- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (4 Mei 2020). Luxor Temple: The Sacred Sanctuary With An Eternal
Legacy. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/luxor-temple-0013664
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/luxor-temple-0013664
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kuil Luxor merupakan
salah sebuah kompleks kuil yang paling masyhur di Mesir. Kompleks kuil ini
terletak di tebing timur Sungai Nil, di Luxor, iaitu kota utama nome keempat
Mesir Hulu. Kuil Luxor ditubuhkan pada era Kerajaan Baru dan menjadi salah
sebuah kompleks keagamaan yang paling penting di Mesir. Hal ini kerana Festival
Opet dilangsungkan secara tahunan di kuil ini. Selepas zaman kefiraunan, tapak
Kuil Luxor terus mengekalkan signifikasi keagamaannya, walaupun para dewa yang
dipuja di sana telah diubah.
SEJARAH LUXOR
Kota Luxor disebut oleh
orang Mesir purba sebagai Waset, boleh membawa maksud ‘Kota Tongkat’. Akan
tetapi, orang Yunani mengenali kota ini sebagai Thebes. Nama tersebut diambil
daripada perkataan Ta-ope, yang boleh dimengerti sebagai ‘Kuil’. Nama moden
kota tersebut pula berasal-usul dari sebuah perkataan Arab, iaitu ‘al-Uqsur’
yang bermaksud ‘Istana’ atau ‘Kubu Benteng’. Hal ini merujuk kepada kubu yang
dibina oleh orang Rom di kawasan tersebut.
Kota Thebes sudah pun
wujud sejak era Kerajaan Lama. Namun semasa hari-hari awalnya, Thebes hanya
merupakan sebuah petempatan yang tidak signifikan. Kota ini mula meraih
kepesatan pada penghujung Zaman Pertengahan Pertama. Pada tempoh tersebut,
yakni kurun ke-21 Sebelum Masihi, Mesir terbahagi kepada dua buah dinasti yang
memerintah.
![]() |
| Deretan tiang purba di Kuil Luxor, Mesir |
Salah sebuah dinasti
ini berpangkalan di Heracleopolis dan para pemerintahnya menguasai kawasan
Mesir Hilir. Mesir Hulu pula dikuasai oleh sekumpulan raja lain yang
berpangkalan di Thebes. Salah seorang raja Thebes, iaitu Mentuhotep II, berjaya
menyatukan semula Mesir dan menamatkan Zaman Pertengahan Pertama sekaligus
membawa kepada bermulanya era Kerajaan Tengah.
Mentuhotep dan
firaun-firaun lain dari Dinasti Ke-11 memerintah Mesir dengan memusatkan
kuasanya di Thebes. Namun dalam Dinasti Ke-12, ibu kota Mesir dipindahkan
semula ke Memphis yang telah berfungsi sebagai ibu kota Mesir sejak era
Kerajaan Lama. Apapun, menjelang tempoh tersebut, Thebes sudah pun menjadi
sebuah tapak keagamaan yang penting.
Kota ini juga dikenali
sebagai Nowe atau Nuwe, yang membawa maksud ‘Kota Amun’, di mana Amun dijadikan
sebagai ketua dewa di kota tersebut. Memandangkan mereka berasal daripada
Thebes, maka firaun-firaun Dinasti Ke-11 memuja Amun sebagai dewa utama mereka.
Walaupun firaun-firaun Dinasti Ke-12 berpangkala di Memphis, mereka masih
menyembah Amun sekaligus membina sejumlah kuil khusus untuknya di Thebes.
![]() |
| Kuil Besar Amun di Karnak, Mesir |
Thebes meraih semula
signifikasi politiknya pada Zaman Pertengahan Kedua. Pada zaman tersebut, Mesir
sekali lagi terbahagi kepada dua. Mesir Hilir ditakluk oleh sekumpulan penceroboh
yang dikenali sebagai Hyksos, manakala Mesir Hulu pula diperintah oleh kerabat
diraja Mesir yang berpusat di Thebes.
