SRIVIJAYA – PUSAT PERDAGANGAN MARITIM YANG DILUPAKAN

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 November 2019). Whatever Happened to Srivijaya, Forgotten Maritime Trade Center? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/srivijaya-0012910

Penterjemah: Amir Zayyanid


Srivijaya (sering disebut sebagai Empayar Srivijaya) merupakan sebuah kuasa talasokrasi (negara yang berteraskan kuasa laut) yang mencapai kegemilangan pada kurun ke-7 hingga kurun ke-13 Masihi. Empayar ini bertapak di Kepulauan Sumatera (kini Indonesia) dan merupakan kuasa dominan di sana, melebarkan pengaruhnya ke Kepulauan Jawa dan Semenanjung Melayu. Walaupun para pemerintah Srivijaya lazim melakukan penaklukan bagi meluaskan pengaruh empayar mereka, ia bukanlah kaedah yang utama.

Sebaliknya, mereka lebih cenderung meluaskan pengaruh melalui jalan perdagangan. Malahan, Srivijaya lebih dikenang menerusi hubungan perdagangannya berbanding kempen ketenteraannya, teruama jika dibandingkan dengan Majapahit di Jawa yang lebih agresif.

Malangnya, Srivijaya dilupakan hampir secara sepenuhnya pada hari ini, terutama di luar rantau Asia Tenggara. Bahkan di Indonesia dan Malaysia sendiri, kewujudan empayar tersebut hampir dilupakan buat tempoh yang cukup lama sesudah ketumbangannya.

Nama ‘Srivijaya’ merupakan kombinasi dua buah perkataan Sanskrit, iaitu ‘sri’ yang bermaksud ‘bersinar’ atau ‘cerah’, dan ‘vijaya’ yang bermaksud ‘menang’ atau ‘unggul’. Empayar ini turut dikenali dengan pelbagai nama lain, menurut sumber yang menyebutkannya.

Misalnya, China memanggil empayar tersebut sebagai Sanfotsi, atau San Fo Qi. Orang Arab pula menyebutnya sebagai Zabaq. Ia turut dikenali sebagai Melayu oleh suku Khmer, dan Yavadesh atau Javadeh bagi bahasa Sanskrit dan Pali.


I CHING MENGEMBARA KE SRIVIJAYA

Sebutan terawal berkenaan Srivijaya boleh ditemukan dalam tulisan-tulisan I Ching (juga dieja sebagai Yi Jing), seorang sami Buddha dari China yang hidup pada zaman Dinasti Tang. Pada tahun 671 Masihi, beliau berlayar (menaiki sebuah kapal Parsi) dari pelabuhan Guangfu (kini Guangzhou) dan memulakan perjalanannya menuju ke India. Destinasinya tidak lain dan tidak bukan ialah universiti Buddha yang masyhur di sana, iaitu di Nalanda, Bihar (wilayah timur di India moden). Tujuannya ke sana adalah untuk melanjutkan pengajiannya dalam Buddhisme.

Gambaran I Ching (juga dikenali sebagai I-Tsing atau Yi Jing), sami kurun ke-7 yang menziarahi Srivijaya


Sudah tentu, I Ching bukanlah pelajar China pertama yang mengembara ke India lantaran telah wujud sami-sami lain yang mendahuluinya. Dicatatkan bahawa I Ching secara khusus sangat mengagumi dua orang sami Buddha dari China, iaitu Fa Xian yang mengembara ke India pada kurun ke-4/5 Masihi, dan Xuan Zhang, seorang sami yang hidup hampir sezaman dengan I Ching.

Namun berbeza dengan kedua sami tersebut, I Ching mengembara ke India dengan melalui jalan laut. Jalan darat yang bakal membawanya merentasi Asia Tengah dan Himalaya bukanlah satu pilihan yang baik pada waktu itu kerana berlakunya kekacauan politik di Tibet dan Afghanistan.

Walaupun rekod-rekod pengembaraan I Ching tidak banyak menarik perhatian sejarahwan jika dibandingkan dengan rekod Fa Xian dan Xuan Zhang, ia bermanfaat sebagai sumber maklumat utama berkenaan Srivijaya. Bukti arkeologi perihal Srivijaya boleh dikatakan amat sedikit, hinggakan sebahagian sejarahwan meragui kewujudannya. Tambahan lagi, masyarakat Srivijaya kelihatannya seperti tidak banyak menulis tentang sejarah mereka sendiri (atau mereka sudah pun menulis, cuma rekod-rekod tersebut musnah atau hilang).

