- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (8 Mei 2020). How the Jurchen Tribes Conquered China. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/jurchen-tribes-0013681
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/jurchen-tribes-0013681
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Suku Jurchen (juga
dikenali sebagai Nuzhen) merupakan sebuah konfederasi suku bukan-China yang
menetap di bahagian timur laut China (juga dikenali sebagai Manchuria), yakni
di wilayah Liaoning, Jiling dan Heilongjiang moden. Suku ini merupakan
sebahagian daripada keluarga penutur bahasa Manchu-Tungu.
Suku Jurchen memberikan
pengaruh yang cukup besar dalam sejarah China, memandangkan mereka
bertanggungjawab menubuhkan Dinasti Jin yang dianggap sebagai dinasti ‘bangsa
gasar’ kedua teragung di utara China. Walaupun wilayah kekuasaan Dinasti Jin
tidak merangkumi bahagian selatan China, keturunan langsung mereka, iaitu suku
Manchu kemudiannya berjaya menakluki seluruh empayar.
BAHASA JURCHEN
Jika dilihat daripada
sudut etnolinguistik, suku Jurchen tergolong dalam keluarga penutur bahasa
Manchu-Tungu (juga dikenali sebagai Tungusik), iaitu sub-keluarga terkecil dari
tiga buah sub rumpun keluarga bahasa Altaik. Bahasa-bahasa Manchu-Tungu
mempunyai kaitan jauh dengan bahasa Turki dan Monggol yang membentuk dua
sub-keluarga rumpun bahasa Altaik.
Pada hari ini, terdapat
kira-kira 10 hingga 17 buah bahasa Manchu-Tungu dipertuturkan oleh kurang 70
000 orang di dunia. Penutur bahasa ini tidak hanya terhad di timur laut China,
yakni di kampung halaman suku Jurchen, akan tetapi ia turut tersebar luas di
seluruh Monggolia dan sempadan utara Russia.
Bahasa tertua dalam keluarga
bahasa Manchu-Tungu yang diperakui ialah bahasa Jurchen. Namun malangnya, tidak
banyak maklumat yang diketahui tentang bahasa ini, memandangkan ia telah pun
pupus. Tambahan, tidak banyak tinggalan berbentuk tulisan bahasa Jurchen yang
dapat ditemui. Menerusi sejumlah kecil tinggalan yang ditemui dalam bentuk
stele di timur laut China dan Korea, ilmuwan memperkirakan bahawa sistem
penulisan Jurchen dipinjam daripada sistem penulisan Khitan.
Suku Khitan merupakan
suku yang memerintah wilayah utara China sebagai Dinasti Liao, yang kemudiannya
digulingkan oleh suku Jurchen. Memandangkan Jurchen menggantikan kekuasaan
Khitan di wilayah utara China, maka tidak hairanlah sekiranya mereka turut
mengamalkan sistem penulisan mereka.
![]() |
| Peta dinasti Liao yang digulingkan oleh suku Jurchen |
Suku Khitan mengubah
sistem penulisan mereka untuk lebih memiripi tulisan China, dan hal ini boleh
ditemukan pada tulisan Jurchen. Terdapat kemungkinan bahawa Jurchen sama sekali
tidak mempunyai sistem penulisan sebelum menjatuhkan Khitan, lantaran selain
Jurchen dan Manchu, bahasa-bahasa Manchu-Tungu yang lain tidak mempunyai
sebarang tinggalan tulisan.
SEJARAH JURCHEN
Berbanding sejarah
bahasa Jurchen dan perkembangannya, maklumat perihal sejarah suku Jurchen
adalah lebih jelas. Sebutan pertama tentang suku Jurchen hadir pada kurun
ke-10, iaitu apabila Balhae, sebuah kerajaan yang berpangkalan di wilayah
Heilongjiang moden, dikuasai oleh Abaoji (dikenali sebagai Maharaja Taizu),
seorang pemimpin Khitan dan pengasas Dinasti Liao. Heishui Mohe menyerah-diri
kepada Abaoji dan menukarkan nama menjadi Nuzhen.
