- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (10 May 2019). The Spread of Islam in Ancient Africa. Ancient
History Encyclopedia.
https://ancient.eu/article/1382/the-spread-of-islam-in-ancient-africa/
https://ancient.eu/article/1382/the-spread-of-islam-in-ancient-africa/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Berikutan penaklukan
Afrika Utara oleh Arab-Muslim pada kurun ke-7 Masihi, agama Islam tersebar
secara aman hampir sepenuhnya ke seluruh Afrika Barat melalui para pedagang,
ilmuwan dan para pendakwah, di mana para pemerintah Afrika sama ada mengambil
pendirian bersifat toleransi agama ataupun memeluk agama tersebut. Dengan demikian, agama Islam tersebar ke
seluruh Gurun Sahara dan kawasan-kawasan sekitarnya.
Selain itu, agama Islam
juga sampai ke Afrika Timur apabila para pedagang Arab merentasi Laut Merah dan
dalam gelombang penyebaran kedua, menetap di kawasan sepanjang Pantai Swahili.
Kempen-kempen ketenteraan sememangnya pernah berlaku sejak kurun ke-14 Masihi,
misalnya memerangi kerajaan-kerajaan Kristian di Nubia.
Manakala pada kurun
ke-18 pula, Fulani-Muslim melancarkan jhad di daerah Tasik Chad. Dalam beberapa
keadaan, berlaku penentangan keras terhadap penyebaran agama Islam oleh para
pendokong kepercayaan tradisional Afrika seperti animisme, pemujaan semangat
dan roh nenek-moyang.
![]() |
| Penyebaran Agama Islam di Afrika |
Apapun,
setidak-tidaknya enam kurun lamanya agama Islam tersebar secara aman dan secara
bertahap di kawasan-kawasan yang mempunyai rangkaian perdagangan dengan dunia
Muslim yang lebih meluas, seperti Mediterranean selatan, Teluk Parsi dan Laut
Arab. Agama Islam tidak diamalkan secara seragam dan bukan dalam bentuknya yang
asli, lantaran di Afrika, ia sering wujud bersama amalan-amalan dan ritual-ritual
keagamaan tradisional. Dengan tersebarnya agama Islam, idea-idea tertentu juga
turut tiba di Afrika, terutama yang berkaitan dengan pentadbiran, perundangan,
seni bina da banyak lagi aspek kehidupan harian yang lain.
SEBUAH CATATAN TENTANG
AGAMA ISLAM
Diperkirakan bahawa sesuai
untuk memulakan perkongsian ini dengan nota bahawa penyebaran agama Islam di
Afrika melangkaui nuansa pemindahan dan pengamalan idea-idea agama semata.
Sebagaimana yang diterangkan secara ringkas oleh UNESCO General History of
Africa, tidak seperti kebanyakan agama lain:
“Islam bukan hanya
sebuah agama: ia juga merupakan sebuah gaya hidup yang komprehensif, yang
merangkumi kesemua lapangan dalam kewujudan manusia: Islam memberikan bimbingan
tentang semua aspek kehidupan – individu dan sosial, materi dan moral, ekonomi
dan politik, perundangan dan budaya, kenegaraan dan antarabangsa. (Vol III,
20)”
Justeru, menurut
pernyataan di atas, amat munasabah sekiranya ramai pemerintah dan golongan elit
Afrika mengambil sikap bersedia untuk mengamalkan agama asing ini lantaran ia
turut membawa bersama kelebihan-kelebihan dalam pentadbiran dan kekayaan yang
pasti.
PENYEBARAN SECARA
GEOGRAFI
Agama Islam tersebar
dari Timur Tengah lalu bertapak di seluruh Afrika Utara pada separuh kedua
kurun ke-7 Masihi apabila Kekhalifahan Umayyah (661-750 Masihi) dari Damsyik
menguasai kawasan tersebut melalui jalan ketenteraan. Daripada sana, agama ini
tersebar melalui pengislaman kaum Berber (sama ada secara paksa atau hati
mereka tertawan untuk memeluk agama tersebut) pada kurun ke-8 Masihi di
sepanjang laluan-laluan perdagangan yang terbentang di Afrika Barat, lalu
bergerak dari pantai timur memasuki kawasan pedalaman Afrika tengah dan
akhirnya tiba di daerah Tasik Chad.