Apapun, setelah berlayar selama 22 hari, I Ching pun tiba di sebuah tempat yang diterima secara umum oleh sejarahwan sebagai Palembang, yang terletak di Pulau Sumatera dan merupakan jantung empayar Srivijaya. Sami tersebut menetap di sana selama enam bulan, dan memanfaatkan tempoh tersebut untuk mempelajari tatabahasa Sanskrit dan bahasa Melayu. Melalui kenyataan ini, kita boleh mengandaikan bahawa Srivijaya merupakan sebuah pusat pendidikan Buddhisme yang utama di rantau berkenaan.

I Ching sendiri melaporkan bahawa Srivijaya mempunyai lebih seribu orang cendekiawan Buddha. Selepas menetap di Palembang, I Ching melanjutkan pengembaraannya dan meluangkan masa selama setahun untuk mempelajari Sanskrit di kuil Buddha yang dikenali sebagai Vahara, yan terletak di pelabuhan Tamralipti (di delta Sungai Ganges) sebelum meneruskan perjalanan ke Nalanda.

Peta perjalanan Yi jing, termasuklah Srivijaya


I Ching menetap di Nalanda selama 11 tahun, sebelum pulang ke China melalui jalan laut. Dalam perjalanan pulang, sami itu sekali lagi berhenti di Srivijaya dan kali ini, beliau menetap di Palembang selama lapan tahun. Sepanjang tempoh tersebut, I Ching menterjemahkan manuskrip-manuskrip yang beliau kumpulkan ketika berada di Nalanda, di samping menyiapkan dua buah karya yang sangat penting, iaitu The Record of Buddhism as Practices in India Sent Home from the Southern Seas dan The Memoirs of Eminent Monks who Visited India and Neighbouring Regions in Search on the Law during the Great Tang Dynasty.

Dua buah karya ini dihantar pulang ke China dari Srivijaya pada tahun 692 Masihi. Sebuah insiden yang menarik berlaku pada tahun 689 Masihi. Pada tahun tersebut, I Ching kehabisan dakwat dan kertas yang kononnya tidak terdapat di Srivijaya pada masa itu. Justeru, beliau pun pergi ke pelabuhan untuk mengutus surat ke kampung halamannya bagi meminta dihantarkan bekalan barangan tersebut. Ketika beliau sedang mengarat surat itu, tanpa dijangka kapal tersebut mula berlayar dengan I Ching sedang berada di atasnya.

Oleh hal yang demikian, beliau pun tidak semena-mena pulang ke China. Ketika berada di sana, beliau merekrut empat orang pembantu dan berlayar kembali ke Srivijaya. Ketiadaan bekalan dakwat dan kertas di Srivijaya kelihatan sebagai suatu kenyataan yang aneh, memandangkan ia merupakan pusat pendidikan Buddhisme yang unggul.

Petikan lembaran dari karya Yi jing yang berjudul ‘Buddhist Monastic Traditions of Southern Asia’


PENULISAN SRIVIJAYA PURBA

Ketiadaan bekalan dakwat dan kertas di Srivijaya membawa kepada timbulnya spekulasi bahawa kononnya empayar tersebut tidak mempunyai sebarang sistem tulisan, justeru tidak mereka tidak memerlukan alat-alat tulis. Walau bagaimanapun, pemahaman sebegini sama sekali tidak benar memandangkan terdapat sejumlah prasasti ditemui di Palembang. Selain di Palembang, terdapat juga prasasti Srivijaya yang ditemui di bahagian selatan Sumatera.

Namun anehnya, tiada prasasti yang ditemui di kawasan-kawasan taklukan Srivijaya yang lain, seperti di bahagian utara Sumatera, Jawa dan Semenanjung Melaka. Antara contoh prasasti Srivijaya ini termasuklah prasasti Talang Tuwo yang ditemui oleh Louis Constant Westernenk pada tahun 1920 di kaki Bukit Seguntang, di wilayah Palembang.

Prasasti yang bertarikh 684 Masihi ini mengandungi 206 patah perkataan yang boleh dibahagikan kepada Bahasa Melayu Lama (118 perkataan) dan bahasa Sanskrit (89 perkataan). Ia ditulis dalam sistem tulisan yang dikenali sebagai Pallava (berikutan kemiripannya dengan tulian piagam Pallava pada sekitar era yang sama). Prasasti ini didirikan oleh Dapunta Hyang (gelaran Melayu yang menyamai ‘raja’) Sri Jayanasa bagi memperingati pembinaan sebuah taman bernama Sri Ksetra.

Prasasti Talang Tuwo bukanlah satu-satunya prasasti yang didirikan oleh Sri Jayanasa. Pada hakikatnya, kesemua 10 buah prasasti utama di Srivijaya didirikan pada era pemerintahan beliau. Hal ini sekaligus membuatkan seperti tiada pemerintah Srivijaya lain yang merekodkan proklamasi mereka di batu. Apapun, prasasti-prasasti ini merupakan sumber maklumat penting berkenaan sejarah Srivijaya dan membekalkan pengetahuan yang mendalam tentang empayar tersebut, walaupun dari kacamata kelas pemerintah.

