- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (12 November 2019). Queen Isabella of Castile: Drama, Inquisition,
and Exploration. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/queen-isabella-i-castile-what-drastic-measures-did-she-take-keep-her-power-021366
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/queen-isabella-i-castile-what-drastic-measures-did-she-take-keep-her-power-021366
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Isabella I merupakan
Ratu Castile dan Leon yang hidup pada pertengahan kurun ke-15 hingga awal kurun
ke-16. Pemerintahannya dicirikan menerusi beberapa buah peristiwa, termasuklah
penyempurnaan Reconquista, perlaksanaan Inkuisisi Sepanyol dan penerokaan
Christopher Columbus pada tahun 1492.
PERGELUTAN TAKHTA
Isabella I dilahirkan
pada tahun 1451 Masihi. Bapanya ialah John of Castile manakala ibunya pula
bernama Isabella of Portugal. Ketika bapanya meninggal dunia pada tahun 1454,
saudara tiri Isabella yang bernama Hnery IV ditabalkan sebagai raja baru
Castile. Henry mencalonkan puterinya, Joannya, sebagai pewaris beliau. Namun,
beliau didesak oleh golongan bangsawan agar menggugurkan pencalonan ini dan
melantik Alfonso, adik Isabella, sebagai calon pewaris.
Walau bagaimanapun,
putera muda itu meninggal dunia pada tahun 1468 akibat diracun atau diserang
wabak. Isabella dinamakan oleh Alfonso sebagai pewarisnya, dan para bangsawan –
yang menentang Henry – menggesa agar mahkota diserahkan kepada Isabella.
Desakan yang diberikan oleh bangsawan ke atas Henry mendorong beliau untuk
menamakan saudara-tirinya itu sebagai pewaris takhta.
![]() |
| Isabella I of Castile, digambarkan dalam lukisan Virgen de la mosca di gereja Santa Maria la Mayor |
Pada tahun 1469,
Isabella berkahwin dengan Ferdinand yang kelak menjadi Raja Aragon. Perkahwinan
ini kelak membawa kepada penyatuan Sepanyol secara fizikal mahupun spiritual.
Perkahwinan ini menubuhkan dasar penyatuan politik Sepanyol di bawah
pemerintahan Charles V, salah seorang cucu Isabella dan Ferdinand. Namun,
lantaran perkahwinan ini berlangsung tanpa mendapat restu raja, pencalonan
Isabella sebagai pewaris takhta Castile digugurkan oleh Henry dan Joanna sekali
lagi dinamakan sebagai pengganti Henry.
![]() |
| Potret perkahwinan Ferdinand dan Isabella, c. 1469 |
Pada tahun 1474, Henry
meninggal dunia dan perang saudara di antara Isabella dan Joanna berlangsung.
Isabella memenangi pergelutan ini pada tahun 1479 dan diperakui sebagai Ratu
Castile yang baru.
MEMPERKUKUH KEDUDUKAN
SEBAGAI RATU – INKUISISI
Pemerintahan Henry
menjadi bukti betapa kekuasaan yang dimiliki oleh kelas bangsawan merupakan
ancaman yang besar buat pemerintah. Justeru, salah satu langkah pertama yang diambil
oleh Isabella dan Ferdinand bagi menjamin takhta adalah dengan memulakan
reformasi yang bertujuan meningkatkan kuasa monarki dan mengurangkan kuasa
golongan bangsawan.
Selain membendung
pengaruh kelas bangsawan, pasangan pemerintah ini juga melihat kepatuhan agama
sebagai satu lagi jalan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka. Pada waktu itu,
Sepanyol bukan hanya menaungi agama Kristian, tetapi turut mempunyai komuniti
Yahudi dan Muslim yang signifikan.
