- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Joshua J. Mark. (27 Februari 2020). Kosrau I. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Kosrau_I/
https://ancient.eu/Kosrau_I/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Khosrau I (memerintah
531-579 Masihi) merupakan raja teragung Empayar Sassanid (224-651 Masihi) dalam
hampir kesemua aspek pemerintahannya. Beliau bertanggungjawab melakukan
pembaharuan dalam sistem ketenteraan dan pentadbiran Parsi, memperluaskan
wilayah-wilayah kekuasaannya, melaksanakan sejumlah projek pembinaan berskala
besar, dan menaungi pengembangan kesenian, keilmuan dan keagamaan. Beliau turut
dikenali sebagai Khosrow I, Kosrow I, Khosrau I, dan juga dengan nama
timangannya, iaitu Anushirvan (“Jiwa Yang Abadi”).
Beliau merupakan putera
kepada Raja Kavad I (memerintah 488-496, 498-531 Masihi), di mana pemerintahan
ayahandanya membekalkan Khosrau I dengan pasukan tentera yang ampuh, golongan
bangsawan yang sudah terkawal pengaruhnya, dan masyarakat yang stabil. Khosrau
I membangunkan lagi asas-asas ini, meluaskan wilayah kekuasaan Empayar Parsi,
dan menggalakkan renaisans (pembaharuan) dalam bidang pendidikan dan
pengaplikasian ilmu secara praktikal, di mana hal ini kelak mempengaruhi budaya
Muslim-Arab dan Eropah.
Beliau bertanggungjawab
melancarkan kempen memerangi Rom, baik di Kaukasus mahupun di bahagian utara
Semenanjung Arab, serta meluaskan empayarnya dan menggalakkan hubungan
rentas-budaya. Hal yang sama turut dilakukan ke atas penguasaannya di
bahagian-bahagian penting di Jalan Sutera.
Perjanjian-perjanjian yang dimeterai
oleh beliau dengan pemimpin-pemimpin lain berkenaan hubungan perdagangan, serta
rangkaian jalan raya yang beliau bina atau perbaiki di seluruh empayarnya,
membolehkan urusan sesama pedagang berjalan pantas dan lancar sekaligus
memberikan kemanfaatan kepada setiap pihak yang terlibat.
Khosrau I turut
dikenali dalam kalangan masyarakat Yunani sebagaimana timangan Plato, iaitu
Raja Falsafah, lantaran beliau sangat meminati bidang falsafah. Beliau bahkan
menjemput ilmuwan dan ahli falsafah dari India, Greece, Rom dan wilayah-wilayah
lain ke istananya untuk membincangkan tentang ilmu tersebut.
Ketikamana
Justinian I (memerintah 527-565 Masihi) menutup kuil-kuil dan
universiti-universiti pagan di Empayar Byzantine. Khosrau I membawa masuk warga
pendidik dan pendeta dari institusi tersebut ke empayarnya dan melayani mereka
di ibu kotanya, Ctesiphon (Mada’in).
Beliau turut mengembangkan lagi usaha para
pendahulunya dalam memasukkan Avesta (ajaran-ajaran Zoroastrian) ke
dalam bentuk penulisan dan memajukan lagi pusat-pusat pendidikan dan kebudayaan
di seluruh empayarnya. Menjelang kemangkatannya, Khosrau I berjaya membawa
Empayar Sassanid ke zaman kegemilangannya.
KAVAD I & PEMAHKOTAAN
KHOSRAU I
Sebelum bermulanya era pemerintahan
Khosrau I, dua orang raja paling agung dalam sejarah Sassanid ialah Shapur I
(memerintah 240-270 Masihi) dan Shapur II (memerintah 309-379 Masihi).
Sepanjang tempoh antara dua raja ini, kebanyakan raja-raja Sassanid tidak cekap
dan corak sebegini turut berlaku dalam tempoh pemerintahan antara Shapur II dan
Kavad I.
Ketika Kavad I memegang
kuasa, beliau dengan pantas berjaya meletakkan dirinya sebagai pemerintah agung
di rantau tersebut, terutama dengan menundukkan Khazar yang melakukan pencerobohan
ke atas empayarnya dari arah Kaukasus. Mereka ini kemudiannya ditewaskan secara
muktamad menjelang tahun 490 Masihi.