Sementara itu, agama ini turut tersebar ke
bawah menerusi Mesir dan menghala ke barat menerusi daerah Sudah di bawah Gurun
Sahara. Penyebaran gelombang ketiga kemudiannya membawa agama ini secara
langsung dari Tanah Arab dan Teluk Parsi ke pantai timur Afrika, Tanduk Afrika
dan Pantai Swahili.
![]() |
| Laluan-Laluan Perdagangan Trans-Sahara |
Sebaik sahaja agama ini
tiba di daerah savannah yang terdapat di seluruh Afrika bawah Gurun Sahara,
ajarannya mula diamalkan oleh golongan bangsawan dan pemerintah Afrika. Walau
bagaimanapun, kepercayaan dan ritual tradisional lazimnya masih terus diamalkan
atau bahkan bercampur-aduk dengan agama Islam.
Sebaik para pedagang Muslim
berjaya menembusi kawasan yang lebih terceruk ke pedalaman Afrika, agama Islam
pun tersebar dari satu empayar ke satu empayar, mula menapakkan pengaruhnya di
Gao pada tahun 985 Masihi dan kemudian tersebar ke dalam Empayar Ghana (kurun
ke-6 hingga kurun ke-13 Masihi) sejak penghujung kurun ke-10.
Daripada sana,
agama Islam tersebar ke timur memasuki Empayar Mali (1240-1645 Masihi) dan
Empayar Songhai (c. 1460 – c. 1591 Masihi). Dengan bermulanya pengamalan agama
Islam oleh kelas pemerintah Kerajaan Kanem (c. 900 – c. 1390 Masihi) pada
tempoh antara kurun ke-11 dan 13 Masihi dan Hausaland pada penghujung kurun
ke-14 Masihi, penyebaran agama ini di rantau bawah Gurun Sahara Afrika pun
selesai.
Di Afrika Timur, Islam
berhadapan dengan saingan hebat dari agama Kristian yang sudah bertapak kukuh
di Nubia dan kerajaan-kerajaan lain seperti Kerajaan Faras (yakni Nobatia),
Dongola, Alodia, dan Kerajaan Aksum (kurun pertama – kurun ke-8 Masihi) yang
terletak di Ethiopia moden.
Hanya pada kurun ke-14 Masihi dan menerusi campur
tangan dari Kesultanan Mamluk Mesir (1250-1517 Masihi), barulah
kerajaan-kerajaan Kristian tersebut berubah menjadi kerajaan Islam, kecuali
Kerajaan Habsyah (kurun ke-13 hingga kurun ke-20 Masihi). Selain itu, terdapat
dua buah kerajaan Muslim yang penting di Tanduk Afrika, iaitu Kesultanan Adal
(1415-1577 Masihi) dan Kesultanan Ajuran (kurun ke-13 hingga kurun ke-17
Masihi).
Jauh di selatan, agama
Islam meraih kejayaan yang lebih pantas terutama di Pantai Swahili. Bermula
dari pertengahan kurun ke-8 Masihi, para pedagang dari Tanah Arab dan Mesir
mula menetap secara kekal di bandar-bandar dan pusat-pusat perdagangan yang
terletak di sepanjang pantai Swahili. Masyarakat tempatan, iaitu suku Bantu
mula bercampur-gaul dengan bangsa Arab. Begitu juga dengan bahasa mereka.
Perkahwinan kacuk menjadi suatu kelaziman, dan seterusnya membawa kepada
percampuran antara amalan-amalan kebudayaan dan ajaran Islam di mana hal ini
membawa kepada evolusi kebudayaan Swahili yang unik.