Zaman Pertengahan Kedua
berakhir apabila para pemerintah Thebes berjaya mengusir Hyksos, menyatukan
semula Mesir, dan menubuhkan Kerajaan Baru. Sama seperti para pendahulu dari
Dinasti Ke-11, firaun-firaun dari dinasti ini memerintah Mesir dari Thebes
(kecuali Akhenaten, yang memindahkan ibu kota ke kota baru bernama Akhetaten,
atau juga disebut sebagai Amarna).
RUMAH PERLINDUNGAN
SELATAN
Kuil Luxor boleh
dijejak tarikhnya kembali pada era Kerajaan Baru. Kebanyakan struktur pada
kompleks kuil ini dibina oleh Amenhotep III, firaun kesembilan Dinasti Ke-18
yang memerintah pada separuh pertama kurun ke-14 SM. Amenhotep merupakan
seorang pemerintah yang berpengaruh, dan Mesir mengalami kemajuan di bawah
pentadbirannya.
Hal ini dicerminkan menerusi kerja-kerja pembinaan berskala
besar yang dilaksanakan olehnya, antaranya seperti menara besar ketiga di Kuil
Karnak dan kuil permakamannya yang tersendiri. Namun, tidak banyak yang dapat
kita lihat daripada runtuhan kuil permakamannya, melainkan Patung Memnon
(sepasang patungnya yang bersaiz gergasi dan berpostur duduk) yang berupaya
memberikan gambaran terhadap saiz kuil. Apapun, Kuil Luxor dianggap sebagai
projek pembinaan Amenhotep yang paling ulung.
Diandaikan bahawa
sebelum pembinaan Kuil Luxor dijalankan oleh Amenhotep, terdapat sebuah kuil
lama yang berdiri di tapak tersebut. Kuil atau rumah suci tersebut dibina pada
awal Dinasti Ke-18, berkemungkinan semasa era Hatshepsut, kalau bukan
sebelumnya lagi. Apa yang tinggal daripada struktur lama itu hanyalah sebuah
astaka kecil. Amenhotep memperbesarkan lagi kuil lama ini dan membina bangunan
baru untuk dewa Amun.
Kuil Luxor juga
dikenali oleh masyarakat Mesir purba sebagai ipet resyt (‘Rumah
Perlindungan Selatan’). Penamaan ini bertujuan untuk membezakan antara Kuil
Luxor dan Kuil Karnak, yang terletak kira-kira 3 km (1.86 batu) di utaranya.
Kedua-dua kuil ini pernah disambungkan oleh Jalan Sphinx, iaitu sebuah jalan
perarakan yang diapit oleh patung-patung Sphinx di kedua belah sisinya.
Jalan
ini pada asalnya mungkin dibina oleh Hatshepsut, dan Amenhotep menambahkan lagi
patung-patung berkepala-kerbau pada jalan tersebut. Pada masa-masa kemudian,
patung-patung sphinx berkepala-manusia ditambah oleh Nectanebo I, firaun
Dinasti ke-30, pada kurun ke-4 SM.
![]() |
| Jalan Sphinx yang menghubungkan Kuil Karnak dengan Kuil Luxor, Mesir, di mana ritual perjalanan Festival Opet dilangsungkan |
FESTIVAL OPET – DARI
KARNAK KE LUXOR
Selain daripada
Jalanraya Sphinx, Kuil Luxor dan Kuil Karnak juga saling dihubungkan oleh
Festival Opet. Keraian ini dikenali secara rasmi sebagai ‘Jamuan Indah Opet’,
dan Opet dipercayai sebagai sebutan yang merujuk kepada ruangan dalam rumah
perlindungan di Kuil Luxor. Festival ini disambut secara tahunan pada bulan
kedua kalendar lunar Mesir. Tempoh tersebut diketahui sebagai tempoh pasang
Sungai Nil, justeru dianggap sebagai tempoh yang wajar untuk diraikan.
