- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 Februari 2016). Samarkand: An Ancient Link Between East and
West. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/samarkand-ancient-link-between-east-and-west-005355
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/samarkand-ancient-link-between-east-and-west-005355
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Samarkand, atau juga
dieja sebagai Samarqand, merupakan sebuah kota yang terletak di Uzbekistan
moden, atau dahulunya disebut sebagai Transoxiana, Asia Tengah. Lokasi bandar
ini yang terletak di Lembah Sungai Zerafshan memberikannya sumber alam yang
banyak. Selain itu, Samarkand ini juga terletak di sepanjang Jalan Sutera yang
menghubungkan Dunia Mediterranean dan Dunia Timur.
Faktor yang kedua ini banyak
menyumbang kepada perkembangan Samarkand dan ia menjadi salah sebuah kota
teragung di Asia Tengah. Namun, sejarah Samarkand itu sendiri lebih mendahului
laluan perdagangan masyhur itu dan ia merupakan salah sebuah kota paling tua
dihuni secara berterusan di Asia Tengah.
SAMARKAND PURBA
Bukti arkeologi
mendapati kawasan Samarkand sudah pun dihuni oleh manusia sejak kurun ke-14
Sebelum Masihi. Pada kurun ke-6 Sebelum Masihi, kota itu menjadi sebahagian
daripada Empayar Achaemenid, iaitu apabila ia ditakluk oleh Cyrus Agung. Pada
era pemerintahan Darius Agung, Samarkand dijadikan sebagai ibu kota wilayah
satrapi Sogdiana.
Nama Samarkand
berasal-usul daripada bahasa Sogdian, yang membawa maksud ‘Kubu Batu’. Malahan,
ekskavasi arkeologi yang dijalankan di sana berjaya menemukan runtuhan kuil
Sogdian purba. Selain itu, tidak banyak maklumat yang diketahui perihal Samarkand
di zaman purba ini. Apapun, ilmuwan mengandaikan bahawa ia kerap dikunjungi
oleh para pengembara dari Babylon, Assyria dan Parsi yang menuju ke China.
![]() |
| Para pedagang Sogdian menderma kepada Buddha. Fresco kurun ke-9 dari Gua Seribu Buddha Bezeklik, berhampiran Turfan, Xinjiang, China |
PENAKLUKAN SAMARKAND
OLEH ALEXANDER AGUNG
Pada kurun ke-4 Sebelum
Masihi, Samarkand ditakluk oleh Alexander Agung dalam kempennya menentang
Empayar Achaemenid. Dalam sumber-sumber Yunani, Samarkand dipanggil sebagai Maracanda.
Kota ini dijadikan sebagai pangkalan Alexander bagi melancarkan
ekspedisi-ekspedisi ketenteraan yang selanjutnya di rantau itu.
Samarkand juga
dijadikan sebagai tempat berlangsungnya salah satu episod kehidupan yang paling
masyhur bagi Alexander. Menurut sumber-sumber purba berkenaan Alexander, di
kota inilah raja Macedonia itu membunuh Cleitus, seorang pegawai tentera
Macedonia yang pernah menyelamatkan beliau dalam Pertempuran Granicus, semasa
berlakunya pertelagahan antara mereka berdua dalam keadaan mabuk.
![]() |
| Pembunuhan Cleitus, Andre Castaigne 1898-1899 |
Selepas kematian
Alexander, Samarkand menjadi sebahagian dari wilayah satrapi Baktria bagi
Empayar Seleucid. Sekitar separuh kedua kurun ke-3 Sebelum Masihi, Empayar
Seleucid disibukkan oleh peperangan menentang Empayar Ptolemy di Barat.