Agama Islam bertapak
dengan lebih kukuh pada kurun ke-12 Masihi apabila para pedagang Shiraz tiba
dari Teluk Parsi. Memetik kata-kata sejarahwan P. Cutrin: “Agama Islam secara
muktamadnya menjadi salah satu elemen utama dalam identiti Swahili. Pada
kurun-kurun terkemudian, menjadi seorang Swahili juga membawa maksud menjadi
seorang Muslim” (125). Agama Islam meraih kepesatan di pantai tersebut, namun
impak yang sama tidak berlaku terhadap masyarakat yang hidup di kawasan
pedalaman Afrika Timur kecuali pada kurun ke-19 Masihi.
Wujud cabaran-cabaran
lain selain orang-orang Kristian Nubia. Dalam mendepani penyebaran agama Islam,
terdapat ramai individu yang bersikeras mahu berpegang pada kepercayaan
tradisi. Antara kumpulan menonjol yang menentang gelombang penyebaran Islam
ialah masyarakat Mossi, yang berpengaruh di wilayah selatan Sungai Niger.
Mereka bahkan menyerang kota-kota seperti Timbuktu pada separuh pertama kurun
ke-15 Masihi.
Kemudian, orang-orang Kristian-Portugis tiba di pantai barat dan
timur Afrika sekaligus mencabar penyebaran agama Islam di sana. Pendatang dari
Eropah ini menjalankan perdagangan secara giat di pantai barat Afrika, hinggakan
beberapa buah kerajaan seperti Kerajaan Kongo (kurun ke-14 hingga kurun ke-19
Masihi) menjadi sebuah kerajaan Kristian. Bermula dari kurun ke-16 Masihi,
dominasi agama Islam di pantai Swahili dicabar.
![]() |
| Masjid Jamek, Kilwa |
SEBAB-SEBAB PENERIMAAN
Selain daripada
kepatuhan rohani yang hakiki, para pemimpin Afrika menyedari bahawa mengamalkan
ajaran Islam atau setidaknya bertoleransi terhadapnya akan memberikan manfaat
yang besar kepada sektor perdagangan. Sfera Islam dan perdagangan saling
berkait rapat, sebagaimana yang diterangkan di dalam UNESCO General History
of Africa:
“Kaitan antara Islam
dan perdagangan di wilayah sub-sahara Afrika merupakan suatu fakta yang
diketahui meluas. Masyarakat yang paling aktif dalam komersial, seperti Dyula,
Hausa dan Dyakhanke, merupakan antara yang pertama memeluk agama tersebut
apabila negara masing-masing berinteraksi dengan Muslim. Penjelasan terhadap
fenomena ini boleh ditemukan dalam faktor sosial dan ekonomi.
Islam adalah
sebuah agama yang lahir dalam kalangan masyarakat komersial di Mekah dan ia
didakwahkan oleh seorang Nabi yang baginda sendiri bergiat lama dalam bidang
perdagangan, sekaligus hal ini menyumbang kepada satu tatanan etika dan amalan
yang sangat berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti perniagaan.
Kod moral ini
membantu dalam melindungi dan mengawal hubungan komersial serta menawarkan
sebuah ideologi penyatuan dalam kalangan anggota pelbagai kumpulan etnik,
justeru memberikan jaminan keselamatan dan pengaliran masuk tunai, yang
merupakan dua buah keperluan utama dalam perdagangan jarak-jauh. (Vol. III,
39)
Namun, di Empayar Ghana
misalnya, tiada bukti yang dapat menunjukkan bahawa raja-raja mereka memeluk
Islam. Sebaliknya, mereka hanya mengambil sikap bertoleransi terhadap para
pedagang Muslim dan rakyat Ghana yang berhasrat mahu memeluk agama tersebut.
Ibu kota Ghana di Koumbi Saleh secara signifikannya terbahagi kepada dua buah
daerah yang berbeza sejak pertengahan kurun ke-11 Masihi.