Festival Opet juga
berfungsi sebagai satu cara bagi para firaun Dinasti Ke-18 untuk menyambut kekuasaan
mereka. Tempoh keraian ini meningkat seiring peredaran zaman. Misalnya, pada
era Thutmosis III sekitar kurun ke-15 SM, Festival Opet berlangsung selama 11
hari. Menjelang permulaan era Ramses III pada 1187 SM, festival ini
berpanjangan selama 24 hari. Sekitar waktu kemangkatannya pada tahun 1156 SM,
festival tersebut disambut selama 27 hari.
Perkara yang paling
ditekankan dalam Festival Opet ini adalah ritual perjalanan Tiga Dewa Thebes
(Amun, Mut si isterinya, dan Khonsu si anaknya) dari rumah perlindungan mereka
di Kuil Karnak ke Kuil Luxor. Menerusi gambaran-gambaran tentang upacara ini
pada beberapa buah monumen Mesir purba, maka kita berupaya memiliki
serba-sedikit maklumat berkenaannya.
Salah sebuah monumen
yang mengandungi gambaran tersebut boleh ditemukan di bahagian selatan Biara
Merah Hatshepsut di Kuil Karnak. Secara
kebetulan, monumen tersebut merupakan gambaran tertua berkenaan Festival Opet
setakat yang diketahui. Relif-relif yang terdapat pada monumen ini menunjukkan
bahawa pada waktu itu, hanya Amun sahaja yang melakukan perjalanan dari Karnak
ke Luxor.
![]() |
| Biara Merah Hatshepsut di Kuil Karnak |
Dewa-dewi rumah suci
tersebut diangkut oleh para pendeta yang berjalan kaki di sepanjang Jalan
Sphinx. Dalam perjalanan, mereka akan berhenti di enam buah altar yang dibina
oleh Hatshepsut. Setelah berada di Luxor selama beberapa hari, para pendeta dan
dewa-dewi rumah suci akan pulang ke Karnak dengan menaiki perahu.
Sebagai perbandingan,
lukisan-lukisan tentang Festival Opet pada deretan tiang Kuil Luxor yang
dihasilkan pada era Tutankhamun menunjukkan bahawa pada era tersebut, Amun
sudah pun disertai oleh Mut dan Khonsu.
Selain itu, relif-relif tersebut turut
menunjukkan bahawa dewa-dewi diangkut di dalam perahu bagi melalui jalan-jalan
kota menuju ke Luxor, setelah mana mereka terlebih dahulu dimasukkan ke dalam
tongkang. Setelah berada di Kuil Luxor selama 24 hari, dewa-dewi ini kembali ke
rumah mereka di Kuil Karnak melalui jalan yang sama. Sepanjang keberadaan para
dewa di Kuil Luxor, kota akan mengadakan keraian.
![]() |
| Relif pada Kuil Luxor menggambarkan perarakan Festival Opet |
PEMBINAANNYA MERENTAS
ZAMAN
Walaupun pembinaan Kuil
Luxor sudah pun bermula pada era Amenhotep, ia hanya siap semasa era
Tutankhamun. Dalam bentuknya yang lengkap-siap, kompleks Kuil Luxor merangkumi
Jalan Sphinx, dua buah perkarangan, sebuah deretan tiang perarakan, dan ruangan
dalam keramat tempat biara-biara Mut, Khonsu dan Amun diletakkan.
Firaun-firaun
pada era terkemudian menambahkan lagi sentuhan mereka yang tersendiri ke atas
kompleks kuil berkenaan. Misalnya, Akhenaten membina sebuah rumah perlindungan
yang didedikasikan kepada dewa Matahari, Aten, di sebelah Kuil Luxor. Namun,
struktur ini kemudiannya dihancurkan oleh Horemheb.
Firaun yang melakukan
penambahan yang paling mengagumkan ke atas Kuil Luxor ialah Ramses II, firaun
ke-3 bagi Dinasti Ke-19 dan mungkin merupakan pemerintah Mesir purba yang
paling masyhur. Pada era pemerintahannya yang berpanjangan dari tahun 1279
hingga 1213 Masihi, Ramses membina menara pertama yang menjadi gerbang masuk
Kuil Luxor.
