- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Tony Hoang. (2 Mac 2016). Jomon Period. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Jomon_Period/
https://www.ancient.eu/Jomon_Period/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Zaman Jomon merupakan
zaman sejarah terawal Jepun yang bermula sekitar tahun 14 500 Sebelum Masihi,
bersamaan dengan Zaman Neolitik di Eropah dan Asia. Zaman ini berakhir sekitar
tahun 300 Sebelum Masihi dan disusuli oleh Zaman Yayoi. Perkataan Jomon yang
membawa maksud ‘tanda pusat’ atau ‘bercorak’ datang daripada seni pembuatan
tembikar yang dihasilkan pada zaman itu. Walaupun zaman ini secara
keseluruhannya disebut sebagai Jomon, terdapat pelbagai fasa khusus yang boleh
dikenal pasti menerusi gaya seni tembikar dan tujuan penggunaannya.
PETEMPATAN &
KELANGSUNGAN HIDUP
Masyarakat yang datang
ke wilayah Jepun moden ini berpindah ke wilayah itu buat pertama kali pada
lewat zaman glasier akhir, atau Zaman Ais. Besar kemungkinan mereka ini
mengikuti pergerakan haiwan-haiwan yang merentasi jambatan darat yang terbentuk
semasa zaman ais.
Tatkala cuaca berubah semakin panas dan jambatan darat ini
hilang, masyarakat yang kelak membentuk masyarakat Jomon ini sudah pun berada
di sebuah pulau. Bersama gerombolan haiwan yang sudah terputus hubungan dengan
habitat asal mereka, masyarakat Jomon mengamalkan gaya hidup berburu dan
mengumpulkan hasil hutan untuk melangsungkan hidup.
Pemakanan mereka dipercayai
terdiri daripada beruang, babi hutan, ikan, kerang, keladi, anggur liar, kacang
walnut, buah berangan dan akorn. Sisa tinggalan yang membuktikan corak
pemakanan mereka ini ditemui di dalam tempat pembuangan, longgokan sampah dan
gundukan cengkerang yang terdapat di kawasan berhampiran kampung-kampung.
Bermula sekitar tahun
5000 Sebelum Masihi, masyarakat Jomon membangunkan gaya hidup yang bersifat
lebih menetap dan hidup di kampung-kampung. Kampung paling besar pada zaman itu
didapati memiliki keluasan sekitar 100 ekar (sekitar 0.4 km persegi) dan
menampung kira-kira 500 orang penduduk.
Kampung-kampung yang terletak
berhampiran laut banyak bergantung pada aktiviti perikanan manakala
petempatan-petempatan yang berada lebih jauh ke pedalaman pula mengamalkan gaya
hidup berburu. Dalam kebanyakan kampung, ditemui suatu yang dianggap sebagai
platform batu tempat upacara dilangsungkan dan lubang-lubang penyimpanan
barang.
Rumah-rumah kampung yang bersifat ringkas ini kemudiannya berkembang
menjadi rumah-rumah lubang (pithouse), dengan strukturnya disokong oleh
sejumlah tiang. Rumah-rumah ini dibina di sekeliling unggun api yang dijadikan
sebagai pusat kampung, dan setiap rumah mampu menampung sekitar lima orang
penghuni.
Masyarakat Jomon lazim menghuni kawasan-kawasan yang berbeza
bergantung pada perubahan cuaca: tempoh-tempoh yang lebih sejuk memerlukan
mereka untuk menghuni kawasan yang lebih hampir dengan laut, sebagaimana yang
dibuktikan menerusi gundukan cengkerang dan tulang ikan yang lebih banyak
ditemui berbanding musim panas yang mana corak petempatannya menunjukkan
perubahan ke kawasan-kawasan yang lebih ke pedalaman bagi memanfaatkan sumber
flora dan fauna.
Seiring perubahan
habitat ini, populasi masyarakat Jomon secara keseluruhannya mengalami
naik-turun yang agak ketara: menjelang tahun 5000 Sebelum Masihi, populasinya
meningkat dari 20 000 orang kepada 100 000 orang. Angka ini terus bertambah
kepada 200 000 orang menjelang tahun 3000 Sebelum Masihi, sebelum menurun
semula kepada 100 000 orang menjelang penghujung Zaman Jomon.
Walaupun
masyarakat Jomon mengamalkan gaya hidup yang agak bersifat menetap, revolusi
pertanian hanya hadir menerusi pendedahan teknik penanaman padi pada penghujung
Zaman Jomon. Revolusi ini berlaku sekitar tahun 900 Sebelum Masihi, di mana
penanaman padi turut diperkenalkan bersama teknik pertukangan logam yang maju dari
Korea ke barat daya Jepun.
![]() |
| Alatan dari zaman Jomon |
TEKNOLOGI
Sama seperti teknologi
Neolitik yang digunakan di Eropah dan Asia, hampir kesemua teknologi Jomon
terdiri daripada alatan batu dan kayu yang ringkas, seperti pisau, kapak, busur
dan anak panah. Selain alatan batu, pelbagai jenis perangkap juga turut
digunakan bagi membantu masyarakat Jomon dalam aktiviti berburu. Pakaian mereka
diperbuat daripada kulit kayu pokok mulberi, yang diikat dengan menggunakan
jarum tulang. Masyarakat Jomon juga didapati menganyam bakul rotan.
Memandangkan pada tempoh-tempoh tertentu masyarakat Jomon menghuni kawasan
berhampiran laut, maka alatan nelayan seperti tempuling dan cangkuk turut
dicipta bersama dengan teknik menggunakannya. Tidak seperti masyarakat di Eropah
dan negara-negara Asia yang lain, pertanian masih belum diamalkan di Jepun
melainkan pada tempoh yang lebih terkemudian, iaitu menjelang penghujung Zaman
Jomon.
