- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (9 Mei 2019). Tanah Hausa. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Tanah Hausa/
https://ancient.eu/Tanah Hausa/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tanah Hausa (Hausaland),
atau kadangkala disebut sebagai Kerajaan Hausa, merupakan sekumpulan
negara-kota kecil yang merdeka di Afrika Tengah, tepatnya di antara Sungai
Niger dan Tasik Chad. Kerajaan ini mengalami kepesatan pada kurun ke-15 hingga
kurun ke-18 Masihi.
Asal-usul Hausa tidak diketahui, namun sebuah hipotesis
mengandaikan bahawa mereka mungkin merupakan sekumpulan masyarakat asli yang
disatukan oleh bahasa yang sama – iaitu Hausa – manakala teori lain pula
menjelaskan bahawa keberadaan mereka di rantau itu adalah susulan daripada
perpindahan mereka dari wilayah selatan Gurun Sahara. Kota-kota ini berupaya
meraih kepesatan berkat perdagangan di peringkat tempatan mahupun serantau,
dengan barang dagangannya merangkumi garam, logam berharga, barangan kulit, dan
hamba sahaya.
Pada kurun ke-14 dan kurun ke-15 Masihi, agama Islam diamalkan
oleh ramai pemerintah dan golongan elit negara-negara kota ini. Namun, ia juga
menjadi salah satu sebab terlucutnya kemerdekaan mereka apabila pemimpin
Fulani-Muslim, iaitu Usman dan Fodio (memerintah 1803-1815 Masihi) melancarkan jihad
dan menakluki wilayah itu pada awal kurun ke-19 Masihi.
GEOGRAFI &
ASAL-USUL
Nama Tanah Hausa
diambil daripada sebuah perkataan bahasa Hausa, iaitu Kasar hausa yang
membawa maksud ‘negara bahasa Hausa’. Walau bagaimanapun, populasi kawasan ini
juga merangkumi suku-suku lain seperti suku Tuareg, Fulbe dan Zabarma. Istilah
‘Hausa’ hanya digunakan semenjak kurun ke-16 Masihi, memandangkan masyarakat
tersebut memanggil diri mereka sendiri sebagai warga yang bersesuaian dengan
negara-kota atau kerajaan tempat mereka berasal.
Tanah Hausa terletak di
wilayah Sahel, tepatnya di antara Sungai Niger dan Tasik Chad di bahagian utara
Afrika Tengah, atau Nigeria utara moden. Sahel merupakan daratan separa-gersang
yang terbentang di Afrika, meliputi kawasan antara Gurun Sahara di utara dan
tanah subur Savannah di selatan. Secara spesifik, Tanah Hausa terbentang dari
pergunungan Air (utara) hingga ke dataran Jos (selatan) dan dari Borno (timur)
hingga ke Lembah Niger (barat). Rantau ini menyaksikan bandar-bandarnya dibangunkan
di tangan penutur bahasa Hausa semenjak tahun 1000 hingga tahun 1300 Masihi.
Asal-usul bandar-bandar
Hausa belum diketahui secara tepat. Namun, teori-teori yang dikemukakan
antaranya menjelaskan bahawa segalanya bermula daripada perpindahan sejumlah
masyarakat dari Sahara selatan. Tanah asal mereka ini ditinggalkan lantaran
peningkatan kadar kekontangan di kawasan tersebut. Mereka kemudiannya
menubuhkan sejumlah petempatan baru yang kelak membentuk Tanah Hausa.
Teori
lain pula menjelaskan bahawa masyarakat Hausa pada asalnya menetap di pantai
barat Tasik Chad dan apabila tasik itu mengalami penyusutan paras air (sebagai
susulan daripada perubahan iklim sama yang mengesankan Sahara), mereka pun
berpindah ke daratan baru lagi subur dan seterusnya tersebar ke utara dan
barat.
Malangnya, masih belum ada bukti arkeologi yang dapat menyokong
mana-mana teori ini. Lantaran itu, muncul hipotesis ketiga, iaitu suku Hausa
tidak pernah melakukan sebarang perpindahan dan hakikatnya mereka merupakan
masyarakat asli di kawasan tersebut. Bukti yang dikemukakan bagi mendokong
teori ini adalah ketiadaan sebarang tradisi perpindahan di dalam sejarah lisan
suku Hausa.