Satu bandar dijadikan
sebagai bandar Muslim dan ia memiliki 12 buah masjid, manakala sebuah lagi
bandar yang berjarak hanya 10 kilometer dan dihubungkan oleh sejumlah bangunan merupakan
kediaman diraja dan menempatkan banyak rumah suci bagi penganut kepercayaan
tradisi dan sebuah masjid bagi para pedagang yang singgah ke bandar tersebut.
Pembahagian sebegini mencerminkan hakikat bahawa kepercayaan animisme masih
terus dianuti di samping ajaran Islam, di mana kepercayaan tradisional tersebut
diamalkan oleh komuniti luar bandar.
![]() |
| Ilustrasi Mansa Musa |
Akan tetapi di Empayar
Mali, raja-raja mereka sememangnya memeluk agama Islam. Raja pertama yang jelas
berbuat demikian ialah Mansa Uli (yakni Mansa Wali atau Yerelenku), yang
menunaikan haji ke Mekah pada 1260an atau 1270an. Ramai pemerintah selanjutnya
menyusuli beliau, dan tokoh termasyhur dalam kalangan mereka ialah Mansa Musa I
(memerintah 1312-1337 Masihi) yang mengunjungi Kaherah dan Mekah serta membawa
pulang para ilmuwan, jurutera dan sejumlah buku ke Mali.
Beberapa buah masjid
dibangunkan, seperti Masjid Jamek Timbuktu (yakni Djinguereber atau
Jingereber). Begitu juga dengan sekolah-sekolah dan universiti-universiti
al-Qur’an yang meraih reputasi peringkat global dengan begitu pantas. Salah seorang
ilmuwan Timbuktu yang penting ialah Sharif Sidi Yahya al-Tadilsi (meninggal
sekitar 1464 Masihi), iaitu ulama yang menaungi kota. Sebuah kelas sosial
ulama’ dibentuk, di mana ramai anggotanya berasal-usul dari Sudan. Kebanyakan
mereka terlibat dalam usaha dakwah, menyebarkan ajaran Islam ke wilayah selatan
Afrika Barat.
Apabila semakin ramai
yang menganut agama Islam, ianya menggamit kedatangan semakin ramai ulama
Muslim dari luar dan agama Islam tersebar dengan lebih meluas di Afrika Barat.
Ramai mualaf tempatan menuntut ilmu di tempat-tempat seperti Fez, Maghribi dan
seterusnya menjadi ulama’, pendakwah dan bahkan wali besar.
Justeru, agama
Islam tidak lagi dilihat sebagai agama asing sebaliknya agama tempatan di
Afrika. Seterusnya, ulama’ Muslim mula lazim melibatkan diri dalam kehidupan
seharian masyarakat (sekaligus meningkatkan lagi kadar penerimaan ajaran Islam)
dengan memimpin bacaan doa, melaksanakan tugas-tugas pentadbiran, menawarkan
khidmat perubatan dan nasihat keagamaan – seperti penafsiran mimpi dan
pendinding diri.
Selain daripada
pemerolehan kekayaan bagi meningkatkan prestij dalam pandangan masyarakat, satu
lagi motivasi yang mendorong para pemerintah untuk mengamalkan ajaran Islam
adalah dnasti pemerintah dapat memperkukuh kekuasaannya melalui agama tersebut.
Hal ini merupakan faktor penerimaan Islam yang paling penting bagi Kerajaan
Kanem pada lewat kurun ke-11 Masihi. Dengan mengamalkan ajaran Islam, mereka
berpeluang untuk bertukar-tukar perutusan diplomatik dengan negara-negara di Afrika
Utara, sekaligus membuka juga peluang untuk menghantar para ilmuwan bagi
melanjutkan pelajaran.
Kedua-dua faktor ini secara khusus membolehkan
negara-negara di sub-Sahara Afrika itu berinteraksi dengan dunia Mediterranean
secara lebih meluas, sekaligus meningkatkan lagi prestij pemerintah. Satu lagi
faktor penerimaan ajaran Islam di rantau ini ialah peningkatan kadar celik
huruf dalam kalangan masyarakat. Faktor ini sangat penting bagi empayar yang
kekayaannya dibina berteraskan aktiviti perdagangan.