Kandungan prasasti Talang Tuwo agak berbeza jika dibandingkan dengan prasasti-prasasti lain, lantaran kebanyakannya merupakan sumpah kesetiaan kepada raja. Prasasti lain yang tidak mengandungi sumpah kesetiaan sebegini ialah prasasti Kedukan Bukit yang bertarikh 683/682 Masihi. Menurut prasasti tersebut, Sri Jayanasa melancarkan sebuah ekspedisi ketenteraan melalui darat dan laut.

Prasasti Talang Tuwo dari Srivijaya


Sebilangan sejarahwan menjelaskan bahawa walaupun Srivijaya menguasai Palembang, kawasan pedalaman di pulau itu belum lagi berada di bawah jajahannya. Justeru, ekspedisi ini bermaksud untuk memasukkan wilayah tersebut ke dalam kekuasaan Srivijaya. Penjelasan lain lebih menumpu pada perkataan siddhayarta, yang boleh diterjemahkan sebagai ‘seni magis’ atau ‘tuah’ atau ‘rahmat’.

Memandangkan matlamat ekspedisi Sri Jayanasa disifatkan sebagai untuk meraih siddhayarta, maka penjelasan bagi versi ini mendakwa bahawa prasasti tersebut didirikan bagi merekodkan perjalanan suci yang dilakukan oleh raja, yang mungkin menuju ke Bukit Seguntang. Walau apapun keadaannya, Sri Jayanasa berjaya dalam misinya dan berupaya membawa Srivijaya ke kemuncak kegemilangannya.

Borobudur siap dibina semasa era Samaratunga, pemerintah Srivijaya dari Dinasti Sailendra


SRIVIJAYA MENJADI KUASA BESAR

Pada kurun-kurun berikutnya, Srivijaya sememangnya menjadi kuasa besar di rantau itu. Perluasan pengaruh Srivijaya ke Jawa dan Semenanjung Melayu bermaksud seluruh Selat Melaka berada dalam takluk kekuasaannya.

Hal ini juga membawa maksud empayar tersebut memegang titik-penting antara China dan India di Jalan Sutera Laut sekaligus meraih kekayaan menerusi cukai yang dikenakan ke atas kapal-kapal dagang yang lalu-lalang di wilayahnya. Tambahan, dokumen-dokumen Arab dan China mencatatkan bahawa Srivijaya merupakan sumber produk hutan dan wangian.

Lantaran barangan berharga ini dihasilkan di kawasan pedalaman Sumatera, maka sewajarnya Srivijaya melebarkan pengaruhnya ke wilayah tersebut agar barang dagangan itu dapat dibawa terus ke pelabuhan-pelabuhannya. Pengaruh Srivijaya juga tersebar ke kawasan melangkaui Pulau Sumatera. Misalnya, para pemerintah Srivijaya turut meluaskan kuasanya ke atas kerajaan-kerajaan kecil jiran, seperti Dinasti Sailendra di Jawa Tengah, yang membina Borobudur.


KEMUNDURAN EMPAYAR SRIVIJAYA

Namun, kegemilangan Srivijaya ini tidak berkekalan. Pada tahun 1025 Masihi, Rajendra Chola I, iaitu pemerintah Dinasti Chola dari Tamil Nadu di selatan India bertindak melancarkan ekspedisi ketenteraan ke atas Srivijaya. Salah sebuah pelabuhan utama mereka, iaitu Kedah yang berada di bahagian utara Semenanjung Melayu, dikuasai buat beberapa tempoh. Dalam dua dekad berikutnya, Chola melancarkan serangan ke atas Srivijaya.

Walaupun Srivijaya berjaya menangkis serangan musuh, kekuatan mereka sedikit-sebanyak terjejas. Serangan Chola ini merupakan peristiwa penting dalam sejarah di rantau itu, hinggakan memori tentang insiden ini disematkan di dalam Sejarah Melayu (Malay Annals), walaupun dalam versi yang sedikit kabur.

Dalam karya sastera yang dikarang di Melaka pada kurun ke-15/16 Masihi ini, Raja Chola dikenali sebagai Raja Chulan. Beliau disebutkan sebagai raja yang pemerintahannya terbentang dari timur ke barat, kecuali China. Justeru, Raja Chulan berhasrat untuk menakluk China dan menyiapkan sebuah ekspedisi ketenteraan bagi tujuan itu.

