- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Gisele Santos. (11 November 2015). Forgotten Moorish Sites in Murcia Hold
Treasures Yet to be Discovered. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/forgotten-moorish-sites-murcia-hold-treasures-yet-be-discovered-004516
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/forgotten-moorish-sites-murcia-hold-treasures-yet-be-discovered-004516
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kota dan Taifa
(emiriyah atau kerajaan kecil) Murcia ditubuhkan pada era penguasaan Orang Moor
di Sepanyol. Mereka berupaya mengekalkan kuasa selama 500 tahun semenjak kali
pertama menguasai Semenanjung Iberia pada tahun 711 Masihi. Namun tatkala orang
Kristian menakluki semula kawasan tersebut, Taifa Murcia dan kebanyakan
khazanahnya hilang secara bertahap seiring peredaran waktu.
Bandar Murcia moden
dibina di atas tapak perumahan lama, dan sebahagian daripada runtuhan bangunan
Orang Moor boleh dilihat di pelbagai lokasi di bandar moden pada hari ini.
Murcia merupakan sebuah bandar yang mempunyai sejarah sepanjang 1000 tahun
serta kesatuan seni bina yang jitu.
PENUBUHAN MURCIA
Ketika Murcia menjadi
ibu kota Kerajaan Murcia, ia merupakan sebuah kota besar yang mempunyai
petempatan luas, sejumlah menara pertahanan, dan sembilan buah gerbang di
tebing Sungai Segura. Bandar ini sendiri layak dipanggil sebagai sebuah
Kerajaan dan ia memiliki kaitan yang cukup rapat dengan Orang Moor.
Bandar Murcia
ditubuhkan pada tahun 825 Masihi oleh emir merangkap Khalifah Umayyah, ‘Abd
ar-Rahman III sebagai ibu kota wilayah Cordoba. Kekhalifahan Umayyah merupakan
kekhalifahan kedua dari empat kekhalifahan utama dalam sejarah Islam.
Pada mulanya,
kekhalifahan ini memusatkan pemerintahannya di Damsyik (di Syria) dan meraih
kepesatan dari tahun 661 hingga 750 Masihi sehinggalah digulingkan oleh
Kekhalifahan Abbasiyah pada kurun ke-8 Masihi. Setelah diusir, mereka tetap
meneruskan pemerintahan di rantau lain, terutama di Semenanjung Iberia dan
wilayah-wilayah Afrika Utara.
![]() |
Abd Ar-Rahman III yang menubuhkan Murcia sebagai ibu kota wilayah Cordoba |
PERANAN POLITIK MURCIA
Walaupun bermula
sebagai sebuah ibu kota wilayah Cordoba, Murcia meraih kemasyhuran dalam dua
peristiwa terpisah – pada kurun ke-11 selepas ketumbangan Kekhalifahan Umayyah,
dan semasa ia meraih kemerdekaan pada kurun ke-12 rentetan persengketaan antara
Muslim-Sepanyol dan al-Murabitun.
Yusuf ibn Tashfin (dari
Kekhalifahan al-Murabitun) menguasai sejumlah kerajaan Moor di Sepanyol dan
kemudian mentadbir Murcia sehingga lewat kurun ke-11 dan awal kurun ke-12.
Murcia hanya meraih kemerdekaannya sekali lagi pada tahun 1144, di bawah
pimpinan Abu Ja’far ibn Hud setelah berlakunya pemberontakan dalaman menentang
al-Murabitun.
Murcia juga memainkan
peranan besar sebagai pihak tengah antara penduduk Castile dan al-Murabitun.
Murcia sekali lagi berada di bawah pemerintahan al-Murabitun dari Afrika Utara
pada tahun 1168 dan sesudahnya. Kemudian, penduduk Castile-Kristian menguasai
wilayah tersebut pada tahun 123, hampir tanpa persengketaan.
TINGGALAN ARKEOLOGI DI
MURCIA MODEN
Sepanjang keberadaan
Orang Moor di Murcia, pihak pentadbir membina sejumlah rangkaian saluran
perairan yang membuatkan sistem pertanian kota itu begitu maju. Pengembara dan
penulis yang bernama Muhammad al-Idrisi memerincikan Murcia sebagai kota yang
“ramai penghuni dan dibentengi dengan ampuh.”