![]() |
| Masjid Jamek, Djenne, Mali |
Walau bagaimanapun,
golongan pemerintah tidak semestinya mencenderungkan diri kepada ajaran Islam.
Misalnya, Raja Sunni Ali dari Empayar Songhai (memerintah 1464-1492 Masihi)
merupakan seorang penentang Muslim yang lantang. Namun, keadaan yang berbeza
pula ditunjukkan oleh Mohammad I (memerintah 1494-1528 Masihi) yang sememangnya
menganut dan mengamalkan ajaran Islam.
Beliau bahkan melaksanakan perundangan
Islam ke atas rakyatnya dan melantik qadi-qadi (hakim atau majistret Islam)
sebagai ketua keadilan di Timbuktu, Djenne dan bandar-bandar lain. Apapun, sama
seperti di Ghana dan Mali, rakyat luar bandar di Songhai kekal mengamalkan
kepercayaan tradisi.
DIAMALKAN BERSAMA
KEPERCAYAAN TRADISI AFRIKA
Sebagaimana yang
disebutkan di atas, kepercayaan-kepercayaan tradisional terus diamalkan,
terutama dalam kalangan komuniti luar bandar. Hal ini direkodkan oleh para
pengembara seperti Ibn Battuta yang mengunjungi Mali sekitar tahun 1352 Masihi.
Selain itu, setidak-tidaknya pada peringkat awal, pengajian-pengajian Islam
diadakan dalam bahasa Arab dan bukan dalam bahasa tempatan.
Hal ini sekaligus
menjejaskan penerimaannya dalam kalangan masyarakat di luar kelas ulama’
berpendidikan. Bahkan, Islam yang bertapak di sana juga merupakan suatu variasi
tertentu yang diamalkan di dunia Arab. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh
para pemerintah Afrika tidak dapat mengenepikan sepenuhnya amalan dan
kepercayaan tradisional yang masih dianuti oleh kebanyakan rakyat mereka,
lebih-lebih lagi mereka ini lazim mengangkat para pemerintah ke kedudukan
dewata atau separa-dewa.
Malahan, di Pantai
Swahili, tempat di mana ajaran Islam diamalkan secara lebih meluas berbanding
tempat lain sendiri, terdapat ramai penganut Islam yang masih terus mengamalkan
pemujaan semangat, terutama semangat-semangat yang kononnya menjadi punca
penyakit dan nasib-nasib malang yang lain. Roh nenek-moyang terus dipuja, dan
di beberapa buah kota, kaum wanita menikmati kebebasan yang jauh melebihi kaum
wanita Islam. Tanah perkuburan pula dipenuhi dengan makam-makam yang turut
menguburkan bersama barangan berharga di samping si mati.
![]() |
| Masjid Sankore, Timbuktu |
IMPAK DALAM KEBUDAYAAN
Islam memberi kesan
secara mendalam terhadap seluruh aspek kehidupan seharian masyarakat. Namun, ianya
bersifat pelbagai bergantung masa dan tempat. Kedatangan Islam menyaksikan
kejatuhan kedudukan beberapa kumpulan tertentu dalam komuniti Afrika purba.
Salah satu pihak yang paling menerima kesan sebegini ialah tukang-tukang logam
yang sebelum ini menikmati penghormatan-bersifat-mistik dari orang awam
lantaran kemahiran mereka dalam menempa logam. Hal ini juga berlaku terhadap
mereka yang menemukan dan melombong logam-logam berharga seperti emas dan besi.
Secara kontranya, kadangkala perkaitan dengan agama Islam juga kadangkala
memberi kesan peningkatan prestij. Hal ini boleh dilihat secara jelas dalam
perekodan-semula sejarah dan mitos penubuhan masyarakat yang turut merangkumkan
ketibaan pengasas dari Timur.