Menurut historiografi
China, Heishui Mohe merupakan keturunan Sushen dan Yilou. Sejarah keduanya ini
boleh dijejak kembali pada zaman Dinasti Han. Menurut sumber tradisi, suku
Jurchen mengubah nama mereka kepada Nuzhi apabila Yelu Zhongzhen ditabalkan
sebagai Maharaja Xingzong pada tahun 1031.
Abaoji menyedari bahawa
walaupun Jurchen sudah tunduk kepada pemerintahannya, wujud kemungkinan bahawa
suatu hari nanti mereka bangkit menentang Dinasti Liao. Justeru demi mengawal
mereka, beliau bertindak memindahkan ribuan orang Jurchen ke wilayah selatan.
Orang-orang Jurchen yang telah berintegrasi dengan masyarakat China dan Khitan
ini dikenali sebagai ‘Jurchen matang’.
Suku Jurchen yang kekal
berada di utara pula dikenali sebagai ‘Jurchen mentah’. Maharaja-maharaja Liao
membenarkan ketua-ketua suku Jurchen untuk mentadbir masyarakat mereka sendiri
bagi pihak kerajaan. Mereka bahkan dikurniakan gelaran Putera Agung, ataupun
Putera.
KLAN WANYAN MEMPERKUAT
SUKU-SUKU JURCHEN
Menjelang penghujung
kurun ke-10, klan Wanyan muncul sebagai sebuah klan yang menonjol dalam
kalangan suku Jurchen. Pada kurun berikutnya, klan Wanyan memperkuat kedudukan
mereka, serta menambah baik asas-asas ekonomi dan kesatuan sosial suku-suku
Jurchen. Menjelang kurun ke-12, suku Jurchen sudah cukup bersedia untuk
menggulingkan pemerintah Khitan dan menubuhkan dinasti mereka yang tersendiri.
Pada tahun 1113, ketua
klan Wanyan yang bernama Wanyan Aguda berjaya menyatukan seluruh klan Jurchen.
Pada tahun berikutnya, beliau mengisytiharkan perang terhadap Dinasti Liao.
Pada tahun 1115, Jurchen menjalinkan persekutuan dengan Dinasti Song, yang juga
merupakan musuh Dinasti Liao.
Pada tahun yang sama,
Wanyan Aguda menabalkan dirinya sebagai maharaja sekaligus menubuhkan Dinasti
Jin. Perang menentang Khitan ini berakhir pada tahun 1125, apabila maharaja
terakhir Liao, iaitu Maharaja Tianzuo ditangkap.
Sejurus selepas
kejatuhan Dinasti Liao, suku Jurchen membelakangkan persekutuan dengan Song.
Mereka melanjutkan kempen ketenteraan ke selatan dan menyerang wilayah-wilayah
kekuasaan dinasti tersebut. Pada bulan Disember 1126, pasukan tentera Jurchen
sudah pun tiba di pintu gerbang Kaifeng, ibu kota Dinasti Song.
Pada Januari tahun
berikutnya, kota tersebut tumbang dan tentera Jurchen menangkap Maharaja
Qinzong dan ayahandanya, mantan Maharaja Huizong. Kedua orang kerabat diraja
itu dibawa ke tanah air Jurchen sebagai tawanan perang. Pun begitu, peristiwa
memalukan yang dikenali sebagai Insiden Jingkang ini bukanlah pengakhiran buat
Dinasti Song.
![]() |
| Maharaja Huizong dari dinasti Song yang ditangkap oleh suku Jurchen |
Ahli istana Song
berjaya melarikan diri ke selatan, dan Zhao Gu, adik tiri kepada Maharaja
Qinzong lantas ditabalkan sebagai Maharaja Gaozong, yakni maharaja pertama
Dinasti Song Selatan. Jurchen dan Song terus melanjutkan permusuhan selama
sedekad setengah.