Isabella dan Ferdinand
memandang rakyat bukan-Kristian ini sebagai ancaman terhadap kerajaan Kristian,
justeru mereka berusaha untuk menyikapi kedaaan ini. Pada tahun 1480, Inkuisisi
Sepanyol dilaksanakan. Hal ini menumpukan matlamatnya pada golongan Yahudi dan
Muslim yang telah memeluk agama Kristian, namun masih mengamalkan kepercayaan
lama secara rahsia. Dengan menghapuskan individu-individu sebegini, Inkuisisi
Sepanyol berusaha untuk ‘mensucikan’ agama Kristian dari sebarang elemen
penderhakaan.
![]() |
| Isabella I of Castile, Ratu Castile dan Leon, bersama suaminya Ferdinand II of Aragon |
MENANGANI ANCAMAN LUAR
DAN PENEROKAAN DUNIA BARU
Selain musuh-musuh
dalam kerajaan, Isabella dan Ferdinand juga menangani ancaman daripada luas.
Reconquista, yang sudah pun berlangsung sejak kurun ke-8 Masihi, diselesaikan
pada era pemerintahan mereka. Menjelang kurun ke-15, satu-satunya negara Muslim
di Iberia adalah Emiriyah Granada yang terletak di bahagian selatan
semenanjung. Pada tahun 1492, Granada tumbang ke tangan tentera Isabella dan
Ferdinand.
Pada tahun itu juga,
Dekri Alhambra (juga dikenali sebagai Titah Pengusiran) dikeluarkan oleh
pasangan pemerintah itu. Dekri ini memberikan kesan yang signifikan terhadap
populasi Yahudi di kerajaan itu. Mereka diberikan pilihan, sama ada untuk
memeluk agama Kristian atau diusir.
Satu lagi peristiwa
penting yang berlaku pada tahun itu ialah penerokaan pertama Christopher
Columbus ke Dunia Baru. Peneroka dari Genoa itu berjaya memujuk Isabella dan
Ferdinand agar membiayai pengembaraannya itu. Hal ini kelak membawa kepada
pendominasian Sepanyol di Amerika Selatan.
![]() |
| Columbus Menghadap Ratu (1843) oleh Emanuel Leutze |
BERAKHIRNYA
PEMERINTAHAN RATU ISABELLA
Usaha-usaha yang
dilakukan oleh Isabella dan Ferdinand untuk membersihkan agama Kristian di
tanah kekuasaan mereka diperakui oleh Paus Alexander VI, dan mereka dikurniakan
gelaran ‘Monarki Katolik’. Ratu Isabella disifatkan sebagai seorang yang tidak
ragu-ragu untuk melancarkan perang atau memperjuangkan kepercayaannya, tanpa
mengira sama ada tindakannya itu akan dilihat sebagai baik ataupun buruk.
Isabella meninggal
dunia pada 26 November 1504. Jasadnya kelak disemadikan di Biara Diraja
Granada. Puterinya yang bernama Joanna ditabalkan sebagai ratu yang baru,
sementara Ferdinand pula berperanan sebagai pemangku pemerintah sehingga
meninggal dunia 12 tahun kemudian. Pembawaan keagamaan Joanna lebih keras
berbanding kedua orang tuanya, dan keadaan mentalnya bahkan pernah dipersoalkan
oleh ayahnya sendiri ketika Ferdinand memperjuangkan haknya untuk memerintah
secara tunggal dan memenjarakan puterinya itu demi memenuhi cita-cita tersebut.
![]() |
| Isabella dan Ferdinand bersama puteri mereka, Joanna, c. 1482 |
SUMBER
- AO. 2016. Isabella I of Castile: The Queen that Sponsored Columbus.
- Cavendish, R. 2004. Death of Isabella I of Castile.
- Knight, K. 2012. Isabella I.
- Lewis, J. J. 2017. Queen Isabella I of Spain.
- Medieval Queens. 2015. Isabella of Castile.
- U.S. Library of Congress. 2017. Ferdinand and Isabella.
Penterjemahan
artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut
disiarkan di portal berkenaan di bawah judul ‘Ratu Isabella: Individu Yang Bertanggungjawab Atas Kejatuhan Islam Di Sepanyol’
- Get link
- X
- Other Apps





