- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (16 November 2019). King Leonidas of Sparta and the Epic Battle of
the 300 at Thermopylae. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/king-leonidas-sparta-and-legendary-battle-300-thermopylae-002848
https://www.ancient-origins.net/history/king-leonidas-sparta-and-legendary-battle-300-thermopylae-002848
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Filem fantasi-sejarah
tahun 2007 arahan Zack Snyder, 300, mungkin telah menjadikan Pertempuran
Thermopylae sebagai salah sebuah pertempuran dunia purba yang paling masyhur.
Namun, file mini lebih banyak mengandungi fantasi berbanding sejarah. Ramai
yang mengetahui bahawa pemimpin Yunani dalam pertempuran tersebut ialah
Leonidas dari Sparta. Namun, seberapa banyakkah fakta yang kita ketahui tentang
Raja Leonidas, dan apakah yang berlaku dengan ‘300 orang tentera’ dalam
Pertempuran Thermopylae?
SIAPAKAH RAJA LEONIDAS?
Menurut sejarahwan
purba Yunani, iaitu Herodotus, Leonidas merupakan putera kepada Raja
Alexandridas bersama isteri pertamanya, yang namanya tidak diketahui namun
dimaklumi sebagai anak saudara raja. Walau bagaimanapun, Leonidas bukanlah
putera sulung lantaran isteri kedua ayahandanya telah terlebih dahulu
melahirkan seorang putera yang bernama Cleomenes. Sebelum melahirkan Leonidas,
ibunya juga telah melahirkan abangnya, iaitu Dorieus.
Selepas melahirkan
Leonidas, ibundanya melahirkan pula Cleombrotus; namun Herodotus berpendapat
bahawa terdapat catatan yang menyatakan bahawa Leonidas dan Cleombrotus
merupakan saudara kembar.
Menurut Herodotus lagi,
pertabalan Leonidas sebagai raja Sparta pada tahun 489 Sebelum Masihi merupakan
“suatu peristiwa yang langsung tidak pernah dijangka”. Sebagai putera ketiga
Alexandridas, peluang Leonidas untuk memegang takhta sangat tipis dan beliau
sama sekali tidak pernah dirancang untuk dijadikan sebagai raja. Selepas
kemangkatan Alexandridas, takhta Sparta diserahkan kepada Cleomenes.
Namun, Cleomenes
mangkat tanpa meninggalkan pewaris lelaki. Dorieus pula terkorban dalam sebuah
ekspedisi ketenteraan di Sicily. Hal ini menjadikan Leonidas sebagai putera
Alexandridas paling tua yang masih hidup, sekaligus calon terbaik untuk
menggantikan abangnya. Malahan, Leonidas dicatatkan telah mengahwini puteri
Cleomenes, iaitu Gorgo.
![]() |
| Leonidas I dari Sparta |
LEONIDAS MENGHADAPI
SERANGAN-SERANGAN PARSI
Leonidas berhadapan
dengan tugas-tugas yang bukan mudah semasa pemerintahannya. Beberapa tahun yang
lalu, Parsi di bawah pemerintahan Raja Darius I telah menyerang Greece bagi
menghukum Athens dan Eretria yang memberikan sokongan terhadap kota-kota Iona
semasa mereka menentang kekuasaan Parsi. Serangan ini berakhir dengan
kemenangan muktamad berpihak kepada Athens dalam Pertempuran Marathon pada
tahun 490 Sebelum Masihi.
Namun tidak lama kemudian, Darius menghimpunkan
sebuah bala tentera gergasi dengan hasrat mahu kembali dengan kekuatan penuh.
Ancaman serangan daripada Parsi ini mendorong negara-negara Yunani untuk
menjalinkan persekutuan, walaupun hampir kebanyakan daripadanya masih berperang
antara satu sama lain.