Malahan, dalam beberapa keadaan, tradisi-tradisi
lisan mengekalkan integrity kebudayaan mereka dan justeru, kita dihadirkan
dengan sebuah sejarah selari seperti yang dapat dilihat pada biografi Sundiata
Keita (memerintah 1230-1255 Masihi), pengasas Empayar Mali, di mana beliau
dituliskan di dalam sejarah sebagai memeluk agama Islam namun dalam tradisi
lisan, disifatkan sebagai seorang dukun terkemuka dalam kepercayaan asli.
Peranan kaum lelaki dan
kaum wanita kadangkala berubah, di mana sebahagian komuniti Afrika sebelum ini
memberikan kedudukan dan kebebasan yang lebih bersifat sama rata dengan kaum
lelaki. Sebahagian masyarakat Afrika lebih cenderung mengutamakan jalur sebelah
ibu, dan hal ini kemudiannya berubah kepada sistem yang lebih memihak kaum
bapa.
Antara perubahan lain juga melibatkan perubahan nama kepada nama-nama
yang lebih bersifat Islami. Seringkali nama yang diambil ini disesuaikan
terlebih dahulu dengan bahasa Afrika, misalnya, Muhammad menjadi Mamadu dan Ali
diubah menjadi Aliyu. Pengubahan cara pemakaian juga berlaku, di mana kaum wanita
secara khusus, dianjurkan supaya berpakaian secara lebih bersederhana dan
gadis-gadis pula digalakkan agar menutup aurat.
Seni bina Islam turut
tersebar bersama penyebaran agama Islam, di mana masjid-masjid dibangunkan di
tempat-tempat yang diduduki oleh penganut Islam. Namun, sama seperti agama
Islam itu sendiri, terdapat beberapa buah perbezaan mengikut tempat. Misalnya,
masjid-masjid di Pantai Swahili tidak mempunyai menara atau perkarangan seperti
masjid-masjid lain di dunia Islam.
Berlaku juga beberapa
pembaharuan teknikal penting seiring kehadiran Islam, seperti penulisan,
perangkaan, matematik, pengukuran dan pertakaran berat. Bukan hanya ilmuwan dan
pendakwah Muslim sahaja yang mengunjungi dan menetap dalam kalangan komuniti
Afrika, akan tetapi para pengembara dan penghikayat Muslim seperti Ibn Battuta
dan Ibn Khaldun (1332-1406 Masihi) juga melakukan pemerhatian dan catatan yang
cukup berharga tentang kehidupan masyarakat Afrika di zaman pertengahan.
Bersama dengan penemuan-penemuan arkeologi, para penulis ini banyak membantu
dalam membina semula kefahaman terhadap Afrika purba sesudah tamatnya tempoh
kolonial Eropah, tempoh di mana pelbagai macam cubaan dilakukan bagi
melenyapkan sejarah benua itu semata-mata mahu menegakkan doktrin rasis yang
kononnya, Afrika telah lama menanti saat untuk ditamadunkan.
BIBLIOGRAFI
- Curtin, P. African History. Pearson. 1995.
- Fage, J.D. (ed), The Cambridge History of Africa. Vol. 2. Cambridge University Press, 2001.
- Hrbek, I. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. III, Abridged Edition. University of California Press. 1992.
- Insoll, T. “The Archaeology of Islam in Sub-Saharan Africa.” Journal of World Prehistory, Vol. 10, No. 4 (December 1996), pp. 439-504.
- Ki-Zerbo, J. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV, Abridged Edition. University of California Press. 1998.
- McEvedy, C. The Penguin Atlas of African History. Penguin Books. 1996.
- Ogot, B.A. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV, Abridged Edition. University of California Press. 1999.
- Oliver, R. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 3. Cambridge University Press. 2001.
- Oliver, R.A. Cambridge Encyclopedia of Africa. Cambridge University Press. 1981.
- de Villiers, M. Timbuktu. Walker Books. 2007.
- Get link
- X
- Other Apps






