- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 September 2015). Lost in the Mists of Time: The Ancient Sao
Civilization in Central Africa. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/lost-mists-time-ancient-sao-civilization-central-africa-003978
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/lost-mists-time-ancient-sao-civilization-central-africa-003978
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tamadun Sao merupakan
sebuah tamadun purba yang terletak di Afrika Tengah, di sebuah kawasan yang
kini sebahagiannya dimiliki oleh negara Cameroon dan Chad. Mereka menghuni di
sepanjang Sungai Chari yang terletak di selatan Tasik Chad. Suku Kotoko moden,
iaitu sebuah kumpulan etnik yang menetap di Cameroon, Chad dan Nigeria,
mendakwa bahawa mereka merupakan keturunan daripada Sao purba. Menurut tradisi
mereka, Sao adalah sebuah ras gergasi yang pernah hidup di kawasan selatan
Tasik Chad, tepatnya di antara wilayah utara Nigeria dan Cameroon.
![]() |
| Sungai Chari |
REKOD PENULISAN TENTANG
SAO
Istilah ‘Sao’
berkemungkinan kali pertama diperkenalkan ke dalam sumber-sumber penulisan pada
kurun ke-16. Dalam dua buah hikayatnya (kedua-duanya ditulis dalam bahasa
Arab), The Book of Bornu Wars (Kitab Perang Bornu) dan The Book of
the Kanem Wars (Kitab Peran Kanem), imam besar Empayar Bornu, iaitu Ahmad
ibn Furtu, memerincikan tentang kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh
rajanya, iaitu Idris Alooma.
Populasi-populasi yang ditakluk dan dihapuskan
oleh Idris Alooma secara umum dipanggil sebagai “Sao”, “orang lain” (‘ajam)
yang tidak menuturkan bahasa Kanuri sebuah bahasa Nilo-Sahara). Mereka ini,
yang berkemungkinan merupakan penghuni awal di wilayah itu, menuturkan sebuah
bahasa Chad, yang diambil daripada evolusi sub-keluarga bahasa Chad Tengah.
STRUKTUR HIERARKI
SOSIAL DAN MENAKLUKI NEGARA BORNU
Karya-karya Ibn Furtu
juga memberikan sedikit maklumat perihal bagaimana masyarakat Sao ini disusun.
Selain bukti yang mengandaikan bahawa mereka merupakan sebuah suku yang
distrukturkan ke dalam klan-klan yang mengutaman kaum lelaki, dikatakan bahawa
Sao juga disusun ke dalam tatanan masyarakat yang berpusat dan berperingkat
sekaligus mengisyaratkan kewujudan suatu bentuk hieararki. Dasar-dasar
kemasyarakatan ini dipanggil sebagai kerajaan mahupun wilayah (yang ditadbir)
para pembesar, bergantung keadaan.
Selain itu, masyarakat
Sao juga dicatatkan pernah mendiami bandar-bandar kecil yang dilindungi oleh
parit dan benteng tanah. Hal ini justeru mengandaikan bahawa sistem sosial
mereka turut berfungsi sebagai negara-negara kota. Semasa Idris Alooma
melancarkan kempen ketenteraannya, bandar-bandar Sao yang paling hampir dengan
Bornu ditakluk dan diserap ke dalam negara Bornu.
Namun, bandar-bandar yang
terletak jauh pula sukar untuk diperintah secara langsung, justeru satu bentuk
strategi yang berbeza dilaksanakan. Berbanding menakluk bandar-bandar ini,
Idris Alooma memaksa mereka memperakui kekuasaannya dan menuntut mereka
membayar ufti. Perwakilan dari negara Bornu dilantik di sana bagi memantau
pentadbiran tempatan. Hal ini menimbulkan satu penjelasan tentang kejatuhan Sao
yang diandaikan disebabkan oleh asimilasi.
![]() |
| Patung kepala, tamadun Sao, Cameroon |
AHLI ETNOGRAFI DAN
PENEMUAN HASIL SENI YANG MENGAGUMKAN
Walaupun Ibn Furtu
memberikan maklumat serba-sedikit tentang hari-hari terakhir Sao, beliau sama
sekali tidak menyentuh tentang asal-usul masyarakat tersebut. Hanya pada kurun
ke-20, barulah ahli-ahli arkeologi berusaha untuk menjawab persoalan itu. Salah
seorang ahli arkeologi yang terlibat dalam hal ini ialah Marcel Griaule, ketua
Ekspedisi Dakar-Djibouti (1931-1933). Sebagai seorang ahli etnografi, Griaule
kagum dengan tradisi-tradisi tempatan yang diamalkan oleh masyarakat di dataran
Chad.
