat wihan (dewan suci yang mengandungi imej Buddha), ada
patung-patung emas Buddha, ada patung-patung setinggi sembilan meter, ada
patung-patung Buddha yang besar dan sederhana, ada wihan-wihan yang besar dan
sederhana; terdapat sami-sami yang baru, sami-sami yang sudah berkhidmat selama
lima tahun, sami-sami yang sudah berkhidmat selama sepuluh tahun, dan sami-sami
yang sudha menjadi tuan guru.”
Antara lain lagi,
“Penduduk di kota
Sukhothai ini gemar memelihara amalan dan berbuat kebajikan. Raja Ramkhamhaeng,
pemerintah kota Sukhothai ini, juga para putera dan puteri, pemuda dan pemudi
bangsawan, dan semua bangsawan tanpa berkecuali, baik lelaki mahupun perempuan,
semuanya menganut kepercayaan Buddha dan mengamalkan ajarannya walau pada musim
hujan.”
Sudah tentu, sami-sami
dan biara-biara Buddha meraih manfaat yang besar dari kemurahan hati raja dan
golongan bangsawan. Sebagai contoh, hadiah-hadiah yang diberikan untuk kegunaan
para sami dalam upacara Kathin (diadakan secara tahunan pada penghujung musim
hujan) berjumlah dua juta cowries (kulit-kulit siput gerus) setiap
tahun.
![]() |
| Tugu Buddha di Taman Bersejarah Sukhothai, di lokasi ibu kota Kerajaan Sukhothai |
Pada bahagian akhir
Prasasti Ramkhamhaeng, beliau digambarkan sebagai seorang penakluk agung yang
memperluaskan sempadan kerajaannya ke semua arah,
“Beliau berupaya
menundukkan sejumlah musuh yang memiliki kerajaan-kerajaan yang luas dan banyak
gajah. Tempat-tempat yang ditaklukinya di timur termasuklah Phitsanulok, tebing
Sungai Mekong, Vientiane, sebagai sempadan. Di selatan pula termasuklah Nakhon
Sawan, Phraek Sriracha, Suphanburi, Ratchaburi, Phetchaburi, Nakhon Si
Thammarat, dan pantai laut sebagai sempadan. Sementara di barat termasuklah Mae
Sot, Mottama (Burma), Bago (Burma), dan laut sebagai sempadan. Di utara pula
termasuklah Phrae, Nan dan melangkaui tebing Mekong, Luang Prabang sebagai
sempadan.”
Sejarahwan
memperkirakan bahawa tempat-tempat ini tidaklah diperintah secara langsung oleh
Ramkhamhaeng. Sebaliknya, keadaan lebih cenderung memperlihatkan
pemerintah-pemerintah tempatan memperakui kekuasaan Kerajaan Sukhothai.
Menerusi Prasasti
Ramkhamhaeng, jelas bahawa Ramkhamhaeng adalah seorang pemerintah yang bukan
calang-calang. Namun malang, para pengganti beliau tidak mewarisi kecekapannya
dan kerajaan dengan pantas kehilangan kuasa dan pengaruh di rantau berkenaan.
Tidak lama selepas kemangkatan Ramkhamhaeng, kuasa-kuasa bawahan termasuklah
yang terletak jauh di sempadan, mula berpecah.
Apapun, memandangkan
Ramkhamhaeng menyerap hampir seluruh Thailand moden ke bawah pemerintahannya,
maka wilayah kekuasaannya ini memperoleh satu visi kesatuan dan identiti kebudayaan
yang baru. Visi ini diterapkan oleh negara-negara pengganti Sukhothai, terutama
Kerajaan Ayyuthaya. Kerajaan ini bermula sebagai sebuah negara di selatan
Sukhothai, namun secara bertahap mengembangkan kuasanya ke utara.
![]() |
| Anggaran keluasan zon pengaruh Kerajaan Sukhothai, lewat kurun ke-13 |
Pada tahun 1349 Masihi,
Sukhothai ditakluk oleh Kerajaan Ayyuthaya. Apapun, Sukhothai dan Ayyuthaya
terus wujud secara bersama sebagai dua buah kuasa yang berbeza. Sukhothai hanya
diserap oleh Ayyuthaya pada tahun 1438 Masihi, tahun yang menandakan
berakhirnya Kerajaan Sukhothai.
Legasi Sukhothai kekal
kuat di Thailand sehingga ke hari ini. Sejarah permulaan negara itu boleh
dijejak kembali pada sejarah kerajaan ini, lantaran kerajaan tersebut diangkat
sebagai kerajaan pertama suku Tai. Selain itu, Ramkhamhaeng juga sehingga kini
dihormati sebagai perwira bangsa di negara tersebut lantaran sumbangannya yang
besar terhadap Kerajaan Sukhothai, terutama sekali dalam membawakan identiti
kebudayaan dan kesatuan dalam kalangan masyarakat Tai.
Sebagai penutup, ibu
kota kerajaan, iaitu Sukhothai pada hari ini merupakan Tapak Warisan Dunia
UNESCO di bawah nama ‘Bandar Bersejarah Sukhothai dan Bandar-Bandar Bersejarah
Berkaitan’. Dua buah tapak lain yang turut dimasukkan ke dalam kumpulan ini
ialah Si Satchanalai dan Kamphaeng Phet, masing-masing terletak tidak jauh dari
Sukhothai. Tapak ini paling menonjol dengan kehadiran monumen-monumen Buddha,
yang juga berfungsi bagi memperingati kegemilangan yang pernah dikecapi oleh
kota tersebut, termasuklah oleh Kerajaan Sukhothai.
SUMBER
- Asia Highlights. 2020. Sukhothai Kingdom (1238-1438).
- Chandler, D. and Overton, L. 2019. The Khmer state (Angkor).
- Keyes, E, Hafner, J., and Keyes, C. 2020. Thailand.
- New World Encyclopedia. 2008. Khmer Empire.
- Peoplepill. 2020. Sri Indraditya.
- Renown Group Co. 2010. Sukhothai.
- The BBC. 2019. Thailand profile – timeline.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica 2020. Ramkhamhaeng.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica 2016. Sri Indraditya.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2009. Sukhothai kingdom.
- Tim. 2018. About the Ramkhamhaeng Inscription.
- Tim. 2018. English Translation of the Ramkhamhaeng Inscription.
- UNESCO. 2020. Historic Town of Sukhothai and Associated Historic Towns.
- Global Security. 2020. Thailand – Sukhothai Period (1238-1438).
- Get link
- X
- Other Apps







