- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 September 2018). Raja Alaric: His Famous Sacking of Rome,
Secretive Burial, and Lost Treasure. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/king-alaric-his-famous-sacking-rome-and-secretive-burial-004630
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/king-alaric-his-famous-sacking-rome-and-secretive-burial-004630
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Penjarahan Kota Rome
pada tahun 410 Masihi oleh Visigoth sering dianggap sebagai peristiwa yang
menandakan bermulanya pengakhiran Empayar Rom Barat. Individu yang
bertanggungjawba di atas penjarahan kedua kota Rome ini ialah Alaric, raja
pertama Visigoth (penjarahan pertama berlaku 800 tahun yang lalu, iaitu pada
390 SM di tangan tentera Gaul yang dipimpin oleh Brennus).
Walau bagaimanapun,
terdapat catatan yang mengatakan bahawa Raja Alaric tiada niat mahu menakluki
Rome. Beliau sebenarnya hanya mahu mengadakan rundingan secara damai.
Penjarahan ini juga dipercayai telah diisyaratkan menerusi ramalan yang
mendakwa bahawa Alaric bakal menguasai Rome. Dalam puisi Claudian yang berjudul
The Gothic War, kata-kata ini dituturkan sendiri oleh Alaric:
“Para dewa juga
menggesaku. Bukan mimpiku mahupun burung, namun kedengaran jeritan jelas yang
menuturkan dari ladang keramat: “Pergilah tanpa tangguh, wahai Alaric; pada
tahun ini, rentasilah Banjaran Alps dengan penuh berani dan kamu akan tiba di
kota.” Justeru, jalan sudah dibentangkan kepadaku. Setelah diberikan galakan
sebegini, mengapa aku perlu kecut atau ragu untuk mentaati seruan Tuhan?”
PERTABALAN ALARIC
SEBAGAI RAJA
Tidak banyak yang dapat
kita ketahui tentang kehidupan awal Alaric, walaupun raja Visigoth ini
diperkirakan lahir sekitar tahun 360 Masihi. Alaric juga dipercayai lahir dalam
keluarga Balthi, yang menurut Jordanes, taraf kebangsawanannya “hanya dapat
ditandingi oleh keluarga Amali”.
Jordanes juga
menyebutkan bahawa Alaric ditabalkan sebagai raja Visigoth sesudah kemangkatan
maharaj Rom, Theodosius I, yakni pada tahun 395 Masihi. Hal ini sebagai susulan
kepada meningkatnya permusuhan orang Rom terhadap orang Goth dan ‘kekhuatiran
masyarakat Goth terhadap kegagahberanian mereka yang bakal luntur akibat tempoh
aman yang panjang.”
![]() |
| Ukiran besi yang menggambarkan Alaric I di usia muda |
Kemangkatan Theodosius
turut menandakan berakhirnya perjanjian damai yang dimeterai antara orang Rom
dan Goth. Apapun, menurut sejarahwan Orosius, Alaric berusaha untuk mengadakan
perdamaian dengan pihak Rom dan mendapatkan kawasan untuk dihuni oleh
masyarakatnya.
Raja Alaric juga
dipercayai berhasrat untuk mengajak masyarakatnya agar menjalinkan persekutuan
dengan Empayar Rom Barat dalam menentang Empayar Rom Timur. Namun, hajat-hajat
beliau ini tidak dapat dipenuhi.
RAJA ALARIC DAN
PANGLIMA STILICHO DARI ROM
Sebagai susulan, Alaric
pun memutuskan untuk menyerang Itali. Namun, serangannya berjaya ditangkis oleh
seorang panglima Rom yang cekap, iaitu Stilicho. Panglima ini dilantik oleh
maharaja terdahulu, Theodosius, sebagai pemangku Honorius, iaitu puteranya yang
masih di bawah umur.
Walau bagaimanapun, pada tahun 408 Masihi, Honorius
bertindak menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Stilicho dan keluarganya lantaran
tersebar khabar angin yang mendakwa kononnya panglima itu merancang mahu mengangkat
anaknya sebagai Maharaja Empayar Rom Barat dengan bantuan Alaric dan pasukan
tentera Visigoth.
![]() |
| Ukiran yang menggambarkan Panglima Stilicho bersama isterinya, Serena dan anaknya, Eucherius |
Kematian Stilicho
melemahkan pasukan tentera Empayar Rom Barat. Tambahan lagi, menurut sejarahwan
Zosimus, pasukan tentera Alaric diperkuatkan lagi oleh 30 000 orang tentera
Goth yang berpaling tadah dari Rom. Dipercayai bahawa pemalingan tadah secara
besar-besaran ini berlaku akibat arahan Oympius, seorang menteri Rom yang
memerintahkan agar kesemua isteri dan anak para tentera itu dibunuh. Menteri
yang sama ini juga dikatakan bertanggungjawab di atas pembunuhan Stilicho.