Lantaran menyedari bahawa golongan elit
dan magi (kelas pendeta) Sassanid memiliki pengaruh yang sangat besar
dalam politik, Kavad I mengambil pendirian yang memihak pergerakan keagamaan
Mazdakisme yang menerima sokongan meluas dalam kalangan kasta-kasta yang lebih
rendah sejak tahun 484 Masihi.
Mazdakisme merupakan
bentuk awal komunisme, namun ia lebih cenderung ditubuhkan sebagai sebuah
ajaran keagamaan. ‘Nabi’ Mazdak meyakini bahawa semua orang – tanpa mengira
kelas sosial – harus berkongsi harta kekayaan dan pemilikan (hartanah) secara
sama rata. Beliau menerap dan menggabungkan ajaran Zoroastrianisme dan
Manichaenisme untuk membentuk sebuah visi keagamaan di mana kesederhanaan dalam
berpakaian dan pengamalan gaya hidup menjadi teras yang menentukan sama ada
seseorang itu berada di pihak Tuhan ataupun di pihak Syaitan.
Ajaran-ajarannya
ini mencabar golongan bangsawan dan magi Zoroastrian yang memiliki
pengaruh yang lebih besar. Ia turut mengancam asas-asas hierarki sosial
Sassanid, terutama dalam doktrinnya tentang pemilikan hartanah dan kekayaan
peribadi. Walaupun demikian, Kavad I menyedari bahawa mereka ini boleh
dimanfaatkan sebagai senjata bagi menentang golongan bangsawan dan pendeta
Zoroastrian.
![]() |
| Syiling perak Kavad I |
Pada masa-masa ini,
kelas atasann kebiasaannya mengumpulkan cukai-cukai yang dikutip untuk kegunaan
diri sendiri dan setelah itu, barulah menyerahkan bahagian-bahagian yang
dirasakan perlu kepada perbendaharaan empayar. Sementara itu, golongan pendeta
Zoroastrian pula telah korup dan menyelewengkan kuasa, walaupun hal sebegini
ditentang sendiri oleh Agama Zoroaster Irani Awal sekitar 1500 Sebelum Masihi.
Kavad I melaksanakan pembaharuan dalam percukaian yang mana intipatinya lebih
cenderung menepati ajaran-ajaran Mazdakisme. Secara alami, hal ini menaikkan
kemarahan golongan bangsawan dan pendeta sekaligus mendorong mereka untuk
menggulingkan dan memenjarakan beliau di Anoushbord (Kubu Kealpaan). Kemudian,
saudara Kavad I, iaitu Jamasp (memerintah 496-498 Masihi) diangkat sebagai raja
baru.
Kavad I berjaya lolos
dari penjara dan membawa diri ke wilayah kekuasaan suku Hephtalite, mengahwini
puteri raja mereka, dan kemudian kembali dengan membawa kekuatan seramai 30 000
orang tentera demi merebut semula takhtanya pada tahun 498 Masihi. Kemudian,
beliau meneruskan dasar-dasarnya yang terdahulu, termasuklah sokongan terhadap
Mazdakisme demi mengawal pengaruh golongan bangsawan dan pendeta.
Pun begitu,
walaupun suku Hephtalite membantu beliau dalam merebut semula kuasa dan beliau
sendiri sudah mengahwini puteri raja mereka, suku Hephtalite tetap menuntut Kavad
I agar terus membayar ufti kepada mereka sebagaimana yang telah dilaksanakan
pada era raja Sassanid yang lepas, iaitu Balash (memerintah 484-488 Masihi).
Hal ini sekaligus menyusutkan apa sahaja isi perbendaharaan yang ada, di mana
ianya telah terlebih dahulu dikikis sendiri oleh golongan bangsawan. Tiada apa
yang dapat dilakukan oleh Kavad I bagi menangani keadaan ini. Namun kelak,
Khosrau I menumpahkan usahanya dalam menghapuskan ancaman dari suku Hephtalite
secara muktamad.