Lalu pada akhirnya,
sebuah perjanjian damai dimeterai antara kedua belah pihak pada tahun 1142.
Sempadan antara Dinasti Jin dan Dinasti Song Selatan (secara kasarnya sepanjang
Sungai Huai) dipersetujui dan Song dituntut agar membayar ufti kepada Jurchen.
BUDAYA JURCHEN
Setelah menakluki
wilayah utara China, suku Jurchen mula menerap dan mengamalkan adat serta
budaya China (suatu proses yang dikenali sebagai pencinaan). Misalnya, sebuah bureukrasi
gaya China diterapkan dalam pentadbiran ke atas rakyat Jurchen yang berwarga
China yang hidup di wilayah selatan empayar mereka. Namun pada masa yang sama,
terbit kekhuatiran bahawa pengamalan gaya hidup China sebegini akan menghakis
identiti etnik dan menghapuskan nilai-nilai tradisi mereka.
Justeru, bahasa dan
sistem penulisan Jurchen terus digunakan, sementara pakaian dan adat-istiadat
China diharamkan dari diamalkan oleh golongan tentera. Walaupun kekuatan
pasukan tentera Jurchen luntur secara bertahap, mereka masih dianggap sebagai
kuasa serantau yang berpengaruh. Hal ini terbukti apabila Dinasti Song
mengisytiharkan perang terhadap Jurchen pada 1206, dengan matlamat mahu merebut
semula wilayah-wilayah mereka yang telah ditakluki.
Jurchen berjaya
mematahkan serangan tentera Song ini dan melancarkan serangan balas. Namun,
mereka juga tidak berupaya merebut wilayah daripada Song. Lantas, sebuah
perjanjian damai dimeterai pada tahun 1208, di mana Song dituntut agar membayar
ufti tahunan yang lebih besar berbanding sebelumnya.
ANCAMAN-ANCAMAN LAIN
TERHADAP JURCHEN
Walau bagaimanapun,
Dinasti Song Selatan bukanlah satu-satunya musuh yang mengancam kepentingan
Dinasti Jin. Di utara, Monggol sedang mengalami kebangkitan. Pada tahun 1206,
Genghis Khan berjaya menyatukan suku-suku nomad Monggol-Turki, sekaligus
menubuhkan Empayar Monggol. Pada tahun 1211, beliau mengisytiharkan perang ke
atas Dinasti Jin.
Jurchen kehilangan
banyak wilayah ke tangan Monggol, termasuklah ibu kota mereka sendiri, iaitu
Zhongdu (kini Daerah Xicheng di Beijing). Justeru pada tahun 1215, Jurchen
memindahkan ibu kota ke Kaifeng.
![]() |
| Bangsa Monggol merupakan ancaman buat Jurchen |
Pada masa yang sama,
dalam suatu usaha untuk menggantikan wilayah-wilayah yang telah ditakluki,
Jurchen melancarkan kempen ke atas Dinasti Song. Kempen ini tidak hanya gagal
mencapai matlamatnya, malah mereka turut menambahkan lagi permusuhan sedia ada
dengan Song.
Pada tahun 1233,
Kaifeng tumbang ke tangan Monggol setelah dikepung selama beberapa tempoh.
Pemerintah Jin, iaitu Maharaja Aizong bertindak melarikan diri ke Caizhou.
Dalam situasi yang getir ini, Jurchen meminta bantuan daripada Song dan
memperingatkan kepada mereka bahawa sebaik sahaja Monggol selesai menakluki
Jurchen, mereka akan menyasarkan Song pula. Berikutan hubungan renggang antara
kedua belah pihak, Song pun menolak untuk membantu Jurchen dan sebaliknya,
membentuk pakatan pula dengan Monggol.