![]() |
Peta Negara-Negara Afrika Sub-Sahara Purba & Zaman Pertengahan |
Walau bagaimanapun,
terdapat sebuah legenda penubuhan bangsa mereka yang dikenali sebagai legenda
Bayajida atau Daura. Pun begitu, legenda ini berkemungkinan berasal dari kurun
ke-16 Masihi dan ianya mencerminkan peningkatan pengaruh agama Islam di rantau
tersebut pada waktu itu.
Menurut tradisi ini, Bayajida, si putera dari Baghdad
tiba di istana pemerintah Kerajaan Kanem (atau Empayar Bornu yang terbentuk
menjelang kurun ke-16 Maishi). Lantaran sambutan yang diterima tidak begitu
menyenangkan, Bayajida pun menuju ke timur sehingga tiba di kota Daura. Di
sana, ratu dan kerajaannya sedang dilanda ketakutan terhadap seekor ular besar.
Bayajida tampil membunuh ular tersebut dan kemudiannya mengahwini si ratu.
Mereka seterusnya dikurniakan seorang putera yang bernama Bawogari. Bawogari
ini kemudiannya mempunyai enam orang putera, setiap seorang daripadanya menjadi
raja bagi sebuah negara-kota Hausa. Sementara itu, Bayajida juga mempunyai
putera lain bersama salah seorang gundiknya. Putera bukan gahara yang bernama
Karbogari ini mempunyai tujuh orang putera dan mereka memerintah tujuh buah
kota Hausa yang lain. Kisah ini dengan kemas menjelaskan mengapa begitu banyak
kota ditubuhkan. Namun, ia sama sekali tidak menerangkan di manakah lokasi
Daura dan daripada manakah asal-usul ratunya.
KOTA-KOTA PENTING &
PENTADBIRAN
Walau daripada mana
sekalipun mereka berasal, menjelang awal kurun ke-15 Masihi banyak wilayah
kecil Hausa bergabung untuk menubuhkan beberapa buah kota bertembok yang
menguasai kawasan pinggiran masing-masing. Secara tradisi, terdapat tujuh buah
negara-kota (hausa bakwai). Namun pada hakikatnya, jumlah tersebut jauh
lebih banyak daripada itu. Antara negara-kota yang paling penting ialah (tujuh
buah kota menurut tradisi ditandakan dengan tanda bintang):
- Biram *
- Daura (bandar utama bagi kesemua bandar ini) *
- Garun Gobas
- Gobir *
- Gwari
- Jukun (atau Kwararafa)
- Kano *
- Kebbi
- Katsina *
- Nupe
- Rano *
- Yawuri
- Yoruba
- Zamfara
- Zaria (atau Zazzau) *
Setiap kota mempunyai
raja atau pemerintahnya yang tersendiri, atau disebut sebagai sarkin kasa,
yang dibantu oleh ketua penasihat atau wazir yang memegang gelaran galadina
serta sekumpulan kecil menteri – kebiasaannya terdiri daripada sembilan orang
ahli yang turut berperanan menentukan calon pemerintah seterusnya. Pelbagai
menteri turut dilantik oleh raja, misalnya, untuk mengutip cukai dan
menjalankan adat-istiadat, memimpin unit kavalri atau infantri, menjamin
keselamatan di jalan raya, dan memantau hasil tuaian tertentu.
Setiap kota
lazimnya turut menguasai sejumlah wilayah kecil atau kampung-kampung di
sekitarnya, di mana setiap satunya ditadbir oleh seorang pembesar atau sakin
gari. Peringkat ketiga bagi piramid politik ini terdiri daripada klan keluarga
atau gida, yang kebanyakannya membentuk sebuah kampung.
Penduduk luar bandar di
Hausa merupakan golongan petani yang mengusahakan tanah yang dimiliki oleh
komuniti secara keseluruhan. Seiring peredaran masa, apabila negara-negara kota
ini menjadi semakin berpusat, sistem pemilikan tanah ini dikorupkan oleh
raja-raja yang menyerahkan sebahagian tanah tersebut kepada individu-individu
tertentu sebagai hadiah. Sektor pertanian Hausa juga kemudiannya sangat
bergantung harap pada tenaga kerja hamba-sahaya.