Tarikh kelahiran
Khosrau I masih lagi diperdebatkan (diandaikan antara 500-514 Masihi). Namun
menjelang tahun 524 Masihi, beliau sudah pun menjadi seorang pegawai tentera
yang cekap dan berkhidmat untuk bapanya. Setelah berjaya mengawal pengaruh yang
dimiliki oleh golongan bangsawan dan pendeta, Kavad I tidak lagi memerlukan
sokongan dari para pengikut Mazdak. Justeru, beliau menghantar Khosrau I untuk
menghapuskan mereka.
Menurut legenda, beliau memerintahkan agar para pengikut
Mazdak ini ditanam kepalanya di sebuah ladang. Kemudian, beliau menjemput ketua
mereka untuk menyaksikan ‘pokok-pokok aneh’ yang tidak pernah dilihat sebelum
ini, lalu membunuhnya dengan menjadikannya sebagai sasaran latihan buat para
pemanahnya.
Selepas kemangkatan Kavad I pada tahun 531 Masihi, Khosrau I
mengambil-alih tampuk pemerintahan dan memanfaatkan sepenuhnya foundasi
ketenteraan dan ekonomi yang telah disediakan oleh ayahandanya.
PEMERINTAHAN AWAL &
REFORMASI
Khosrau I memulakan
pemerintahannya dengan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas adik-beradiknya yang
berebutkan hak pewarisan takhta, bersama sesiapa sahaja yang menyokong mereka.
Beliau kemudiannya memeterai perjanjian damai dengan Empayar Byzantine,
sekaligus memberikannya ruang dan masa untuk menumpukan perhatian kepada
pembaharuan-pembaharuan dalaman.
Beliau meneruskan dasar-dasar ayahandanya, terutama
berkenaan pengehadan pengaruh golongan bangsawan/pendeta dan memastikan agar
cukai-cukai yang sebelum ini diselewengkan bagi mengayakan kedua-dua golongan
itu mengalir secara langsung ke dalam perbendaharaan empayar.
Beliau juga
memerintahkan pembentukan sebuah kelas bangsawan yang baru – kelas atasan yang
dibentuk oleh pemilik tanah dari kalangan orang awam yang bukan kelahiran
bangsawan – yang dikenali sebagai deghan. Pembentukan ini berjaya
mengurangkan kuasa dan pengaruh golongan bangsawan dengan meluaskan definisi
‘bangsawan’ itu sendiri, dan membolehkan golongan bangsawan yang baru ini
disenaraikan ke dalam pasukan elit Pahlawan-Pahlawan Savaran, iaitu suatu
penghormatan yang sebelum ini hanya dihadkan kepada keluarga bangsawan. Keadaan
ini sekaligus mengembangkan lagi saiz unit kavalri empayar.
![]() |
| Tugu Khosrau I di istana Tehran |
Beliau turut
memperkukuhkan pentadbiran dan membahagikan kuasa tentera kepada empat
bahagian, di mana pertanggungjawaban ke atas setiap bahagian diserahkan kepada
seorang panglima: Mesopotamia di barat, Kaukasus di utara, Teluk Parsi di
selatan, dan Asia Tengah di timur. Inovasi ini membolehkan setiap panglima
bertindak balas terhadap ancaman-ancaman di wilayah masing-masing tanpa perlu
merujuk atau menantikan arahan daripada kepimpinan tertinggi di pusat. Beliau
juga mengembangkan lagi persenjataan dan menambah-baik baju pelindung unit
Pahlawan Savaran.
Sejarahwan Kaveh
Farrokh menyebutkan bahawa salah satu reformasi ketenteraan yang paling
signifikan di zaman Khosrau I adalah pembentukan “komposisi unit kavalri yang
peranannya adalah untuk menggabungkan kefungsian pemanah berkuda dan kesatria
pengguna-tombak” (231).
Dalam erti kata lain, pembaharuan ini menumpu pada
pembentukan sebuah unit yang terpisah dari unit katafrak (tentera berkuda elit)
yang persenjataannya lebih berat, sekaligus membolehkan penghantaran tentera ke
medan perang dengan lebih pantas.
