- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (14 Mei 2016). Lost Treasure: The Search for the Great Golden Bell
of Dhammazedi. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/lost-treasure-search-great-golden-bell-dhammazedi-005892
https://www.ancient-origins.net/history/lost-treasure-search-great-golden-bell-dhammazedi-005892
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Loceng Besar Dhammazedi
dianggap sebagai loceng paling besar di dunia. Penghasilan loceng ini
diperintahkan oleh seorang raja kurun ke-15 dari Kerajaan Hanthawaddy
(wilayahnya meliputi Burma/Myanmar moden) yang bernama Dhammazedi.
Loceng ini dicatatkan sempat
menjadi mercu kebanggaan masyarakat tempatan hanya selama kurang lebih 200
tahun sebelum ia dirampas dan hilang di tangan seorang pengembara Eropah.
Loceng Besar Dhammazedi dipercayai masih terdampar di dasar sebatang sungai
(atau sering disebut di pertemuan antara Sungai Yangon dan Sungai Bago) di
Burma/Myanmar. Sejumlah usaha telah dilakukan bagi menjejaki kedudukan loceng
ini, namun tiada yang meraih keberhasilan.
SEJARAH LOCENG
Kisah Loceng Besar
Dhammazedi bermula sekitar tahun 1480 Masihi. Sekitar waktu itu, pemerintah
Kerajaan Hanthawaddy yang bernama Raja Dhammazedi diceritakan telah
memerintahkan bancian isi rumah dilakukan di seluruh kerajaannya.
Menteri-menteri yang terlibat bertindak menyelewengkan kuasa yang diberikan
semasa menjalankan tugas berkenaan. Tidak hanya merekodkan jumlah isi rumah,
mereka turut mengenakan cukai ke atas rakyat.
Apabila perkara ini sampai ke
pengetahuan raja, beliau sama sekali tidak bersenang hati. Untuk menenteramkan
kemurkaan raja mereka, menteri-menteri itu pun mencadangkan agar sebuah loceng
dihasilkan dengan menggunakan tembaga yang telah mereka ambil daripada rakyat.
Buah fikiran ini dipersetujui oleh raja dan usaha penghasilan pun dimulakan.
Secara keseluruhan,
menteri-menteri Dhammazedi telah mengumpulkan hampir sebanyak 300 tan tembaga.
Selain daripada tembaga, loceng tersebut juga diperbuat dengan menggunakan
perak, emas dan timah. Malah, ia turut ditatahkan dengan batu zamrud dan batu
nilam. Loceng ini kemudiannya dihadiahkan oleh raja kepada Pagoda Shwedagon
(tapak Buddha yang paling keramat di Burma/Myanmar) di Dagon (kini Yangon).
Menurut legenda masyhur, loceng tersebut diletakkan di sebelah pagoda.
![]() |
Pemandangan Pagoda Besar Dagon pada 1825 |
CATATAN-CATATAN BALBI
Catatan lain yang
memerihalkan loceng ini boleh ditemukan dalam catatan-catatan seorang pedagang
dari Venice yang bernama Gasparo Balbi. Beliau mengunjungi Dagon pada hujung
kurun ke-16 Masihi. Balbi mencatatkan bahawa ketika mengunjungi Pagoda
Shwedagon, beliau berpampasan dengan sebuah loceng besar di dalam dewan dan
bukannya di luar pagoda sebagaimana yang didakwa oleh legenda masyhur.
Berkemungkinan loceng ini dipindahkan ke dalam bangunan pada suatu tempoh masa.
Apapun, perincian yang dilakukan oleh Balbi adalah sepertimana berikut:
“Aku menemukan di
dalam sebuah dewan indah sebuah loceng yang sangat besar, yang kami
(kemudiannya) mengukur (loceng tersebut), dan mendapati bahawa ianya berukuran
tujuh langkah dan tiga depa, dan ia dipenuhi dengan aksara dari atas hingga
bawah, tersusun sangat rapat hingga satu huruf menyentuh huruf yang lain, namun
tiada bangsa yang dapat memahaminya.”
![]() |
Peta yang dihasilkan oleh Gasparo Balbi |
KISAH DE BRITO
Seorang lagi orang
Eropah yang direkodkan pernah menemui loceng ini mempunyai rancangan yang
tersendiri terhadap khazanah gergasi tersebut. Seorang pengembara Portugis
bernama Filipe de Brito y Nicote dicatatkan telah mendirikan sebuah pos
perdagangan di Syriam (kini Thanlyin) sekitar penghujung kurun ke-16 atau awal
kurun ke-17 Masihi. Mengambil kesempatan di atas kemunduran kuasa diraja di
Burma, pengembara Portugis ini melebarkan pengaruhnya di seluruh kawasan
berhampiran sungai. Malah, beliau turut menguasai Dagon dan kawasan pinggiran
di sekitar menjelang tahun 1600.
![]() |
Filipe de Brito, gabenor Syriam, Burma, sekitar 1600 Masihi |
Pada tahun 1608, de
Brito memutuskan untuk memindahkan Loceng Besar Dhammazedi dari Pagoda
Shwedagon. Pengembara ini berhasrat mahu membawa loceng tersebut ke Syriam, di
mana di sana beliau boleh mencairkannya dan menggunakan logamnya untuk
menghasilkan laras-laras meriam bagi kegunaan kapal-kapalnya.
De Brito dicatatkan
berjaya mengangkut loceng ini ke Sungai Bago, di mana ia dimuatkan ke atas
sebuah rakit. Rakit ini diikat pada kapal utama de Brito, dan memulakan
perjalanannya mengharungi sungai. Tatkala tiba di pertemuan antara Sungai Bago
dan Sungai Yangon, rakit ini pecah sekaligus loceng tersebut tenggelam ke dalam
dasar sungai.
LOKASI YANG TIDAK
DIKETAHUI
Walaupun Loceng Besar
Dhammazedi telah pun hilang selama lebih 400 tahun, ia masih belum dilupakan
oleh masyarakat Burma/Myanmar. Pada tahun 2014, dilaporkan bahawa dalam tempoh
25 tahun kebelakangan, sekurang-kurangnya tujuh buah percubaan serius untuk
menjejaki loceng bersejarah ini telah
dilakukan. Bagi masyarakat Burma/Myanmar, loceng ini dianggap sebagai khazanah
negara merangkap khazanah Buddhisme. Justeru, besar kemungkinan usaha untuk
mencari loceng ini akan dilanjutkan lagi di masa hadapan.
SUMBER
- Aye Aye Win. 2014. Buddhist prayers for divers searching for Burma’s lost bell.
- Buncombe, A. & Naing, S.P.W. 2013. Mystery of the world’s largest bell continues to lure treasure hunters and Burma’s elite.
- Fisher, J. 2014. The search for Myanmar’s mysterious Dhammazedi Bell.
- Kaplan, R. 2014. Divers hunt for 270-ton bell in the Myanmar river, missing for centuries.
- Myanmar’s NET. 2012. Myanmar’s Largest Bell Underwater.
- Thitsar, S. 2015. New team resumes search for bell.
- Russian Bells. 2016. The World’s Three Largest Bells.
- Get link
- X
- Other Apps