PENGEPUNGAN KOTA ROME
Raja Alaric menyerang
Itali buat kali kedua, menjarah sejumlah kota di sana dan mengepung kota Rome
sehingga penghujung tahun 408 Masihi. Menerusi pengepungan tersebut, beliau
mahu penduduk kota Rome menyerah diri setelah mengalami kebuluran dan wabak
penyakit. Dalam pada itu, maharaja Rome dan pegawai istananya berada di Ravenna
(ibu kota Empayar Rome sejak tahun 402 Masihi), justeru mereka tidak terkesan
secara langsung dengan pengepungan Alaric ini. Oleh hal yang demikian, mereka
langsung tidak menghulurkan bantuan kepada penduduk Rome.
Pada tahun 409 Masihi,
pengepungan dihentikan apabila penduduk Rome bersetuju untuk membayar pampasan
perang kepada Alaric dan tentera-tenteranya. Menurut Zosimus:
“Setelah
perbincangan panjang antara kedua belah pihak, akhirnya dipersetujui bahawa
kota itu dituntut supaya membayar lima ribu paun emas, tiga puluh ribu paun
perak, empat ribu kain sutera, tiga ribu bulu biri-biri, dan tiga ribu paun
lada.”
Selain itu, Raja Alaric
juga berkesempatan untuk mengangkat seorang maharaja boneka di Rome, iaitu
seorang senator yang bernama Priscus Attalus. Hal ini bagi memberikan tekanan
lanjut kepada Honorius.
![]() |
| Syiling dari tahun 409-410 M yang menggambarkan Priscus Attalus, ‘maharaja boneka’ Alaric |
Sumber-sumber purba
selain Zosimus tidak memberikan banyak maklumat tentang peristiwa-peristiwa
yang berlakuu pada tempoh antara pengepungan pertama dan pengepungan kedua kota
Rome. Misalnya dalam catatan Jordanes, peristiwa penjarahan Rome diletakkan
sejurus selepas kehancuran pasukan tentera Stilicho yang dihantar untuk
menyerang Alaric dan pasukannya di Pollentia.
Zosimus pula memberikan
laporan yang lebih terperinci tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa
tempoh ini. Misalnya dalam satu situasi, 6000 orang tentera yang ditempatkan di
Dalmatia dikerahkan oleh Honorius agar melindungi kota Rome.
Panglima mereka, iaitu
Valens, merasakan bahawa tindakan ‘mara melalui jalan yang tidak dikawal oleh
musuh’ itu sebagai suatu tindakan pengecut.
Justeru, beliau bertindak
berhadapan dengan Alaric sekaligus mengakibatkan kekuatan pasukannya berkurang
sekitar seratus orang. Rundingan antara Honorius dan Raja Alaric berlanjutan
selama beberapa tempoh, sebelum pada akhirnya berjaya mencapai kata putus.
SERANGAN KEDUA RAJA
ALARIC KE ATAS ROME
Pada tahun 410 Masihi,
Alaric menyerang kota Rome buat kali kedua. Namun malangnya, karya Zosimus
tidak sepenuhnya terselamat. Kisah penjarahan kota Rome oleh Raja Alaric yang
merpakan bahagian terakhir dalam karya beliau telah pun hilang.
Cuplikan yang diambil
daripada seorang penulis zaman Renaisans mengemukakan bahawa Alaric mengepung
kota Rome selama dua tahun, sebelum akhirnya menggunakan taktik ‘Kuda Trojan’
untuk menakluk kota berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau tidaklah menggunakan
kuda kayu gergasi. Sebaliknya, hadiah yang diberikan oleh pihak Visigoth kepada
golongan bangsawan Rome ialah ‘tiga ratus orang pemuda yang gagah berani’.
Setelah memberikan hadiah tersebut, pasukan tentera Visigoth berpura-pura
berundur.
Apapun, penumpuan lebih
banyak dicurahkan kepada kelakuan pihak Visigoth semasa menjarah kota Rome. Sebagai
contoh, Jordanes menulis bahawa, “Sebagaimana yang diperintahkan oleh Alaric,
mereka hanya menjarah sahaja kota Rome tanpa membakar kota itu, tidak seperti
yang lazim dilakukan oleh orang gasar. Mereka juga tidak membenarkan sebarang
kerosakan serius ditimpakan ke atas tempat-tempat suci.”
