- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Veronica Parkes. (24 Februari 2017). The Library of Pergamum: A Contender for
the Greatest Library of the Ancient World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/library-pergamum-contender-greatest-library-ancient-world-007601
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/library-pergamum-contender-greatest-library-ancient-world-007601
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pergamum, Anatolia,
atau kini bandar Bergama, Turki moden merupakan salah sebuah kota paling
penting di Yunani pada zaman Hellenistik. Kota ini kaya dengan budaya dan
perpustakaan besar di tengah-tengah kotanya. Kota ini masyhur sebagai sebuah
pusat pentadbiran terutama ketika ia diperintah oleh Raja Eumenes II dari
Dinasti Attalid. Di bawah kekuasaan raja ini, Pergamum memutuskan hubungan
dengan Macedonia dan bersekutu dengan Republik Rom.
![]() |
| Lukisan Pergamon purba |
SALAH SEBUAH PERPUSTAKAAN
UTAMA DUNIA PURBA
Kota ini memiliki
populasi lebih 200 000 orang. Secara kebudayaan, ia berseteru dengan Alexandria
dan Antioch, terutama dari segi hasil-hasil seni termasuklah patung-patung dan
seni bina. Hal ini dapat dilihat menerusi pembinaan Altar Agung Pergamum. Kota
ini juga merupakan pusat keagamaan yang signifikan dan ia pernah disebutkan di
dalam Perjanjian Baru sebagai salah sebuah dari Tujuh Buah Gereja Wahyu.
Sekitar tahun 133 Sebelum Masihi, Pergamum diserahkan kepada Republik Rom dan
pada Zaman Pertengahan pula, ia tumbang ke tangan pemerintahan Empayar
Uthmaniyah.
![]() |
| Peta acropolis Pergamon (1882), dari Die Ergebnisse der Ausgrabung zu Pergamon 1880-1881, Universiti Heidelberg |
Perpustakaan Pergamum
adalah pusat bagi segala elemen kebudayaan. Seorang penulis Yunani yang bernama
Plutarch berkata bahawa ia menyimpan sebanyak 200 000 jilid buka. Perpustakaan
ini dikenali sebagai salah sebuah perpustakaan paling penting di dunia purba
dan kedudukannya hanya dapat ditandingi oleh Perpustakaan Iskandariah (Alexandria).
Menurut seorang
penghikayat purba, Pliny the Elder, Perpustakaan Pergamum sangat masyhur hingga
ia dianggap sebagai ‘pesaing terhebat’ Perpustakaan Iskandariah. Kedua-dua
perpustakaan ini cuba untuk menghimpunkan koleksi manuskrip yang paling
lengkap. Keduanya tuut membangunkan sekolah-sekolah pemikiran yang saling
berseteru.
Malahan, legenda
menceritakan bagaimana Empayar Ptolemaic di Mesir menghentikan penghantaran
papirus ke Pergamum semata-mata atas tujuan agar mereka dapat melambatkan
perkembangan perpustakaan itu. Sebagai susulan, kota itu kemudiannya berkembang
menjadi sebuah tapak penghasilan kertas kulit.
Sekumpulan rakyat Pergamum dan
isteri kepada canselor bandar, Flavia Melitene, memainkan peranan yang besar dalam
membekalkan bahan untuk perpustakaan tersebut. Misal yang paling signifikan
adalah beliau menghadiahkan sebuah patung Maharaja Rom, iaitu Maharaja Hadrian
kepada perpustakaan tersebut.
![]() |
Tugu Hadrian dalam pakaian tentera, Antalya, Turki
|
HADIAH KEILMUAN
Legenda menyebutkan
bahawa Mark Anthony, pemerintah empayar Macedonia pada zaman kemuncaknya,
pernah memberikan kesemua 200 000 jilid dalam perpustakaan itu kepada Cleopatra
sebagai hadiah perkahwinan. Jilid-jilid ini ditakdirkan untuk dimiliki oleh Perpustakaan
Iskandariah, sekaligus menamatkan status Perpustakaan Pergamum sebagai salah
sebuah perpustakaan agung di zamannya. Terdapat kemungkinan bahawa jilid-jilid
yang dihadiahkan ini turut musnah dalam kebakaran yang melanda Perpustakaan
Iskandariah, memandangkan tarikh kemusnahan jilid-jilid tersebut masih tidak
diketahui dengan jelas.
Sebahagian pihak
berpendapat bahawa Julius Caesar membakar perpustakaan ini semasa berlakunya
perang saudara pertama pada tahun 48 Sebelum Masihi. Pihak lain pula mengemukakan
tarikh kehancuran perpustakaan itu kepada beberapa tarikh; semasa serangan
Aurelian pada tahun 270-275 SM, titah Paus Theophilius of Alexandria untuk
meruntuhkan ilmu pagan silam atas nama tuhan pada tahun 391 Masihi, atau
penaklukan Islam ke atas Mesir pada tahun 642 Masihi.