Penambahan menara ini
juga merupakan pemasyhuran buat beliau sendiri, lantaran Ramses menghiasinya
dengan lukisan-lukisan yang memperingati kecemerlangan kempen ketenteraannya,
terutama sekali Pertempuran Kadesh. Ramses turut menambah enam buah patung
besar yang menggambarkan dirinya sendiri – dua buah patung berpostur duduk dan
empat buah berdiri, berlokasi di gerbang kuil.
Selain menara pertama, Ramses
juga menghancurkan perkarangan pertama yang dibina oleh Amenhotep dan
menggantikannya dengan perkarangannya sendiri. Patung gergasi Amenhotep turut
digantikan dengan patungnya sendiri.
![]() |
| Patung-patung Ramses II di Kuil Luxor |
Kepentingan Kuil Luxor
sebagai sebuah pusat keagamaan terbukti menerusi pengubahsuaian yang dilakukan
terhadap kompleks tersebut pada era sesudah era Kerajaan Baru. Misalnya,
Taharqa, firaun Nubia keempat bagi Dinasti ke-25 (dinasti terakhir Zaman
Pertengahan Ketiga) membina sebuah rumah suci buat dewi Hathor. Sementara itu,
pendahulunya yang bernama Shabaka pula membina sebuah deretan tiang. Namun,
kedua-dua struktur ini telah musnah. Para pemerintah dari Nubia juga
menambahkan lukisan-lukisan yang memperingati kemenangan mereka pada deretan
tiang Ramses.
Selepas Mesir ditakluk
oleh Yunani, biara Amun dibina semula oleh Alexander Agung dan dalam ukiran
yang dihasilkan, beliau digambarkan sebagai seorang firaun Mesir. Maharaja Rom,
Hadrian juga mendirikan binaan tersendiri di Kuil Luxor. Direkodkan bahawa
beliau membangunkan sebuah rumah suci untuk dewa Serapis. Namun, rumah suci
tersebut tidak lagi wujud dan tinggalannya yang dapat disaksikan pada hari ini
hanyalah patung Isis dan puing-puing runtuhannya.
![]() |
| Sebahagian dari deretan tiang di Kuil Luxor, Mesir |
KEHILANGAN SIGNIFIKASI
DAN PENGHIDUPAN SEMULA: ERA ROM, KRISTIAN & ISLAM
Walaupun rumah suci di
kompleks Kuil Luxor dibangunkan oleh Hadrian, signifikasi keagamaan Kuil Luxor
sudah pun merudum dengan begitu ketara menjelang zaman Rom. Masyarakat Rom
melihat kompleks kuil tersebut sebagai lokasi yang sesuai untuk membangunkan
kubu tentera. Antara faktor yang menyumbang kepada tanggapan sedemikian adalah
kewujudan bahan-bahan mentah.
Beberapa buah pertukangan batu dari kompleks kuil
ini digunakan oleh orang Rom untuk membina bangunan-bangunan ketenteraan.
Selain itu, saiz kompleks kuil ini berupaya menampung jumlah tentera yang ramai
dan dianggarkan kira-kira 1500 orang tentera Rom ditempatkan di kubu tersebut.
Walau bagaimanapun,
signifikasi keagamaan Kuil Luxor tidaklah hilang sepenuhnya. Sebaliknya, lebih
sesuai jika disebutkan bahawa Tiga Dewa Thebes yang dipuja oleh masyarakat
Mesir sudah digantikan oleh sesuatu yang baru. Misalnya pada era Rom, kuil
tersebut didedikasikan kepada kultus maharaja.