Pada tahun 1234,
Monggol dan Song melancarkan serangan secara bersama ke atas Caizhou. Jurchen
tewas, sekaligus pemerintahan Dinasti Jin pun berakhir. Seperti yang sudah
dijangka, Song menjadi sasaran Monggol yang seterusnya. Persekutuan antara
Monggol dan Song terbubar sejurus selepas kehancuran Dinasti Jin. Dinasti Song
juga kemudiannya ditakluk oleh Monggol pada tahun 1279.
Walau bagaimanapun,
kejatuhan Dinasti Jin ini tidaklah bererti tamatnya sejarah suku Jurchen.
Mereka terus wujud di China. Para penghikayat China dari Dinasti Ming (yang
menggantikan Dinasti Yuan) misalnya, merekodkan bahawa terdapat tiga buah
kumpulan utama Jurchen – iaitu Jurchen Liar, Jurchen Haixi dan Jurchen
Jianzhou.
Jurchen Liar hidup di wilayah
paling utara Manchuria. Jurchen Haixi pula di wilayah Heilongjiang moden dan
Jurchen Jianzhou menetap di wilayah Jilin moden. Walaupun Jurchen Liar bersifat
nomad, dua kumpulan yang lain dicatatkan mengamalkan gaya hidup yang bersifat
agak menetap dan terlibat dalam aktiviti perburuan, perikanan dan pertanian
terhad.
![]() |
| Seorang lelaki Jurchen memburu dengan menaiki kuda, lukisan kurun ke-15 |
Maharaja-maharaja Ming
menunjukkan minat yang ketara untuk berinteraksi dengan suku Jurchen. Walaupun
Dinasti Yuan sudah berjaya ditumbangkan, orang-orang Monggol yang terselamat
mengundurkan diri ke Monggolia. Di sana, mereka menubuhkan Dinasti Yuan Utara.
Demi menangani ancaman ini, misi-misi diplomatik dihantar bagi menemui suku
Jurchen yang kebanyakannya bersetuju untuk menjadi sekutu Ming dan memerangi
Monggol.
Tambahan, pasar-pasar
kuda turut ditubuhkan bagi memudahkan perniagaan antara Ming dan Jurchen.
Alatan pertanian besi, penternakan, bijih benih, beras, garam dan barangan
tekstil dari China ditukar dengan kuda, bulu, ginseng dan produk-produk Jurchen
yang lain. Interaksi dengan Ming ini mendorong kepada proses pencinaan dalam
kalangan suku Jurchen. Direkodkan bahawa kononnya menerusi proses tersebut,
suku Jurchen berupaya membentuk struktur yang cukup tersusun bagi membolehkan
mereka menakluk China kemudiannya.
PENGARUH JURCHEN KE
ATAS DINASTI CHINA
Dinasti diraja terakhir
China, iaitu Dinasti Qing ditubuhkan oleh suku Manchu yang dikenali sebagai
keturunan suku Jurchen. Hubungan antara Manchu dan Jurchen ini terbukti pada
nama awal yang dipilih oleh Jurchen bagi mewakili dinasti mereka. Nama negara
tersebut dalam bahasa Manchuria ialah ‘Aisin Gurun’, yang membawa maksud
‘Negara Emas’.
Hal yang sama turut
berlaku pada perkataan ‘Jin’ dalam bahasa China, dan dinasti itu turut dikenali
sebagai Dinasti Jin Lewat. Hal ini merupakan indikasi yang jelas bahawa suku
Manchu menganggap diri mereka sebagai pengganti Dinasti Jin. Pengasas Dinasti
Jin Lewat ini ialah Nurhaci, seorang pembesar dari Jurchen Jianzhou.
Pada tahun 1583,
Nurhaci memulakan usahanya untuk menyatukan suku-suku Jurchen. Pada mulanya,
pihak pemerintah Ming tidak mengendahkan usaha-usaha Nurhaci itu. Malahan,
mereka sendiri memberikan jawatan dan gelaran kepadanya.