Satrapi Baktria
mengambil peluang ini untuk mengisytiharkan kemerdekaan dan membentuk Kerajaan
Yunani-Baktria. Justeru, Samarkand diserap ke dalam entiti baru ini. Kejatuhan
Kerajaan Yunani-Baktria di tangan Empayar Kushan memperlihatkan pemilikan
Samarkand sekali lagi bertukar tangan
SELEPAS ZAMAN KUSHAN
Samarkand menempuh era
kemunduran ketika berada di bawah kekuasaan Empayar Kushan, dan hanya mengalami
kebangkitan semula beberapa kurun kemudian. Pada kurun ke-7 Masihi, Jalan
Sutera kembali dibuka oleh Dinasti Tang. Hal ini membawakan kekayaan yang
melimpah-ruah buat kota Samarkand, yang meraih banyak keuntungan daripada
aktiviti perdagangan. Kediaman-kediaman bangsawan yang bertarikh antara kurun
ke-6 dan kurun ke-8 Masihi ditemui di sana, sekaligus membuktikan kekayaan yang
dikecapi oleh Samarkand pada zaman itu.
![]() |
| Lukisan berjudul ‘Triumph’ oleh Vasily Vereshchagin, menggambarkan Madrasah Sher-Dor di Registan |
PENAKLUK-PENAKLUK
SAMARKAND YANG LAIN
Samarkand kemudian
ditakluk oleh suku Turk, dan seterusnya oleh bangsa Arab sekitar permulaan
kurun ke-8 Masihi. Berikutan penaklukan oleh bangsa Arab ini, agama Islam
menjadi agama dominan dalam kalangan penduduk kota itu.
Pada tahun 1220 Masihi,
Samarkand menerima pukulan yang dahsyat apabila ia ditakluk oleh Monggol di
bawah kepimpinan Genghis Khan. Catatan sejarah mendakwa bahawa hanya suku
sahaja daripada populasi lamanya, atau bahkan kurang daripada itu, disisakan
oleh Monggol. Malah, ramai artisan mahir dipindahkan dari kota itu untuk dibawa
ke Monggolia.
![]() |
| Pembinaan Masjid Jamek di Samarkand. Ilustrasi oleh Bihzad untuk Zafar-Nameh. Teks ini disalin di Herat pada 1467-68 |
Kegemilangan Samarkand
hanya dikecapi kembali pada tahun 1371, apabila seorang lagi penakluk agung,
iaitu Timurlane, menjadikan Samarkand sebagai ibu kotanya. Justeru, kota itu
segera diperkuatkan dengan tembok baharu. Sebuah citadel turut dibina. Tambahan
lagi, sejumlah artisan mahir dipindahkan oleh Timurlane dari wilayah-wilayah taklukannya
yang lain ke Samarkand, di mana mereka ini kemudiannya mendirikan
bangunan-bangunan baru di kota itu.
Antara bangunan yang
paling masyhur dibina di Samarkand pada era Timurid ialah Masjid Bibi-Khanum,
Masjid Registan, Gur-i Amir (Makam Pemerintah, iaitu Permakaman Timurlane), dan
Balai Cerap Ulugh-Be.
![]() |
| Madrasah Ulugh Beg |
Ramai sejarahwan yang
mendakwa bahawa pada era pemerintahan Timur inilah Samarkand mengecapi zaman
kemuncaknya. Selepas ketumbangan Timurid pada permulaan kurun ke-16 Masihi,
Samarkand ditakluk oleh suku gasar Uzbek. Dinasti baru, iaitu Dinasti Shaybani,
memindahkan ibu kota dari Samarkand ke Bukhara. Apapun, kota ini terus
diperindah oleh penguasa barunya. Misalnya pada tahun 1660 Masihi, tiga buah
madrasah dibina di dataran Registan sekaligus membentuk rupa terakhir
Samarkand. Walau bagaimanapun, hari-hari gemilang kota berkenaan sudah pun
terhenti.
SUMBER
- Forbes, A. 2012. Timur’s Legacy.
- Grenet, F. 2002. Samarqand i. History and Archeology.
- Lendering, J. 2015. Maracanda.
- UNESCO. 2016. Samarkand – Crossroad of Cultures.
- UzLand Inc. 1998. Samarkand – The Gem of the East.
- Waugh, D.C. 2001. Samarkand.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kota Samarkand: Pintu Ke Timur dan Barat’
- Get link
- X
- Other Apps