Reformasi ini memberikan kesan yang kritikal
terhadap setiap komander dan unit tentera, terutama dalam soal profesionalisme
dan kelakuan peribadi lantaran tidak seperti dahulu, merit peribadi lebih diutamakan
berbanding hubungan kekeluargaan.
PERANG PERTAMA MENENTANG
EMPAYAR BYZANTINE
Khosrau I memeterai Pax
Perpetuum (“kedamaian abadi”) dengan Justinian I pada suatu masa antara
tahun 532 dan 535 Masihi. Lantaran tidak perlu lagi memikirkan tentang serangan-serangan
musuh, beliau pun melaksanakan pembaharuan-pembaharuan ini dan meneguhkan lagi
pemerintahannya. Walau bagaimanapun, “kedamaian abadi” hanya berpanjangan
sehingga tahun 540 Masihi memandangkan Justinian I bertindak menjejaskan
keadaan politik di Kaukasus dan Mesopotamia.
Namun, hal tersebut belum cukup
untuk menggamit Khosrau I menamatkan perdamaian. Pada masa-masa yang sama ini,
perutusan demi perutusan dari Goth di Itali tiba di istananya dan mengharapkan
bantuan daripada beliau. Belisarius (hidup 505-565 Masihi), panglima ulung Rom,
tidak menghadapi sebarang masalah dalam usahanya menundukkan penentangan Goth
di Itali.
Justeru menurut perutusan daripada Goth ini, serangan dari pihak
Sassanid berpotensi untuk mengundurkan semula Belisarius ke timur, sekaligus
memberikan masa kepada mereka untuk mengumpulkan semula kekuatan dan keadaan
ini bersesuaian dengan kepentingan Goth dan Sassanid yang masing-masing
berhasrat mahu menyusutkan dan memecahkan pengagihan sumber Byzantine.
Pada mulanya, Khosrau I
tidak mempamerkan sebarang keinginan untuk membantu Goth. Namun, khabar-khabar
kemenangan yang diraih oleh Belisarius memberikan gambaran kepada beliau dan
Kepimpinan Tertinggi Ketenteraan bahawa, sebaik sahaja Belisarius selesai
menewaskan Goth di Itali, beliau akan dihantar bagi memerangi Sassanid.
Demi
menghalang perluasan kuasa Justinian I di wilayah Parsi, Khosrau I pun
melancarkan serangan awal ke atas Syria lalu menawan kota Sura dan Antioch.
Beliau melanjutkan kemaraan ke Apamea dan seterusnya ke Chalcis, menewaskan
pasukan tentera Byzantine yang dikerahkan unuk menentangnya.
![]() |
| Belisarius |
Kempen ketenteraannya
ini berlangsung cemerlang dan kemaraan Khosrau I kelihatan seolah-olah tidak
dapat dihentikan. Namun, keadaan mula berubah apabila hadir berita dari wilayah
utara Lazica yang meminta bantuan bagi memerangi pencerobohan yang dilakukan
oleh Byzantine di sana. Khosrau I lantas meninggalkan kempennya di Mesopotamia
dan berangkat menuju ke Lazica.
Ironinya, kempen-kempen ketenteraan beliau –
yang dilaksanakan bagi memanfaatkan kesibukan Byzantine di Barat terutama
dengan ketiadaan Belisarius di timur – mendorong panglima terbilang itu untuk
mengalihkan semula perhatiannya (ke Mesopotamia) dan menyandang kepimpinan
tentera Byzantine di sana.
Memandangkan Khosrau I sedang berada di utara, maka
Belisarius dengan mudah berjaya menghentikan kemaraan Sassanid, menawan
Sisauranon dan menghantar kesemua tawanan perang ke Konstantinoepl bagi
menghalang mereka dari mengangkat senjata lagi.
Kejayaan kempen Sassanid
di Lazica ditentukan oleh keupayaannya dalam menawan kubu ampuh Petra di Laut
Hitam (tidak dikelirukan dengan Petra, ibu kota Nabatea di Jordan). Khosrau I
mengarahkan agar pasukan juruteranya menggali parit di sekeliling kubu Petra
sekaligus mencantas laluan perbekalan mereka dan memaksa mereka untuk menyerah
kalah. Sebagaimana yang dilakukannya di Mesopotamia, Khosrau I berjaya
menjalankan kempen yang cemerlang di Lazica dan pada masa-masa inilah khabar tentang
kemenangan Belisarius sampai ke pengetahuannya.