![]() |
| Nurhaci menyatukan Jurchen |
Pada tahun 1582, beliau
dilantik sebagai komander sempadan. Manakala pada tahun 1589 pula, beliau
dilantik sebagai wakil pemerintah di Heilongjiang. Pada tahun 1595, Nurhaci
dianugerahkan gelaran ‘Panglima Harimau-Naga’ oleh istana Ming. Bagi pihak
sukunya, Nurhaci membayar ufti kepada Ming dan beberapa kali menghantarnya
sendiri ke Beijing sebagai ketua perutusan.
Pada tahun 1608,
Nurhaci menghentikan pembayaran ufti kepada Ming lantaran beliau menganggap
Jurchen sudah cukup kuat untuk menentang pihak pemerintah. Lapan tahun kemudian,
Nurhaci akhirnya berjaya menyatukan suku-suku Jurchen, lalu menggelarkan
dirinya sebagai ‘khan’ dan menubuhkan Dinasti Jin Lewat. Pada tahun 1618,
Nurhaci mengeluarkan ‘Tujuh Duka Besar’ yakni sebuah dokumen yang meluahkan
enam kesedihannya terhadap Ming.
Dokumen ini pada
hatinya merupakan alasan buat Nurhaci untuk memberontak dan mengisytiharkan
perangnya terhadap Ming. Pada tahun-tahun berikutnya, Nurhaci meluaskan
kekuasaannya ke wilayah-wilayah Ming. Namun pada tahun 1626, beliau mengalami
kekalahan besar pertama dalam hayatnya, di mana beliau ditewaskan oleh panglima
Ming yang bernama Yuang Chonghuan di Ningyuan.
![]() |
| Nurhaci menyaksikan tenteranya menggempur tembok Ningyuan |
Nurhaci mengalami
kecederaan akibat dibedil meriam Portugis dan meninggal dunia dua hari
kemudian. Perang menentang Ming ini dilanjutkan oleh penggantinya, Hong Taiji.
Pada tahun 1635, Hong Taiji menukar nama sukunya daripada Jurchen kepada
Manchu.
Tahun berikutnya,
beliau menubuhkan Dinasti Qing. Beijing tumbang ke tangan Qing pada tahun 1644,
yakni beberapa bulan selepas kematian Hong Taiji. Dinasti Qing ini menguasai
China sehingga tahun 1911.
Walaupun pada hari ini
Jurchen tidak lagi wujud sebagai sebuah kumpulan etnik, keturunan mereka masih
lagi ada. Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, suku Manchu merupakan
keturunan langsung Jurchen Jianzhou.
Keturunan-keturunan
Jurchen yang lain merangkumi Hezhe, Ewenke, dan Elunchun. Walaupun suku Jurchen
tidaklah begitu dikenali pada hari ini, hakikatnya mereka meninggalkan kesan yang
cukup besar terhadap sejarah China lantaran dua buah dinastinya, iaitu Dinasti
Jin dan Dinasti Qing diasaskan oleh mereka.
SUMBER
- China Culture. Date Unknown. Jin Dinasty.
- China Culture. Date Unknown. Nurhaci.
- Grant, R. 2017. Jingkang Incident.
- Hazai, G. and Whaley, L. 2019. Manchu-Tungus languages.
- New World Encyclopedia. 2018. Mongol Empire.
- New World Encyclopedia. 2015. Nurhaci.
- New World Encyclopedia. 2018. Nuzhen.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2013. Jin dynasty.
- Theobald, U. 2012. Bohai.
- Theobald, U. 2000. The Jurchen Jin Dynasty (1115-1234).
- Theobald, U. 2010. The Jurchens.
- Theobald, U. 2016. The Manchus.
- Global Security. 2019. Jurchen / Jin Dynasty (1115-1234).
- Travel China Guide. 2019. Jin Dynasty.
- Get link
- X
- Other Apps