Sekiraya perpustakaan
ini dimusnahkan oleh Julius Caesar, hal ini menyokong kisah di mana Mark
Anthony menghadiahkan kandungan Perpustakaan Pergamum kepada Cleopatra atas
tujuan mengisi semula koleksi Perpustakaan Iskandariah. Namun malangnya, tiada
sebarang katalog Perpustakaan Pergamum yang kita ketahui sekaligus
memustahilkan kita untuk mengetahui skop atau cakupan koleksinya bagi membuat
perbandingan.
![]() |
| Runtuhan sebahagian bangunan yang membentuk Perpustakaan Pergamum |
SENI BINA PERPUSTAKAAN
PERGAMUM
Dibina oleh Eumenes II
pada era kemuncak kemasyhuran Pergamum, perpustakaan ini terletak di penghujung
utara acropolis. Ia merupakan satu-satunya perpustakaan Yunani yang bukti
kewujudannya dapat ditemukan oleh ahli-ahli arkeologi pad ahari ini. Justeru,
ia adalah satu-satunya perpustakaan dari dunia purba yang kita boleh huraikan
seni bina dan bahan-bahan binaan yang digunakan olehnya secara terperinci.
Secara meluas, pelan
reka letak perpustakaan ini difahami kuran lebih seperti ini: sebuah ruangan
besar yang mempunyai sebuah patung dewa bersaiz besar di bahagian utamanya
terletak bertentangan dengan gerbang utama. Secara tipikal, patung ini tidak
lain adalah patung Athena. Ruangan utama ini mempunyai sebuah exedra,
bilik sampingan atau portico yang membentuk tapak bagi peletakan rak-rak
buku.
![]() |
| Tugu Athena Parthenos dari Perpustakaan Pergamum dengan kuil Zeus Sosipolis dari Magnesia. Muzium Pergamon, Berlin |
Rak-rak buku ini hadir
dalam bentuk almari bertutup dengan ukuran sekitar 2 meter (6.56 kaki) tinggi,
sekaligus meninggalkan sedikit ruang pada sisi dinding menaik ke atap sebagai
ruang buat jendela-jendala yang membolehkan cahaya masuk secara alami ke
ruangan tersebut. Bilik ini mungkin turut digunakan untuk aktiviti debat,
syarahan, upacara dan pembelajaran. Hanya sebahagian kecil sahaja koleksi yang
ditempatkan di bilik ini, memandangkan ia tidak dapat menampung kesemua 200 000
jilid yang terdapat dalam koleksi Perpustakaan Pergamum.
Bilik-bilik sampingan
didirikan secara bertahap untuk menempatkan koleksi yang sentiasa bertambah
pada era pemerintahan Eumenes II. Bilik-bilik baru ini tidaklah boleh dianggap
sebagai sebuah mahakarya seni. Namun, ia tetap berfungsi dengan efisien dan
digunakan untuk menampung kebanyakan jilid. Bilik-bilik baru ini turut
berfungsi sebagai scriptoria dan bilik-bilik menulis.
![]() |
| Diagram Perpustakaan Pergamum |
Terdapat sedikit ruang
yang sengaja diwujudkan antara rak-rak buku dengan dinding luar bangunan bagi
tujuan membolehkan udara berkitar di sekitar bilik bacaan. Tujuan utama bagi
hal ini adalah untuk menghindarkan perpustakaan tersebut dari menjadi terlalu
lembab dalam cuaca hangat di Anatolia. Keadaan ini secara meluas dianggap
sebagai usaha awal dalam pemeliharaan dan penjagaan perpustakaan.
Kelembapan sering
menjadi salah satu musuh utama perpustakaan. Gulungan papirus dan jilid-jilid
kertas kulit disimpan di dalam almari bertutup bagi menghindarkannya daripada
kelembapan yang datang daripada foundasi dan jendela yang dibuka. Sejurus
selepas dibina, jendela-jendela ini memerlukan sengkuap (awning) di
bahagian atasnya untuk meneduhinya daripada hujan dan debu daripada luar
lantaran panel-panel jendela kaca belum lagi digunakan melainkan pada lewat
kurun pertama Sebelum Masihi.
WUJUD DALAM BENTUK
PUING-PUING RUNTUHAN
Walaupun sudah runtuh
dan hanya wujud sebagai puing-puing bangunan, perpustakaan ini masih berdiri
sebagai bukti kepada kekayaan ilmu yang pernah dimiliki oleh orang-orang
Yunani, Rom dan sekutu-sekutu mereka. Ia merupakan simpanan khazanah arkeologi
yang menguakkan kepada kita jendela ke zaman silam menerusi jilid-jilid yang
disimpan olehnya, hasil-hasil seni yang dimiliki serta seni bina purba yang
memperindah bangunannya. Lantaran itu, Perpustakaan Pergamum kekal sebagai
sebuah tapak yang sangat penting buat kita sehingga ke hari ini, sebagaimana
pentingnya ia di zaman silam.
![]() |
| Perpustakaan sebelum diekskavasi |
SUMBER
- Jeremy Norman & Co. (2016). The Library of Pergamum (Pergamon) is Founded.
- Hornqvist, M. (2002). On the Library of Pergamon.
- University of Chicago (n.d.) The Library at Pergamum.
- Yeomans, S. (2016). Ancient Pergamon: City of science… and satan?
- Get link
- X
- Other Apps