![]() |
| ‘Penjarahan Kota Rome’ pada 410. Oleh Evariste-Vital Luminais |
Hal ini juga senada
dengan tulisan Orosius, di mana Alaric digambarkan sebagai seorang raja
Kristian yang taat. Sebuah kisah menarik dalam karya Orosius adalah kisah
pertemuan tentera Visigoth dengan seorang andartu, yang merupakan penjaga
bekas-bekas keramat milik Peter Si Hawari. Tatkala berita ini diketahui oleh
Alaric, beliau langsung sahaja mengarahkan agar bekas-bekas tersebut
dipulangkan ke basilika St. Peter dan membenarkan si andartu dan
penganut-penganut Kristian lain untuk menyertai perarakan yang dilakukan jika
mereka berminat.
LOKASI RAHSIA
PENGEBUMIAN DAN HARTA KARUN ALARIC
Alaric mangkat pada
tahun 411 Masihi, iaitu beberapa bulan selepas menjarah kota Rome. Kisah
pengebumian Alaric yang dipetik di bawah ini diambil daripada catatan Jordanes:
“Rakyatnya meratapi
pemergian beliau dengan penuh kesedihan. Kemudian, mereka mengalihkan haluan
sungai Busentus (Busento) yang terletak berhampiran kota Consentia – kerana
sungai ini mengalir sepenuhnya dari kaki gunung yang terletak tidak jauh dari
kota itu – lalu mengarahkan sekumpulan banduan untuk menggali tempat
penyemadian Alaric.
Di dalam lubang inilah
mereka semadikan Alaric, bersama dengan sejumlah besar harta kekayaan, dan
kemudian mengembalikan aliran sungai ke haluan asalnya. Tiada siapa yang
mengetahui di manakah lokasi tersebut, lantaran mereka membunuh setiap seorang
penggali kubur Alaric.”
![]() |
| Ilustrasi pengebumian Alaric di dasar sungai Busento |
Lebih daripada itu,
sejarahwan turut berteka-teki tentang punca kemangkatan Raja Alaric.
Kebelakangan ini,Francesco Galassi dan rakan-rakan penyelidiknya mengkaji
kesemua sumber sejarah, perubatan dan epidemiologi yang dapat mereka temukan
berkenaan kemangkatan Alaric. Mereka meyakini bahawa punca kemangkatan beliau
ialah malaria.
Galassi dan rakan-rakan
penyelidiknya menjelaskan bahawa “individu-individu dengan semi-imuniti di
kawasan-kawasan endemik dan endemik-hiper boleh bebas daripada parasite secara
spontan.” Namun, penduduk dari kawasan bebas-malaria yang berkunjung ke Itali terdedah
kepada bahaya yang sangat besar.
Mereka melaporkan,
“Beberapa kes kematian mengejut dalam kalangan para pengembara yang datang dari
kawasan bebas-malaria pernah dilaporkan di Afrika” dan “malaria falciparum
boleh membawa maut dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari sejak
kemunculan simptom, dengan komplikasi-komplikasi ketaranya adalah seperti
kemerosotan serebrum, sembap paru-paru, kegagalan ginjal dan anemia.”
Harta kekayaan yang
dipercayai oleh ramai sejarahwan dikebumikan bersama Alaric telah menggamit
ramai pemburu harta karun untuk mencarinya. Sebahagian daripada pemburu
termasyhur ini termasuklah seorang penulis dan pengembara yang bernama
Alexandre Dumas, serta Adolph Hitler dan Heinrich Himmler.
Walau bagaimanapun,
tidak seorang pun dapat menemukan lokasi pengebumian Raja Alaric. Pun begitu,
baru-baru ini terdapat dakwaan bahawa sepasukan ahli arkeologi telah menemui
petunjuk berkenaan harta karun Raja Alaric di Cosenza.
SUMBER
- Cavendish, R. 2010. The Visigoths sack Rome.
- Claudian, The Gothic War. [Platnauer, M. (trans). 1922. Claudian’s The Gothic War].
- Gill, N.S. 2015. Alaric King of the Visigoths and the Sack of Rome in A.D. 410.
- Heather, P. 2011. Rome’s Greatest Enemies Gallery: Alaric.
- Jarus, O. 2014. Who Were the Ancient Goths?
- Jordanes, The Origin and Deeds of the Goths. [Mierow, C.C. (trans). 1908. Jordanes’ The Origin and Deeds of the Goths].
- Paulus Orosius, A History, Against the Pagan: Book 7. [Anon. (trans.) Paulus Orosius’ A History, Against the Pagans: Book 7].
- Zosimus, New History: Book 5. [Anon. (trans). 1814. Zosimus’ New History: Book 5].
- Zosimus, New History: Book 6. [Anon. (trans). 1814. Zosimus’ New History: Book 6].
- Get link
- X
- Other Apps