Darius tidak berpeluang
untuk melancarkan gerakan ofensif yang pantas ke atas Greece lantaran perlu
menangani pemberontakan demi pemberontakan yang berlaku di beberapa kawasan
dalam empayarnya. Pada tahun 486 Sebelum Masihi, beliau terkorban dalam sebuah
pertempuran ketika sedang menundukkan salah sebuah pemberontakan. Takhta beliau
diambil-alih oleh puteranya yang bernama Xerxes. Dengan tekad mahu membalas
dendam di atas kekalahan ayahandanya, Xerxes pun menghimpunkan bala tentera
untuk menyerang Greece.
Menjelang tahun 480 SM,
Xerxes berjaya mengumpulkan seramai 150 000 orang tentera dan 600 buah kapal
perang. Beliau kini sudah bersiap-sedia mahu melakukan serangan. Pada
penghujung Ogos atau awal September 480 SM, Xerxes melancarkan ofensif ke atas
Greece dalam sebuah kempen yang kini disebut sebagai Pertempuran Thermopylae.
Pertempuran Thermopylae
merupakan pertempuran termasyhur dalam kempen Serangan Kedua Parsi Ke Atas
Greece, merangkap salah sebuah pertempuran termasyhur dalam sejarah purba
Eropah. Namun tidak seperti pertempuran-pertempuran lain, kemenangan tidak
berpihak kepada Yunani. Kemasyhuran kempen ini berakar daripada keberanian yang
diperagakan oleh pasukan tentera Yunani yang kecil jumlahnya, dipimpin oleh
Raja Leonidas.
Pertempuran tersebut
berlangsung di sebuah lembah sempit yang terletak di antara pergunungan Greece
dan lautan luas, yang dikenali sebagai Thermopylae. Pemilihan lokasi ini
merupakan strategi yang bijak dari pihak Yunani, lantaran ia berupaya
mengurangkan kelebihan tentera yang dimiliki oleh pihak Parsi.
Walaupun 300 orang
tentera Sparta merupakan tentera yang paling masyhur di pihak Yunani, mereka
bukanlah satu-satunya pasukan Yunani yang terlibat dalam pertempuran tersebut.
Sparta turut dibantu oleh negara-negara Yunani yang lain, seperti Thespia,
Thebes dan tentera-tentera dari Mycenae. Herodotus mengemukakan bahawa jumlah
sebenar tentera Peloponnesia yang terlibat dalam pertempuran ini sahaja adalah
seramai 3100 atau 4000 orang, dan jumlah keseluruhannya mencecah 5000 orang.
Namun, anggaran moden
mengemukakan bahawa kekuatan Yunani berjumlah 20 000 orang, termasuk helot
dan tentera kerahan. Jumlah tentera Parsi pula diandaikan dalam lingkungan 200
000 hingga 2.5 juta orang. Namun, jumlah pertama itu lebih diyakini.
RAMALAN DARIPADA SI
TUKANG RAMAL DELPHI
Herodotus mencatatkan
bahawa sebelum turun bertempur di Thermopylae, Leonidas terlebih dahulu
mendapatkan khidmat nasihat daripada Tukang Ramal dari Delphi (Oracle of
Delphi) yang terkenal. Beliau memberikan satu ramalan yang agak
menggusarkan:
“Buat kalian, para
penghuni Sparta, sama ada kota agung kalian dihancurkan oleh tentera Parsi,
atau Lacedaemon meratapi kematian seorang raja dari keturunan Heracles.
Kegagahan kerbau ataupun singa tidak akan mengekangnya dari menentang kekuatan;
kerana dia memiliki kegagahan Zeus. Aku katakan bahawa dia tidak akan dikekang
sehinggalah dia menghancurkan salah satu daripadanya.” – Herodotus. Terjemahan
ke dalam bahasa Inggeris oleh A.D. Godley. Cambridge. Harvard University Press.
1920.