Khosrau I lantas
berangkat dari Lazica untuk menangani konflik yang dihadapinya itu. Namun,
Belisarius sudah pun bersiap-siaga untuk berhadapan dengannya. Jumlah tentera
Sassanid jauh melebihi tentera Byzantine, namun kelebihan ini tidak memberikan
manfaat apabila Belisarius yang tiba bersama 6000 orang tenteranya berjaya
memperdaya pasukan Sassanid kononnya pasukannya itu adalah pasukan peninjau.
Belisarius berharap agar tatkala Khosrau I menganggap bahawa pasukan peninjau
Byzantine sahaja sudah sebegini besar, tentunya pasukan utamanya jauh lebih
ramai sekaligus meninggalkan medan perang: rancangan ini ternyata berhasil dan
Khosrau I mengundurkan bala tenteranya dari Mesopotamia.
PERANG LAZIC & ARAB
Khosrau I kemudian cuba
mengadakan rundingan dengan Justinian I. Namun, lantaran Byzantine menganggap
Khosrau I sebagai pihak yang lebih lemah, maka mereka pun menyerang pasukan
Sassanid di Armenia dan permusuhan antara kedua empayar ini berlanjutan. Sassanid
berjaya menghancurkan pasukan tentera Byzantine di Armenia.
Namun di Lazica,
masyarakat Kristian-Iberia telah memihak Byzantine dan beberapa buah
pertempuran meletus pada tempoh antara 547-551 Masihi, dengan kedua belah pihak
saling silih-berganti menguasai Petra. Peperangan yang tiada sebarang manfaat
ini berlanjutan buat beberapa tempoh dengan kerugian yang besar dialami oleh
masing-masing, sehinggalah sebuah persetujuan dicapai pada tahun 561 Masihi, di
mana Sassanid dituntut untuk mengundurkan bala tenteranya dari Lazica dan
sebagai ganti, Byzantine akan membayar ufti secara tahunan kepada mereka.
![]() |
| Maharaja Justinian & Pegawai Istananya |
Ketika Khosrau I sedang
sibuk di Mesopotamia dan Kaukasus, berlaku pergolakan di Semenanjung Arab yang
menuntut perhatian daripadanya. Menjelang penghujung pemerintahan Kavad I,
Byzantine mendorong agar pihak Kristian-Habsyah menyerang Semenanjung Arab dan
menjelang tahun 526 Masihi, mereka berjaya menguasai wilayah di sekitar Yaman.
Sekitar masa di mana Perang Lazic baru sahaja berakhir, pihak Kristian-Habsyah
ini sudah pun memiliki kekuatan yang cukup untuk memberikan ancaman terhadap
Empayar Sassanid, terutama kerana serangan ke atas empayar berkenaan kini boleh
dilancarkan dari dua arah – Byzantine dan Habsyah – sekaligus berpotensi
menghancurkan Sassanid dari dua sempadannya. Khosrau I lantas menghantar
panglimanya yang bernama Vahriz ke Tanah Arab untuk menewaskan pasukan tentera
Habsyah dan merebut wilayah kekuasaannya.
SUKU HEPTHTALITE, GOK
TURKS & PERANG BYZANTINE KEDUA
Setelah ancaman dari
Habsyah ini berjaya dineutralkan, Khosrau I mengalihkan perhatiannya kepada
suku Hephtalite dan bebanan ufti yang masih perlu dibayar oleh Sassanid kepada
mereka. Khosrau I menyedari peluang yang hadir menerusi hubungan renggang di
antara Hephtalite dan jiran mereka, iaitu suku Gok Turk sekaligus bertindak
menjalinkan persekutuan dengan suku Turk bagi menghapuskan suku Hephtalite.