Justeru, kota ini
berupaya menikmati hasil usaha tenaga-tenaga kerjanya sekaligus membolehkan ia
meraih kemajuan. Kekayaan ini kemudiannya dicurahkan ke dalam seni bina yang
indah. Katedral Santa Maria yang berketinggian 92 meter (301.8 kaki) merupakan
salah sebuah struktur paling mengagumkan di bandar Murcia moden. Walaupun ia
dibina pada kurun ke-14 hingga kurun ke-18, katedral tersebut turut menonjolkan
ciri penggabungan gaya yang mencerminkan pengaruh Moor di Sepanyol.
Katedral Santa Maria
dibina di atas tapak sebuah masjid lama – puing-puing masjid tersebut masih
boleh dilihat di Muzium Katedral. Penggunaan semula bangunan sedia ada bagi
membina bangunan baru merupakan suatu perkara yang lazim dalam agama berkenaan.
Justeru, tidak mengejutkan andai di seluruh Murcia, terdapat banyak gereja
Kristian yang dibina di atas tapak masjid. Bangunan-bangunan ini sekaligus
mencerminkan agama dan masyarakat berbeza yang pernah menghuni Murcia.
![]() |
Gerbang Moor kurun ke-13, Muzium Santa Clara, Murcia, Sepanyol |
Sebagaimana yang umum
maklum, Granada dan Cordoba merupakan Kerajaan Moor yang sangat masyhur dan
meraih kunjungan pelancong yang ramai secara tahunan lantaran seni bina
bangunannya yang indah, hinggakan Murcia seringkali dikesampingkan. Pada
tahun-tahun kebelakangan, ahli-ahli arkeologi dan sejarahwan cuba memelihara kawasan
bandar ini namun minat masyarakat umum terhadapnya masih kurang. Begitu juga
dengan peruntukkan kewangan bagi memelihara puing-puing runtuhan tinggalan
Orang Moor yang ditemui ini.
TAPAK SAN ESTEBAN
Apapun, tapak San
Esteban (masyhur dengan kawasan perumahannya) yang terletak berhampiran Istana
San Esteban merupakan kawasan arkeologi Moor-Murcia yang paling besar pernah
ditemukan setakat ini. Kawasan arkeologi ini juga telah membangkitkan banyak
perdebatan sejak ia ditemui. Hal ini kerana ia ditemukan semasa projek
pembinaan sebuah lot parkir dijalankan di sebuah lokasi yang sangat kekurangan
ruang parkir.
Di Murcia, Orang Moor
mendirikan bangunan mereka dengan gaya pembinaan yang boleh mengalami kerosakan
dengan mudah sebaik sahaja ia terdedah kepada cuaca. Justeru, kebanyakan tapak
arkeologi ini perlu ‘ditutup dan dilindungi’ atau bahkan, dikambus semula jika
mahu ia terpelihara.
Persatuan Porgresso
y Democracia en el Ayuntamient o de Murcia telah pun mengemukakan aduan
tentang pengabaian tapak San Esteban ini. Sebagai respon terhadap aduan
tersebut, ada yang menyatakan bahawa tinggalan itu kurang diminati pengunjung
dan mengubah sebahagian daripada kawasannya menjadi muzium mungkin dapat
menambahkan serba-sedikit pelancongan ke bandar. Namun tanpa kewangan yang
mencukupi, tiada sumber yang dapat digunakan bagi melanjutkan projek
pemeliharaan tapak tersebut sekaligus hal ini membangkitkan perbahasan hangat.
![]() |
Tapak arkeologi San Esteban, Murcia, Sepanyol |
Terdapat satu cadangan
yang dikemukakan bagi memastikan “keadaan tapak Esteban ini terjamin dan pada
masa yang sama, menghindarkan tanggapan buruk penduduk dan pelancong
terhadapnya”, iaitu dengan menutupnya semula – dan tepat di kawasan itu
dibangunkan “sebuah kawasan hijau yang dilengkapi kemudahan awam untuk kegunaan
masyarakat setempat.”
