PERPUSTAKAAN-PERPUSTAKAAN CHINGUETTI – TRADISI YANG MENUJU KEMUSNAHAN

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (24 Februari 2018). From Tradition to Destruction: The Lost Libraries of Chinguetti. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/tradition-destruction-lost-libraries-chinguetti-009651

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pada Zaman Pertengahan,  petempatan-petempatan luar di Sahara sering dipenuhi oleh para pengembara, pedagang dan jemaah yang lalu-lalang di sana atas tujuan-tujuan yang berbeza. Para jemaah secara khusus menggamit minat kita di sini lantaran mereka kadangkala saling bertemu dan berkongsikan naskhah-naskah agama.

Salah satu susulan daripada interaksi sebegini adalah terbentuknya perpustakaan-perpustakaan yang unik. Namun, teks-teks langka yang disimpan di tempat-tempat seperti Chinguetti berada dalam ancaman bahaya.

Chinguetti merupakan sebuah kota yang terletak di Dataran Adrar, di Wilayah Ardar yang berlokasi di Mauretania utara. Walaupun kawasan sekitar di situ telah pun dihuni oleh manusia selama ribuan tahun, Chinguetti hanya mengecapi kegemilangan pada Zaman Pertengahan berikutan statusnya sebagai pusat perdagangan.

Sebagai salah sebuah dari sejumlah kecil petempatan luar di Gurun Sahara, Chinguetti juga menjadi tempat pertemuan para jemaah yang dalam perjalanan ke kota suci Mekah dari rantau berkenaan.

Bandar lama, Chinguetti, Mauritania


Susulannya, sejumlah perpustakaan pun ditubuhkan dan ia dibina bagi menyimpan naskhah-naskhah agama yang ditinggalkan oleh para jemaah ini ketika mereka melanjutkan perjalanan ke Mekah. Pada hari ini, perpustakaan purba yang masih kekal hanya dalam jumlah yang kecil sekaligus menjadikannya sebagai suatu peninggalan sejarah yang signifikan. Namun, naskhah-naskhah yang tersimpan di dalamnya tidak berada dalam keadaan yang kondusif sekaligus mendedahkannya kepada kerosakan.

Manuskrip dari sebuah perpustakaan peribadi di Chinguetti


PENGHUNI DAN PENGUNJUNG CHINGUETTI

Bukti arkeologi menunjukkan bahawa kehadiran manusia di kawasan sekitar Chinguetti boleh dijejak kembali pada ribuan tahun dahulu. Namun, kota itu sendiri hanya ditubuhkan pada Zaman Pertengahan, yakni sekitar kurun ke-12 Masihi. Pada asalnya, ia berfungsi sebagai tempat peristirehatan di laluan-laluan perdagangan Sahara yang merangkumi Maghribi, Mauretania dan Mali moden.

Menurut satu sumber, kota ini boleh menampung sehingga 30 000 ekor unta pada satu-satu masa. Barang dagangan yang diangkut oleh kafilah-kafilah unta inilah yang menjadikan kota tersebut kaya-raya.

Namun, sebagai sebuah petempatan luar di Gurun Sahara, Chinguetti tidak hanya dikunjungi oleh kafilah-kafilah dagang. Akan tetapi, ia turut disinggahi oleh jemaah-jemaah Muslim yang mengikuti laluan-laluan perdagangan tersebut untuk menuju ke Mekah. Untuk menampung keperluan rohani para jemaah ini, sebuah masjid besar, iaitu Masjid Chinguetti yang masyhur pun dibina.

Selain itu, sejumlah perpustakaan turut ditubuhkan lantaran para jemaah ini turut membawa bersama sejumlah manuskrip yang mengandungi teks-teks agama. Manuskrip-manuskrip ini kebanyakannya diserahkan oleh mereka kepada penduduk Chinguetti.

Masjid Chinguetti


PERPUSTAKAAN-PERPUSTAKAAN CHINGUETTI

Seiring peredaran masa, semakin banyak perpustakaan yang ditubuhkan di kota Chinguetti. Perpustakaan-perpustakaan ini tidak hanya menyimpan manuskrip-manuskrip agama. Akan tetapi, ia turut menyimpan karya-karya dari pelbagai bidang, seperti astronomi, perundangan dan matematik.

Hal ini kerana pada zaman kemuncaknya, Chinguetti turut menjadi hub intelektual. Sama seperti para pedagang dan jemaah haji, para ilmuwan juga mengembara di sepanjang laluan perdagangan Sahara dan mengunjungi Chinguetti.

Perpustakaan-perpustakaan di Chinguetti secara asasnya bermula sebagai perusahaan persendirian dan keadaan sedemikian terus berlanjutan sehingga ke hari ini. Koleksi manuskrip diwariskan dari satu generasi ke satu generasi. Sebagai contoh, sebuah perpustakaan peribadi ditubuhkan pada kurun ke-19 oleh Sidi Ould Mohamed Habott dan ia berada dalam penyeliaan keluarga yang sama selama empat generasi.

Koleksi keluarga Habott mengandungi sebanyak 1400 buah manuskrip yang merangkumi berbelas bidang keilmuan. Manuskrip-manuskrip yang terdapat di dalam perpustakaan ini juga datang daripada zaman yang berbeza. Manuskrip yang paling tua datang daripada kurun ke-11 Masihi dan ditulis di atas kertas daripada China.

Koleksi al-Qur’an di sebuah perpustakaan di Chinguetti


KOLEKSI-KOLEKSI PERIBADI DAN ANCAMAN KEMUSNAHAN

Pada hari ini, perpustakaan peribadi keluarga Habott merupakan salah sebuah daripada sepuluh perpustakaan yang masih wujud di Chinguetti. Dianggarkan bahawa kira-kira setengah kurun yang lalu, terdapat sebanyak 30 buah perpustakaan secara keseluruhan di kota itu. Kebanyakan perpustakaan ini hilang bersama seluruh koleksinya dalam tempoh yang singkat.

Sebuah perpustakaan peribadi di Chinguetti, Mauritania


Perpustakaan-perpustakaan yang masih kekal pula terus terdedah kepada ancaman kerosakan. Manuskrip-manuskrip di perpustakaan-perpustakaan Chinguetti disimpan di dalam batang-batang dan kotak-kotak kayu. Kaedah penyimpanan sebegini tidak membantu memelihara keadaan manuskrip itu sendiri, sekaligus mengundang kerosakan kelak.

Usaha-usaha untuk menyelamatkannya juga tidak menemui banyak keberhasilan lantaran pemilik-pemilik perpustakaan ini bersikeras mahu berpegang pada tradisi dan enggan menyerahkan manuskrip-manuskrip ini kepada pihak muzium atau pakar-pakar manuskrip.

Manuskrip di sebuah perpustakaan peribadi di Chinguetti


SUMBER