Suku Hephtalite terkenal sebagai pahlawan berkuda yang gagah. Namun menjelang
tahun 560 Masihi, tiada kesatuan pusat yang dapat meneguhkan mereka. Lantaran
menyedari bahawa mereka tidak akan berupaya untuk bertahan di dua sempadan
secara serentak, maka Khosrau I pun melancarkan serangan secara bersama dengan
suku Turk dan menghapuskan bala tentera Hephtalite dalam Pertempuran
Gol-Zarrium pada tahun 560 Masihi. Empayar Hephtalite tumbang, dan wilayah
kekuasaan mereka diagihkan sesama Empayar Sassanid dan suku Turk.
Namun, impian yang
dipasang oleh Khosrau I mendorong berlakunya permusuhan antara beliau dan suku
Turk lantaran beliau memerlukan tanah dan sumber yang lebih banyak bagi
mengekalkan kekuasaan empayarnya dan mengawal Jalan Sutera.
Suku Turk juga
berkongsi impian yang sama, justeru apabila Khosrau I memaklumkan keengganannya
untuk berkongsi sumber (rampasan perang), mereka pun datang menghadap maharaja
Byzantine yang baru, iaitu Justin II (memerintah 565-574 Masihi) untuk
memeterai persekutuan bagi memerangi Sassanid. Justin II pada mulanya menolak
permintaan mereka, namun kemudiannya bertindak menggubal suatu dasar yang
membawa kepada konflik sama seperti yang dikemukakan oleh suku Turk itu.
Armenia sudah pun
terbabit dalam kancah permusuhan antara penganut Kristian dan Zoroastrian,
justeru untuk meredakan kekacauaan tersebut, Justin II bertindak mengingkari
persetujuan yang dimeterai oleh Justinian I dengan Sassanid dan mengukuhkan
pertahanan di Kaukasus, di mana dasar ini sekaligus mendedahkan Armenia kepada
ancaman serangan.
Byzantine kini berupaya mengganggu-gugat keadaan politik di
wilayah itu, dengan alasan mahu melindungi penganut Kristian di sana. Tindakan
ini menuntut tindak balas daripada Sassanid – sebagaimana yang dijangkakan oleh
Justin II – dan Khosrau I sendiri mengetuai pasukan tentera dan merebut kota
Dara dan Nisibis dari tangan Byzantine.
Sama seperti
waktu-waktu sebelumnya, Khosrau I berjaya membuktikan kebolehan dirinya dalam
menangani pencerobohan Byzantine – lebih-lebih lagi kini Byzantine tidak
mempunyai Belisarius untuk menyelamatkan mereka – dan berhasil menjalankan kempen
ketenteraan yang cemerlang. Justin II terpaksa memeterai perjanjian damai, mengundurkan
semula barisan pertahanannya, dan membayar tebusan perang yang besar jumlahnya.
Walaupun kedamaian berjaya dikembalikan, permusuhan di antara empayar Byzantine
dan Sassanid terus berlanjutan sepanjang baki pemerintahan Khosrau I.
KESIMPULAN
Walaupun beliau
terpaksa meluangkan kebanyakan waktu dan usahanya untuk memimpin
peperangan-peperangan yang ditempuh oleh Parsi, Khosrau I juga berupaya
mengembangkan lagi sektor perdagangan, mengekalkan kemapanan ekonomi,
melaksanakan sejumlah projek pembinaan, dan menggalakkan pembangunan dalam
kesenian dan keilmuan.
Beliau turut mengembangkan lagi Akadami Gundeshapur –
pusat intelektual dan pendidikan agung yang ditubuhkan pada era Shapur I –
memajukan teknik-teknik perubatan dengan membawa masuk dan menambah-baik ilmu
perubatan tabib dan ilmuwan Mesir, India dan Yunani.
Khosrau I mempunyai
minat yang mendalam terhadap falsafah, menggalakkan agar ahli-ahli falsafah
dari pelbagai wilayah untuk datang ke istananya di Ctesiphon (Mada’in), dan
mengalu-alukan kehadiran mereka yang kehilangan pekerjaan tatkala
institusi-institusi pagan di Empayar Byzantine ditutup oleh Justinian I.