Kemudian, setelah
Empayar Rom menganut agama Kristian, gereja Kristian dibangunkan di sekitar
kuil. Bahkan, salah sebuah gereja tersebut dibina di dalam kuil itu sendiri,
tepatnya di perkarangan Ramses. Setelah Mesir dikuasai oleh bangsa Arab, gereja
tersebut diubah menjadi masjid dan masih berdiri pada hari ini. Masjid yang
dikenali sebagai Masjid Abu Haggag (Hajjaj) ini dinamakan bersempena seorang
lelaki tempatan yang bernama Youssef.
![]() |
| Masjid Abu Haggag boleh dilihat di perkarangan Ramses II di Kuil Luxor |
Youssef dipercayai berasal
dari Damsyik. Lalu, beliau berpindah ke Mekah pada usia 40an dan seterusnya
berhijrah ke Luxor untuk diluangkan baki usianya. Ketika berada di Luxor,
Youssef menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk tempatan dan didakwa kononnya
masjid tersebut dibina sendiri oleh beliau. Youssef meraih reputasi yang tinggi
lantaran sikapnya yang prihatin terhadap kebajikan jemaah haji yang menuju ke
Mekah. Oleh hal yang demikian, beliau menerima nama timangan ‘Abu Haggag’ yang
bermaksud, ‘Bapa Para Jemaah Haji’.
Menurut sebuah legenda
tempatan, selepas Youssef membina masjid di perkarangan Kuil Luxor, seorang
pegawai tinggi berhasrat untuk menghancurkannya. Walaupun dibantah oleh
Youssef, pegawai tersebut bertekad mahu melaksanakan hasratnya itu. Pada suatu
hari, pegawai itu bangun daripada tidur dalam keadaan tubuhnya lumpuh.
Beliau
mengandaikan bahawa kelumpuhan secara mengejut ini berpunca daripada
keputusannya yang bersikeras mahu menghancurkan masjid tersebut. Justeru,
beliau pun menggugurkan arahannya. Masjid lantas terselamat dari dirobohkan dan
beliau pula pulih daripada lumpuh. Menariknya, ulang tahun lelaki tersebut
disambut secara tahunan pada awal November dengan melibatkan perarakan
perahunya di sekitar Luxor. Keraian ini bagaikan memperingati Festival Opet di
zaman silam.
Masjid Abu Haggag masih
digunakan sebagai tempat ibadah sehingga ke hari ini. Tambahan lagi,
ekskavasi-ekskavasi arkeologi turut dijalankan di kompleks Kuil Luxor. Misalnya
pada tahun 1988, sejumlah patung dari Dinasti Ke-18 ditemukan di perkarangan
kuil. Usaha pemeliharaan dan penyimpanan juga dilakukan di tapak berkenaan.
Di
samping itu, kuil ini juga merupakan sebuah destinasi perlancongan yang masyhur
dan ekonomi bandar banyak disumbangkan oleh industri pelancongan. Pada tahun
1979, Kuil Luxor diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai
sebahagian daripada ‘Thebes Purba dan Nekropolis-Nekropolisnya’.
SUMBER
- Dorman, P.F. 2020. Thebes.
- Dorman, P.F. et al. 2020. The New Kingdom (c. 1539-1075 BCE).
- Drower, M. S. 2019. Luxor.
- Egypt Tours Plus. 2020. Abu Haggag Mosque – The Mosque in the Heart of Luxor Temple.
- Excolano-Poveda, M. 2019. Egypt’s pharaohs welcomed summer with this fabulous festival.
- Editors of Encyclopaedia Britannica. 2014. Opet.
- Hill, J. 2010. Luxor temple.
- Hill, J. 2010. Luxor temple; page two.
- History.com Editors. 2020. Ancient Egypt.
- Jarus, O. 2013. Luxor: Ancient Egyptian Capital.
- Lonely Planet. 2020. Luxor Temple.
- Millmore, M. 2020. Luxor Temple.
- National Geographic. 2010. Ancient Thebes.
- UNESCO. 2020. Ancient Thebes with its Necropolis.
- World Monuments Fund. 2020. Luxor Temple.
- Get link
- X
- Other Apps