Walaupun Ayuntamiento
Murcia telah pun melaburkan kira-kira €50 000 ($ 53 805) untuk pengubahsuaian dan pembaikpulihan lanjut
tinggalan arkeologi ini, semakin lama tapak berkenaan dibiarkan tanpa berusik
maka semakin signifikan kerosakan yang dialami olehnya.
PENEMUAN PERAK DAN EMAS
Dalam pada itu,
ahli-ahli arkeologi menumpukan perhatian mereka pada pemeliharaan beberapa
artifak Moor lain yang ditemui di Murcia. Antaranya seperti khazanah yang
ditanam di dalam runtuhan ibu kota Moor lama dan ditemukan semula pada tahun
2012.
Jabatan kebudayaan
mempamerkan sejumlah besar matawang syiling emas dan perak yang ditemui di
pusat kuarter lama bandar, di bawah jalan. Sebanyak 423 keping syiling ditemui
di dalam sebuah periuk seramik yang dijumpai di sebuah sudut, sebuah alhania
di sebuah rumah Moor yang telah dihuni pada kurun ke-10 sehingga kurun ke-15
Masihi.
Memerincikan angka tersebut dengan lebih lanjut, 347 keping syiling
emas utuh mahupun pecahan, 76 keping syiling perak, 2 dinar (matawang di
beberapa buah negara Islam) dan sebanyak 5 keping emas yang mungkin pada
asalnya tercantum membentuk sebuah perhiasan. Khazanah Orang Moor dari Murcia
ini dikumpulkan secara bertahap dan menjalani pemeriksaan penuh sebelum ianya
boleh dipamerkan dan dipelihara di Biara Santa Clara.
![]() |
Pameran syiling emas dan perak oleh jabatan kebudayaan Murcia pada 2012. Murcia, Sepanyol |
Menurut Watson, selepas
Orang Moor meninggalkan Sepanyol, sejarah dan budaya mereka ‘dilupakan’ hampir secara
keseluruhan, baik oleh dunia Arab mahupun Eropah. Di mana orang Yahudi yang
turut terusir mengalami nasib yang sama. Untuk tempoh yang agak panjang,
keberadaan Orang Moor di Sepanyol dianggap hanya seumpama sebuah ‘legenda’
dalam arkib sejarah.
Sejarah yang menyusuli
keberangkatan Moor dari Sepanyol ditinggalkan dan dilupakan di bawah
bangunan-bangunan yang dibina di atas tapak Kerajaan Murcia purba. Walaupun
pada hari ini wilayah-wilayah Moor lain seperti Granada dan Cordoba di
Andalusia jauh lebih masyhur dan dihargai berbanding Murcia, dengan kesungguhan
yang tinggi, puing-puing tinggalan dan khazanahnya yang berharga tentu akan
dapat ditemukan, dikaji dan disusun secara kronologi bagi meraih perhatian
masyarakat umum (baik tempatan mahupun antarabangsa) sekalipun tidak lagi
dilupakan.
SUMBER
- Brend, B. (1991). Islamic art. Cambridge, Mass: Harvard University Press.
- Dodds, J. & York, N. (1992). Al-Andalus: The art of Islamic Spain. New York: Metropolitan Museum of Art.
- Jayyusi, S. (1994). The legacy of Muslim Spain (2nd ed). Leiden: Brill.
- Harvey, L. (1990). Islamic Spain, 1250 to 1500. Chicago: University of Chicago Press.
- Watson, F. The Moors in Andalucia – 8th to 15th centuries. Retrieved November 8, 2015, from
- Hidden treasure found in Murcia. (2012). Murcia Today. Retrieved November 8, 2015, from
- http://murciatoday.com/hidden-treasure-found-in-murcia_13564-a.html#VUanN_IVhBc
- Murcia Cathedral. (2014). Murcia Today. Retrieved November 8, 2015, from
- Get link
- X
- Other Apps