Menurut legenda, pada suatu masa permainan catur dihantar oleh seorang raja
India ke istananya – tanpa memberitahukan peraturan atau cara memainkannya –
bersama cabaran untuk mencari tahu bagaimana cara memainkannya, atau membayar
denda jika gagal. Khosrau I, atau para pegawai istananya dikatakan berjaya merungkai
kaedah permainan catur dan kemudian, bertindak menghantar pula permainan nardshir
(backgammon) ke India dengan cabaran yang sama, di mana si raja
India dan pegawai-pegawai istananya (yang tidak diketahui namanya) gagal untuk
merungkai cara permainannya, justeru perlu membayar denda kepada Parsi.
Walaupun kisah yang kebiasaannya diceritakan untuk memerikan pencapaian
keilmuan Khosrau I dan pegawai istananya ini berulang-kali dipersoalkan
kesahihannya, secara jelas ia mengisyaratkan betapa tingginya tanggapan yang
diberikan kepada beliau dan barisan menterinya.
![]() |
| Gerbang lengkung di Ctesiphon |
Beliau bertanggungjawab
memperbesarkan lagi benteng pertahanan di sepanjang sempadan selatan yang
dibina pada era Shapur II, namun turut memanjangkan benteng ini hingga ke
sempadan-sempadannya yang lain. Beliau juga diberikan kredit di atas projek
pembangunan Ctesiphon (Mada’in) dan pembinaan gerbang lengkung gergasi Taq
Kasra (walaupun monumen ini juga dikaitkan dengan Shapur II).
Projek-projek
pembinaan beliau yang lain merangkumi dewan-dewan mandi, bangunan-bangunan
pentadbiran, kuil-kuil api dan juga terusan. Kekuasaannya ke atas Jalan Sutera
di seluruh wilayah pemerintahannya berupaya menjamin keselamatan buat para
pedagang dan menyumbang kepada keefisienan dalam penghantaran barang dagangan
dari timur dan seterusnya, perdagangan dengan barat. Hal ini sekaligus
menggalakkan interaksi rentas-budaya antara pembeli dan pernjual dari berbagai
bangsa.
Khosrau I juga
melanjutkan lagi usaha Shapur II dalam menterjemahkan Avesta ke dalam
bentuk penulisan dan mengembangkan cakupan ulasan terhadapnya. Walaupun Khosrau
I merupakan penganut Zoroastrianisme, beliau turut berminat terhadap pandangan
dan ajaran kesemua agama dan falsafah, serta menggalakkan perbincangan dan
perdebatan agama.
Walaupun beliau kebiasaannya pantas dalam menghukum sebarang
bentuk penderhakaan agama – terutama dalam kalangan paderi Zoroastrian – dan
tidak mentoleransikan ajaran sosio-agama Mazdak, Khosrau I membenarkan
perkembangan pelbagai jenis agama lain di empayarnya dan menggalakkan
penyebarannya. Menjelang penghujung pemerintahan dan hayatnya, Khosrau I
berjaya menzahirkan kebudayaan Parsi dalam bentuk yang paling agung dan
sempurna.
SUMBER
- Canepa, M.P. The Two Eyes of the Earth: Art and Ritual Kingship between Rome and Sassanian Iran. University of California Press. 2017.
- Farrokh, K. Shadows in the Desert. Osprey Publishing. 2007.
- Grant, M. The Climax of Rome. Weidenfeld. 1993.
- Katouzian, H. The Persians: Ancient, Medieval, and Modern Iran. Yale University Press. 2010.
- Kriwaczek, P. Babylon: Mesopotamia and the Birth of Civilization. St Martin’s Griffin. 2012.
- Mellor, R. The Historians of Ancient Rome. Routledge. 2012.
- Olmstead, A. T. History of the Persian Empire. University of Chicago Press. 2009.
- Van De Mieropp, M. A History of the Ancient Near East ca. 3000 – 323 BC, 2nd Edition. Blackwell Publishing. 2006.
- Waterhouse, J.W. Zoroastrianism. Book Tree. 2006.
- Wise Bauer, S. The History of the Ancient World. W.W. Norton & Company. 2007.
- Get link
- X
- Other Apps