Ramalan ini meyakinkan
Leonidas bahawa beliau akan terkorban dalam pertempuran menentang Parsi. Oleh
hal yang demikian, beliau hanya membenarkan tentera yang mempunyai anak lelaki
sahaja untuk menyertai pasukannya (pasukan dari Sparta), supaya sekiranya
mereka terkorban sekalipun, keturunan mereka tidak terputus sebaliknya
disambung oleh anak-anak tersebut. Semasa dalam perjalanan menuju ke medan
tempur, pasukan Sparta ini turut merekrut beberapa orang tentera dari
negara-negara Yunani yang lain.
![]() |
| ‘The Oracle of Delphi’ oleh John Collier |
PERTEMPURAN EPIK
THERMOPYLAE
Pertempuran Thermopylae
berlangsung selama tiga hari. Sepanjang dua hari pertama, pasukan Yunani
berjaya mempertahankan kedudukan dan menghalang pasukan Parsi dari melepasi
lembah sempit yang dikawal oleh mereka itu. Lembing mereka yang lebih panjang,
serta perisai mereka yang berat dan baju pelindung yang digunakan oleh mereka
memberikan kelebihan buat pasukan Yunani ke atas pasukan Parsi yang dilengkapi
dengan lembing jenis tombak yang lebih pendek, perisai rotan dan baju pelindung
yang hanya diperbuat dari sulaman linen.
Pasukan Yunani disusun
dalam formasi phalanx, formasi ketenteraan berbentuk segi empat tepat
yang sepenuhnya dibentuk oleh infantri berat yang bersenjatakan lembing.
Formasi ini berupaya mempertahankan lembah sempit itu dengan efisien. Pasukan
Sparta juga memanfaatkan satu strategi yang bijak, di mana mereka berpura-pura
berundur agar pasukan Parsi mengejar mereka.
Kemudian, mereka akan berpaling
secara tiba-tiba lalu melakukan serangan. Dalam kekacauan yang tercetus, mereka
berpeluang membunuh ramai musuh. Unit Immortal, yakni tentera elit dalam
pasukan Parsi tidak berupaya menembusi pertahanan Yunani.
![]() |
| Atas: Formasi phalanx Yunani. Bawah: Empat orang pahlawan Immortal Parsi |
PENGKHIANATAN
Pertempuran mula
berubah arah apabila seorang warga Malia (salah satu suku Yunani) yang bernama
Ephialtes bertindak membocorkan lokasi sebuah laluan yang membolehkan pasukan
Parsi melepasi pergunungan dan mengambil tempat di belakang pasukan Yunani.
Sebaik sahaja kegelapan malam menjelma, Xerxes menghantar pasukan terbaiknya
untuk mengambil laluan tersebut dan seterusnya menempati posisi di belakang
pasukan Yunani.
Apabila sampai kepada
Leonidas khabar bahawa kedudukan mereka sudah pun dikepung, beliau membuat satu
keputusan yang terus-menerus menjadi subjek perdebatan hangat sehingga kini –
iaitu berbanding meninggalkan kedudukannya dan berundur ke selatan sebelum
pasukan Parsi tiba, Leonidas membubarkan hampir seluruh pasukannya dan
mengarahkan agar 300 orang tentera Sparta, 700 orang tentera Thespia, dan 400
orang tentera Thebes untuk kekal berada di medan perang.
Tidak diketahui secara
jelas apakah faktor yang membuatkan beliau memilih untuk terus kekal berada di
kedudukannya bersama sepasukan kecil tentera. Herodotus menjelaskannya sebagai
sebuah tindakan berani dan pengorbanan yang dilaksanakan sesuai dengan ramalan
si Oracle of Delphi.
Sejarahwan lain pula menyatakan bahawa Leonidas
memilih untuk kekal bertahan bagi memberikan masa yang cukup untuk tentera-tentera
yang sudah beliau bubarkan (selain tentera Thebes dan Thespia) melarikan diri.