Beliau malah mengumpulkan hikayat lisan mereka. Hikayat-hikayat ini
kemudian diterjemahkan dan diterbitkan sebagai Les Sao Legendaires. Menerusi
buku inilah konsep ‘tamadun Sao’ atau ‘Kebudayaan Sao’ mula tercetus dan
dipopularkan. Idea tentang ‘kebudayaan’ ini dimanifestasikan dalam karya-karya
seni yang dihasilkan oleh Tamadun Gao.
Justeru, ekspedisi Griaule secara
utamanya menumpukan pada usaha mencari hasil-hasil seni yang dikeluarkan oleh
Sao. Griaule tidak dihampakan, lantaran Sao sememangnya menghasilkan
kerja-kerja seni yang menarik dalam bentuk bekas-bekas seramik, tanah liat, dan
juga perhiasan peribadi daripada tanah liat, tembaga, besi, aloi dan loyang.
Dengan menggunakan data
arkeologi, Griaule berupaya senario-senario etnosejarah yang sudah pun
membincangkan perihal pencapaian Sao. Senario-senario etnosejarah ini juga
digunakan untuk menafsirkan bukti arkeologi. Pendekatan ini mengemukakan bahawa
perpindahan atau migrasi merupakan pencetus perubahan budaya, dan ia tidak
banyak membantu kita dalam memahami asal-usul dan perkembangan ‘Tamadun Sao’.
AMALAN PENGEBUMIAN SAO
Bukti arkeologi
menunjukkan bahawa tamadun Sao melaksanakan amalan pengebumian terhadap anggota
masyarakat mereka yang meninggal dunia. Tradisi meletakkan jasad dalam
kedudukan seperti janin dalam sebuah bekas tanah diamalkan sejak kurun ke-12
hingga ke-13 Masihi. Bekas pengebumian ini ditutup dengan meletakkan sebuah
lagi bekas lain di atasnya. Namun, tradisi ini ditinggalkan menjelang kurun
ke-15 apabila pengebumian ringkas mula menjadi kebiasaan baru.
![]() |
| Tanah perkuburan Sao |
EKSKAVASI TERKINI
MELAHIRKAN GARIS MASA TAMADUN SAO
Sebuah pendekatan yang
lebih saintifik dilakukan pada 1960an dalam ekspedisi ekskavasi di Mdgana, dan
konsep tentang ‘Tamadun Sao’ yang
didasarkan pada hasil seni digugurkan. Hasil-hasil ekskavasi ini mendapati
bahawa Mdaga telah pun dihuni sejak sekitar 450 SM hingga 1800 M. Justeru,
mustahil untuk menganggap tempoh penghunian yang panjang sebegini berada di
bawah idea ‘Tamadun Sao’.
Penemuan-penemuan dari Mdaga ini diiringi oleh
ekskavasi-ekskavasi di Sou Blame Radjil. Tamadun Sao didapati bukanlah
benar-benar terdiri daripada satu kumpulan, sebaliknya ia terbentuk dari
pelbagai masyarakat yang hidup di wilayah Tasik Chad. Apapun, tabiat lama sukar
dipadam dan istilah ‘Tamadun Sao’ masih digunakan sehingga kini, dengan tempoh
kewujudannya secara umum adalah ‘lewat kurun ke-6 SM hingga kurun ke-16 M’.
![]() |
| Tapak Mdaga Sao, Chad |
Secara keseluruhan,
terdapat lebih 350 buah tapak arkeologi Sao yang diperkirakan wujud di Chad dan
Cameroon. Kebanyakan tapak yang telah ditemui ini mengandungi bukit buatan yang
berbentuk panjang ataupun bulat. Ahli arkeologi dan etnologi yang bernama Jean
Paul Lebeuf mengkategorikan tapak-tapak Sao ini kepada tiga jenis.
Jenis Sao 1
disifatkan sebagai gundukan kecil dan rendah yang digunakan sebagai tempat
pemujaan atau ritual. Patung-patung kecil ditemui di tapak-tapak sebegini.
Tapak-tapak Sao 2 mengandungi bukit besar yang mempunyai dinding. Jenis tapak
ini juga berfungsi sebagai tempat pengebumian dan banyak patung dikaitkan
dengan lokasi-lokasi ini. Akhir sekali, kategori Sao 3 diperkirakan sebagai
kategori yang paling terkini dan tidak banyak penemuan penting dijumpai.
SUMBER
- Gearon, E. 2005. Central Africa, Northern: Chadic People. In: K. Shillington, ed. Encyclopedia of African History, Volumes 1-3. New York: Fitzroy, Dearborn, pp. 227-228.
- Zuchora-Walske, C. 2009. Chad in Pictures. Minneapolis: Twenty First Century Books.
- Holl, A. F. 2006. Pathways to Complexity: The Rise and Demise of a Chadic Polity.
- Jones, D.H. 2015. Chad.
- Makrada Maina, M. n.d. Qui Sont Les Sao?
- Memoire d’Afrique. 2015. Sao.
- Get link
- X
- Other Apps