Sejarah Melayu, menceritakan tentang serangan Chola ke atas Srivijaya


Ketika Raja Chulan tiba di Temasik (nama lama Singapura), berita tentang hasratnya yang mahu menyerang China itu sampai ke pengetahuan maharaja China. Maharaja kemudian memanggil para menterinya untuk memutuskan tindakan susulan. Perdana menteri mencadangkan kepada maharaja agar sebuah kapal bocor yang dikendalikan oleh orang-orang tua dihantar bagi bertemu dengan Raja Chulan di Temasik. Beberapa batang pokok yang berbuah turut diletakkan ke dalam kapal dan anak-anak kapal dibekalkan dengan jarum.

Tatkala kapal tersebut tiba di Temasik, anak-anak kapal dibawa menghadap Raja Chulan, yang bertanyakan kepada mereka tentang jarak perjalanan dari pulau ke China. Mereka membalas bahawa semasa meninggalkan China, mereka masih muda dan baru sahaja menanam beberapa biji benih di atas kapal, dan sekarang sudah tumbuh membesar serta mengeluarkan buah-buahan.

Malah, jarum-jarum yang mereka miliki ini dahulunya merupakan batang besi yang setebal lengan mereka. Tatkala mendengar jawapan mereka itu, Raja Chulan pun membatalkan hasratnya untuk menyerang China. Sebaliknya, beliau memutuskan untuk meneroka dasar laut, yang mengandungi sebuah lagi kisah lain.

Kekuatan Srivijaya yang terjejas akibat serangan Chola mendorong kepada longgarnya cengkaman kekuasaannya ke atas wilayah-wilayah serantau. Apapun, dalam dua kurun berikutnya, Srivijaya terus mendominasi rantau tersebut. Serangan Chola ini juga menghumban Palembang ke zaman kemundurannya.

Menjelang penghujung kurun ke-8, ibu kota dipindah ke Jawa tengah, semasa Dinasti Sailendra menjadi maharaja Srivijaya


Kemunduran ini diparahkan lagi oleh pengubahan laluan perdagangan pada kurun ke-11. Sebagai susulan, Jambi, yang terletak jauh di utara Palembang, bangkit menjadi kota utama Srivijaya. Hal ini dibuktikan menerusi dokumen-dokumen China yang merekodkan bahawa antara tahun 1070 dan 1088 Masihi, Srivijaya menghantar perutusan dari Palembang dan Jambi.

Pada tahun 1079, sebuah perutusan dari Palembang dan Jambi mengunjungi China. Dua perutusan lagi, iaitu pada 1082 dan 1088 dihantar ke China oleh Jambi. Hal ini membawa maksud menjelang kurun ke-11, Jambi telah mengambil-alih kedudukan Palembang sebagai kota utama Srivijaya.

Pengakhiran Srivijaya berlaku pada tahun 1288, apabila Palembang, Jambi serta kebanyakan wilayahnya jatuh ke tangan Singhasari. Singhasari merupakan sebuah kerajaan yang berpusat di Jawa Timur dan bangkit berkuasa setelah Srivijaya mengalami kemunduran pada kurun ke-11. Singhasari sendiri tidak dapat bertahan lama, lantran Sumatera tumbang ke tangan Majapahit pada tahun 1293, tidak lama selepas ia ditakluk oleh Singhasari.

Apapun, keturunan diraja Srivijaya terus kekal berkuasa walau sesudah ketumbangannya. Menurut tradisi, pengasas Melaka (di Semenanjung Melayu) yang bernama Parameswara merupakan seorang putera Srivijaya dari Palembang.

Walau bagaimanapun, boleh dikatakan bahawa Srivijaya dilupakan buat tempoh yang cukup lama sesudah ketumbangannya. Menjelang awal kurun ke-20, kenangan terhadap empayar ini hilang sepenuhnya, termasuklah dalam lingkungan penduduk Sumatera sendiri. Maklumat tentang Srivijaya hanya ditemukan semula pada 1920an oleh George Coedes, seorang sejarahwan dan ahli epigrafi dari Perancis.

Pada tahun 1918, Coedes menerbitkan sebuah kertas kajian yang menunjukkan bukti kewujudan Srivijaya menerusi hubungkait antara prasasti yang ditemui dan teks-teks yang menyebut perihal empayar berkenaan. Kajian Coedes ini diteruskan pada dekad-dekad yang menyusul, justeru beliau dikreditkan sebagai individu yang menghidupkan semula tamadun yang dilupakan ini.


Nota Penterjemah: Sebahagian daripada naratif sejarah yang dibawakan di dalam artikel ini, terutama berkenaan Raja Cholan di dalam Sulalatus Salatin sebagai Chola kurang dipersetujui oleh penterjemah setelah merujukkannya kepada pihak yang berkecimpung dalam bidang sejarah Melayu.


SUMBER