Walau apapun sebabnya, secara jelas, hanya satu sahaja susulan yang bakal
beliau hadapi – iaitu kematian.
KETUMBANGAN 300 ORANG
TENTERA SPARTA DAN RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN MEREKA
Pada hari ketiga dan
hari terakhir pertempuran, sepasukan tentera Parsi mengambil tempat di belakang
kedudukan Sparta sekaligus mengepung mereka dari dua arah. Raja Leonidas, serta
setiap seorang tentera yang berada bersamanya, habis dibunuh.
![]() |
| Lukisan berjudul ‘Leonidas di Thermopylae’ (1814) oleh Jacques-Louis David. Lukisan ini menggabungkan elemen legenda dan sejarah dari Pertempuran Thermopylae |
Semasa Xerxes menjumpai
jasad Leonidas sesudah berakhirnya pertempuran, direkodkan bahawa beliau
mengarahkan agar tenteranya memenggal kepala Leonidas dan menancapkannya pada
sebatang kayu. Tindakan sebegini bukanlah suatu kebiasaan bagi pihak Parsi,
yang lazim melayani musuh yang berani dengan penuh penghormatan. Hal ini
dijelaskan oleh Herodotus sebagai petanda betapa besarnya ancaman Leonidas
dalam pandangan Xerxes.
SUSULAN PERTEMPURAN
Tidak dapat dinafikan
bahawa Pertempuran Thermopylae merupakan suatu kekalahan buat Yunani, sekaligus
membolehkan Parsi melanjutkan kemaraan mereka ke Greece. Mereka kemudiannya
tiba di Athens dan menjarah kota tersebut. Walau bagaimanapun, kekalahan di
Thermopylae ini berupaya mengangkat nama Leonidas dan pasukan tentera di bawah
kepimpinannya.
Hal ini sekaligus menaikkan semangat tentera-tentera Yunani yang
lain, yang terus berusaha memberikan tentangan dan menewaskan Parsi dalam
Pertempuran Salamis dan Platea, yang secara efektif berjaya menamatkan kempen
Serangan Kedua Parsi Ke Atas Greece.
Selain itu, pertempuran
ini turut meninggalkan legasi yang berpanjangan, memperagakan keberanian
sejumlah kecil pahlawan yang berhadapan dengan jumlah tentera musuh yang besar,
kekal teguh bertahan sehingga ke titisan darah yang terakhir.
MENGENANG 300 ORANG
TENTERA SPARTA DAN PERTEMPURAN THERMOPYLAE
Tahun hadapan (tahun
ini; 2020) merupakan ulang tahun ke-2500 Pertempuran Thermopylae. Datuk bandar
Sparta, Petros Doukras mengumumkan bahawa sejumlah acara antarabangsa telah pun
dirancang bagi menyambut ulang tahun bersejarah itu. Terdapat juga sebuah
persatuan antarabangsa yang dianggotai oleh sejarahwan, ahli politik dan
kerabat diraja yang “menyusun acara-acara bagi mengenang sejarah Sparta,
Leonidas dan 300 orang tenteranya”.
Greek Reporter
melaporkan bahawa “Keraian memperingati Thermopylae ini bakal melibatkan sejumlah
acara yang memerikan pencapaian tamadun Sparta purba, seperti dalam bidang
politik, geopolitik, puisi, falsafah, gimnastik, tarian, seni bela diri,
makanan dan banyak lagi.”
![]() |
Tugu Raja Leonidas di Greece
|
SUMBER
- Herodotus, The Histories. [Waterfield, R. (trans.). 1998. Herodotus’ The Histories. Oxford: Oxford University Press].
- Academic Reed. 2014. Thermopylae.
- Frye, D. 2006. Greco-Persian Wars: Battle of Thermopylae.
- Lendering, J. 2008. Thermopylae.
- The British Museum. 2014. The Battle of Thermopylae: Spartans v. Persians.
- Get link
- X
- Other Apps