Sementara itu, walaupun
masyarakat di dalam kota utama setiap kerajaan didominasi oleh suku Hausa,
ianya berciri kosmopolitan. Di dalamnya terdapat kelas hamba-sahaya, penghasil,
pedagang, menteri agama, ilmuwan, sida-sida, bangsawan (masu sarauta)
yang mempunyai kaitan atau disenangi oleh raja.
PERDAGANGAN
Negara-negara Hausa
memperdagangkan emas, gading, garam, besi, timah, senjata, kuda, kapas
berwarna, pakaian, kacang kola, barangan kaca, barangan logam, bulu burung
unta, dan kulit binatang. Hubungan perdagangan ini juga turut dijalinkan dengan
wilayah pantai Afrika Barat, Oyo di Teluk Benin, dan Empayar Songhai (sekitar
1460-1591 Masihi) di timur. Hamba-sahaya merupakan sumber pendapatan yang
penting bagi kesemua kota. Namun secara khusus, kota Zaria lebih terkenal
dengan pemerolehan sumber hamba-sahaya melalui kaedah serangan yang dilancarkan
ke wilayah selatan.
![]() |
Gelang tangan, Tanah Hausa |
Kota-kota yang mahir
dalam penghasilan atau perdagangan beberapa barangan tertentu, seperti pewarna
– nila (indigo) terutamanya – di Katsina dan Daura, atau perhiasan perak
di Kebbi dan Zamfara. Tanah Hausa masyhur (bahkan sehingga kini) dengan
barangan kulitnya yang amat berkualiti, seperti kendi air, pelana, abah-abah
dan karung untuk mengangkut barang dagangan.
Pelbagai hasil pertukangan turut
disusun-selaras ke dalam pertubuhan-pertubuhan yang ada bagi memastikan
piawaiannya dikekalkan dan harganya diselaraskan. Sektor pertanian Hausa pula,
dengan dirangsang oleh teknik-teknik seperti kitaran penanaman atau penggunaan
baja, berupaya mengeluarkan hasil tuaian seperti sekoi, sorgum, beras, jagung,
kacang, bijirin, inai, tembakau dan bawang.
Selain itu, sektor perikanan dan
perburuan terus dijalankan dan kambing-kambing dibesarkan (penting untuk tujuan
korban) manakala keldai-keldai pula dibiakkan (sebagai bentuk pengangkutan
utama). Setiap kota mempunyai pasar-pasar yang tersendiri, di mana kaum lelaki
mahupun wanita menjual barang dagangan mereka.
Kebanyakan kota turut mempunyai
pasar peringkat antarabangsa, di mana para pedagangnya berjual-beli secara
pukal. Barang dagangan lazim ditukar-ganti dengan barangan yang setimpal.
Namun, garam, pakaian dan hamba-sahaya sering digunakan sebagai matawang piawai.
SENI BINA
Rumah-rumah tradisional
Hausa diperbuat daripada batu-bata lumpur kering yang berbentuk pir. Ia dibina
secara berbaris dengan menggunakan simen dan bahagian hujung muncungnya
menghadap ke atas. Dinding-dindingnya kemudian ditampal dengan lepa dan dicat
atau didekorasi (diukir). Rumah-rumah ini kemudian dihias lanjut dengan
patung-patung tambahan yang juga dihasilkan dengan menggunakan lumpur. Hal ini
sekaligus menghasilkan rekaan geometrik tiga dimensi seperti corak bersilang
atau corak berpusar.
Ciri bumbung yang selamat dapat dipenuhi menerusi kekubah
lumpur yang diperkuat dengan sebuah bingkai daripada pelepah palma. Ini
merupakan ciri seni bina khusus di Tanah Hausa. Setiap rumah ditutupi dalam
lingkungan dindingnya yang tinggi dan bangunan-bangunan tambahan kebiasaannya didirikan
di dalamnya. Kota-kota utama dilindungi oleh tembok-tembok besar – sekaligus
menjadi isyarat lazimnya peperangan bercorak pengepungan yang berlangsung di Tanah
Hausa sepanjang sejarahnya.
PENUKARAN AGAMA KEPADA
ISLAM
Tidak seperti
kebanyakan Afrika Sub-Sahara, kawasan yang dikuasai oleh Tanah Hausa
kebanyakannya tidak didatangi agama Islam melainkan pada kurun ke-14 Masihi.
Namun pada akhirnya, suatu bentuk ajaran Islam diamalkan dan diadaptasi jua
berikutan interaksi yang berlaku dengan para pedagang, pendakwah, dan ilmuwan
Islam yang datang dari timur, khususnya kawasan lengkungan Sungai Niger.