Justeru, tiada alatan pertanian berskala besar yang ditemui melainkan
pada Zaman Yayoi. Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang mengesahkan aktiviti
hortikultur dan perkebunan skala kecil diamalkan pada Zaman Jomon.
TEMBIKAR JOMON
Tembikar di Zaman Jomon
dihasilkan tanpa penggunaan roda tembikar, sebaliknya hanya dengan menggunakan
tangan. Proses ini melibatkan penghasilan yang bermula dari lingkaran bawah (tapak)
tanah liat lembut yang sudah pun dicampur dengan bahan-bahan lain seperti fiber
atau cengkerang hancur. Kemudian, bahagian luar dan dalam tembikar dilicinkan
dengan menggunakan alatan dan seterusnya tembikar dibakar di dalam unggun api.
Tembikar-tembikar
Jomon merupakan yang paling tua di dunia, dengan ribuan daripadanya sudah pun
ditemui. Tembikar-tembikar yang digunakan pada fasa terawal Zaman Jomon, iaitu
fasa Permulaan (14 500 SM – 5000 SM) mempunyai tapak yang berbentuk bulat dan
digunakan untuk memasak di luar rumah, dengan tembikar itu sendiri dibakar di
atas timbunan batu ataupun pasir.
Bentuk tembikar yang digunakan pada Zaman
Jomon Awal (5000 SM – 3000 SM) pula mempunyai tapak yang rata dan lebih cenderung
digunakan di kawasan dalam rumah. Pada Zaman Jomon Pertengahan (3000 SM – 1000
SM), tembikar-tembikarnya dihias dengan lebih terperinci, terutama dengan imej
api ataupun ular. Manakala pada Zaman Jomon Lewat (1000 SM – 300 SM), bahagian
dinding tembikar semakin nipis dan kegunaannya pula lebih meluas.
![]() |
| Mangkuk dari zaman Jomon |
RITUAL & KEPERCAYAAN
Pada Zaman Jomon,
didapati bahawa masyarakatnya mengebumikan bayi di dalam bekas yang bersaiz
besar, manakala orang dewasa pula disemadikan di dalam lubang dan gundukan
cengkerang yang terletak berhampiran kampung. Di dalam gundukan ini diletakkan
barang-barang pengebumian, terutama pada fasa Pertengahan hingga fasa Lewat.
Sekitar fasa-fasa awal Jomon, patung-patung dogu daripada tanah liat
dihasilkan, dengan ciri awalnya berbentuk rata dan bersaiz sekitar 3 hingga 30
cm.
Menjelang fasa Pertengahan, penghasilan patung-patung sebegini semakin
meluas dan imejnya pula pelbagai. Pada fasa Lewat, patung-patung ini berkembang
menjadi patung tiga dimensi. Kebanyakan patung ini menggambarkan wanita yang
sedang mengandung bagi menyimbolkan kesuburan. Mereka juga menghasilkan patung
yang menggambarkan orang biasa, namun berkeadaan rosak dengan kepercayaan
bahawa sebarang nasib malang atau penyakit yang ditanggung oleh pemilik patung
itu akan berpindah ke patung tersebut.
Terdapat satu amalan lazim bagi kaum
lelaki yang mencapai usia baligh, iaitu ritual menarik gigi. Namun, tujuan
pelaksanaannya tidak dapat diketahui. Di bahagian utara Jepun, sejumlah bulatan
batu ditemui di sekitar kampung-kampung yang berasal dari Zaman Jomon. Tujuan
pembinaan bulatan batu ini tidak diketahui, namun diandaikan ianya memiliki
fungsi dalam aktiviti perburuan dan perikanan.
PERALIHAN KE ZAMAN
YAYOI
Dalam hampir sepanjang
Zaman Jomon, Jepun terpinggir dari negara-negara Asia yang lain. Justeru,
budaya, masyarakat dan teknologinya boleh dianggap sebagai asli, dan dalam sisi
lain, lebih primitif memandangkan masyarakatnya tidak memiliki sebarang akses
terhadap idea dan teknologi tamadun lain. Hanya sekitar penghujung zaman ini
barulah wujud bukti yang mengindikasikan interaksi antara masyarakat Jepun dan
tamadun di tanah besar, sebagaimana yang dapat dilihat menerusi kesamaan yang
wujud dalam seni tembikar di Korea.
Begitu juga interaksi dengan Kyushu, pulau
Jepun yang paling selatan. Masyarakat Jomon kemudiannya mempelajari teknik
penanaman padi dan pertukangan logam dari Korea dan berinteraksi dengan
masyarakat yang kelak bercampur-gaul dengan masyarakat asli di wilayah yang
terletak jauh di selatan. Mereka ini kelak membentuk masyarakat Jepun moden,
walaupun terdapat juga sekumpulan kecil masyarakat yang mengekalkan peratusan
DNA Jomon Asli yang tinggi di utara, iaitu di Pulau Hokkaido.
SUMBER
- History – Jomon Period
- Jomon Culture (ca. 10 500-ca. 300 BCE)
- Jomon Culture – Ancient Culture
- Collcutt M, Jansen M., Kumakura I. Cultural Atlas of Japan. Facts on File. 1988.
- Henshall, K. A History of Japan. Palgrave Macmillan. 2012.
- Tames, R. Traveller’s History of Japan. Interlink Publishing Group. 2008.
- Get link
- X
- Other Apps