Agama
Islam secara tipikal bercampur-aduk dengan ritual-ritual animisme tempatan dan
sekaligus membentuk sifatnya yang tersendiri di rantau ini. Lantaran ketiadaan
sebarang kepentingan berbentuk suntikan komersial yang mencenderungkannya untuk
bermesra dengan para pedagang asing seperti golongan pemerintah dan bangsawan
Hausa, populasi luar bandar ini, sama seperti populasi luar bandar di kawasan
Afrika lain, ternyata sukar untuk ditukarkan agama walau ditangani dengan (atau
bahkan disebabkan oleh) kaedah kekerasan seperti penghancuran rumah-rumah suci
dan ladang-ladang keramat purba.
Walaupun ditentang oleh beberapa orang pembesar
dan kebanyakan penduduk luar bandar, agama Islam akhirnya bertapak di rantau
ini dengan teguh. Masjid-masjid dibina di kota dan salah sebuah runtuhan tertua
yang masih terselamat sehingga kini adalah menara Gobarau yang merupakan
sebahagian daripada masjid di Katsina, yang diyakini berusia seawal kurun ke-15
Masihi.
PERSETERUAN SERANTAU
& KEMUNDURAN
Hubungan dengan Empayar
Songhai di wilayah jiran tidak sentiasa berlangsung mesra, terutama ketika –
setidak-tidaknya menurut sejarahan Leo Africanus (sekitar 1494-1554 Maishi) –
raja Songhai, iaitu Askia Muhammad (memerintah 1494-1528 Masihi) berupaya menundukkan
kota Katsina, Kano dan Gobir sekaligus menjadikannya sebagai negara bawahan
yang dituntut agar membayar ufti kepadanya.
Terdapat juga kemungkinan bahawa
serangan ini dilancarkan oleh negara-negara kecil lain lantaran rekod-rekod
daripada Songhai dan Timbuktu pada waktu itu sama sekali tidak memerihalkan
perkara ini. Sementara itu, negara-negara Hausa diketahui kerap melakukan
serangan ke selatan, khususnya di Lembah Benue bagi memerangi pelbagai suku
seperti Bauchi, Gongola, Jukun dan Yawuri.
Fulani, iaitu suku
penternak dari Senegal yang berpindah ke Tasik Chad pada pertengahan kurun
ke-16 Masihi kemudiannya menetap di Tanah Hausa dan membawa bersama sebuah lagi
lonjakan minat terhadap agama dan ajaran Islam. Pada suku terakhir kurun ke-18 Masihi,
suku Fulani melancarkan jihad di rantau tersebut.
Dalam peperangan yang
berlangsung ini, suku Fulani dibantu oleh perseteruan lama yang wujud dalam
kalangan kota-kota Hausa, pertelagahan dalaman antara golongan bangsawan dalam
beberapa buah negara-kota, dan keadaan penduduk yang tidak berpuas hati
lantaran menjadi semakin miskin sementara golongan bangsawan-pedagang Hausa
pula menjadi semakin kaya. Justeru bermula dari tahun 1804 Masihi, pemimpin
Fulani yang bernama Usman dan Fodio menakluki seluruh negara-kota Hausa dan
menukarkan agama mereka kepada Islam.
Usman dan Fodio, yang beliau sendiri
berasal dari negara-kota Gobir dari Hausa, kemudiannya meneruskan perjuangan
dengan meluaskan empayarnya dan membangunkan ibu kota di Sokoto pada tahun 1817
Masihi, di mana ianya menjadi nama kepada empayar yang ditubuhkannya itu.
BIBLIOGRAFI
- Curtin, P. African History. Pearson. 1995.
- Hrbek, I. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. III, Abridged Edition. University of California Press. 1992.
- Ki-Zerbo, J. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV, Abridged Edition. University of California Press. 1998.
- McEvedy, C. The Penguin Atlas of African History. Penguin Books. 1996.
- Ogot, B.A. (ed). General History of Africa volume 5. James Currey. 1999.
- Oliver, R. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 3. Cambridge University Press. 2001.
- Oliver, R.A. (ed). Cambridge Encyclopedia of Africa. Cambridge University Press. 1981.
- de Villiers, M. Timbuktu. Walker Books. 2007.
- Get link
- X
- Other Apps